Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday, 26 June 2014

WORLD CUP 2014 - Jepun dileburkan pemain gantian


DUA pemain Jepun, Yoshito Okubo (kiri) dan Keisuke Honda kelihatan begitu kecewa setelah mereka tersingkir daripada Piala Dunia setelah kalah 4-1 kepada Colombia di Cuiaba semalam. - REUTERS

CUIABA - Bagi Jepun, Piala Dunia kali ini menjadi igauan ngeri yang kembali menghantui mereka selepas kalah 4-1 kepada Colombia semalam.

Juan Cuadrado, James Martinez dan Jackson Martinez (dua) menja­ringkan gol buat Colombia dengan Shinji Okazaki menjadi penjaring tunggal buat Jepun.

Perlawanan itu turut menyaksikan penjaga gol simpanan Colombia, Faryd Mondragon mencipta sejarah menjadi pemain tertua beraksi dalam Piala Dunia pada usia 43 tahun dan tiga hari.

Penampilan Mondragon mengatasi legenda Cameroon, Roger Milla yang bermain dalam Piala Dunia pada usia 42 tahun dan 39 hari.

Juara Asia, Jepun, menguasai perlawanan dengan serangan berbahaya bertubi-tubi dalam setiap perlawanannya tetapi hanya mendapat hasil yang tidak setimpal.

Dalam setiap perlawanan, pemain handalan lawan mereka muncul sebagai pemain gantian pada babak kedua - dan Jepun layu di bawah tekanan.

Dalam perlawanan sulung Jepun, Didier Drogba dari Ivory Coast menjadi musuh. Semalam giliran perancang Colombia, James Rodriguez.

Penyerang, Yoichiro Kiyotake, selepas perlawanan yang mengakhiri perjalanan Jepun di Piala Dunia semalam berkata: "Momentum itu beranjak (kepada pihak lawan)."

Igauan ngeri kedua yang Jepun hadapi semula semalam ialah penyudahan mereka yang teruk.

Kekurangan naluri pemusnah membelenggu mereka dalam kekalahan 2-1 kepada Ivory Coast, sekali lagi ketika seri 0-0 dengan Greece dan akhirnya semalam ketika mereka kalah 4-1 kepada Colombia walaupun Jepun menguasai perlawanan untuk tempoh yang panjang.

Bagi kebanyakan perlawanan itu, Jepun tampak telah menemui semula bakat menyerangnya yang menghiburkan, menentang Colombia yang sudah pun layak ke peringkat kalah mati dan memilih untuk merehatkan pemain tonggak.

Pasukan Asia itu lebih baik dalam babak pertama dan mencipta peluang - tetapi tidak mampu mengubahnya menjadi gol.

Itu mendedahkan Jepun kepada serang balas Colombia, yang pertama mendorong penalti pada minit ke-17.

Jepun mengakhiri kemarau jaringannya apabila Okazaki menanduk masuk hantaran lintangan cantik Keisuke Honda dalam masa kecederaan babak pertama, mencetuskan semula harapan bahawa Piala Dunia belum berakhir buat mereka.

Dengan Greece mendahului 1-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C, Jepun hanya perlu menjaringkan gol semula untuk berkemungkinan masuk ke peringkat kalah mati.

Rodriguez dengan cepat menamatkan harapan itu.

Sebagai pemain gantian pada babak kedua, Rodriguez menjana tenaga kepada rakan sepasukannya dengan gabungan karisma dan gerak kaki mempesona.

Menggelecek ke kotak penalti Jepun, dia mengumpan bola tepat kepada Jackson Martinez yang dengan tenang menolak masuk pada minit ke-55 untuk menjadikan kedudukan 2-1.

"Mereka menyudahkan peluang mereka. Kami tidak menyudahkan milik kami," kata Honda.

Honda menjelajah ke seluruh padang untuk merancang serangan Jepun dan membayangi Shinji Kagawa, yang kembali ke barisan utama selepas disisihkan dalam perlawanan menentang Greece lalu.

Honda hampir menjaringkan gol pada minit ke-33 menerusi sepakan bebas yang sedikit tersasar.

Sementara itu sepakan penalti pada masa kecederaan oleh Georgios Samaras memastikan Greece mara ke pusingan kedua manakala pemain Ivory Coast remuk hati setelah tewas 2-1.

Greece mendahului 1-0 menerusi gol Andreas Samaris tetapi pasukan dari Afrika itu kelihatan mampu layak apabila menyamakan kedudukan menerusi jaringan Wilfried Bony pada minit ke-74. - AGENSI




No comments: