Pemain-pemain Jerman meraikan gol kedua mereka sewaktu menentang Portugal dalam Kumpulan G di Stadium Fonte Nova, Salvador semalam. Jerman menang 4-0. - AFP
SALVADOR - Thomas Mueller meranapkan impian Cristiano Ronaldo untuk menjadi bintang utama Piala Dunia apabila mencipta jaringan hatrik ketika Jerman membelasah Portugal 4-0 semalam.
Lebih manis, hatrik pertama bintang Bayern Munich itu di peringkat antarabangsa dicipta pada perlawanan ke-100 Jerman dalam Piala Dunia, yang turut menepis keraguan bahawa skuad bimbingan Joachim Loew itu sukar untuk bermula baik dalam kejohanan ini.
Namun, bencana menimpa Ronaldo dan Portugal di Fonte Nova Arena, Salvador apabila mereka kehilangan tonggak pertahanan, Pepe yang dibuang padang kerana menghantukkan kepalanya ke kepala Mueller pada babak pertama permainan.
Mueller membuka jaringan menerusi sepakan penalti selepas 12 minit perlawanan bermula. Pemain pertahanan, Mats Hummels pula menjadikan kedudukan 2-0 buat Jerman ketika permainan masuk minit ke-30. Mueller meledakkan gol lagi sebelum separuh masa pertama berakhir setelah menyempurnakan percubaan dari jarak dekat pada minit ke-78.
"Memang hebat dapat menjaringkan tiga gol dalam perlawanan seperti ini. Ia tidak berlaku setiap hari, tetapi saya beraksi baik pada Piala Dunia, dan saya mahu mendapatkan kembali sesuatu yang saya pernah tinggalkan dulu," kata Mueller yang menyerlah pada penampilan pertamanya di Piala Dunia 2010 untuk berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol.
Keadaan menjadi bertambah buruk buat Portugal apabila pemain pertahanan Real Madrid, Fabio Coentrao terpaksa dibawa keluar setelah mengalami kecederaan.
Apa yang menjadi kebimbangan jurulatih Portugal, Paulo Bento adalah tahap kecergasan Ronaldo, yang amat berharap dapat menyinar pada Piala Dunia selepas membantu Real Madrid merangkul trofi Liga Juara-juara, musim ini.
Pemain sayap berusia 29 tahun itu yang terpaksa bergelut dengan kecederaan sebelum pertandingan bermula, mengesahkan dirinya cergas 100 peratus menjelang perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, bekas bintang Manchester United itu kelihatan tidak beraksi pada tahap terbaiknya, dan gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan yang cukup mengecewakan itu. Malah, Ronaldo hanya berjalan melintasi pemberita selepas perlawanan, dan enggan memberi sebarang ulasan. - AFP
No comments:
Post a Comment