Mohd. Bunyamin Umar (kiri) hanya mahu menumpukan perlawanan menentang PKNS di Shah Alam malam ini dan tidak akan menghiraukan apa yang berlaku antara JDT dengan Sarawak yang bertemu di Kuching.
KUALA LUMPUR - Turun menentang Selangor tanpa memberikan sebarang makna, itu tidak bermakna pasukan tercorot liga, PKNS hanya akan beraksi sambil lewa dan menjanjikan tiga mata mudah kepada 'pasukan abangnya' itu di Stadium Shah Alam malam ini.
Jurulatih sementara PKNS, Anuar Abu Bakar berkata, maruah bakal menjadi pertaruhan The Red Ants sambil menolak tanggapan negatif bahawa mereka akan memberikan tiga mata ihsan kepada Selangor dalam usaha membantu Red Giants menjuarai Liga Super sekiranya Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal memenangi perlawanan menentang Sarawak di Kuching.
Dalam masa sama, Anuar mengingatkan, mendapatkan kemenangan ke atas Selangor bukanlah semata-mata kerana dia anak jati Muar, Johor namun melaksanakan tanggungjawab ke atas majikan, PKNS.
"Saya tiada perancangan untuk sekadar menurunkan pemain simpanan semasa menentang Selangor, sebaliknya saya akan turunkan kesebelasan terkuat dalam misi mendapatkan kemenangan.
"Saya tahu perlawanan ini tidak ada sebarang makna lagi buat kami kerana sudah tersingkir ke Liga Perdana untuk musim depan namun kami ada maruah yang perlu dijaga.
"PKNS adalah majikan yang memberi makan dan minum kepada keluarga saya, saya ada tanggungjawab untuk memastikan kemenangan pada malam esok (hari ini) dan saya mahu meraih tiga mata bukan semata-mata didorong rasa sentimen yang saya ini anak Johor.
"Sebagai bekas pemain dan kini merupakan jurulatih, saya perlu bersikap profesional dan tiada istilah pakatan antara PKNS dan Selangor, " katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, ketua pasukan Selangor, Mohd. Bunyamin Umar berkata, dia hanya mahu fokus kepada aksi pasukannya malam ini dan tidak akan mengambil kisah dengan apa yang berlaku antara JDT dengan Sarawak di Kuching selagi perlawanan belum tamat.
Pegangan Bunyamin cukup mudah: Jika ada rezeki tidak akan ke mana.
Sekiranya tidak ada rezeki, pemain berasal dari Kedah itu mengakui mereka perlu dipersalahkan kerana gagal mengekalkan kelebihan yang mereka miliki sebelum dipintas JDT pada baki dua perlawanan yang lalu.
"Jika ada rezeki kami, in sya Allah tidak ke mana-mana dan apa yang paling penting buat kami ialahmendapatkan tiga mata ketika menentang PKNS.
"Sekiranya gagal meraih gelaran Liga Super, itu bukan bermakna satu penghabisan buat saya dan rakan-rakan kerana mendapat tempat kedua serta hanya satu mata sahaja di belakang pendahulu, itu sudah dikira baik.
"Kami tidak menyalahkan sesiapa andai gelaran menjadi milik JDT kerana semasa kami mendahului carta liga, kami gagal mempertahankan kelebihan yang dipegang ekoran prestasi yang kurang konsisten," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140625/su_04/PKNS-ada-maruah-takkan-tolong-Selangor---Anuar#ixzz35cGYlWaO © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment