Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 31 October 2013

Hak asasi manusia mengikut ukuran Islam








GABUNGAN NGO-NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) mengambil kesempatan ketika proses semakan berkala sejagat (UPR) di Geneva pada 24 Oktober lalu untuk mengemukakan gagasan yang mereka ketengahkan sebagai membela hak asasi manusia secara mutlak, yang terdapat antaranya unsur-unsur kebebasan manusia yang bertentangan dengan agama Islam.

Dalam ajaran Islam setiap kebebasan mempunyai batas dan hadnya yang tertentu. Hak bersuara umpamanya bukanlah diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa saja tanpa mempunyai prinsip dan asas yang tertentu.

Masyarakat Barat yang dibangunkan sebagai masyarakat permisif tanpa terikat dengan prinsip nilai akhlak kerohanian memanglah memberikan hak yang luas kepada kebebasan ini.

Voltaire mengisytiharkan bahawa “Saya tidak menerima apa yang anda katakan. Tetapi saya akan bermati-matian mempertahankan kebebasan anda untuk bersuara’'.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt ketika mengemukakan empat perkara dalam gagasan kebebasan menegaskan bahawa, “Hak pertama ialah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat di mana saja mereka berada di dalam dunia ini’'.

Sejak itu, semua yang terlibat dengan penampilan kepada masyarakat seperti penulis, artis, kartunis, pengusaha filem dan sebagainya telah memasuki gelanggang masing-masing dengan penuh kebebasan untuk menyata dan menterjemahkan perasaan, fikiran dan bisikan naluri mereka, termasuklah memberikan idea dan pandangan tentang segala-galanya di dalam masyarakat tanpa ragu-ragu lagi.

Medan terbaru yang dimasuki oleh manusia moden pada hari ini ialah medan teknologi dan komunikasi maklumat yang dipergunakan dengan seluas-luasnya oleh mereka untuk mencari keuntungan kebendaan seperti berdagang dan berniaga, termasuk memperniagakan bahan-bahan lucah dan tidak bermoral.

Laman baru ini juga dimasuki oleh orang yang ingin memberikan pandangan dan pendapat peribadi tentang agama, politik dan sosial sehingga pandangan tentang hal ini menjadi terlalu banyak disebarkan ke seluruh dunia tanpa sempadan ini.

Dalam kalangan masyarakat Islam sendiri hal ini menjadi duri dalam daging yang amat menyakitkan. Dalam sejarah kebebasan bersuara yang berbangkit di dalam negara Islam umpamanya, terdapat beberapa kes yang dilakukan oleh penganut Islam sendiri dalam memanisfestasikan kebebasan ini.

Novel hasil karya Salman Rushdie The Satanic Verses (1988) telah menimbulkan kontroversi dan menggemparkan masyarakat Islam, sehingga pengarang dan buku ini telah menimbulkan banyak krisis dalam dunia Islam dan di kalangan penganut Islam di dalam dunia.

Pejuang kebebasan wanita Bangladesh juga, Taslima Nasrin, dalam masa sama, telah menurut jejak langkah Salman Rushdie ketika menerbitkan tulisan dan bukunya yang banyak mengemukakan pemikirannya yang amat sinikal tentang kitab suci al-Quran dan undang-undang syariah.

Kedua-dua penulis ini telah “dihukum" oleh fatwa, yang, pada pandangan peribadi saya, agak keterlaluan oleh pemimpin Iran, dan para ulamak Bangladesh sendiri dalam kes Taslima Nasrin sebagai murtad dan “kufur" yang seharusnya menerima hukuman mati.

Malah dalam demonstrasi besar-besaran yang di lakukan di dalam dunia Islam, ramai pula yang tercedera dan mati kerana bertempur dengan pasukan keselamatan, yang saya rasa amat tidak wajar sekali di alami ketika para penunjuk perasaan diledak oleh emosi dan sentimen yang hebat itu.

Memang kedua-dua penulis ini nampaknya menggunakan pemikiran yang agak liberal dalam pentafsiran mereka, tetapi reaksi terhadap penulisan itu seharusnya boleh diberikan dalam bentuk yang lebih berhikmah dan hujah yang membina serta berilmu.

Bagaimana pun kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran ini haruslah juga mendapat pertimbangan sewajarnya darpada penulis Islam sendiri, agar tidak menjadi keterlaluan dan kelihatan amat menyentuh dasar-dasar yang fundamental dalam Islam.

Masyarakat Islam di Malaysia sendiri pernah dikejutkan oleh penulisan dan komen serta sokongan terhadap perbuatan sumbang yang terang-terangan bertentangan dengan ajaran agama kita, tetapi masyarakat kita di negara ini nampaknya lebih rasional dan berhikmah dalam menghadapi tindakan liar seperti ini, lalu tidaklah timbul sebarang perbuatan ganas atau berdemonstrasi membantah hal itu yang lebih berbentuk emosi dan sebagainya.

Kita juga pada waktu yang terakhir ini dapat melihat banyak sekali lahirnya portal berat sebelah politik, terutamanya politik yang menentang segala agensi, institusi, dan establishments kerajaan semasa, laman-laman web dan ratusan blog di dalam internet, buku-buku yang tertentu, risalah, lukisan kartun dan karikatur dan komen-komen dalam portal media baru, yang dikeluarkan untuk memburuk-burukkan ajaran Islam di samping lawak jenaka yang mempersendakan nilai-nilai ajaran agama.

Mungkin ramai juga yang mengetahui wujudnya filem yang cuba menceritakan secara menyeleweng tentang Nabi Isa AS iaitu tentang kehidupan seks baginda seperti filem The Last Temptation of Christ tidak lama dulu.

Oleh itu, kita di negara ini berasa amat tersinggung dengan tuntutan-tuntutan kebebasan manusia yang melampaui batasan budaya, tatasusila dan ajaran agama sendiri yang cuba diketengahkan di Geneva itu. Islam telah mengehadkan kebebasan ini di dalam berbagai bidang. Makan dan pakailah dengan bebas, tetapi hal ini tertakluk kepada sistem dan peraturan yang tertentu.

Berkahwin dan berketurunan, juga tertakluk kepada ajaran yang tertentu. Demikian juga di dalam perkara-perkara yang lain, termasuk menulis, menyanyi, berlakon, berbicara atau bercakap, maka semuanya tertakluk kepada nilai-nilai yang ditentukan oleh agama.

Bagaimanapun mungkin pihak kerajaan perlu juga melihat dan mengkaji beberapa perkara yang dibangkitkan itu, tetapi sebagai negara yang mempunyai Perlembagaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan negara yang mengakui kedudukan agama, maka segala sesuatu yang bercanggah dengan hal ini yang dikemukakan di atas dasar hak asasi manusia haruslah ditolak dan ditentang dengan bersungguh-sungguh.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM
ialah Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Wilayah Persekutuan.




Kalimah Allah dalam pelbagai tulisan









KENAPA kita larang Kristian gunakan kalimah Allah?

Kita menentang Kristian di Malaysia ini guna kalimah Allah kerana mereka mahu memakainya dalam bentuk uluhiyyah, iaitu dalam bentuk iktiqad atau akidah yang syirik dan kufur! Iaitu mereka mengatakan Allah itu Allah-Hus-Salis, Allah Triniti, Allah Tiga-Dalam-Satu, Allah Bapak, Allah Anak dan Allah Roh Kudus. Mereka telah, sama ada dengan sengaja atau tidak, telah menyalahgunakan kalimah Allah!

Mari kita lihat bagaimana contoh-contoh kalimah Allah yang disalahgunakan untuk membawa maksud yang mensyirikkan, bahawa kalimah Allah itu adalah Allah-Hus-Salis, Allah Triniti - Tuhan Tiga Dalam Satu iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Ruh Kudus.

a) Disebut dalam terjemahan Bible Al Kitab (ms 197 ayat 25-27) “Akulah yang memberi hidup dan membangkitkan orang mati", kata Yesus kepada Marta. “Orang yang percaya kepada Ku akan hidup, walaupun ia sudah mati. Dan orang hidup yang percaya pada Ku, selama-lamanya tidak akan mati. Percayakah engkau akan hal itu. “Tuhan," jawab Marta, “saya percaya Tuhan Anak Allah, Raja Penyelamat yang akan datang ke dunia ini".

b) Disebut alam terjemahan Al Kitab (ms 379 ayat 9) “jika Peti Perjanjian itu dibawa kearah negerinya sendiri, iaitu Bet-Semes, itu bererti bahawa Allah orang Israellah yang telah mendatangkan celaka yang hebat itu kepada kita. Tetapi jika pedati itu tidak menuju ke sana, kita akan tahu bahawa musibah itu bukan dari Allah Israel, melainkan kebetulan saja";

c) Disebut dalam terjemahan Al Kitab (ms 246 ayat 13) “hormatilah Tuhan, Allahmu, dan berbaktilah kepada Dia sahaja, dan bila kamu bersumpah, lakukanlah demi nama Nya saja";

d) Lafaz dalam upacara baptis berbunyi “saya membaptiskan kamu dengan atas nama Allah Bapa, dengan atas nama Allah Putera dan dengan atas nama Allah Ruh Kudus";

e) Risalah menyebut “Rencana Allah Untuk Menyelamatkan Kita Dari Dosa Ialah Dengan Mengutus Anaknya Yang Tunggal";

f) Risalah menyebut “Yesus Adalah Allah Dalam Bentuk Manusia";

g) Risalah bertajuk “Allah Pilih Pemimpin" menceritakan ketuhanan triniti;

h) Risalah bertajuk “Firman Allah Hidup" menceritakan tentang bible;

i) Risalah bertajuk “Jalan Kepada Allah" menceritakan tentang pengutusan Jesus;

j) Nama sebuah gereja iaitu Gereja Katolik Santa Maria Bonda Allah;

k) Nama sebuah gereja iaitu Gereja Kristus Domba Allah;

l) Nama sebuah gereja iaitu Gereja Sidang Jemaat Allah;

m) Nama sebuah gereja iaitu Gereja Allah Itu Kasih;

n) Tajuk lagu Allah Peduli dengan lirik menyebut “Allah mengerti, Allah peduli, Segala persoalan yang kita hadapi, Tak akan pernah dibiarkannya, ku bergumul sendiri, Sebab Allah Yesus ku mengerti" nyanyian Agnes Monica;

o) Tajuk lagu “Harapan Bangsa" dengan lirik menyebut “Bapa engkaulah harapan negara ini, Kaulah satu-satunya harapan di bumi Malaysia, Yesus engkaulah harapan segala bangsa, Nyatakanlah kebenaran mu" nyanyian Jaclyn Victor.

Sedangkan Allah telah berfirman dengan cukup jelas didalam al-Quran:

“Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata ‘Sesungguhnya Allah ialah Isa Al-Masih ibnu Maryam’. Pada Isa Al-Masih sendiri berkata,‘Wahai Bani Israel, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu, bahawa sesiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka Allah pasti mengharamkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka. Sesungguhnya tiada seorang pun penolong bagi kaum yang zalim.

Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata ‘Bahawasanya Allah ialah satu daripada tiga tuhan.’ Padahal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang yang kafir antara mereka akan dikenakan azab yang pedih". Surah Al-Maidah:72-73

Jadi bagi kita umat Islam ini adalah soal akidah! Ini soal keimanan! Ini soal kepercayaan! Ini soal perintah Allah! Atas sebab itulah kita menentang! Itu sebabnya kita melarang! Dan kita tidak akan berkompromi walau sebesar habuk pun dalam isu ini!

Adakah kalimah Allah bukan hak milik mutlak orang Islam!

Memang benar kalimah Allah bukan milik umat Islam. Kalimah Allah bukan milik Nabi Muhammad SAW. Kalimah Allah bukan milik UMNO. Kalimah Allah bukan milik Pas. Kalimah bukan milik Perkasa. Kalimah Allah bukan milik mahkamah!

Jadi siapa pemilik kalimah Allah? Jawapannya mudah. Pemilik kalimah Allah ialah Allah SWT sendiri! Dialah pemilik mutlak kalimah itu. Hanya Dia yang berhak mutlak memberi kebenaran siapa yang boleh menggunakannya. Hanya Dia yang berhak mutlak memberi syarat penggunaannya.

Hanya Dia yang berhak mutlak menentukan cara penggunaaannya. Hanya Dia yang berhak mutlak menentukan diskripsi kalimah itu! Hanya Dia - Allah SWT - pemilik kalimah Allah. Dan Dia telah menegaskannya dengan cukup jelas tanpa sebarang keraguan sedikit pun di dalam al-Quran:

Katakanlah bahawa (kalimah) Allah itu (bermaksud) Maha Esa (Yang Satu); (Dan sifatnya ialah) kepada Allah tempat segala sesuatu bergantung; Dia Allah tidak beranak, atau diperanakkan; Dan tidak ada sesuatu apa pun yang setara atau sekufu dengan Allah!
Al-Ikhlas: 112:1-4

Jadi pemilik mutlak kalimah Allah telah menegaskan bahawa kalau mahu mengguna kalimah Allah persilakan tetapi mesti merujuk kepada empat syarat iaitu Dia hanya Satu; Dia tempat bergantung segala makhluk; Dia tidak ada anak; Dia tidak ada sekutu! Sebaliknya bila Kristian mahu mengguna kalimah Allah ia berubah menjadi bentuk syirik dan kufur seperti berikut:

“Katakanlah bahawa Allah itu TigaDalam-Satu;

“Kami bergantung kepada Jesus (untuk penebus dosa dan lain-lain);

“Bahawa Allah ada anak bernama Jesus;

“Bahawa Roh Suci (malaikat) itu sekutu dan setara dengan Allah";

Maka jelas sejelas-jelasnya bahawa maksud yang dibawa oleh Kristian dalam penggunaan kalimah Allah adalah bercanggah sama sekali dengan maksud yang Pemilik kalimah Allah itu sendiri nyatakan!

Apa pendirian kita?

Pendirian kita umat Islam ialah berpegang semula kepada al-Quran. Dan jelas didalam al-Quran Allah menyebut:

“Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agama mu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sungguh, Al Masih ‘Isa putra Maryam itu adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimah-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari Nya. Maka berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan “(Allah itu) Tiga (triniti)". Berhentilah (dari berkata sedemikian).

Itu lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci dia dari (tohmahan) mempunyai anak. Milik-Nya apa yang ada di langit, dan apa yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah sebagai Pelindung." An-Nisaa’ 4: 171

Tugas dan tanggungjawab kita umat Islam ialah bukan dengan bersekongkol atau bersetuju atau meredai perbuatan mensyirikkan Allah yang boleh membawa kepada kekufuran ini. Jangan kita beria-ia hanya kerana kemaruk sokongan dan undi sampai sanggup menggadai akidah dan keimanan, konon bertaqqiyah untuk mendapatkan kuasa.

Kita bukan syiah yang sanggup dan boleh bertaqqiyyah, walau dalam soal akidah. Kita ahli Sunnah Wal Jamaah patutnya cukup jelas pendirian dan pegangan kita. Tidak perlu kita bersorok-sorok, main aci-aci buka pintu semata-mata kerana gila undi, gila kerusi! Tugas dan tanggungjawab kita pertama ialah dengan mencegah kekufuran, kesyirikan dan kemungkaran besar ini.

Kerja kita ialah memperbetulkan penyalahgunaan kalimah Allah ini. Maknanya kita kena turun padang. Pergi jumpa dengan mereka, terutama penganut Kristian. Malah ini merupakan peluang untuk kita melaksanakan tugas Rasulullah SAW iaitu berdakwah.

Beritahu mereka dengan jelas; kalimah Allah yang kamu gunakan itu sebenarnya dan sepatutnya membawa maksud Allah Tuhan Yang Satu, Allah yang kita bergantung sepenuhnya kepada dia (bukan makhluk atau patung atau haiwan dan lain-lain); bahawa Allah itu tidak ada anak dan tidak ada bapak; dan Allah itu tidak ada yang sama setaraf dan sekufu dengan dia!

Nah, itulah kerja dan tugas kita. Jangan cakap sahaja, keluar dan laksanakannya. Sabda Nabi SAW," baalighul anni walau aayah" - sampaikan daripadaku walau sepotong ayat!

Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita, memelihara keimanan dan akidah kita, dan memberikan kita kekuatan istiqomah mengharungi zaman fitan ini insya-Allah.


© Utusan Melayu (M) Bhd 






Dong Zong, Comango serupa sahaja?

Oleh ZULKIFLI JALIL 
pengarang@utusan.com.my
Orang ramai dan NGO yang berhimpun di hadapan Istana Kehakiman sejak awal pagi mengaminkan doa yang dibaca Presiden PERKID,Ustaz Masridzi Sat selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Majalah Mingguan Herald baru -baru ini - Utusan/Zaki Amiruddin

KALAU tidak silap penulis, sama ada hari ini Rabu 30 Oktober atau esok Khamis 31 Oktober, keputusan sama ada syor tuntutan-tuntutan 'tak masuk akal' Gabungan NGO Hak Asasi Manusia Malaysia (Comango) di Geneva, Switzerland akan diumumkan.

Itu setelah melalui proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di bawah kendalian Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Itu hal Comango yang mahu memperlekehkan Malaysia menerusi peruntukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan. Dan pada masa sama, mencanangkan tohmahan Malaysia terlalu ekstrem dalam melaksanakan lunas Islam.

Dalam negara pun satu hal juga. Kita terpaksa berdepan pula dengan puak cauvinis seperti Dong Zong atau Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia. Terbaharu, puak ini bertelagah pula dengan

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkaitan pengambilalihan tanah milik kerajaan dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Tanah milik kerajaan seluas 0.13 hektar itu yang terletak dalam kawasan sekolah tersebut mahu dibangunkan untuk dibina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur.

Namun, ia mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa kerana tanah berkenaan diguna sebagai gelanggang bola keranjang sekolah itu sejak 1938.

Mungkin ada tolak ansur dalam isu yang dicetuskan oleh Dong Zong ini. Kemungkinan ada 'tolak ansur' dan 'kompromi' di sini. Kita tak tahu sekiranya isu (SJKC) Chin Woo ini berlaku dalam konteks Pulau Pinang sekarang. Siapa antara dua pihak yang akan tunduk?

Dalam konteks Comango, ramai bertanyakan kepada penulis, mengapa kita terlalu 'bagi muka' kepada sebilangan besar NGO yang berada dalam gabungan Comango ini. Kalau dilayari NGO yang menganggotainya, kita pasti terkejut kerana mereka ini turut menerima biaya dan dana daripada kerajaan - sama ada suatu ketika dulu atau pun sekarang.

Di sebalik itu, satu iktibar yang perlu dipelajari di sini. Peranan UMNO dan Pas, dua parti yang mewakili umat Melayu.

Jika Comango dan Dong Zong 'memekak', UMNO dan Pas mesti berani dan bersatu menempelak mereka. Jika pengguna Internet mendurhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja di negara ini, seret mereka untuk didakwa cepat dan berkesan.

Jika ada yang mengkhianati dasar pelajaran negara, UMNO dan Pas mesti berani ke depan dan bertindak bagi pihak orang Melayu dan Bumiputera. Jangan teragak-agak apabila berdepan dengan sebarang pencabulan hak asasi kaum.

Seperti kata pakar perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Dr. Rais Yatim: "Kita mesti hidupkan budaya berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang."

Kita jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.7 juta ahli UMNO untuk menang pilihan raya. Jangan lupa, ahli DAP, Pas, dan PKR tak lebih 600,000 secara purata tapi mereka telah memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya berturut-turut. Bilangan sukarelawan parti, peguam dan profesional mereka lebih daripada yang dimiliki UMNO dan BN, walaupun ahli mereka sedikit, leadership core mereka serba-serbi layak dan berkemampuan. Mereka hormat kepada apa kata akar umbi atau calon boleh menang.

Kita boleh melihat kembali sejarah lain. Napoleon Bonaparte hanya dibantu oleh lima orang penasihat strategik. Riwayatnya menampilkan kejayaan menjadi pemimpin yang masih dihormati pada hari ini sekalipun membawa unsur-unsur diktator. Khalid ibnu Walid hanya merancang melalui syura 7 orang untuk menjadi strategis dan penakluk yang dikagumi.

Comango dan Dong Zong serta lain-lain pencerca cauvinis melemparkan pelbagai fitnah, ugutan dan tuduhan. Tindakan Dong Zong tak akan akur kepada dasar pelajaran negara serta Comango yang mahu menuntut yang bukan-bukan - adalah langkah yang mengkhianati negara.

Kita pasti tidak akan lupa bagaimana pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mendapat tentangan hebat daripada Dong Zong yang sehingga kini masih mempertikaikan usaha murni tersebut dengan dakwaan kononnya akan mengancam kewujudan sekolah aliran serta menghapuskan bahasa Mandarin.

Padahal, setelah dikaji dan diteliti cadangan tersebut, tidak ada sedikit pun cacat-cela yang kononnya memartabatkan bahasa tertentu akan menghakis bahasa-bahasa lain. Malahan, PPPM bertujuan untuk pembangunan negara serta dalam masa sama mampu melahirkan pelajar bersahsiah terpuji serta berkeperibadian tinggi.

Merujuk khusus kepada tindak tanduk Comango, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad baru-baru ini menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pertubuhan itu yang sering membuat tuntutan bercanggah dengan Islam serta kedudukannya sebagai agama Persekutuan. Kata beliau, ini memandangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Comango bukan NGO berasaskan Islam selain tidak berdaftar secara rasmi.

Tuntutan yang dikemukakan Comango sebahagian besarnya menjurus kepada hak kebebasan orientasi seks lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.

"Kami (Pembela) turut mempersoal kenyataan jurucakap Comango, Honey Tan Lay Eand dalam portal propembangkang, The Malaysian Insider pada 17 Oktober lalu yang menafikan tuntutan mereka mengancam Islam dan mempromosi seks songsang.

"Tapi sesiapapun yang merujuk kepada laporan itu akan mengakui beberapa kandungannya mengancam Islam dan umatnya di negara ini.

"Comango juga secara jelas mempersoal perkara berkaitan agama Islam termasuk kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur yang dijadikan isu hak asasi manusia," katanya.

Sebab itu UMNO dan orang Melayu mesti kuat. Kuat dalam erti kata mesti meningkatkan prestasi kita - sama ada parti dan orang Melayu sendiri dalam bidang ilmu supaya setanding dengan kaum Cina.
Generasi baru tidak harus idealis tak tentu haluan.


© Utusan Melayu (M) Bhd 



Proton paling jimat di Australia



PROTON Gen 2 menduduki dua tempat teratas sebagai kereta di bawah AUD$35,000 paling menjimatkan dalam kajian di Australia.

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Syarikat kereta tempatan, Proton telah diiktiraf sebagai jenama kereta paling rendah kos pemilikan di Australia dengan mendominasi kategori di bawah AUD$35,000 (RM104,673) menerusi satu kajian yang dilakukan persatuan automotif di negara itu.

Menurut kajian yang dilakukan oleh National Roads and Motorists Association (NRMA) yang berpangkalan di New South Wales, mereka telah meletakkan enam model Proton di kedudukan 10 terbaik mengatasi beberapa jenama terkenal yang lain.

Kajian kos pemilikan berkenaan dilakukan dengan mengambil kira kos penggunaan kenderaan dengan jarak purata 15,000 kilometer setahun untuk tempoh selama lima tahun.

Keputusan kajian 2013 yang dikeluarkan NRMA itu cukup membanggakan kerana Proton Gen 2 GX (manual) berada di tempat pertama dan Gen 2 GXR (manual) di tangga kedua. Ia diikuti Proton Persona Elegance (manual) di tangga ketiga dan model Gen 2 GX automatik berada di tempat keempat.

Ia mengatasi model popular lain seperti Hyundai Elantra Kia Cerato dan Suzuki SX4 yang turut tercalon dalam senarai 10 kenderaan terbaik.

Elantra Active (manual) hanya menduduki tangga kelima, kemudian diikuti sebuah lagi Persona Elegance versi automatik di tangga keenam, Gen 2 GXR automatik (ketujuh), manakala Kia Cerato S hatchback manual (kelapan),Cerato S sedan (kesembilan) dan Suzuki Sx4 Crossover manual di tangga kesepuluh.

Ini merupakan kejayaan dua tahun berturut-turut Proton mendapat pengiktirafan daripada persatuan berkenaan.

Kajian yang dilakukan oleh NRMA melibatkan kos pemilikan 1,800 kenderaan yang dibahagikan kepada 22 kelas bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan untuk membeli kenderaan baharu.

Penentuan kos dibuat berdasarkan beberapa kriteria iaitu kos asal (harga tawaran penjual), kos tetap (insurans, pendaftaran dan keahlian NRMA) dan kos berubah (minyak dan penyelenggaraan).

Penilaian lain turut melibatkan pembebasan gas rumah hijau, ANCAP dan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC).

Kadar penggunaan minyak dikira berdasarkan Australian Design Rule ADR82/01 menerusi kepelbagaian corak pemanduan manakala purata harga minyak setiap kilometer

Berdasarkan laman sesawang Proton Australia, kedua-dua model berkenaan menggunakan enjin 1.6L Campro IAFM, 4-Cylinder, DOHC 16V MPI.





KERJA SIAPA YANG MUDAH NAK JADI KAYA

Minyak masak kitar semula
Oleh NORAZLINA ISMAIL pengarang@utusan.com.my
Nadzim Johan

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.

Perkara itu didedahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sekali gus mendesak kerajaan memandangkan serius isu terbabit kerana boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Malah, menurut beliau, aktiviti kutipan, penghasilan dan jualan minyak masak terpakai telah lama berlaku di negara ini serta merupakan satu industri yang besar.

Lebih mengejutkan lagi, sebahagian besar minyak masak dikitar semula itu dijual dalam bentuk paket. Mereka (pengusaha) membeli minyak masak terpakai di restoran makanan segera untuk dikitar semula dan kemudiannya dicampur dengan minyak baharu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal selidik yang dijalankan aktivis PPIM melibatkan kira-kira 70 buah restoran dan gerai makan di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur mendapati kebanyakan peniaga menggunakan minyak masak kitar semula.

“Minyak masak yang dipaketkan itu bukan daripada jenama terkenal dan ramai peniaga yang tidak sedar mereka menggunakan minyak masak kitar semula," katanya.

Menurut Nadzim, status halal minyak masak itu juga meragukan kerana mungkin diambil daripada restoran bukan Islam.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kesihatan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu bekerjasama membanteras aktiviti tersebut.

“Selain menipu pengguna, pengusaha terlibat turut mengeksport minyak masak itu dengan mendakwa produk tersebut adalah halal," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Kris Biofuels Sdn. Bhd., Ja’afar Abdullah memberitahu, aktiviti kutipan dan jualan minyak masak terpakai melanggar undang-undang dan peraturan MPOB.

Katanya, lesen yang dikeluarkan MPOB dengan jelas menyatakan penggunaan minyak masak kitar semula hanya bagi tujuan menghasilkan produk biofuel.

“Isu ini wajar ditangani segera kerana dari segi kesihatan minyak masak ini jika digunakan semula sebanyak tiga kali akan menghasilkan komponen radikal bebas yang boleh mengakibatkan kanser dan kerosakan hati," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMEN : MEMANG HARAM BETULLAH...HARAM%@#$

Tuesday 29 October 2013

Sumbangan Syed Mokhtar Bukhary!!








1.Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari telah membina Yayasan al-Bukhary yang ditubuhkan pada Mac 1996 untuk membantu golongan miskin, khususnya dalam bidang pendidikan.


2.AlBukhary International University adalah university bagi orang Islam sahaja yang berpusat dikedah iaitu 100% penajaan biasiswa kepada semua pelajar yang belajar disitu. Bermakna yuran belajar semua pelajar adalah dibawah tanggungan Tan Sri Syed Al Bukhary.
3.Hingga kini, Yayasan al-Bukhary telah membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan.



4.Yayasan ini bukan sahaja menghulurkan bantuan kepada pendudud negara ini, malah juga negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).



5.Antara projek besar yang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary bernilai RM400 juta di Kedah. Kompleks itu memainkan peranan sebagai pusat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.



6.Yayasan ini juga membangunkan Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Bangunan empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam.



7.Yayasan al-Bukhary juga membina 16 buah masjid di serata negara.



8.Terdahulu pada tahun 2000, Yayasan Al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia.



9.Pada November 2007 pula, Yayasan Albukhary telah menaja lebih 30 pelajar ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.



10.Yayasan Al-Bukhary pernah terlibat dalam menyumbang RM3 juta kepada Tabung Kemanusiaan Lebanon bagi membantu meringankan penderitaan rakyat negara itu yang menjadi mangsa kekejaman Israel.



11.Derma dan sumbangan sebenarnya tak boleh ditunjuk tunjuk dan wajib dilakukan secara rahsia? Jawapan anda salah. Kerana Nabi Muhammad anjur dan menyuruh kita untuk tunjuk kepada orang tentang kebaikkan yang kita lakukan kerana ini akan mendorong yang lain untuk turut sama melakukannya. 



Bukti hadis keutamaan menunjuk kebaikkan:
“Barangsiapa yang mengajak (seseorang) kepada petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun.”(HR. Muslim)



Anda seorang Melayu yang miskin dan mempunyai kehidupan yang sangat susah serta daif tetapi ada semangat belajar yang tinggi? Sila apply di Universiti percuma sepenuhnya tajaan Syed Mokhtar Bukharu. Yuran percuma, makan percuma, buku percuma, hostel percuma, duit belanja percuma. Sila apply di:

http://www.aiu.edu.my/

p/s:ini baru sahaja jasanya yang kita ketahui, yang tidak diketahui pula bagaimana? Selama ini kita tidak kenal siapa dia ini kerana dia tidak suka setiap jasanya diwar-warkan dimedia. hanya Allah tahu kenapa dia diberi rezeki yang besar lebih dari mana mana Muslim yang ada di Malaysia ini. Kita beriman terhadap ketetapan Qada dan QadarNya. Dengan 1 share di profile anda, anda telah berjaya membantu membersihkan segala tohaman,hinaan terhadap Syed Mokhtar Bukhari ini. Jasa anda click share itu amat bermakna bagi semua Muslim di Malaysia.


Thursday 24 October 2013

Kemiskinan sudah berubah, elok takrifannya diteliti semula








"JANGAN cakap pasal kebaikan beli insurans perubatan dan kesihatan untuk anak-anaklah pada saya. Memanglah insurans ini bagus untuk masa depan dan kecemasan, masalahnya wang untuk belanja makan dan sekolah anak-anak pun saya perit hendak keluarkan setiap bulan," kata seorang lelaki apabila disapa oleh seorang penjual insurans di sebuah restoran di ibu kota baru-baru ini.

Saya yang duduk meja yang berjauhan daripada lelaki yang bertali leher itu pun boleh mendengar rungutan panjangnya di depan kawan-kawannya setelah penjual insurans berkenaan berlalu dengan senyum yang kelat. Kata lelaki itu, jangan ingat gaji RM5,000 atau RM6,000 sebulan di Kuala Lumpur ini sudah cukup senang. Duit keluar macam air, kena bayar macam-macam dengan pendapatan yang telah dipotong dengan cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berapalah yang tinggal untuk dia dan keluarganya, inikan pula mahu beli insurans.

Dengan nada bergurau, katanya, dia nampak saja memakai tali leher ke pejabat tetapi sebenarnya hidup susah dan boleh dimasukkan dalam kategori kemiskinan bandar, sambil disambut gelak ketawa oleh rakan-rakannya. Tambahnya, mereka yang berpendapatan bawah RM3,000, sekurang-kurangnya boleh dapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk mengurangkan bebanan hidup selain boleh memohon macam-macam bantuan, tetapi golongan pertengahan sepertinya, susah pun tanggung sendirilah atau 'mengadu' pada bank.

Sememangnya, rungutan seperti ini biasa didengar di mana-mana terutamanya yang tinggal di bandar-bandar. Pendapatan yang mencecah RM6,000 sebulan pun bukan dikira selesa untuk tinggal di bandar. Inikan pula bagi yang berpendapatan di bawah jumlah itu. Semua perlu membayar ansuran bulanan rumah, kenderaan, duit petrol, duit persekolahan anak-anak, makan dan lain-lain keperluan asas.

Bagi yang menyewa rumah di bandar, sewa untuk pangsapuri yang sempit pun sekurang-kurangnya RM700 sebulan dan sekarang ini membawa wang RM50 untuk membeli keperluan dapur di pasar raya, pun tidak memerlukan troli, guna bakul atau pegang sahaja barang-barang itu.

Bukan banyak pun barang yang dapat dibeli dengan jumlah tersebut. Sebabnya, harga barang-barang keperluan selalunya naik dari semasa ke semasa.Tak dibenarkan naik pun, akhirnya naik juga dengan alasan kos pengangkutan, operasi dan lain-lain, mana ada harga barangan yang turun.

Dengan kos sara hidup yang tinggi di bandar, maka sebenarnya tidak banyak bezanya kesusahan dan keperitan yang perlu ditanggung oleh golongan pertengahan dengan yang berpendapatan rendah.

Adakalanya golongan yang berpendapatan rendah yang tidak mempunyai kenderaan dan menaiki kenderaan awam ke mana-mana, lebih boleh menarik nafas lega berbanding golongan pertengahan yang terpaksa membayar ansuran kenderaan dan mengisi petrol setiap bulan, bahkan kena memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan setiap tahun.

Sekiranya dikaitkan golongan pertengahan ini dengan kemiskinan, mungkin ada kebenarannya juga. Sememangnya, takrifan kemiskinan tidak dapat dinyatakan secara tepat dan mutlak kerana ia bersifat subjektif mengikut keadaan dan tempat.

Bagaimanapun secara umumnya, kemiskinan biasanya dikaitkan dengan pendapatan yang sedikit dan ketidakmampuan ketua keluarga dan isi rumah untuk memenuhi keperluan harian. Dan sekiranya golongan pertengahan ini mengalami keadaan yang sama seperti yang ditakrifkan, maka boleh jadilah juga mereka miskin.

Mengambil kira kepada realiti semasa ini, sewajarnya takrif kemiskinan di negara ini juga disemak semula agar ia benar-benar mencerminkan suasana semasa. Garis kemiskinan kebangsaan ketika ini adalah berdasarkan pendapatan bulanan minimum isi rumah sebanyak RM760 di Semenanjung Malaysia, RM1,050 di Sabah dan RM910 di Sarawak.

Maka satu garis panduan kemiskinan yang lebih realistik perlu diwujudkan supaya kerajaan boleh menggubal dasar-dasar serta program -program yang lebih berkesan dalam menangani masalah berkaitan kemiskinan daripada pelbagai peringkat masyarakat.

Justeru, sudah semestinya, Bajet 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini, adalah juga ditunggu-tunggu oleh golongan pertengahan ini.

Sebabnya, mereka ingin tahu apa langkah-langkah yang boleh mengurangkan kos sara hidup mereka. Golongan ini sepatutnya tidak diabaikan kerana mereka ini ramai dan pembayar cukai yang tinggi. Dan, ketika negara mahu mengejar status rakyat berpendapatan tinggi, tentunya status itu tidak memberi sebarang makna sekiranya kuasa beli mereka rendah akibat terpaksa menanggung kos kehidupan yang tinggi. Itu belum masuk bab-bab kualiti hidup mereka lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131023/re_03/Kemiskinan-sudah-berubah-elok-takrifannya-diteliti-semula#ixzz2ibnJaaxh © Utusan Melayu (M) Bhd 





Apa tersirat dalam pemilihan UMNO?

DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris).




Pemilihan UMNO sudah berlalu, tidak ada sebarang kejutan besar sebenarnya berlaku. Tidak banyak perubahan kelihatan dan tidak ada kumpulan baharu maju ke hadapan bagi mewujudkan gelombang besar-besaran. Semua yang berlaku menepati ramalan dalaman tetapi mungkin tidak pula memenuhi hasrat masyarakat majoriti senyap yang berada di luar UMNO yang telah memberikan undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sebelum ini.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa sebanyak 57 bahagian sudah bertukar kepimpinan dan ia sudah cukup besar impaknya. Bagaimanapun, kita perlu juga lihat bakinya daripada 191 bahagian atau hampir 70 peratus lagi masih berada di takuk lama. Ia menghantar dengan jelas isyarat bahawa walaupun 100 peratus percaya perlu melaksanakan perubahan tetapi ia hanya mampu diterjemahkan kepada 30 peratus sahaja yang menyambutnya.

Kita bukan mahu menidakkan sumbangan orang lama atau mahu menukar semua mereka tetapi hasil daripada prestasi pilihan raya yang baru lalu sudah jelas menunjukkan bahawa perlu berlaku gelombang perubahan secara besar-besaran. Yang dikatakan besar mestilah melebihi daripada angka 50 peratus baharulah benar-benar mendatangkan impak kepada struktur yang ada sekarang.

Para cerdik pandai dan pengundi di luar banyak yang berharap orang muda seperti Mukhriz Mahathir diberikan peranan lebih penting sesuai dengan ketokohan yang sudah beliau buktikan. Nampaknya, masih wujud amalan berpuak dan berpasukan dalam kepimpinan tertinggi parti. Kalau sudah duduk dalam pasukan, meskipun tidak menyumbang masih lagi boleh terselamat sehingga ketaksuban begini kelak nescaya akan membawa padah.

Tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh media selama ini bahawa pemilihan kali ini akan membawa satu transformasi besar daripada akar umbi. Nampaknya akar umbi jenis bagaimana masih tinggal lagi yang masih memilih kumpulan-kumpulan yang gagal menepati aspirasi rakyat terkini?

Hasrat melihat kumpulan cendekiawan dan profesional diberikan peluang yang lebih besar nampaknya masih jauh sekali daripada tercapai. Orang politik termasuk yang sudah habis tempoh dan kitar semula masih memonopoli dengan pelbagai strategi demi kepentingan peribadi dan bukan sebenarnya berhasrat menyumbang untuk masa depan parti dan negara yang sudah pun diketahui secara nyata sedang di ambang kejatuhan.

Memanglah orang lama pandai bermain politik sehingga mencapai hasrat mengepalai cawangan, bahagian, negeri dan seterusnya di pusat. Tetapi, pernahkah mereka terfikir bahawa dengan strategi yang mereka atur untuk menang dalam pemilihan itu sebenarnya akan menjerat agama, bangsa dan tanah air mereka sendiri ke dalam jurang kemusnahan.

Pernahkah mereka terfikir bahawa diri sendiri perlu berkorban, bukan selamanya cuma sekali ini dalam seumur hidup membawa perubahan dan memberikan peluang kepada orang lain memimpin parti. Malah kalau boleh carilah pengganti yang benar-benar boleh membawa sokongan dan keyakinan masyarakat untuk kembali menyokong UMNO.

Mungkin kita popular dalam parti tetapi popularkah kita kepada masyarakat setempat terutama di kawasan yang sudah dikuasai pembangkang atau di kawasan yang menang tipis sekadar terselamat atas rasa simpati. Ini yang paling penting diberikan perhatian, kerana UMNO tidak akan ke mana sekiranya rakyat yang di luar parti tidak lagi mahu menyokong mereka.

Jangan tidak percaya bahawa sekadar jumlah ahli 3.4 juta orang itu tidak akan membawa ke mana kalau dibandingkan undi sebenar yang diperolehi oleh UMNO dalam PRU-13. Fakta menunjukkan bahawa sebanyak 5.3 juta pengundi telah mengundi BN dengan ini ternyata bahawa hampir separuh daripada orang yang menyokong kerajaan sekarang berada di luar parti UMNO.

Tidak ada sebarang kepastian, bancian ataupun sebarang kajian siapakah mereka ini dan apakah yang mereka rasakan dan apakah pula yang mereka hasratkan bagi meneruskan sokongan kepada UMNO dalam pilihan raya akan datang. Apakah mereka ini tidak penting ataupun mereka ini bukan akar umbi dan juga bukan penyokong setia?

Malahan dalam kehebohan memilih, calon yang dipilih juga banyak yang tidak popular dalam kalangan masyarakat setempat. Ramai juga daripada mereka yang tinggal di bandar jauh daripada akar umbi yang diwakili dan tidak berpeluang mendekati masyarakat dan mengenali hati budi mereka.

Dalam keriuhan meraikan kejayaan, adakah pihak yang mahu bermuhasabah memikirkan sebenarnya kejayaan para perwakilan dan ketua yang dilantik ini apakah mampu mencorak senario politik baharu negara menjelang PRU-14. Bolehkah para pemimpin yang dipilih dan dilantik ini menyelami hati dan perasaan rakyat yang masih berduka malah ada pula yang terluka akibat silap percaturan sewaktu kerajaan melaksanakan pelbagai pembaharuan dan membuat lantikan yang tidak popular.

Pemilihan sudah selesai, tetapi parut luka dan dendam mungkin bukan semakin sembuh malah ada potensi semakin mendalam antara sesama ahli. Sudah terdengar ada yang merajuk, sudah ada pula yang mula mewujudkan kelompok. Ia bukan semakin merapatkan barisan tetapi nampaknya semakin merenggang dan meluaskan jurang. Di dalam dan di luar nampaknya musuh sudah memukul gendang perang, terpulang sama ada iramanya sampai kepada pemimpin terkanan atau hanya tersekat di telinga yang pura-pura tuli.

Slogan transformasi nampaknya bukanlah sesuatu yang benar-benar dihayati. Para pemimpin yang sudah diberikan isyarat tidak dikehendaki lagi masih bermati-matian mempertahankan diri dengan pelbagai cara termasuk menggunakan media. Sebenarnya, bukan media yang akan menentukan kedudukan anda di masa hadapan. Undi rakyatlah yang kelak mengekal atau menjatuhkan kita. Jatuh kita seorang diri tidak mengapa tetapi kejatuhan kita turut menarik ranap agama, bangsa dan negara tidak akan dapat diampunkan sampai bila-bila.

Kita perlu faham bahawa diri sendiri tidak berhak memberi nilai dan justifikasi kepada prestasi tetapi rakyat merupakan hakim terhadap kemampuan hakiki. Orang memberi kita merasa orang berbudi kita berbahasa. Malangnya, makin banyak rakyat memberi makin bongkak pula tuan punya diri sehingga tenggelam dalam ketaksuban dan kehebatan diri yang dicanang oleh pembodek di keliling tembok peribadi.

Sebagai pemimpin, kita patut tahu dan sedar bila masanya untuk mengundur diri demi kepentingan umum dan demi kepentingan parti. Jangan sampai dijatuhkan baharulah kita sedar diri dan ketika itu kita langsung tidak lagi dihargai malah akan menjadi orang yang dibenci. Sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang sanggup melepaskan jawatan ketika masih berada di puncak kerana sedar ada orang lain yang lebih layak meneruskan perjuangan parti.

Pemilihan bukanlah agenda peribadi atau parti tetapi adalah sebuah manifestasi jati diri dan semangat untuk mempertahankan pertiwi. Kali inilah sebenarnya yang patut menjadi medan terbaik membuktikan kepada pengundi dan rakyat jelata UMNO sudah berubah. Semuanya dinyatakan dengan tepat secara total dan boleh dilihat dengan jelas dan tidak sekadar retorik.

Tolonglah hentikan berbahasa basi dan saling menyedapkan hati dan perasaan sendiri. Percayalah dengan penuh yakin kita boleh kecundang sekiranya masih lagu lama yang di dendang. Pasukan simpanan, undi simpanan atau apa sahaja yang bersifat simpanan termasuk sokongan simpanan sebenarnya sudah habis digunakan pada pilihan raya yang lalu.

Apa yang tinggal kini adalah meraih kembali, menambah apa yang sudah terlebih guna, memulih yang sudah rosak binasa. Kalau masih begini caranya kita tidak akan ke mana. Yang rosak semakin rosak, yang terlebih guna tidak dapat dikembalikan lagi.

Orang Islam dan Melayu sayang kepada UMNO maka orang UMNO sayangi dan kasihilah orang Islam dan Melayu semua. Berikan perhatian sama rata dan bukan hanya pada diri sendiri dan orang dalam parti semata-mata. Cuba-cubalah keluar daripada kepompong politik untuk mendapatkan pandangan luas yang lebih nyata dan terang serta bercahaya. Percayalah ia sangat menyihatkan dan sungguh berguna buat agama, bangsa dan negara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131023/re_01/Apa-tersirat-dalam-pemilihan-UMNO#ixzz2ibj0rHRu 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

Wednesday 23 October 2013

Comango tak hormati Islam


  

Oleh HUSSAINI AMRAN 
hussaini.amran@utusan.com.my





Azril Mohd. Amin (duduk, paling kiri), Nasharudin Mat Isa (duduk, paling kanan) bersama wakil Yayasan Cordoba, Dr. Abbas Urwah (duduk, dua dari kiri) dan delegasi MuslimUPro di Geneva, Switzerland, semalam.

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggap tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ketua Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) ke Geneva, Switzerland, Azril Mohd. Amin berkata, tindakan Comango itu sengaja menimbulkan kekeliruan seolah-olah Malaysia adalah sebuah negara sekular yang meletakkan semua agama sama rata.

Menurut beliau, perbuatan itu bertujuan meletakkan apa sahaja dasar dan undang-undang yang digubal kerajaan atau majlis-majlis agama Islam negeri di bawah seliaan serta pemerhatian Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

"Kerajaan perlu menjelaskan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB bahawa sekalipun rakyat di negara ini terdiri daripada penganut pelbagai agama dengan 60 peratus daripadanya umat Islam, Malaysia berkewajipan untuk memelihara agama Islam setiap masa.

"Kealpaan perwakilan negara untuk memberikan perhatian utama kepada kewajipan memelihara agama Islam dalam perundingan antarabangsa boleh mengakibatkan Malaysia dihalang (estopped) pada masa akan datang daripada bersandarkan kepada hujah kedaulatan Islam,'' katanya dalam memorandum MuslimUPro yang disiarkan menerusi blog http://azrilmohdamin.com hari ini.

Delegasi MuslimUPro kini berada di Geneva untuk memantau tuntutan yang dibuat Comango termasuk dalam isu proses semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia yang memasuki pusingan kedua melalui Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 24 Oktober ini.

Antara tuntutan yang dikemukakan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.
Comango turut mempersoalkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, larangan terhadap penganut ajaran Syiah dan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur.

Gabungan itu turut menuntut undang-undang jenayah syariah dihapuskan, memberi persepsi negatif terhadap tindakan penguatkuasaan oleh jabatan agama Islam negeri dan usaha berdakwah kepada masyarakat Orang Asli serta mendesak kerajaan menarik balik pengharaman buku terjemahan Allah, Kebebasan dan Cinta, karya Irshad Manji.

Azril menambah, tuntutan-tuntutan Comango itu jelas mendedahkan agenda mengganggu-gugat kedudukan Islam di Malaysia dan perlu ditolak oleh kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa yang menyertai delegasi itu berkata, kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditemui MuslimUPro di Geneva sedar tentang percubaan untuk menggugat kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"NGO-NGO yang kami temui turut dimaklumkan tentang usaha untuk mengheret Malaysia ke dalam kancah hak asasi manusia yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai budaya setempat," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, delegasi MuslimUPro dijadualkan bertemu perwakilan yang terlibat dalam proses UPR esok.

ArtikelPenuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131023/dn_09/Comango-tak hormati-Islam#ixzz2iVr6Q5ZF © Utusan Melayu (M) Bhd