Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my
SELAYANG - Majlis meraikan PDRM muncul juara Liga Perdana dan kembalinya mereka ke Liga Super musim depan terencat malam tadi apabila mereka tumpas mengejut 3-2 kepada Kedah dalam perlawanan terakhir musim ini di Stadium Selayang.
Kekalahan kedua mereka bagi musim ini itu juga merosakkan majlis perpisahan buat Dollah Salleh yang dijangka mengambil alih tugas jurulatih Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Selaku juara, PDRM meraih RM300,000 dan hadiah disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku penaung Persatuan Bola Sepak PDRM.
Kejayaan itu jelas membanggakan Ahmad Zahid yang menganggap kejayaan menjulang trofi Liga Perdana sebagai medan penebus maruah PDRM yang sebelum ini dipandang sepi dalam kancah bola sepak tempatan.
"Syabas diucapkan kepada semua pemain dan pegawai PDRM terutama jurulatih, Dollah Salleh dan kemenangan ini adalah medan terbaik menebus maruah pasukan ini yang tidak pernah diperolehi," katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Sebelum babak pertama berakhir, skuad Lang Merah mendahului 1-0 hasil jaringan Mohd. Syazwan Zainon yang menewaskan penjaga gol, Helmi Eliza dari jarak dekat.
Separuh masa kedua memperlihatkan Kedah semakin garang apabila memperoleh dua jaringan dalam tempoh tiga minit.
Pemain import dari Korea Selatan, Nam Kung Woong yang berjaya melepasi kawalan pertahanan PDRM sebelum melepaskan rembatan leret bagi gol kedua pada minit ke-56.
Tidak sempat The Cops mahu bernafas, Billy Mehmet menghukum kealpaan pertahanan PDRM pada minit ke-58 apabila dia yang tidak dikawal memperdayakan Helmi bagi mengukuhkan kedudukan pelawat.
PDRM mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila merapatkan jurang melalui gol Ashfaq Ali pada minit ke-60 dan Mohd. Fauzi Majid, minit ke-78 namun sudah terlewat menghalang kemenangan Kedah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140625/su_03/Kedah-rosak-majlis-PDRM-Dollah#ixzz35cFI7GEY © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment