SAO PAULO - Pengurus pasukan England, Roy Hodgson berkata, beliau tidak berniat untuk meletakkan jawatan, walaupun pasukannya mempamerkan prestasi terburuk dalam sejarah 56 tahun penyertaan Three Lions pada Piala Dunia.
Namun, kegagalan Hogdson itu telah mendorong Persatuan Bola Sepak (FA) England menimbangkan semula kedudukan pengurus tersebut ekoran kekalahan 1-2 skuad bimbingannya kepada Uruguay.
"Sudah tentu saya berasa amat kecewa, tetapi saya tidak pula berasakan yang saya perlu meletakkan jawatan, tidak sama sekali. Sekiranya FA memikirkan bahawa saya bukanlah orang yang tepat untuk melakukan tugas itu," kata Hodgson, 66, kepada stesen televisyen Britain, ITV, semalam.
Hodgson berkata, gol kemenangan yang dijaringkan Luis Suarez yang merupakan gol kedua penyerang itu pada perlawanan tersebut, merupakan satu tamparan hebat buat England, selepas Three Lions berjaya menyamakan kedudukan menerusi Wayne Rooney.
"Kami percaya bahawa kami telah memberikan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang sewajarnya pada perlawanan itu. Setelah bekerja keras untuk kembali bangkit menyamakan kedudukan menjadi 1-1, saya yakin yang kami mampu mencatat kemenangan atau pun seri.
"Namun, apabila kami bolos buat kali kedua, kami benar-benar berasa terkejut, dan ia sama sekali di luar jangkaan kami. Saya tidak tahu untuk berkata apa pada kali ini. Kami sebenarnya berasa amat kecewa, segala perancangan kami musnah sama sekali," kata Hodgson.
Jelas Hodgson, dia berasa benar-benar terkejut dengan cara Uruguay melakar kemenangan, yang mana gol tersebut dihasilkan luar daripada jangkaan anak-anak buahnya apabila lawan berjaya melepasi benteng pertahanan, sebelum Suarez menyempurnakan jaringannya. - AFP
No comments:
Post a Comment