Pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne (kiri) dan pertahanan Algeria, Faouzi Ghoulam bersaing merebut bola pada perlawanan Kumpulan H di Stadium Mineirao, Belo Horizonte, Brazil, semalam. - AFP
BRAZIL - Selepas 12 tahun tidak beraksi di Piala Dunia, Belgium bersiap sedia untuk menggempur setiap lawan mereka dalam misi mencipta sejarah tersendiri di bumi Brazil.
Pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne, yang dinamakan pemain terbaik perlawanan apabila menjadi watak penting Red Devils semasa menewaskan Algeria 2-1, mengakui dia dan rakan sepasukan berada di tahap motivasi tertinggi pada kempen Piala Dunia kali ini.
Karier De Bruyne yang kembali menyinar selepas menyertai VfL Wolfsburg pada Januari lalu dari Chelsea, mempersembahkan aksi penuh dinamik terutama pada separuh masa kedua untuk bangkit daripada ketinggalan apabila Algeria berada di hadapan melalui Sofiane Feghouli pada minit ke-25.
"Kami diletakkan harapan yang terlalu tinggi terutama oleh peminat namun tiap perlawanan yang akan dilalui di Piala Dunia kali ini pasti sukar.
"Apa yang penting, kami mengambil kira setiap satu perlawanan yang kami lalui secara serius dan jika kami meraih tiga mata ke atas Rusia, dan daripada situ kami akan melihat sejauh mana peluang kami.
"Namun, kami begitu bersemangat tinggi buat masa ini, dan tiada siapa mampu mengatakan kami tidak akan melangkah jauh pada kali ini," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment