CRISTIAN Zapata (kanan) memainkan peranan besar dalam membawa Colombia melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia.
TONGGAK pertahanan Jepun, Yuto Nagatomo menyeru rakan-rakan sepasukan agar lebih ‘kejam’ di depan pintu gol jika mahu melangkah ke pusingan kedua.
Skuad Blue Samurai perlu menumpaskan Colombia dalam aksi terakhir Kumpulan C di Cuiaba, pagi esok atau boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia 2014.
Nagatomo turut menggesa rakan sepasukannya agar lebih yakin untuk menembusi benteng Colombia, biarpun mereka sekadar menjaringkan satu gol setakat ini.
“Kami masih mempunyai satu perlawanan dan mungkin mampu melepasinya.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah yakin dan penuhi misi. Kami harus percaya kepada diri dan terus bermain.
“Namun begitu, kita perlu menguatkan mental lebih daripada fizikal kerana kita tidak dapat berjuang ke peringkat seterusnya tanpa mental yang kuat, jadi kita harus kekal positif dan teruskan," kata pemain Inter Milan itu.
Tambah Nagatomo, Jepun kurang kreativiti menerusi hantaran lintang dalam dua perlawanan pertama.
Pandangan Nagatomo turut dipersetujui pengendali Blue Samurai, Alberto Zaccheroni yang mahu pasukannya mencari ‘sentuhan yang hilang’ apabila berdepan Colombia.
“Kami kurang idea. Ada sesuatu yang hilang daripada pasukan Jepun dan perlu dikembalikan pada perlawanan esok.
“Kami menyerang tetapi hilang punca untuk mencipta jaringan," kata Zaccheroni.
Sementara itu, pertahanan Colombia, Cristian Zapata mahu pasukannya kekal fokus biarpun sudah menempah tiket ke pusingan kedua.
Negara Amerika Selatan itu berjaya mencatat kemenangan kedua selepas menewaskan Ivory Coast 2-1.
Dalam masa sama, Zapata turut menyeru rakan-rakan sepasukannya agar jangan terlalu memikirkan tentang perlawanan yang bakal dihadapi di pusingan kedua kelak.
“Kamu perlu memikirkan permainan satu demi satu.
“Jepun sangat kuat dan mereka memiliki ramai pemain yang bagus. Ia menjadi antara perlawanan sukar buat kami," kata pemain AC Milan itu.
Ivory Coast bagaimanapun akan mengikut jejak Colombia ke pusingan kedua jika menewaskan Greece dalam satu lagi perlawanan kerana berada di tangga kedua dengan tiga mata.
Jepun dan Greece berkongsi satu mata.
No comments:
Post a Comment