PEMAIN pertahanan Costa Rica, Oscar Duarte (kanan) begitu gembira selepas menjaringkan gol kedua pasukannya ketika menentang Uruguay di Fortaleza semalam. Costa Rica menang 3-1. - AFP
FORTALEZA - Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez mengakui pasukannya amat memerlukan pemain bintang mereka, Luiz Suarez, 27, untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya setelah tewas mengejut 3-1 kepada Costa Rica semalam.
Keputusan mengejutkan itu mungkin boleh menamatkan impian Uruguay untuk mara ke pusingan kedua dari Kumpulan D yang dilihat sebagai antara kumpulan paling sengit bagi Piala Dunia 2014.
Penyerang Liverpool, Suarez diletakkan di bangku simpanan dalam perlawanan tersebut dan pada suatu masa ketika pasukannya beraksi, dia diarahkan supaya memanaskan badan, namun Tabarez mendapati pemainnya itu masih tidak cukup cergas.
"Tidak mungkin Suarez berada di bangku simpanan jika masih cedera, tetapi kami akan lihat sama ada dia sudah cukup bersedia untuk kembali beraksi dalam perlawanan seterusnya kerana bagi kami, dia merupakan pemain penting untuk pasukan ini," katanya.
Menjelang perlawanan menentang England di Sao Paulo (pada Khamis ini waktu Malaysia), Tabarez berharap Suarez akan kembali cergas sepenuhnya.
"Jelas sekali bahawa kami perlu bangkit semula dalam perlawanan menentang England yang merupakan antara pasukan terbaik dan keadaan ini menjadi sedikit sukar buat Uruguay.
PEMINAT-peminat Costa Rica meraikan kejayaan pasukan mereka mencipta kejutan apabila menewaskan Uruguay dalam perlawanan Kumulan D Piala Dunia di Brazil semalam. - AFP
"Bagaimanapun, kami akan menggunakan segala senjata yang ada untuk memastikan impian menjadi juara Piala Dunia tidak terkubur begitu sahaja," katanya.
Dalam perlawanan semalam, Uruguay mendahului saingan pada separuh masa pertama menerusi sepakan penalti Edinson Cavani, namun tiga gol oleh pihak lawan pada separuh masa kedua yang dijaringkan Joel Campbell, Oscar Duarte dan Marcos Urena membolehkan Costa Rica mencipta keputusan paling mengejut setakat ini dalam kejohanan ini.
"Saya tidak tahu bagaimana prestasi terbaik Costa Rica, namun dalam perlawanan tadi (semalam) mereka bermain dengan bagus apabila mengawal rentak permainan secara taktikal dan berhak untuk menang," kata Tabarez.
Sementara itu, penyerang Costa Rica, Campbell percaya pasukannya boleh melangkah ke peringkat kalah mati kejohanan tersebut, meskipun tidak berstatus pasukan pilihan.
"Semua pemain pasukan ini merupakan bintang kerana bermain dengan bagus sekali dalam perlawanan tadi dan sentiasa percaya yang kami mampu mengatasi Uruguay serta kuat dari segi mental walaupun pihak lawan menjaringkan gol pertama.
"Kami masih mempunyai baki dua perlawanan dan berharap dapat keputusan yang baik supaya layak ke peringkat 16 terakhir," katanya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140616/sl_08/Uruguay-jelas-perlukan-Suarez#ixzz34lbkuXav © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment