PERTAHANAN Costa Rica, Michael Umana (kiri) dan penyerang, Marco Urena berebut bola sewaktu mereka menjalani latihan di Santos semalam.- AFP
RECIFE - Selepas menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan pertama, Costa Rica bersama barisan serangannya bersedia untuk melakarkan satu lagi kejutan dalam Piala Dunia apabila menentang Itali (pada Sabtu ini waktu Malaysia).
Pasukan dari Amerika Tengah itu awalnya diramalkan akan menjadi pasukan belasahan dalam Kumpulan D tetapi berjaya mengejutkan Uruguay 3-1 pada perlawanan pembukaan.
Di Fortaleza, mereka menunjukkan kekentalan di bahagian pertahanan dan memberi tumpuan kepada kelajuan untuk menyerang balas sekali gus memberikan imej baharu kepada pasukan Costa Rica yang sebelum ini hanya bersandarkan kepada kebolehan sebilangan individu sahaja.
"Kami berjaya membangunkan pasukan kebangsaan sama seperti Itali pada 2006, sebuah pasukan dengan corak permainan bertahan dan memiliki jentera serangan yang hebat.
"Apabila kami mendapat bola, kami akan lakukan serang balas pantas. Kami tidak mahu bercakap panjang, ia seperti pukulan maut," kata pemain tengah, Celso Borges kepada Reuters.
Dengan kehadiran Joel Campbell yang menjaringkan gol pembukaan menentang Uruguay, mereka juga memiliki pemain berkualiti yang mampu mewujudkan peluang-peluang berbahaya.
Juara Dunia 1934, 1938, 1982 dan 2006 itu mempamerkan kesabaran menerusi permainan terancang ketika menundukkan England 2-1 dalam cuaca berbahang di Manaus.
Pasukan Cesare Prandelli memiliki tradisi mencipta kemenangan dan tidak akan melakukan serangan dengan cara sama tetapi lebih tertumpu kepada permainan taktikal seperti Uruguay.
Dalam pertemuan menentang England, Andrea Pirlo sekali lagi menunjukkan dia merupakan pemain tengah terbaik pada usia tua dengan mengetepikan cabaran-cabaran pemain muda Roy Hodgson manakala Mario Balotelli memiliki kebolehan untuk mencipta gol.
Kemenangan Costa Rica ke atas Uruguay juga telah melenyapkan elemen kejutan dan sekali gus meletakkan Itali dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelakkan diri daripada menerima nasib sama.
"Pertemuan menentang Costa Rica merupakan sesuatu yang bahaya kerana kami bermain pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan dan pasti ia sesuatu yang sukar.
"Adakah kami boleh menewaskan Costa Rica? Ia tidak seperti Piala Dunia seperti dahulu, seperti Italia 90 ketika perlawanan berkesudahan 8-0. Pasukan mereka lebih terancang, memiliki pemain yang kuat dan awak tidak boleh berfikir Itali akan tewaskan Costa Rica kerana kami dipanggil Itali," kata pemain tengah, Daniele De Rossi.
Itali berharap penjaga gol, Ginaluigi Buffon yang mengalami kecederaan buku lali dan pertahanan Mattia De Sciglio (kecederaan betis) akan pulih segera daripada kecederaan selepas kedua-dua pemain itu terlepas aksi kemenangan Itali ke atas England. - REUTERS
No comments:
Post a Comment