pengarang@utusan.com.my
KILANG Bihun Cap Masjid di Batu 6 1/2, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR 17 Jun - Belum pun reda isu mengenai proses menghasilkan bihun yang kotor dan meloyakan, kilang bihun yang baru-baru ini disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hangus dalam kebakaran di Batu 6 1/2, Jalan Ipoh di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, empat lagi premis berhampiran kilang membuat 'Bihun Istimewa Cap Masjid' itu turut hangus dijilat api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.10 pagi yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
"Dua jentera dengan 15 anggota dikerah ke lokasi kejadian dan sebaik tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian, api marak sudah hampir meranapkan kelima-lima unit kilang terbabit.
"Pihak bomba terpaksa meng-ambil tindakan segera mengawal api daripada terus merebak ke beberapa lagi unit kilang berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azrul berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan dan masih disiasat.
Minggu lalu, DBKL menyerbu sebuah kilang bihun yang menggunakan lambang masjid dan logo halal yang tidak diiktiraf serta mengarahkan agar kilang itu ditutup serta merta selepas mendapat laporan mengenai cara penghasilannya yang kotor dan menjijikkan.
Kilang yang dikatakan sudah menjalankan operasi sejak tahun 60-an lagi, didapati gagal mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan.
Dalam soal siasat ke atas pengusaha kilang terbabit, dia mengakui tidak mampu melakukan kerja pembaikan premisnya yang sudah usang.
No comments:
Post a Comment