FIZIKAL Luis Suarez yang semakin baik menjadikan dia musuh utama Azzurri dalam pertembungan maut Kumpulan D, pagi esok.
BINTANG tengah Uruguay, Alvaro Recoba memberi amaran kepada Itali bahawa mereka bukan pasukan individu dan perlawanan pagi esok merupakan pertembungan ‘maut’ Piala Dunia.
Pasukan yang kalah dalam aksi terakhir Kumpulan D di Estadio das Dunas bakal menempah tiket penerbangan pulang, manakala seri menghantar Uruguay pulang awal.
“Ini adalah pertembungan maut, perkara buruk boleh berlaku kepada salah satu pasukan.
“Luis Suarez adalah pemain yang menakjubkan dan seorang peledak berbisa. Dia mampu membawa perubahan kepada pasukan.
“Namun Uruguay memiliki banyak kualiti, kami ada senjata lain seperti (Edinson) Cavani. Kemenangan ke atas England juga telah menukar pemikirkan setiap pemain," ujar Recoba.
Pada sidang akhbar pra-perlawanan, Suarez mengumumkan bahawa lututnya dalam keadaan ‘sempurna’ dan dia bersedia mempamer aksi lebih cemerlang berbanding ketika menewaskan England.
“Saya tidak cergas 100 peratus dalam perlawanan dengan England.
“Kecederaan lutut membataskan pergerakan, namun sekarang ia semakin bagus dan saya sudah sedia memberi aksi lebih baik," ujar bintang Liverpool itu, yang meledak dua gol ketika menundukkan Three Lions.
Pada ketika Costa Rica menjadi pasukan pertama Kumpulan D mengesahkan tiket ke pusingan kedua, Itali dan Uruguay perlu menumbangkan satu sama lain untuk mencari slot kedua.
Pengendali Itali, Cesare Prandelli mencongak untuk menggunakan pendekatan berbeza apabila berdepan Uruguay berbanding ketika mereka tewas 0-1 kepada Costa Rica.
“Perlawanan ini hanya ada satu penamat, mara atau tersingkir, jadi saya mahu melihat Itali tampil dengan pendekatan berbeza," kata Prandelli.
Kelainan yang ingin ditampilkan Prandelli adalah dengan memberi penekanan kepada larian pantas, selain mengarahkan pemain memecut ke dalam kawasan penalti bagi melakukan percubaan.
Prandelli dijangka melakukan perubahan pemain serta formasi dengan mungkin menggandingkan Ciro Immobile bersama Balotelli di jentera serangan.
Immobile yang telah menjaringkan 22 gol dalam Serie A untuk Torino hanya sempat beraksi selama 17 minit bersama Itali ketika menewaskan England 2-1.
Pemain tengah, Daniel De Rossi diketepikan akibat kecederaan dan Prandelli mungkin menggunakan tiga pertahanan iaitu Giorgio Chiellini, Leonardo Bonucci dan Andrea Barzagli.
Pemain tengah Paris Saint-Germain, Marco Verratti akan kembali beraksi dan sayap kiri, Mattia De Sciglio juga bersedia untuk diturunkan.
“Itali tidak akan meletakkan 10 pemain di benteng, itu bukan cara mereka. Gaya permainan ini sesuai dengan kami kerana Suarez dan Cavani amat bahaya jika diberi ruang. Kami akan bermain dengan cara serang balas.
“Kekalahan Itali kepada Costa Rica mengejutkan kami.
“Lebih baik jika Itali menang pada perlawanan itu kerana keputusan seri sudah cukup untuk kedua-dua pasukan," kata pertahanan Uruguay, Martin Caceres.
Balotelli, yang meledak gol kemenangan Azzurri ketika menumpaskan England turun bersama azam untuk menebus kekecewaan gagal membolosi gawang Costa Rica dalam aksi terakhir.
Bintang tengah veteran, Andrea Pirlo pula sekali lagi bakal bertindak sebagai perencana gerakan Itali dan membawa impian besar enggan membiarkan pasukannya tersingkir awal dalam penampilan terakhir di Piala Dunia.
No comments:
Post a Comment