Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 28 October 2011

Dinosaur Spielberg di layar kaca


DARI KOSMO ONLINE
28/10/2011

KOS Terra Nova yang mencecah RM219 juta mencipta sejarah sebagai produksi drama termahal pernah dihasilkan dalam industri televisyen global.

SELEPAS mengejutkan pawagam seluruh dunia dengan filem pecah panggung tentang dinosaur, Jurassic Park pada tahun 1993, sebelum disusuli sekuelnya, The Lost World: Jurassic Park (1997) dan Jurassic Park III, penerbit dan pengarah tersohor Hollywood, Steven Spielberg kini kembali muncul dengan produksi dinosaur.

Dikenali dengan judul Terra Nova, naskhah kali ini dihasilkan khusus untuk tayangan di layar kaca.

Jika untuk Jurassic Park dan The Lost World: Jurassic Park, Spielberg bertindak sebagai pengarah, namun untuk Terra Nova seperti mana juga untuk Jurassic Park III, dia kini lebih selesa bertindak sebagai penerbit bersama.

"Mencipta sejarah drama bersiri termahal pernah dihasilkan dalam industri TV global, kos keseluruhan Terra Nova yang merupakan produksi eksklusif Fox International Channels mencecah AS$70 juta (RM219 juta) dengan episod pertama sahaja menelan kos sebanyak RM63 juta!," ujar pegawai perhubungan media Arc PR selaku wakil Fox International Channels, Benjamin Tok.

Tambahnya, Terra Nova mengisahkan era pada tahun 2149, yang mana planet bumi ketika itu tidak lagi dapat menampung populasi manusia yang berlebihan, tumbuhan yang boleh dijadikan makanan berkurangan selain kualiti udara menjadi semakin buruk menyebabkan kehidupan manusia diancam kepupusan.

"Namun, di Chicago para saintis menemui 'terowong masa' yang membolehkan manusia mengembara 85 juta tahun ke belakang iaitu ke zaman prasejarah bumi yang mana ketika itu dunia dikuasai para dinosaur.

"Jim Shannon, isterinya, Elisabeth dan tiga orang anak mereka, Josh, Maddy, and Zoe menyertai kumpulan pertama manusia yang terpilih untuk memulakan hidup baharu di 'dunia baharu' untuk masa depan manusia yang digelar sebagai Terra Nova itu," katanya.


JASON O'MARA (kanan) dan Stephen Lang merupakan dua teraju utama Terra Nova.

Menampilkan aktor Jason O'Mara untuk karakter Jim Shannon, barisan pelakon Terra Nova diperkuatkan oleh tenaga lakonan Stephen Lang (sebagai Komander Nathanial Taylor), Shelley Conn, Naomi Scott, Alana Mansour, Christine Adams dan Allison Miller.

Ujar Benjamin lagi, apa yang menarik khusus buat penonton di Malaysia, Terra Nova bakal disiarkan dalam dua bahasa audio iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

"Lima pelakon tersohor tanah air turut terpilih bagi meminjam suara untuk versi bahasa Malaysia iaitu Rosyam Noor (untuk karakter Komender Nathanial Tyalor), Aaron Aziz (Jim Shannon), Vanidah Imran (Elisabeth Shannon), Sharifah Amani (Maddy Shannon) dan Zahiril Adzim (Josh Shannon)," katanya.

Drama 13 episod yang sudahpun memulakan tayangannya di Amerika Syarikat pada 26 September lepas itu dan bakal memulakan tayangannya dengan dua episod terus menerus secara eksklusif menerusi Astro serentak di dua saluran iaitu Fox (710) dan Star World (711) pada pukul 8.55 malam menjelang esok, Sabtu, 29 Oktober ini.

Sementara episod baharu pada minggu-mingu seterusnya akan ditayangkan setiap Jumaat pada pukul 8.55 malam hanya di saluran Fox (710).

Perkasa pemangkin perpaduan

DATUK IBRAHIM ALI
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)
DARI UTUSAN MALAYSIA
28/10/2011



Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) lahir untuk memperkasakan Perlembagaan Persekutuan - melindungi Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan Raja-Raja Melayu sebagai simbol bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah penduduk asal Tanah Melayu.

Perkasa juga bangkit untuk mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu, memperkasakan kaum pribumi, serta menyatupadukan bangsa Melayu dan kaum pribumi dengan seluruh rakyat jelata Malaysia yang majmuk.

Hakikat, aspirasi dan cita-cita ini adalah dalil bahawa Perkasa wujud untuk mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan negara, keunggulan Perlembagaan Persekutuan, di samping menjamin perpaduan rakyat, keselamatan masyarakat serta kelangsungan Malaysia.

Ringkasnya, Perkasa berjuang untuk memastikan negara dan seluruh bangsa di Malaysia bebas daripada sebarang ancaman.

Ini juga bermakna Perkasa bukannya pertubuhan yang terlalu obsessed atau terlalu menumpukan matlamat dan cita-cita perjuangannya hanya kepada soal bangsa Melayu dan Bumiputera sahaja. Perkasa adalah pemangkin perpaduan bangsa Malaysia seluruhnya.

Hasrat, matlamat dan cita-cita ini juga membuktikan Perkasa bukannya pertubuhan rasis, organisasi Melayu ultra atau persatuan perkauman. Perjuangan Perkasa adalah selaras dengan falsafah Rukun Negara dan menepati Konsep 1Malaysia.

Oleh sebab itu, biarpun aktiviti dan program Perkasa selama ini tidak pernah dibiayai oleh mana-mana dana rasmi, dan walaupun Perkasa bergerak dalam serba kekurangan, kita tetap tidak akan lemah semangat, malahan terus mara dan berjuang secara konsisten.

Hakikat ini penting untuk difahami oleh seluruh rakyat Malaysia serta parti politik aliran perdana dan alternatif. Perkasa tidak lahir untuk mengambil alih atau mengatasi peranan UMNO sebagai tunggak pemerintahan Malaysia. Perkasa juga tidak lahir untuk memusuhi parti-parti pembangkang tanpa sebarang sebab.

Perkasa lahir untuk sama-sama membentengi pemerintahan negara daripada ancaman musuh yang menggugat Perlembagaan Persekutuan, keharmonian agama, perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi, ketenteraman awam, keselamatan negara dan kelangsungan Malaysia.

Perjuangan Perkasa hari ini jadi semakin relevan dengan tuntutan zamannya. Ini kerana sejak awal abad ke-21, Malaysia mula berhadapan dengan berbagai-bagai kerenah yang boleh mengancam keselamatan identiti atau jati diri bangsa Melayu dan Bumiputera serta jati diri lain-lain keturunan. Karenah ini juga boleh mengancam Malaysia sebagai negara majmuk.

Perkasa amat prihatin terhadap perkembangan ini kerana matlamat akhir perjuangan Perkasa adalah untuk memastikan Malaysia selamat dan rakyat Malaysia pula terbebas daripada ganggu-gugat.

Perkasa menitikberatkan hal ini kerana keselamatan adalah hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, atau budaya. Sekali lagi saya ulangi, Perkasa adalah pemangkin perpaduan pelbagai bangsa.

Lantaran itulah Perkasa sentiasa memantau apa jua perkembangan, tindakan dan kenyataan yang menjejaskan kepentingan agama Islam serta bangsa Melayu dan Bumiputera, terutama sekali yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perkasa prihatin dalam konteks ini kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara yang mempunyai tiga komponen penting.

Pertama sekali, Perlembagaan Persekutuan mengandungi komponen kontrak bangsa atau racial contract. Keduanya, Perlembagaan Persekutuan mengandungi komponen susunan nasional atau national order. Ketiganya, Perlembagaan Persekutuan mengandungi komponen prosedur pengurusan negara atau national management procedure.

Ketiga-tiga komponen ini wujud untuk menjamin perpaduan seluruh warganegara Malaysia, keselamatan tanah air, dan kemakmuran negara.

Kontrak bangsa dalam Perlembagaan Persekutuan dimanifestasikan oleh Perkara 3 (Islam sebagai agama Persekutuan), Perkara 14 (kewarganegaraan), Perkara 32 (Yang di-Pertuan Agong), Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan) dan Perkara 153 (keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera).

Seluruh peruntukan ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan oleh kerana adanya permuafakatan, persetujuan dan penerimaan majoriti bangsa Melayu dan Bumiputera, keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya, sewaktu Perlembagaan negara digubal pada tahun 1956.

Pada ketika itu, majoriti bangsa ini diwakili oleh Perikatan - UMNO mewakili majoriti bangsa Melayu dan Bumiputera, MCA mewakili keturunan Cina, dan MIC mewakili keturunan India. Kesemua parti politik ini memberikan persetujuan dan menerima seluruh peruntukan dalam kontrak bangsa ini.

Mereka bersetuju berasaskan dua mandat utama yang diberikan oleh Ratu Inggeris dengan perkenan Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan.

Mandat pertama adalah untuk memberikan perlindungan kepada kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera. Mandat kedua adalah untuk melindungi kepentingan yang sah yang dimiliki oleh lain-lain bangsa yang menjadi warganegara secara jus soli menerusi kemerdekaan Malaysia.

Mandat-mandat ini diberikan pertimbangan serius oleh Suruhanjaya Reid sebab kedua-duanya sudah termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, iaitu perlembagaan Tanah Melayu di ambang kemerdekaan.

Lebih penting lagi, kedua-dua mandat ini bukannya dicipta oleh bangsa Melayu atau diketengahkan oleh keturunan Cina dan India. Menurut rekod di arkib negara, kedua-dua mandat ini dikemukakan oleh Leftenan Duff, seorang pegawai tentera British yang kemudiannya menduduki jawatankuasa yang membentuk Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Kedua-dua mandat ini dirangkumkan ke dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan demi memelihara perpaduan rakyat dan negara Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan sosio-budaya dalam era merdeka.

Oleh itu, janganlah kita asyik curiga bahawa peruntukan-peruntukan strategik mengenai bangsa Melayu dan Bumiputera serta peruntukan-peruntukan strategik mengenai bangsa-bangsa lain di Malaysia di era merdeka ini adalah dibentuk dan digubal atas kehendak bangsa Melayu dan Bumiputera atau sebaliknya.

Dengan itu, marilah kita semua, baik bangsa Melayu dan Bumiputera atau keturunan Cina, India dan lain-lainnya, sama-sama berganding bahu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Para sarjana purba mengenai politik, keselamatan, kenegaraan dan kemasyarakatan menegaskan bahawa permuafakatan, persetujuan dan penerimaan pelbagai kumpulan masyarakat terhadap kepentingan masing-masing dalam usaha membentuk suatu masyarakat atau negara yang baru, adalah dikenali sebagai kontrak sosial.

Oleh sebab itu, persetujuan majoriti bangsa Melayu dan Bumiputera serta keturunan Cina dan India terhadap seluruh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti di atas adalah dikenali sebagai kontrak sosial.

Namun begitu, oleh kerana perkataan sosial dalam konteks Malaysia, lazimnya membawa makna yang kurang serius, inilah sebabnya saya mengistilahkan kontrak sosial ini sebagai Kontrak Bangsa.

Saya memilih istilah ini oleh kerana peruntukan-peruntukan di dalam kontrak bangsa inilah yang membolehkan 1.9 juta keturunan Cina dan India serta lain-lainnya dijadikan warganegara Malaysia secara jus soli pada 31 Ogos 1957.

Kontrak bangsa inilah juga yang menyebabkan majoriti keturunan Cina, India dan lain-lainnya menerima hakikat bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah penduduk asal di negara ini.

Pada waktu yang sama, kontrak bangsa inilah yang menyebabkan bangsa Melayu dan Bumiputera sedia berkongsi tanah air ini dengan seluruh keturunan Cina, India dan lain-lainnya setelah mereka menjadi warganegara.

Oleh sebab itu, kontrak bangsa ini bukannya diwujudkan untuk menonjolkan ketuanan Melayu. Sebaliknya, ketuanan Melayu telah lebur apabila kontrak bangsa diwujudkan dan Malaysia pula ditransformasikan menjadi sebuah negara majmuk.

Maka, inilah sebabnya kontrak bangsa ini mesti dipelihara pada setiap masa. Sebarang ganggu-gugat terhadapnya pasti menyebabkan ancaman kepada seluruh bangsa.

Contohnya, pada 1964, apabila seluruh peruntukan Perlembagaan di bawah kategori kontrak bangsa ini dipertikaikan oleh pihak-pihak yang memperjuangkan propaganda Malaysian Malaysia, situasi keselamatan di negara kita tergugat, keharmonian seluruh bangsa kita terjejas, dan kelangsungan Malaysia turut terancam.

Lantaran inilah beberapa sarjana sejarah dan keselamatan di Malaysia dan Singapura pernah menegaskan bahawa pada ketika itu, situasi keselamatan di Malaysia Semenanjung dan juga Singapura, sangat-sangat membimbangkan.

Oleh sebab itulah Singapura disingkirkan daripada Malaysia, kerana pemerintah mahu mengelakkan pertumpahan darah yang dijangka meletus di Singapura daripada merebak ke seluruh Malaysia Semenanjung.

Maka, inilah buktinya, apabila kontrak bangsa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan diganggu-gugat pada tahun 1964-1965, pemerintah terpaksa mengorbankan sebuah daripada wilayahnya untuk dipisahkan daripada Malaysia.

Contoh kedua adalah mengenai ancaman kepada kontrak bangsa pada tahun 1969. Apabila beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dirangkumkan dalam kategori kontrak bangsa ini diganggu-gugat, termasuk oleh segolongan parti politik yang mewarisi propaganda Malaysia Malaysia, maka tercetuslah satu konflik kaum yang serius.

Oleh sebab itulah Laporan Rasmi Mageran atau Majlis Gerakan Negara yang diterbitkan pada 9 Oktober 1969, menyatakan bahawa antara punca yang menyemarakkan sentimen perkauman pada ketika itu adalah ganggu-gugat terhadap Perkara 3 mengenai Agama Islam, Perkara 152 mengenai Bahasa Melayu dan Perkara 153 mengenai keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ini, terbuktilah apabila Perkasa bangkit untuk menentang sesiapa sahaja yang mengancam Perlembagaan Persekutuan, niat Perkasa adalah untuk mengelakkan kontrak bangsa ini daripada dijadikan punca menyemarakkan api perkauman yang boleh membakar kita semua, waima bangsa Melayu dan Bumiputera, keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya.

Inilah sebabnya perjuangan Perkasa adalah difokuskan ke arah memangkinkan perpaduan negara. Malangnya, pada hari ini wujud kalangan buta sejarah yang menyatakan bahawa kontrak sosial atau kontrak bangsa tidak pernah wujud di Malaysia.

Pihak yang memutarbelitkan realiti sejarah pula menegaskan, kontrak sosial atau kontrak bangsa ini tidak pernah disebut oleh Suruhanjaya Reid.

Kelompok pak turut atau burung kakak tua pula termakan dengan dakyah kononnya kontrak sosial atau kontrak bangsa ini dicipta oleh UMNO sebagai taktik untuk mendominasikan keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya.

Kepada seluruh golongan ini, perkasa tegaskan bahawa kontrak sosial atau kontrak bangsa wujud di Amerika Syarikat, wujud di Malaysia dan wujud di beberapa negara lain.

Teori dan konsep mengenai kontrak sosial atau kontrak bangsa ini pernah dikemukakan dalam karya sarjana serta ahli falsafah politik dan keselamatan seperti Thomas Hobbes (1588-1679), John Locke (1632-1704), Jean-Jacques Rousseau (1712-1778), John Rawls (1972) serta David Gauthier (1986).

Di Malaysia, konsep ini pernah diperjelaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Oleh sebab itu, kontrak sosial atau kontrak bangsa di Malaysia adalah sesuatu yang benar dan perlu dihargai oleh seluruh bangsa Melayu dan Bumiputera serta keturunan Cina, keturunan India dan lain-lainnya. Kontrak bangsa inilah yang memanifestasikan permuafakatan ke arah cita-cita membina sebuah negara Malaysia yang majmuk secara aman, damai, makmur dan sejahtera.

Rumusannya, seluruh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mencerminkan kewujudan kontrak bangsa ini adalah bertujuan untuk mengelakkan perbalahan kaum di Malaysia di era merdeka.

Komponen susunan nasional dimanifestasikan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 8 (kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan) serta larangan-larangannya, Perkara 11 (kebebasan beragama) serta sekatan-sekatannya, dan Perkara 149 (perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan lain-lainnya, termasuk permusuhan kaum.

Seluruh peruntukan Perlembagaan dalam kategori ini diwujudkan untuk memelihara perpaduan rakyat, ketenteraman awam serta keamanan negara. Jika peruntukan-peruntukan ini dicabar atau diprovokasikan, kesannya adalah kepada seluruh bangsa Malaysia, tanpa mengira agama atau sosio-budaya.

Maka, inilah sebabnya seluruh pemimpin bangsa Melayu dan Bumiputera serta pemimpin keturunan Cina dan India mempersetujui peruntukan-peruntukan ini supaya dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka bersetuju sebab mereka prihatin terhadap perpaduan bangsa, ketenteraman awam dan keselamatan negara Malaysia di era merdeka. Lantaran itulah susunan nasional ini sama pentingnya dengan kontrak bangsa.

Komponen ketiga, dalam Perlembagaan Persekutuan adalah prosedur pengurusan negara yang dimaktubkan untuk meregulasikan sistem pentadbiran negara serta menyelaraskan kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri. Perkara-perkara ini tidak pernah dipertikaikan sebab tidak mengandungi unsur-unsur politik.

Bagaimanapun, prosedur pengurusan negara ini saling kait-mengait dengan kontrak bangsa dan susunan negara. Lantaran itu, ia juga tetap penting untuk dipelihara.

Mat Sabu dibicara 19 Dis.


Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my



BUTTERWORTH 27 Okt. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 19 hingga 23 Disember ini untuk perbicaraan kes terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang didakwa membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajudin menetapkan tarikh tersebut di kamar beliau hari ini dengan kehadiran Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali dan peguam Aminuddin Zulkifli yang mewakili Mohamad.

Tarikh tersebut dipilih selepas Lailawati memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 5 hingga 9 Disember ditukarkan ke tarikh lain kerana pihak pendakwaan perlu menghadiri satu persidangan pada tarikh berkenaan.

Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu dituduh melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Mohamad turut dikenakan tuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, Mohamad dalam ceramahnya itu antara lain menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor ialah wira sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Mohamad menerima kecaman hebat apabila klip rakaman video ceramahnya itu disebarkan menerusi Internet dan mendapat liputan meluas pihak media menyebabkan lebih seribu laporan polis dibuat termasuk oleh tiga ahli keluarga anggota polis yang terkorban iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusof.

KOMEN : PUSINGLAH KALAU BOLEH PUSING DI MAHKAMAH...

Jadikan Malaysia negara contoh


Muhyiddin Yassin dan Zambry Abd. Kadir (kanan) bermesra dengan para penerima bantuan pada perjumpaan khas Timbalan Perdana Menteri dengan guru-guru seluruh Perak di UTP, Seri Iskandar, Parit, semalam.

PARIT 27 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak ilmuan Islam supaya berfikiran global dengan menerokai pelbagai disiplin ilmu dalam usaha mewujudkan negara yang seimbang antara pembangunan duniawi dan ukhrawi sekali gus menjadikan Malaysia contoh kepada dunia Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain penekanan aspek membangunkan modal insan, pembangunan iktisad yang menyentuh aspek kemakmuran ekonomi juga perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan negara terjerumus dalam kancah kemunduran.

Beliau menarik perhatian senario di negara Islam lain yang sudah mula membangun tetapi, terus dihimpit pelbagai krisis serta peperangan sehingga menyebabkan kekayaan khazanah ekonominya tidak dapat dibangunkan demi kepentingan rakyat.

‘‘Dalam perjumpaan begini, saya biasa ditanya kenapa kerajaan terlalu ghairah bercakap soal pembangunan ekonomi tetapi tidak memberi perhatian dalam soal pembangunan sosial, budaya dan agama. Saya kata (pandangan) ini tidak tepat.

‘‘Dalam soal kita membangunkan ummah atau menjadi sebuah negara Islam contoh, selain membangunkan modal insan, pembangunan iktisad juga penting supaya kita dapat membina sebuah negara yang seimbang pembangunannya,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perjumpaan khas dengan guru-guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) seluruh negeri Perak di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyampaikan sumbangan kepada 24 SABK, 32 SAR dan tiga SMKA sekitar negeri ini yang keseluruhannya berjumlah RM15.8 juta.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak wajar mengambil iktibar daripada krisis yang dihadapi negara-negara Islam lain termasuk peperangan selama bertahun-tahun sehingga mengakibatkan kemunduran serta kesengsaraan rakyatnya.

‘‘Sebab itu dalam soal pembangunan, kita perlu mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi dan beban ini bukan sahaja perlu dipikul oleh kerajaan tetapi juga oleh masyarakat,” jelasnya.

Muhyiddin turut menekankan cabaran besar yang bakal dihadapi dalam tempoh 10 tahun ketika kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

Sambil menyifatkan ia sebagai tempoh kritikal, beliau berkata, semua pihak memikul tanggungjawab dalam melahirkan warga masa hadapan yang bukan sahaja maju dalam pelbagai bidang tetapi juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia.

KOMEN : KATA ORANG UNTUK MEMUSNAHKAN SESUATU KEJAYAAN LEBIH MUDAH DARI MAHU MEMBINA SEMULA KEJAYAAN YANG TELAH DIMUSNAHKAN... CONTOH LIHAT AJE NEGARA-NEGARA ISLAM YANG BERTAHUN DIBANGUNKAN TAPI MUSNAH SEKELIP MATA DENGAN HASUTAN MUSUH ISLAM... APA YANG KITA MAHU ITU YANG AKAN KITA DAPAT...

Thursday 27 October 2011

Penuntut UiTM bakal cecah 10,000


Abdul Rahman Arshad menyampaikan diploma kepada graduan sambil disaksikan Dr. Jamil Hamali di Samarahan, Kuching, Sarawak, semalam.

SAMARAHAN 24 Okt. - Seramai 815 graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen UiTM Ke-75 di Dewan Jubli kampus Samarahan di sini bermula hari ini.

Pada majlis yang berlangsung dalam tiga sidang itu, 547 graduan menerima ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing pada sidang pertama dan kedua manakala 268 graduan lagi menerimanya pada sidang ketiga pagi esok.

Ia melibatkan graduan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur serta Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.

Turut terlibat ialah graduan Fakulti Sains Gunaan serta Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Kimia serta Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan.

Turut menerima ijazah dan diploma masing-masing ialah graduan Fakulti Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.

Hadir menyampaikan ijazah dan diploma kepada para graduan ialah Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Abdul Rahman Arshad.

Abdul Rahman Arshad ketika berucap berkata, UiTM bakal berhadapan dengan pertambahan bilangan penuntut yang dijangka mencecah 250,000 orang di seluruh negara menjelang 2015.

"Penuntut UiTM Sarawak pula bakal bertambah sehingga 10,000 orang menerusi tiga kampusnya iaitu di Samarahan, Mukah dan Kampung Pinang.

"Cabarannya di sini adalah bagaimana kita dapat memperkemaskan strategi menghadapi pertambahan ini tanpa mengurangkan kualiti akademik sedia ada," katanya.

Hadir sama Rektor UiTM Sarawak, Prof. Datuk Dr. Jamil Hamali.

KOMEN : TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA...

800 pelajar UiTM terima anugerah Dekan dirai


DARI UTUSAN MALAYSIA
26/10/2011





Dr. Mizan Hitam menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar cemerlang pada Majlis Penganugerahan Dekan anjuran Fakulti Perakaunan UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 25 Okt. - Seramai 800 pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Bandaraya Melaka diraikan pada Majlis Penganugerahan Dekan di sini baru-baru ini.

Pelajar yang diraikan ialah daripada Diploma Pentadbiran Awam, Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan, Sarjana Muda Perniagaan, Sarjana Muda Perakaunan dan juga pelajar di peringkat Sarjana.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Melaka, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam.

Dr. Mizan dalam ucapannya berkata, majlis tersebut dianjurkan bagi mengiktiraf pelajar yang berjaya dari segi pencapaian akademik hingga tamat pengajian di peringkat pengajian kursus masing-masing.

''Mereka ini diiktiraf bagi menghargai usaha tungkus-lumus yang telah mereka lakukan untuk mencapai darjat tertinggi dalam bidang akademik.

''Cukup jelas, pelajar kita memiliki kualiti tersendiri dan amat membanggakan apabila kira-kira 95 peratus daripada graduan mudah dilamar majikan setelah menamatkan pengajian," katanya.

Dr. Mizan juga mahu pelajar membantu pihak universiti untuk terus memainkan peranan penting dalam mengubah destini anak bangsa sebagaimana dilakukan sejak 55 tahun penubuhan UiTM.

Sehubungan itu, beliau meminta pelajar memberikan tumpuan serius terhadap pembangunan modal insan serta mempertahankan jati diri dari aspek pembangunan minda, sahsiah dan juga etika.

Katanya, dengan segala kemudahan yang disediakan termasuk dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ia wajar dihargai dan dikawal agar pelajar tidak leka, alpa dan terpesong daripada perjuangan sebenar.

''Teruskan usaha untuk meningkatkan kualiti agar modal insan UiTM berdaya saing, berintegriti tinggi dan bertanggungjawab sebagai pewaris dan penerus bangsa," katanya.

Tambahnya, graduan juga turut perlu sentiasa berusaha mengharumkan namun universiti itu.


USIM, UiTM juara Debat Piala Perdana Menteri


Hishammuddin Tun Hussein bersama johan Kategori Bahasa Melayu dari Universiti Sains Islam Malaysia pada Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 di UIAM, Gombak, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara kali pertama Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 (PPM) pada pusingan akhir yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

USIM menjuarai Kategori Bahasa Melayu sementara UiTM pula dalam Kategori Bahasa Inggeris.

Pendebat USIM yang terdiri daripada Ummu Umairah Azahari, Mohd. Ikhwan Mohd Rosseli, Mohammad Shah Izad Saleh dan Mohammad Irhamuddin Ibrahim telah berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000, piala dan sijil penyertaan.

Hadiah yang sama turut diterima oleh pendebat UiTM yang diwakili oleh Maizura Mokhsien, Mohd. Airie Rasmond Rahman, Mohd. Syafiq Ahmed Bazari dan Ain Aissa Mohammad.

Manakala naib juara Kategori Bahasa Melayu ialah UiTM dan UIAM bagi Kategori Bahasa Inggeris. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, piala dan sijil penyertaan.

Pertandingan itu juga menyaksikan pendebat USIM serta UiTM, Mohd. Ikhwan dan Mohd. Syafiq dipilih sebagai pendebat terbaik yang melayakkan mereka membawa pulang RM2,000.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua pendebat UiTM, Maizura, 21, berkata, kejayaan yang diperoleh pasukannya adalah disebabkan mereka sering menganggap perdebatan sebagai gaya hidup dan bukannya aktiviti kokurikulum.

"Oleh itu, setiap pertandingan yang kami sertai akan sentiasa ada peningkatan," katanya ketika ditemui selepas majlis itu di sini, hari ini.

Debat PPM yang pertama kali dianjurkan disertai 44 institusi pengajian tinggi. Debat ini berlangsung selama lima hari bermula 20 Oktober lalu.

Sebelum ini, PPM hanya diadakan pada peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sejak 1974. PPM 2011 adalah anjuran MyHarapan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan UIAM.

KOMEN : TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA...

PERKASA BUKAN PERTUALANG

Jangan takut kepada perjuangan Perkasa
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


ENTAH untuk ke berapa kali, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali terpaksa membuat penjelasan mengenai peranan pertubuhan tersebut.

Sebelum ini Ibrahim sudah menjelaskan berkali-kali bahawa Perkasa bukan rasis atau bersikap perkauman, malahan Perkasa bukan wujud untuk memerangi mana-mana kaum.

Dan Perkasa juga tidak 'dilahirkan' bagi menyaingi mana-mana parti politik apatah lagi jauh sekali merebut kuasa politik.

Tetapi Perkasa seperti mana dijelaskan oleh Ibrahim ketika persidangan kedua pertubuhan itu semalam hanya akan bertindak sebagai benteng pertahanan negara daripada ancaman musuh yang cuba menggugat Perlembagaan Persekutuan, keharmonian agama, perpaduan rakyat, kesejahteraan ekonomi, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Perkasa ditubuhkan sebagai sebuah pertubuhan yang menunjangi kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

"Justeru, Perkasa tidak boleh dilihat sebagai sebuah pertubuhan rasis, organisasi Melayu ultra atau persatuan perkauman apabila ia hanya bertindak melindungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera semata-mata," tegas Ibrahim.

Oleh itu, tidak perlu mana-mana lagi pihak cuba mempolitikkan apatah lagi bermain sentimen kononnya Perkasa adalah sebuah pertubuhan rasis.

Jika ada pihak yang membuat tanggapan sedemikian merekalah sebenarnya rasis kerana melihat dan menilai sesuatu itu melalui sudut perkauman.

Kalau mereka melihat Perkasa sebagai sebuah pertubuhan rasis, kenapa tafsiran yang sama tidak dilakukan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu lain yang memperjuangkan hak sesuatu kaum tertentu?

Kenapa perlu ada sikap 'double standard' apabila melihat sesuatu perkara berkaitan orang Melayu adalah rasis?

Justeru Perkasa tidak perlu ditakuti atau diperangi sebaliknya pertubuhan itu harus dibenarkan meneruskan perjuangannya demi mempertahankan apa yang sudah terkandung dalam Perlembagaan.

Ia kerana seperti mana tegas Ibrahim, Perkasa merupakan sebuah pertubuhan yang memangkin perpaduan rakyat di negara ini dan segala yang dilakukan adalah untuk mengelakkan wujudnya ketegangan antara kaum.

"Bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia bersatu padu, mereka mesti terselamat daripada sebarang ancaman dan ganggu-gugat. Jadi, untuk terselamat daripada ancaman dan ganggu-gugat itu, kita semua perlu memelihara serta melindungi keluhuran undang-undang utama iaitu Perlembagaan Persekutuan.

"Itulah yang dilakukan oleh Perkasa selama ini. Perkasa bukan bersifat perkauman tetapi memangkin perpaduan di kalangan rakyat Malaysia," tegas beliau.

Justeru apa lagi jaminan yang dimahukan oleh pihak-pihak tertentu yang terus melihat seolah-olah Perkasa adalah musuh mereka?

Terimalah hakikat dan fakta bahawa Perkasa wujud dengan niat murni bagi membela nasib orang Melayu, bumiputera dan mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Malahan sepanjang kewujudannya Perkasa tidak pernah menyerang mana-mana pertubuhan yang mewakili kaum tertentu sebaliknya tetap menghormati mereka.

Oleh itu, mereka yang terus melihat Perkasa dari sudut negatif sebenarnya mempunyai agenda tersendiri, mungkin juga disebabkan bimbang kerana sudah wujud sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang cukup lantang seperti Perkasa.

Tambahan pula, dari semasa ke semasa, walaupun dikecam dengan pelbagai tuduhan dan menghadapi pelbagai tekanan Perkasa tidak pernah rasa tergugat atau goyah, malahan terus kukuh.

Ia terbukti apabila jumlah keahlian pertubuhan itu kini sudah mencecah 200,000 orang dan kehadiran ke majlis-majlis mereka juga semakin bertambah.

Apa yang menarik, Perkasa bukan sekadar mampu menarik generasi tua malahan juga golongan muda, ini dapat disaksikan ketika persidangan yang berlangsung semalam, apabila 7,000 orang menghadirinya.

Semua ini menjadi bukti bahawa Perkasa kini semakin berpengaruh dan niat murni perjuangannya semakin diterima oleh keseluruhan orang Melayu.

Namun semua itu bukanlah alasan bagi Perkasa untuk berasa angkuh sebaliknya Perkasa terus kekal di landasan perjuangan yang telah ditetapkan.

Bagi Perkasa, keahliannya terbuka kepada semua orang Melayu tidak kira apa pun fahaman politik mereka kerana matlamat pertubuhan itu ialah menyatukan orang Melayu.

Berdasarkan hakikat itu, kewujudan Perkasa tidak harus dicemburui kerana sudah terbukti setakat ini pertubuhan berkenaan telah berjaya menyatukan orang Melayu.

Ini bersesuaian dengan seruan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang mengingatkan orang Melayu supaya kembali bersatu untuk memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

Menurut Abdul Rahim yang menerima anugerah tertinggi Perkasa, penyatuan orang Melayu bukan sahaja menjamin keselamatan negara, malah ia juga akan memberi rahmat kepada kaum lain yang hidup bersama di negara ini.

Berdasarkan semua fakta-fakta ini dan dengan jaminan tegas yang diberikan oleh Ibrahim, kehadiran Perkasa tidak perlu ditakuti atau dianggap 'mimpi ngeri' yang menakutkan.

Mereka yang takut atau memandang serong kepada Perkasa hakikatnya kelompok yang takut kepada bayang-bayang sendiri dan tidak mahu orang Melayu kembali bersatu.

Jika mereka tidak mempunyai niat sedemikian maka berhentilah melihat Perkasa dari sudut negatif kerana setakat ini sudah terbukti kewujudan pertubuhan berkenaan tidak pernah menggugat keselamatan dan keamanan negara.

Ingatlah Perkasa bukan hantu atau jembalang tetapi pejuang.

KOMEN : PUAK-PUAK RASIS NI MANA BOLEH TENGUK ORANG MELAYU/ISLAM BERSATU PADU... WALAUPUN ADA PARTI TU MENGAKU MEMPERJUANGKAN ISLAM... BERDOSA BESAR KALAU MEMBIARKAN ORANG MELAYU/ISLAM BERSATU PADU DALAM PERPADUAN UMMAH BAGI MEMBELA AGAMA, BANGSA DAN NEGARA...

KOH KOK WEE BERSEKOLAH DINEGERI CHINA


BLOG ROSAKKAN UMNO
DARI UTUSAN MALAYSIA
27/10/2011


Akhbar China Press bertarikh 21 Oktober 2011 menyiarkan artikel mengenai blog pro-UMNO yang secara tidak sengaja telah menjatuhkan imej parti terbesar orang Melayu itu.

Artikel tulisan Koh Kok Wee bertajuk ‘Laman blog yang berpihak kepada UMNO tidak bersekolah’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai pada halaman C17.

Dalam melaksanakan strategi serangan politik, memang kita akui akan adanya putar belit fakta, muslihat dan fitnah-memfitnah. Selalunya sengketa ini hanya berkisar pada orang dewasa dan tidak pernah mengheret budak mentah untuk sama-sama masuk ke kancah perbalahan.

Malangnya, apa yang dilakukan oleh blog yang memihak kepada UMNO kali ini sudah tidak mengikut peraturan pertarungan cara pendekar. Mereka telah kaitkan anak lelaki Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melakukan salah laku terhadap seorang pelajar perempuan.

Akhirnya DAP dapat membongkar penipuan itu. Rupa-rupanya gambar pelajar perempuan dalam kes itu ialah pelajar lain yang sedang bermain catur. Ini menyebabkan orang yang menyebarkan fitnah itu terkedu tidak boleh berbuat apa-apa.

Sebenarnya tindakan mempergunakan anak-anak dengan matlamat menyerang ibu bapa, selalunya tidak berhasil. Terdapat kisah pada zaman dahulu di China mengenai perebutan kuasa antara hulubalang Xiangyu dan Liu Bang. Ada seorang penasihat Xiangyu berkata, kami telah tangkap ayah Liu Bang, minta Liu Bang menyerah diri, jika tidak ayahnya akan digulai.

Akhirnya Liu Bang berkata: ‘‘Xiangyu! Kita sejak kecil berkawan baik seperti adik-beradik, ayah saya juga seperti ayah kamu, kenapa kamu hendak gulai ayah kamu sendiri?

‘‘Jika benar-benar mahu gulai ayah, jangan lupa bagi separuh dagingnya kepada saya.’’

Cara Liu Bang itu menyebabkan Xiangyu tidak boleh berbuat apa-apa dan akhirnya nyawa ayahnya dapat selamatkan.

Terdapat satu kisah lain, mengenai Panglima negeri Wee bernama Le Yang yang merancang menyerang negeri Chong Shan.

Kebetulan anaknya berada di negeri Chong Shan. Maharaja Chong Shan telah membunuh anak Le Yang dan gulai dagingnya telah diserahkan kepada panglima itu untuk santapan.

Ini menyebabkan keseluruhan tentera Panglima Le Yang marah dan akhirnya negeri Chong Shan tewas setelah diserang habis-habisan.

Dalam sebarang persengketaan, langkah menyerang keluarga lawan terutama sekali ibu bapa dan anak-anak dengan mengugut mereka atau menjadikan sebagai tebusan, biasanya tiada kesan. Sebaliknya yang rugi, ialah diri kita sendiri.

Kerugian pertama, ia akan meletakkan kedudukan akhlak seseorang itu di tahap paling rendah dan kerugian kedua, ia akan menaikkan semangat juang pihak lawan untuk menentang kita secara habis-habisan.

Nampaknya, blog pro-UMNO tidak membaca sejarah negara China. Mereka ingat jika pergunakan anak seseorang itu untuk digembar-gemburkan, ia berkesan bagi menyerang pihak lawan. Sebaliknya mereka sendiri yang kecundang dan apa yang berlaku ini mirip seperti kisah dalam filem ‘African Monk’. Perlakuan mereka telah menyebabkan UMNO dan BN terkena tempiasnya. Pihak lawan yang akhirnya akan dapat meraih banyak simpati.

KOMEN : APA SUSAH-SUSAH NAK KATA ORANG TAK SEKOLAH SEBAB TIDAK MEMPELAJARI SEJARAH NEGERI CHINA... BUAT AJE LAPORAN POLIS JIKA ARTIKEL TU MEMFITNAH KELUARGA LGE... RAKYAT PUN NAK TAHU CERITA SEBENAR DISEBALIK PUTAR BELIT LGE DAN LKS... KKW INGAT SEMUA ORANG CINA TAHU SEJARAH NEGERI CHINA KE....?

GERAKAN AKAN TERKUBUR KERANA TEKANAN UMNO..

ISU-ISU AKHBAR CINA
KE MANA HALA TUJU GERAKAN?
DARI UTUSAN MALAYSIA
27/10/2011


AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 23 Oktober 2011 menyiarkan artikel mengenai hala tuju Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang kini di bawah pimpinan Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Artikel tulisan pengkritik semasa, Loh Hon Chew bertajuk ‘Ke manakah arah tuju Gerakan’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun, halaman A14.

Pada 5 September 2005, dalam rencana akhbar yang ditulis saya bertajuk ‘Ke mana arah panduan Gerakan’ menyebut, parti itu berpegang kepada slogan untuk mewakili pelbagai kaum.

Slogan itu sebenarnya amat payah untuk dicapai kerana orang Melayu tidak memerlukan Gerakan untuk mewakili mereka kerana sudah mempunyai UMNO dan Pas. Orang Cina pula mempunyai MCA dan DAP manakala orang India pula ada MIC.

Sebenarnya Gerakan tidak dapat mewakili mana-mana kaum disebabkan tiada satu kaum pun yang menganggap parti itu boleh mewakili mereka.

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, saya sekali lagi menulis satu rencana. Dalam rencana itu saya menyebut, Gerakan tidak langsung faham dengan kehendak-kehendak orang Cina. Ketika menteri daripada UMNO mahu menghapuskan sejarah yang menunjukkan orang Cina turut berjasa untuk menentang penjajahan Jepun, Gerakan hanya mengambil sikap berdiam diri.

Tsu Koon juga dilihat bersikap tidak sensitif apabila bersama-sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengangkat dan menghunus keris pada satu perhimpunan pelajar.

Gerakan juga tidak membela kepentingan orang Cina dalam isu Sekolah Wawasan dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Dalam beberapa artikel saya telah menyentuh mengenai sikap Tsu Koon yang begitu lembut dan berkali-kali asyik memberi muka kepada UMNO Pulau Pinang. Ini menyebabkan perjalanan Gerakan semakin pudar dan menghadapi laluan yang getir.

Kini, Gerakan melaungkan mahukan perubahan. Kita tidak tahu bentuk perubahan yang ingin dilakukan kerana parti itu masih belum mengutarakan perkara itu secara jelas.

Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe pula menuding jari kepada Tsu Koon dengan menyifatkan pemimpin itu lembik. Presiden Gerakan itu dituduh menyebabkan parti berkenaan berada dalam kekeliruan. Sepatutnya, Tsu Koon meletak jawatan dan tidak bertanding pada PRU akan datang.

Walaupun serangan itu amat getir, namun Tsu Koon terus kekal sebagai Presiden dan masih berkuasa untuk menentukan masa depan Lian Hoe dalam politik.

Ini menyebabkan Lian Hoe terpaksa berpatah balik dan berbaik-baik dengan Tsu Koon bagi meredakan ketegangan.

Ramai berkata, individu yang bijak melihat keadaan akan kekal dalam politik. Orang yang mahu tegakkan fakta biasanya akan kecundang. Lian Hoe adalah satu contohnya. Beliau perlu menerima hakikat bahawa tidak mungkin Tsu Koon boleh jadi keras dan tegas.

Ini berbeza sekali dengan Presiden Gerakan yang pertama, Tun Dr. Lim Chong Eu yang amat tegas pendiriannya sehingga dapat memastikan wakil parti itu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Orang Cina di Pulau Pinang juga amat menyukai sikap Chong Eu yang berani menentang Presiden UMNO ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Sikap tegas itu menyebabkan UMNO Pulau Pinang tidak berani meminta yang bukan-bukan daripada Chong Eu.

Selain sikap Tsu Koon, kurangnya sokongan orang Cina berpunca kerana parti itu tidak bebas menyatakan pendirian dan menentukan kerusi yang bakal ditandingi.

Penyertaan Gerakan dalam Barisan Nasional (BN) seperti masuk ke dalam penjara. Segala kerusi negeri dan Parlimen ditentukan BN. Kemajuan Gerakan seperti dihadkan oleh BN dan tidak dapat melangkah keluar dari Pulau Pinang.

Selepas Tsu Koon mengambil alih Gerakan, kita dapat melihat beliau bukan seorang pemimpin yang bijak untuk menguruskan parti. Beliau tidak bijak dalam memperkukuhkan penguasaan Gerakan dan di Pulau Pinang pula beliau tidak dapat mempertahankan jawatan-jawatan kaum Cina dalam kerajaan negeri.

Contohnya, apabila menerima tekanan dari pihak UMNO, beliau terpaksa menyusun semula organisasi Jabatan Air Pulau Pinang sehingga mengecewakan orang Cina di negeri itu.

Sikap Tsu Koon yang lemah-lembut dan suka mengambil sikap berdiam diri menyebabkan pemimpin tertinggi Gerakan tidak yakin mereka boleh merampas kembali negeri itu daripada DAP.

Jika situasi ini berterusan, kita bukan lagi bercakap mengenai bagaimana Gerakan dapat terus bergerak ke hadapan, sebaliknya perlu memikirkan berapa lama lagi parti itu boleh bertahan.

KOMEN : DAH SENDIRI YANG TERKENCING DAN TERBERAK MASIH NAK SALAHKAN UMNO... SENANG CERITALAH GERAKAN BOLEH JOIN DENGAN DAP, SEBAB SELAMA INI PUN MEREKA DAH TAK MEMBANTU BN SELEPAS KALAH TERUK DALAM PRU 12 YANG LALU... PERMINTAAN MEREKA YANG BUKAN-BUKAN KEPADA BN USAH DILAYAN... MEREKA SUDAH TIDAK MEDAPAT SOKONGAN DARI KAUM MEREKA SENDIRI...

United bangkit selepas diaibkan


DARI UTUSAN MALAYSIA
27/10/2011





Pemain Manchester United, Dimitar Berbatov (tengah) mudah melepasi halangan pemain Aldershot pada perlawanan Piala Liga di Aldershot, semalam. - AFP

LONDON - Manchester United bangkit selepas diaib oleh pasukan jiran apabila menang 3-0 ke atas kelab bahagian empat, Aldershot dalam Piala Liga manakala Arsenal mengatasi pencabar Liga Perdana, Bolton 2-1 untuk mara ke suku akhir kelmarin.

Dimitar Berbatov, Michael Owen dan Antonio Valencia menjaringkan gol United di Aldershot selepas diketepikan daripada pasukan yang kalah 1-6 kepada Manchester City, Ahad lalu.

"Kadangkala anda memerlukan satu kejutan besar untuk mara semula dan kami bertekad untuk bangkit semula," kata Owen.

Arsenal, yang kalah perlawanan akhir Piala Liga musim lalu kepada Birmingham, pulih daripada ketinggalan satu gol ketika menentang Bolton dengan Andrei Arshavin dan Park Chu-Young menjamin kemaraan pasukan tuan rumah.

Dalam perlawanan lain kelmarin, Cardiff menewaskan Burnley 1-0 manakala pendahulu bahagian dua, Southampton kalah 0-2 kepada Crystal Palace.

United mendapat tonik tepat selepas kekalahan di tempat sendiri terburuk dalam liga sejak 1955 apabila hanya berdepan sedikit bermasalah untuk mengatasi pasukan yang berkedudukan terendah yang tinggal dalam Piala Liga.

Berbatov menyumbat gol pertamanya musim ini selepas 15 minit selepas gerakan satu dua antara Park Ji-sung dan Tom Cleverley pada hujung kotak berakhir dengan penyerang Bulgaria itu menolak masuk ke gawang.

Dia bertukar menjadi pengumpan sejurus sebelum separuh masa, merancang gol ketiga Owen dalam kempen ini.

Rembatan penyerang England itu terus ke tengah yang berjaya menewaskan penjaga gol Ross Worner.

Dan kemenangan itu dipastikan menerusi rembatan deras Valencia tiga minit memasuki babak kedua.

"Kami agak tertekan selepas keputusan pada hujung minggu.

"Kami memiliki reputasi United untuk dipertahankan.

"Kami mahu bangkit dan syukur kami mendapat keputusan itu," kata Owen. - Agensi

3 KEKAYAAN ORANG MELAYU - IDEOLOGI, ILMU PENGETAHUAN DAN EKONOMI

Orang Melayu perlu bersatu semula
ABDUL Rahim Noor (duduk, tengah) dan Ibrahim Ali (tiga, kiri) bersama para pemimpin Perkasa selepas Persidangan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Malaysia) di Kuala Lumpur, semalam. –UTUSAN/MOHD. NOOR AMIN

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor mengingatkan orang Melayu supaya kembali bersatu untuk memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

Katanya, penyatuan orang Melayu bukan sahaja menjamin keselamatan negara, malah ia juga akan memberi rahmat kepada kaum lain yang hidup bersama di negara ini.

“Orang Melayu perlu bersatu seperti mana ketika 1946 dahulu semasa membantah usaha untuk menubuhkan Malayan Union. Malah, kesatuan serta kesepakatan orang Melayu ketika itu juga yang menyebabkan ideologi pengganas komunis gagal meresap di negara ini.

“Ia (bersatu) merupakan asas kepada keamanan yang kita kecapi sepanjang 54 tahun negara merdeka. Kita sebagai rakyat dapat hidup dengan aman walaupun terdapat perbezaan bangsa serta agama, pembangunan negara turut berjalan lancar kerana keamanan ini.

“Jadi bersatulah. Hanya dengan bersatu, keselamatan kita akan terjamin dan negara sentiasa aman makmur,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedua di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Abdul Rahim menekankan perspektif sejarah termasuk susur galur ancaman pengganas komunis sejak zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Menurut Abdul Rahim, sebelum negara merdeka, orang Melayu berada dalam keadaan yang sangat ‘miskin’ dan mudah untuk diresapi dengan ideologi-ideologi negatif seperti fahaman komunis.

Katanya, ketika itu juga muncul gerakan hasil gabungan Parti Komunis Malaya (PKM) dengan golongan nasionalisme berhaluan kiri yang cuba mempengaruhi orang Melayu dalam usaha mereka untuk menubuhkan sebuah negara republik.

“Orang Melayu ketika itu ‘miskin’ dari segi ideologi, ilmu pengetahuan, apatah lagi ekonomi. Bagaimanapun, terdapat tiga perkara orang Melayu sangat ‘kaya’ ketika itu iaitu ketaatan kepada raja-raja, agama dan perpaduan sesama mereka.

“Kekayaan itulah yang menyebabkan puak-puak ini (PKM dan golongan nasionalisme berhaluan kiri) gagal dalam usaha mereka untuk menjadikan Tanah Melayu ketika itu sebagai sebuah negara republik.

“Jadi, dengan pelbagai cabaran yang dihadapi negara pada masa kini, orang Melayu perlu kembali kepada tiga kekayaan tersebut dan bersatulah semula demi masa depan rakyat serta negara,” jelasnya.

KOMEN : BILA LAGI ORANG MELAYU NAK BERSATU... TAKAN BILA KUASA SUDAH TIDAK DITANGAN BARU NAK BERSATU... MASA ITU KAYU SUDAH MENJADI ARANG DAN API YANG KECIL SUDAH MENJADI BESAR... ADAKAH TERJAMIN KEAMANAN DAN KEMAKMURAN YANG DINIKMATI HARI INI AKAN KITA KECAPI BILA KUASA POLITIK ORANG MELAYU HANCUR KERANA ORANG MELAYU ITU SENDIRI MEMILIH UNTUK BERSENGKETA KERANA KUASA DAN MENOLAK UNTUK BERSATU PADU JUGA KERANA KEGILAAN AKAN KUASA... ?

Tuesday 25 October 2011

APA SUSAH SANGAT BUAT REPOT POLIS

Muhyiddin kesal kenyataannya diputar-belit media alternatif
DARI UTUSAN MALAYSIA
25/10/2011


KUALA LUMPUR 24 Okt.- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan beliau berhubung isu dakwaan beberapa blog bahawa anak lelaki Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabul kehormatan seorang gadis berumur 16 tahun, telah diputar-belit oleh beberapa media alternatif.

Muhyiddin berkata, beliau tidak berniat untuk mengheret hal-hal berkaitan keluarga dan anak Guan Eng ke dalam kancah politik sebaliknya hanya menyarankan bahawa pihak berkenaan membuat laporan polis bagi menamatkan segala tohmahan berhubung isu itu.

"Sebenarnya saya tak nak campur dalam urusan seperti itu dan saya sedar banyak penulisan di dalam blog. Untuk heret isu keluarga dan anak dalam kancah politik itu bukan tujuan saya. Tetapi ia sudah diputar-belitkan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Barat) yang bertanya sama ada Timbalan Perdana Menteri bersedia menarik semula kenyataan berhubung isu melibatkan anak Guan Eng itu yang dibuatnya sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri kelmarin menyarankan supaya Guan Eng supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan beberapa pihak terhadap anaknya itu dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Kenyataan Muhyiddin itu kemudian mendapat reaksi daripada pemimpin pembangkang yang menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai mempunyai makna tersirat.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri tidak menerima laporan berhubung kejadian itu daripada sekolah berkenaan sebelum ini memandangkan beliau tidak bertanya kepada sekolah itu mengenai insiden tersebut.

"Saya tahu dalam semua media alternatif banyak (kenyataan) ditokok tambah sehingga dikaitkan dengan hal lain yang tidak ada kena mengena. Saya tidak kata dia (anak Guan Eng) bersalah. Saya tidak ada masalah tetapi masyarakat membuat penilaian lain. Kalau tidak ada, apa yang YB Ipoh Barat bimbangkan," katanya.

KOMEN : KENAPA SEHINGGA HARI INI MAK/BAPAK BUDAK TU TAK BUAT REPOT POLIS KALAU ANAK DIA TAK BERSALAH? APA AGENDA MEREKA SETERUSNYA...?

BALA BUAT LGE


UMNO P. Pinang saman Guan Eng RM30j

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Ramlan Ishak (tengah) menunjukkan writ saman terhadap Lim Guan Eng dan tiga defendan lain sambil diperhatikan Peguam, Datuk Jaharberdeen Mohamed Yunoos (kiri) di Mahkamah Tinggi Sivil, Kompleks Mahkamah, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM30 juta terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta dua yang lain kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan parti itu dengan demonstrasi dan cubaan membakar ibu pejabat DAP di negeri itu.

Writ saman difailkan oleh Datuk Zainal Abidin Osman menerusi firma guaman Tetuan Jahaberdeen & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Zainal, 51, menamakan Guan Eng, 51, atas kapasiti peribadinya, PKR dan syarikat penerbitan portal berita rasmi parti itu, Keadilan Daily, Segmen Fleksibel Sdn. Bhd. dan Ketua Penyuntingnya, Fazalah Pit masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zainal selaku plaintif mendakwa, pada 3 Julai lalu, pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang menerbitkan suatu kenyataan akhbar melalui e-mel yang dialamatkan kepada bahagian editorial beberapa syarikat media.

Ia berhubung dakwaan plaintif telah menganjurkan demonstrasi di Komtar dan di atas Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai lalu.

Menurut plaintif, suatu laporan berdasarkan kenyataan tersebut telah diterbitkan dalam Keadilan Daily sementara defendan ketiga dan keempat ialah syarikat dan individu yang menjalankan operasi penerbitan portal tersebut.

Zainal menyatakan, Keadilan Daily pada 5 Julai lalu menyiarkan berita bertajuk Nafi terlibat demo ganas, Pengerusi UMNO Pulau Pinang berbohong - Guan Eng.

Plaintif mengatakan, perkataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa ia sebuah parti yang tidak beretika dan berprinsip kerana menyokong perbuatan yang menjurus kepada keganasan, tidak boleh dipercayai dan tidak layak memerintah negara kerana menyokong keganasan di khalayak ramai.

Seterusnya Zainal berkata, pada 18 Ogos lalu, defendan pertama menerbitkan kenyataan menyinggung di hadapan sekumpulan wartawan yang ditemuramah wartawan The Malaysian Insider, Clara Chooi.

Ia sejurus selepas mesyuarat Majlis Kewangan Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Zainal menyatakan, kenyataan itu bertajuk Guan Eng says UMNO attacks sparked arson attempts.

Perkataan tersebut antara lain boleh membawa maksud, plaintif sebuah parti tidak beretika dan tidak berprinsip kerana menyokong perbuatan dan perlakuan yang mampu menyemarakkan keganasan.

Disebabkan penerbitan perkataan palsu itu, menurut plaintif, ia telah mengalami kerosakan yang amat dahsyat dari segi reputasi, mengalami keaiban, kebencian dan penghinaan.

Sehubungan itu, Zainal menuntut ganti rugi RM30 juta termasuk ganti rugi teruk dan teladan selain injunksi yang menghalang setiap defendan ataupun ejen-ejen mereka daripada terus bercakap dan mengeluarkan atau menyiarkan kenyataan fitnah tersebut.

KOMEN : BIAR DIA JADIKAN SAMAN INI SEBAGAI PENGAJARAN UNTUK DIRI DIA YANG DISANGKAKAN KEBAL...

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)


8 kementerian, jabatan dipanggil
DARI UTUSAN MALAYSIA
25/10/2011



KUALA LUMPUR 24 Okt. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil lapan kementerian serta jabatan minggu depan bagi mendapatkan penjelasan mengenai lebihan perbelanjaan tahun lalu khususnya membabitkan ‘kelemahan berulang’.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, kementerian serta jabatan itu adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Turut dipanggil Kementerian Pengangkutan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Jabatan Kastam; Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perbadanan Stadium Nasional.

Katanya, jumlah kementerian atau jabatan yang akan dipanggil membuat penjelasan mungkin bertambah tertakluk kepada perbincangan lanjut di antara PAC dengan Jabatan Audit Negara.

“Tugas audit untuk memeriksa dan menegur jabatan. Jangan bandingkan audit Malaysia dengan syarikat. Ia perlu dibandingkan dengan negara lain untuk keseragaman kerana pentadbiran kewangan negara adalah lebih baik daripada kebanyakan negara lain,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Hadir sama, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan beberapa ahli PAC termasuk Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Azmi menambah, secara keseluruhan, kesemua kementerian dan jabatan menunjukkan peningkatan dalam amalan pengurusan kewangan tahun lalu.

Katanya, 43 agensi mencatatkan markah empat bintang iaitu markah penuh bagi penilaian tersebut sementara 60 agensi (tiga bintang); dua kementerian (dua bintang) dan tiada satupun agensi mendapat penilaian ‘bintang merah’ iaitu di bawah 49 peratus.

“Sementara itu, sebanyak 98.8 peratus daripada 172 kes (kelemahan pengurusan kewangan) yang timbul dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 telah diselesaikan dan 88 peratus daripada kes 2009 telah diambil tindakan serta tindak balas semua agensi ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, tidak timbul isu ‘kelewatan’ dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2010 seperti didakwa parti pembangkang.

Menurutnya, kelewatan itu dibuat bagi memastikan Ahli Parlimen memberikan tumpuan membahaskan Bajet 2012 sebelum membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Katanya, tiada peraturan yang menetapkan supaya pembentangan Ketua Audit Negara dibentangkan sebelum sebarang pembentangan Bajet.

Sementara itu, Ambrin menjelaskan, kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemat sekalipun kadar hutang negara meningkat dari semasa ke semasa.

“Ia tidak serius kerana orang yang berniaga juga berhutang, yang penting keupayaan negara melunaskan hutang berkenaan dan ia selari dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita, ia dalam had yang boleh diterima,” katanya.

Monday 24 October 2011

Amaran Dr. Mahathir tidak boleh diabaikan

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
DARI UTUSAN MALAYSIA
22/10/2011


HAIRAN juga tiada reaksi terhadap kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamed tentang Melayu akan hilang kuasa dalam 10 tahun lagi. Tiada menteri, timbalan menteri, individu atau NGO yang bersetuju atau menyangkal kenyataan bekas perdana menteri tersebut.

Apakah orang Melayu sudah menerima hakikat yang ia akan hilang kuasa dalam 10 tahun. Kebetulan pula 10 tahun lagi ialah 2020, tahun yang kita patut mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi.

Apakah ini maknanya bila kita mencapai taraf negara pendapatan tinggi, orang Melayu sudah terpinggir dan angka tersebut tercapai melalui bukan Melayu?

Apakah Dr. Mahathir menggunakan psikologi untuk melontarkan sesuatu yang boleh menyedarkan orang Melayu tentang perlunya melakukan sesuatu sebelum terlambat?

Apakah yang boleh menyedarkan orang Melayu hari ini? Bersatu antara UMNO, Pas dan PKR tidak mungkin.

Kelemahan dalam bidang ekonomi sudah jelas masih tidak boleh menyedarkan orang Melayu. Ramai yang mengatakan bukan semua orang Melayu yang papa kedana, ramai yang kaya raya. Lihat saja bila Perhimpunan Agung UMNO betapa banyak BMW, Mercedes, Alphard, Cayenne dan pelbagai jenama kereta yang mahal.

Ada juga orang Melayu yang sorok kereta Ferrari mereka dengan dibalutkan dengan canvas supaya orang tak tahu yang dia ada Ferrari. Orang Melayu yang kaya raya ini tidak peduli siapa berkuasa 10 tahun lagi kerana kedudukan mereka sudah kukuh.

Orang Melayu yang tidak terlibat dengan politik begitu juga. Kalau hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang seperti yang kita lihat dalam program televisyen Bersamamu setiap minggu, mereka pun tidak akan kisah siapa yang memerintah dan majoritinya orang Melayu dan mungkin orang Melayu akan lebih susah hidup mereka.

Ada beberapa perkara yang bakal berlaku sekiranya bukan Melayu memerintah. Kemungkinan besar yang boleh memerintah ini ialah DAP. Dan DAP telah berjanji akan mengubah beberapa perkara dalam Perlembagaan sekiranya mereka berkuasa.

Pertama mereka akan tukar agama rasmi daripada agama Islam kepada yang lain, kedua bahasa rasmi juga akan ditukarkan daripada bahasa Melayu kepada lain bahasa dan ketiga segala keistimewaan dan hak orang Melayu di bawah Perlembagaan akan dimansuhkan.

Kemungkinan parti politik bangsa Cina ini bergabung dengan MCA dan Gerakan sesuatu yang tidak mustahil. Lebih teruk lagi kalau PAP dari Singapura pula diajak bersama. Itu baru betul.

Kehilangan kuasa orang Melayu dalam negara ini bermakna negara ini akan terjual.

Dalam kita hendak berkuasa, kita beri lebih perhatian kepada bukan Melayu, kononnya menyepikan mereka menyebabkan kita kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Kini mereka dah pandai minta macam-macam dan dapat pula apa yang diminta.

Golongan orang Melayu yang diberikan perhatian ialah golongan tertentu sahaja, mereka yang sudah ada entiti mereka dan hanya perlu diperbaiki berlipat ganda lagi. Yang lain tidak akan merasai usaha lipat ganda entiti ini.

Seperkara yang perlu pihak memerintah sedar ialah terdapat 3.9 juta pemilih yang belum mendaftar untuk mengundi.

Kalau kita andaikan 60 peratus daripada jumlah ini terdiri daripada belia dan remaja dan mereka ini lebih terikut dengan dunia siber, gosip dan fitnah yang tersebar merata dalam dunia blog, mereka tidak menerima perhatian media arus perdana.

Mesej yang ingin disampaikan kepada mereka tidak sampai dan mereka bakal membuat keputusan yang mungkin akan merugikan pihak yang sedang memerintah.

Hakikatnya orang Melayu sudah lemah dalam bidang ekonomi dan yang sedikit kuasa ekonomi yang ada ini kalau hilang juga dan kuasa memerintah pula hilang, orang Melayu akan jadi ibarat Red Indian di Amerika Syarikat tinggal di penempatan tertentu sahaja.

Kita sedar juga ada usaha gigih sedang dilakukan oleh parti pembangkang untuk menarik orang Melayu dalam usaha untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap parti mereka. Mereka berpendirian inilah 1Malaysia yang sebenarnya.

Tidak ada keharmonian dalam mana-mana masyarakat yang majoritinya sesuatu bangsa jika kedudukannya lemah dalam ekonomi dan politik.

Ramai orang Melayu yang menyangka diri mereka cukup cekap dalam politik. Sebaliknya politik orang Melayulah yang memecah belahkan orang Melayu. Mungkin kalau tidak ada politik, orang Melayu hari ini tidak berpecah belah.

Walau apa pun amaran Dr. Mahathir tidak boleh diabaikan begitu saja. Pihak yang sayangkan negara ini dan tidak mahu ia jatuh ke tangan orang lain - walaupun mereka mungkin rakyat negara ini juga - perlu mengorak langkah mengatur strategi, jangan heboh-heboh, bangunkan langkah yang konkrit dan suntikan semangat kepada orang Melayu keseluruhannya.

KOMEN : BIASALAH MENTERI/TIMB. MENTERI DAN ORANG POLITIK SERTA PEMIMPIN NGO SEKARANG MERASA DIRI MEREKA HEBAT DAN HIDUP SELESAI.. MEREKA PEDULI APA DENGAN KATA2 MANTAN PM MALAYSIA, YANG PENTING MEREKA TETAP MASIH DITAMPOK PEMERINTAHAN. PEDULI APA DENGAN ORANG MELAYU YANG TERUS BERPECAH BELAH? YANG PENTING AKU MASIH TERUS BERKUASA... MELAYU MUDAH LUPA AKAN SEJARAH KEJATUHAN EMPAYAR KESULTANAN MELAYU MELAKA... ADAKAH BENAR APA YANG DIKATAKAN OLEH TUN. M BAHAWA ORANG MELAYU MUDAH LUPA... KEJATUHAN SESUATU BANGSA ITU BUKAN BERPUNCA DARI ORANG LUAR, TAPI OLEH BANGSA MEREKA SENDIRI... RENUNGKANLAH?

HIMPUN - Mufti Perak beri peringatan


Deklarasi 10 perkara Perhimpunan Sejuta Umat

DARI UTUSAN MALAYSIA
23/10/2011




SEBAHAGIAN daripada ribuan peserta menghadiri perhimpunan mempertahan dan menyelamatkan akidah umat dan agama Islam di Stadium Shah Alam, semalam. – Mingguan/Mohd. Shaharani Saibi

SHAH ALAM 22 Okt. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberikan ingatan bahawa kelemahan dan perpecahan umat Islam yang berlaku hari ini menyebabkan ada pihak yang berani memesongkan akidah penganutnya, selain menghina agama tersebut sedangkan sebelum ini Islam begitu dihormati.

Beliau yang menjadi tumpuan kira-kira 10,000 peserta Himpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) sebagai pemidato terakhir mengimbas kembali bagaimana kekuatan orang Melayu yang tetap berpegang teguh dengan agama mereka meskipun ketika dijajah selama 500 tahun.

Malah beliau menyatakan, orang Melayu juga diberikan keistimewaan oleh Allah sebagai bangsa yang mempunyai kefasihan apabila dapat menguasai bacaan ayat suci al-Quran meskipun kitab suci itu diturunkan dalam bahasa Arab.

“Dalam semangat yang masih ada hari ini kita perlu pertahankan Islam. Bangsa Melayu adalah bangsa yang istimewa kerana Melayu dikaitkan dengan Islam sehingga ia membawa kepada pengertian dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kedatangan pendakwah ke Tanah Melayu menyebabkan orang Melayu menjadi Islam dan kedatangan Islam membolehkan orang Melayu membina empayar berasaskan kepada undang-undang Islam di Perak, Pahang dan Terengganu,” katanya pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Menurut beliau, sejak zaman penjajahan lagi, kuasa kuffar tidak henti-henti berusaha untuk memesongkan akidah umat Islam di Tanah Melayu termasuk dengan mengadakan pelbagai muslihat.

“Hari ini usaha tersebut dilakukan secara terang-terangan kerana kedudukan orang Melayu semakin lemah. Kerana kelemahan itu, Islam yang satu ketika dahulu dihormati, (telah diganggu-gugat oleh) mereka (yang) berusaha memesongkan dan menghina kita,” katanya.

10 PERKARA

KIRA-KIRA 10,000 umat Islam membanjiri Stadium Shah Alam di sini bagi menghadiri Perhimpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) yang julung kali diadakan dengan masing-masing bertekad mempertahankan umat Islam daripada dipengaruhi oleh mana-mana kegiatan memurtadkan mereka.

Para peserta Himpun yang terdiri daripada lebih 1,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengenal fahaman politik atau aliran pemikiran menyimpul kukuh tekad tersebut dalam deklarasi yang mengandungi tuntutan 10 perkara.

Deklarasi yang dibacakan oleh Pengerusi Bersama Himpun, Mohd. Azmi Abdul Hamid di penghujung perhimpunan tersebut menyebut:

* "Bahawasanya, Islam adalah Risalah Ilahi yang dengan RahmatNya telah mengangkat bangsa Melayu dan semua bangsa yang lain dengan mesej 'rahmatan lil 'alamin'. Lantaran itu hanya dengan menghayati dan mengamalkan Islam sepenuhnya sahaja merupakan satu-satunya jalan untuk menjamin kemuliaan, keselamatan, kejayaan dan kehormatan bangsa Melayu mahupun mana-mana bangsa yang lain di negara ini.

* "Menginsafi bahawa asas pegangan umat Islam adalah akidah tauhid yang menjadi tunjang kepada seluruh pegangan hidup umat Islam dan prinsip ini tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.

* "Bahawa kedudukan istimewa dan status khas agama Islam sebagai agama Persekutuan telah ditetapkan sejak dari kemerdekaan negara ini dan ia wajib dipertahankan oleh setiap warga Muslim dan dihormati oleh semua warga Malaysia.

* "Bahawa penyebaran agama lain daripada Islam kepada orang Islam dengan tujuan memurtadkan orang Islam adalah dilarang sama sekali berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Islam berpendirian tegas terhadap gejala murtad dan pemurtadan dianggap jenayah berat yang perlu diperangi habis-habisan.

* "Pelanggaran terhadap peruntukan ini boleh mengundang kepada tergugatnya keselamatan nasional dan mengundang ketegangan agama di negara ini.

* "Bahawa kami, pada hari ini, 24 Zulkaedah 1432H bersamaan 22 Oktober 2011 di Stadium Shah Alam di dalam Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun), bersepakat mengambil ketetapan untuk;

Pertama: Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

Kedua: Kerajaan yang memerintah baik di peringkat Pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi dalam Islam dan Perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi dalam negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Ketiga: Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah memastikan supaya undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam Perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

Keempat: Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelima: Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan akidah. Kami mengesa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada akidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Keenam: Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

Ketujuh: Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk menganggu-gugat kesucian Islam.

Kelapan: Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya ibu bapa mengambil tanggungjawab yang tegas dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan akidah.

Kesembilan: Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media sama ada cetak, elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut undang-undang yang ada.

Kesepuluh: Menyeru umat Islam yang hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama bersatu menyonsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Dalam pada itu, Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menepis tohmahan segelintir pihak yang awal-awal lagi memberikan gambaran buruk dan menanamkan kebencian terhadap usaha menganjurkan Himpun.

"Apa salahnya umat Islam berhimpun untuk membincangkan tentang agama Islam dan selamatkan akidah. Ketika mereka berhimpun mereka kata itu hak demokrasi tetapi bila kita berhimpun itu kata hendak bermusuh dengan mereka," katanya.

Tegas beliau, perhimpunan tersebut adalah untuk memastikan martabat Islam tidak diganggu-gugat dan ia bukan suatu perkara yang boleh dikompromi.