DARI KIRI:Robin van Persie, Tim Cahill
PORTO ALEGRE - Penyerang Australia, Mathew Leckie yakin pasukannya boleh melakukan kejutan baharu dalam kejohanan Piala Dunia dengan menewaskan Belanda (pada Khamis ini waktu Malaysia).
The Socceroos amat memerlukan keputusan baik daripada perlawanan tersebut bagi membolehkan mereka menyamai pencapaian mara ke peringkat 16 pasukan terakhir pada Piala Dunia 2006.
Australia tewas 3-1 kepada Chile dalam perlawanan pertama mereka, bagaimanapun, Leckie meyatakan bahawa Australia telah bangkit dan mempamerkan aksi yang baik apabila mengasak Chile tanpa henti setelah ketinggalan 2-0 dan perkara itu boleh membimbangkan Belanda yang membelasah Sepanyol 5-1.
"Saya percaya Chile tidak menjangkakan asakan daripada pasukan kami dan Belanda sudah hampir pasti meneliti perlawanan tersebut untuk membuat persediaan menentang kami.
"Kami akan menggunakan strategi yang baik untuk menentang Belanda serta menjadi lebih tajam di hadapan gawang pihak lawan supaya dapat menjaringkan gol. Jika kami bermain seperti yang dipamerkan selama 70 minit menentang Chile, pastinya ada peluang untuk menewaskan Belanda," katanya.
Senjata paling utama Australia untuk bahagian serangan adalah hantaran silang kepada penyerang mereka, Tim Cahill yang menjadi pemain kelapan berjaya menjaringkan gol dalam tiga siri kejohanan Piala Dunia apabila tandukannya menghadiahkan gol sagu hati kepada pasukannya ketika tewas kepada Chile.
Sementara itu, Belanda akan menghadapi perlawanan menentang Australia itu dengan penuh keyakinan setelah memalukan Sepanyol yang sekali gus melunaskan dendam kekalahan mereka dalam perlawanan akhir empat tahun lalu.
Walaupun pasukan kendalian Louis van Gaal mengamuk dalam perlawanan yang berlangsung di Salvador itu, ketua pasukan, Robin van Persie menyatakan bahawa pengalaman mengajarnya untuk tidak leka.
"Kami berjaya mendapatkan keputusan yang amat baik, tetapi perjalanan masih jauh dalam kejohanan ini. Ini merupakan kejohanan Piala Dunia kelima saya dan banyak yang telah dipelajari melalui pengalaman itu.
"Sekarang kami perlu beri tumpuan terhadap perlawanan seterusnya dan lupakan keputusan yang berjaya dilakar ketika menentang Sepanyol kerana Australia memberi suatu cabaran berlainan, dengan corak permainan berbeza," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment