sukan@utusan.com.my
Pemain JDT, Luciano Gabriel Figuera (tengah), menanduk bola ke gawang gol pasukan Kelantan dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU - Kejuaraan Liga Super semakin hampir dalam genggaman Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas selesa mengalahkan Kelantan 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Beraksi di hadapan kira-kira 30,000 penyokong tuan rumah, Harimau Selatan beraksi cemerlang dengan jaringan oleh Amirulhadi Zainal (minit ke-26) pada separuh masa pertama diikuti dua lagi jaringan, Nazrin Nawi (minit ke-53), dan Luciano Figueroa(minit ke-88) pada babak kedua.
Tiga mata yang dipungut JDT meletakkan mereka selesa di tangga teratas dengan 41 mata meninggalkan Selangor dengan kelebihan empat mata yang hanya akan beraksi pada malam ini berdepan Sarawak di Stadium Shah Alam.
Perlawanan separuh masa pertama bermula dengan rancak apabila kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pertama sebelum Kelantan mendapat peluang pertama pada minit ke-5 menerusi percubaan Francis Forkey Doe namun tersasar.
Figueroa berpeluang meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan empat minit kemudian, namun tandukannya berjaya ditepis penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat.
JDT meneruskan asakan bertubi-tubi dalam memburu jaringan awal sebelum Amirulhadi berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-26 selepas menyempurnakan hantaran daripada Safiq Rahim.
Situasi kelam kabut di hadapan pintu gol pelawat membuka ruang kepada Nazrin yang menjadikan kedudukan 2-0 buat tuan rumah pada minit ke-53 setelah Khairul Fahmi gagal menampan kemas percubaan Figueroa.
Figueroa mengesahkan kemenangan mutlak buat Harimau Selatan pada minit ke-88 selepas menyempurnakan hantaran Nazrin yang gagal dikekang oleh pertahanan Kelantan, dan mereka kini hanya memerlukan kemenangan ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching Selasa ini bagi mengesahkan kejuaraan Liga Super.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, hasrat Terengganu untuk mengakhiri badi tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut tidak kesampaian apabila hanya mampu seri 1-1 ketika melayan kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
No comments:
Post a Comment