Mathieu Debuchy (kiri) bergaya untuk seorang peminat ketika diminta bergambar sebelum menyertai sidang akhbar di Ribeirao Preto semalam. - AFP
RIO DE JANEIRO - Perancis mahu meneruskan permulaan bertenaga mereka dalam aksi Kumpulan E, esok pada pertemuan dengan Ecuador selepas hanya memerlukan satu lagi mata bagi menjamin kedudukan mereka untuk muncul sebagai pendahulu kumpulan, dan sekali gus memadamkan kempen memalukan Les Blues, empat tahun lalu di Afrika Selatan.
Bagaimanapun, Ecuador yang kini berada di tangga kedua kumpulan dilihat terdesak untuk membuat kejutan dengan merakam kemenangan ke atas bekas juara dunia itu sekiranya mereka mahu ke pusingan kedua.
Ecuador mengatasi Switzerland yang hanya ketinggalan dari segi perbezaan gol, tetapi dilihat memiliki kelebihan kerana akan bertemu Honduras.
Perancis mendahului Kumpuan E dengan enam mata diikuti Ecuador, dan Switzerland yang mengumpul tiga mata, manakala Honduras masih belum mengutip mata selepas kalah dua perlawanan sebelum ini.
Pemain pertahanan, Mathieu Debuchy berkata, kemenangan atau seri amat penting buat Perancis kerana mereka dapat mengelak pertemuan dengan Argentina pada pusingan seterusnya.
"Kami masih belum lagi memikirkan tentang pusingan berikutnya, namun jika boleh mengelak pertemuan dengan Argentina dengan muncul sebagai pendahulu kumpulan, ia akan menjadi perkara yang baik," kata pemain berusia 28 tahun itu.
Katanya, skuad bimbingan Didier Deschamps itu mempunyai masa yang menggembirakan pada pertandingan tersebut, namun mereka tidak terlalu yakin.
"Kami memberi fokus penuh terhadap Ecuador. Kami berbincang bersama-sama, dan sebagai sebuah kumpulan, kami telahpun melihat terdapat banyak kejutan pada kejohanan ini," tambah Debuchy.
Pengendali Ecuador, Reinaldo Rueda dijangka membariskan pasukan sama yang menewaskan Honduras 2-1, sekali gus menghidupkan peluang mara ke peringkat 16 akhir selepas kalah kepada Switzerland dalam perlawanan pembukaan kumpulan.
Rueda pada masa sama percaya, Honduras mampu membuat kejutan dengan menumpaskan Switzerland yang terikat dari segi pungutan mata dengan Ecuador.
"Honduras merupakan sebuah pasukan yang penuh dengan karakter, dan memiliki pemain berpengalaman. Saya pasti mereka akan berjuang habis-habisan.
"Marilah berharap mereka mampu mengutip mata menentang Switzerland kerana ia agak penting bagi kami asalkan kami mendapat keputusan yang baik sewaktu bertemu Perancis," katanya. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140625/sl_02/Perancis-sasar-rekod-bersih#ixzz35cB65NSm © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment