MEMPHIS Depay meraikan jaringan kedua Belanda ketika menewaskan Chile 2-0 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Itaquerao, Sao Paulo, pagi ini. - Agensi
Walaupun turun tanpa bintang penyerang dan kapten, Robin van Persie, Belanda masih mampu menampilkan aksi cemerlang ketika menundukkan Chile 2-0 untuk menutup kempen Kumpulan B selaku juara, pagi ini.
Keputusan itu juga mengelakkan Oranje daripada bertemu Brazil di pusingan kedua selepas tuan rumah muncul juara Kumpulan A dengan membenam Cameroon 4-1.
Dua pemain gantian, Leroy Fer dan Memphis Depay menjadi watak penting Belanda apabila meledak gol kemenangan mereka di Sao Paulo.
Fer menanduk jaringan pembukaan Oranje pada minit ke-77 hanya selepas 90 saat dibawa masuk menggantikan Wesley Sneijder.
Depay, yang menggantikan Jeremain Lens pada minit ke-69 mengesahkan kemenangan 2-0 ketika permainan memasuki waktu kecederaan.
Belanda dan Chile sudah mengesahkan tiket pusingan kedua lebih awal selepas menewaskan Australia dan Sepanyol, justeru aksi pagi ini cuma pertarungan untuk mengelak bertemu Brazil.
“Detik terbaik dalam hidup saya? Ini adalah salah satu daripadanya.
“Gol yang bagus dan penting. Ia jaringan pertama saya bersama Belanda dan dilakukan di Piala Dunia," kata Fer.
Belanda yang akan bertemu Mexico pada pusingan kedua mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan, sekali gus menonjolkan diri sebagai calon juara.
Malah, naib juara Piala Dunia 2010 itu turut meledak 10 gol dalam laluan menjuarai Kumpulan B, termasuk membelasah Sepanyol 5-1.
Peluang skuad Oranje hadir pada babak pertama dengan Arjen Robben melakukan larian pantas dari bahagian tengah menewaskan beberapa pemain Chile sebelum rembatannya tersasar dari gawang.
Stefan de Vrij hampir meletakkan Belanda di hadapan ketika dia berjaya menanduk sepakan percuma Robben tetapi tandukan itu juga sedikit tersasar.
Robben, antara penjaring terbanyak kejohanan hampir menambah koleksi jaringan, namun rembatan rendah selepas larian pantas yang dilakukan diselamatkan penjaga gol Chile, Claudio Bravo.
Depay memastikan kemenangan bergaya Belanda selepas menolak sepakan penjuru Robben pada masa kecederaan.
Jurulatih Belanda, Louis van Gaal berkata, dia menggunakan pendekatan terbaik untuk menghadapi corak permainan pasukan Amerika Selatan.
“Nasib baik, ia (strategi) menjadi. Fer boleh melakukan rembatan dari jarak jauh dan menyusup masuk di bahagian serangan.
“Selepas melakukan analisis ke atas Chile, mereka memberi ruang yang banyak dalam tempoh 15 minit terakhir, jadi jika peluang itu diisi dengan pemain kreatif, anda berpeluang mencipta gol," kata Van Gaal.
Jurulatih Chile, Jorge Sampaoli berkata, pasukannya bermain secara menyerang tetapi Van Gaal bermain secara negatif.
No comments:
Post a Comment