Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 19 June 2014

Saman fitnah: Malaysiakini, dua editor kanan diarah fail pernyataan pembelaan pada 1 Julai ini


KUALA LUMPUR 18 Jun - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan pengendali portal Malaysiakini dan dua editor kanannya memfailkan pernyataan pembelaan pada 1 Julai ini berhubung kes saman fitnah terhadap mereka yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh.

Timbalan Pendaftar, Norfauzani Mohd. Nordin turut memerintahkan Najib dan UMNO memfailkan pernyataan balas pada 15 Julai ini.

Beliau turut menetapkan 24 Julai ini untuk pengurusan kes.

Hadir pada pengurusan kes hari ini ialah peguam Wan Azmi Wan Najib bagi pihak plaintif, manakala kesemua defendan diwakili peguam Ashok Kandiah.

Pada 30 Mei lalu, Najib dan Ab. Rauf memfailkan saman tersebut dengan menamakan syarikat pemilik dan penerbit laman portal tersebut, Mkini Dotcom Sdn. Bhd.; Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan Ketua Pengarangnya, Fathi Aris Omar masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Najib selaku plaintif kedua memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi manakala Ab. Rauf sebagai plaintif pertama bertindak bagi pihak UMNO.

Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk A case of the PM reaping what he sows’ dan ‘How much will Najib spend to keep Terengganu? di bawah ruangan Yoursay di laman portal berkenaan, www.malaysiakini.com pada 14 Mei lalu.

Dalam ruangan itu, pihak defendan sendiri atau ejen atau pembantu mereka telah mengumpul komen-komen daripada pelanggan atau pengguna laman portal itu dan kemudian menggabungkan komen-komen yang terpilih sebagai satu artikel, yang secara jelas telah memfitnah pihak plaintif dan diterbitkan semula di laman portal tersebut.

Pihak plaintif mendakwa, artikel-artikel tersebut adalah komen-komen yang diberikan tanpa sebarang asas dan tanpa mempedulikan kebenarannya, hanya tuduhan melulu yang berniat jahat (mala fide) yang sangat serius kerana menyebabkan ketegangan antara rakyat dengan mereka berdua.

Pihak defendan juga dengan sengaja didakwa membenarkan penerbitan artikel-artikel itu bertujuan menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap plaintif pertama selaku sebuah parti politik dan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) serta plaintif kedua selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri, bagi meneruskan dan mementingkan agenda tersendiri pihak defendan tanpa menghiraukan sensitiviti isu-isu yang dibangkitkan.

Akibat daripada penerbitan tersebut, pihak plaintif mendakwa, reputasi mereka telah terjejas dengan teruk apabila dikecam terutama di media sosial dan media massa.

Penerbitan artikel itu, kata mereka, turut menyebabkan kredibiliti pihak plaintif dipersoalkan oleh banyak pihak sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa kerana isu skandal rasuah dan perkauman secara amnya mendapat perhatian umum.

Najib dan UMNO kemudian telah menghantar surat tuntutan pada 15 Mei lalu supaya pihak defendan antara lain membuat permohonan maaf tidak bersyarat dan menarik balik artikel-artikel itu serta menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan kenyataan serupa.

Bagaimanapun pihak defendan melalui surat balasannya pada keesokan harinya menjawab dengan menggunakan pembelaan komen yang wajar untuk kepentingan awam selain menawarkan peluang kepada pihak plaintif menjawab artikel-artikel itu tanpa memenuhi tuntutan asal pihak plaintif.

Sehubungan itu, pihak plaintif melalui surat bertarikh 28 Mei lalu telah menolak tawaran tersebut atas alasan pihak defendan tidak menyangkal sama sekali tuduhan-tuduhan tidak berasas dan kata-kata fitnah tersebut.

Pihak defendan sebaliknya telah menerbitkan satu lagi artikel bertajuk Najib threatens to sue Mkini over readers’ comments bertarikh 16 Mei lalu yang turut memuatkan komen daripada defendan kedua dan pada 17 Mei pula, mereka sekali lagi mengumpulkan komen-komen pengguna atau pelanggan mereka dan dijadikan artikel bertajuk Najib’s legal action aims to silence Malaysiakini.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang pihak defendan, pembantu atau ejen mereka daripada berbicara lebih lanjut atau menerbitkan atau menyebabkan penerbitan artikel-artikel itu atau seakan-akan dengannya.

Di samping itu, pihak plaintif menuntut defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di surat khabar atau majalah yang akan ditentukan oleh plaintif, dalam bentuk serta istilah yang akan ditetapkan oleh pihak plaintif.

Sementara itu, Ashok ketika ditemui memberitahu, beliau akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam sama ada akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut atau memohon sekuriti kos.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140619/ma_01/Saman-fitnah-Malaysiakini-dua-editor-kanan-diarah-fail-pernyataan-pembelaan-pada-1-Julai-ini#ixzz352o42NjV  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: