Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 23 June 2014

WORLD CUP 2014 - Loew tetap yakin



PENYERANG Ghana, Asamoah Gyan (tengah) melihat bola sepakannya melepasi jangkauan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer dan menerjah jaring dalam perlawanan di Fortaleza semalam yang berkesudahan seri 2-2. - AFP

FORTALEZA - Jurulatih Jerman, Joachim Loew yakin mereka masih kekal di laluan selesa untuk mara ke pusingan kedua selepas seri 2-2 dengan Ghana dalam perlawanan Kumpulan G yang mendebarkan dan dianggapnya sebagai epik.

Dalam perlawanan penuh drama semalam, Ghana meletakkan Jerman dalam kedudukan bahaya apabila mendahului 2-1 sebelum Miroslav Klose masuk dari bangku pemain simpanan untuk menjaringkan gol penyamaan, yang juga golnya yang ke-15 dalam Piala Dunia.

"Perlawanan begitu terancang pada separuh masa pertama. Pada separuh kedua, tiba-tiba awak dapat menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan pantas. Kedua-duanya menyerang. Ghana mempunyai peluang, kami juga mempunyai peluang," kata Loew kepada wartawan semalam.

Jerman, yang menduduki tempat teratas kumpulan dengan empat mata, selepas membelasah Portugal 4-0 dalam perlawanan pertama mereka, akan menentang Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan terakhir kumpulan di Recife (pada Jumaat ini waktu Malaysia). Ghana pula, dengan satu mata, akan bertemu Portugal di Brasilia.

Selepas menang besar ke atas Portugal, Jerman dijangka akan menang mudah ke atas Ghana apabila Mario Goetze menjaringkan gol pada minit ke-51.

Tetapi wakil Afrika itu bangkit semula, dengan Andre Ayew menanduk masuk gol penyamaan tiga minit kemudian dan Sulley Muntari berjaya merampas bola sebelum membuat umpanan silang untuk Asamoah Gyan merembat masuk gol pada minit ke-63.

Namun, Jerman kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-71 menerusi Klose.

"Untuk penonton, mereka sudah tentu terpesona menyaksikan perlawanan yang sengit dan pantas, apabila kedua-dua pasukan terus berlari.

"Apabila berdepan dengan pasukan dari Afrika, awak tahu mereka sangat kuat dan sangat pantas, tetap pantas dalam suhu begini (panas)," kata Loew.

Walaupun membenarkan mereka dibolosi selepas mendahului 1-0, Loew berkata keadaan sekarang meletakkan Jerman dalam kedudukan mampu layak ke pusingan 16 pasukan terakhir.

"Keadaan masih belum berubah buat kami. Saya percaya kami berada pada kedudukan bagus menjelang perlawanan terakhir (peringkat kumpulan). Satu sahaja mata lagi dan kami akan mara ke pusingan seterusnya," katanya.

Jurulatih Ghana, Kwesi Appiah pula mengakui peluang mereka semakin mengecil hasil keputusan seri itu.

"Bukannya mudah untuk melayakkan diri. Masih ada perlawanan yang perlu dihadapi dalam kumpulan (yang boleh menentukan hasilnya).

"Ia perlawanan yang bagus dan kompetitif. Jerman, pada akhirnya, adalah antara pasukan terbaik dunia dan menentang mereka sangat sukar. Kami ada beberapa peluang, tetapi malangnya apabila menentang pasukan kuat, jika awak tidak mengambil peluang maka awak akan berdepan dengan masalah," katanya. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140623/sl_03/Loew-tetap-yakin#ixzz35Qlq67hA  © Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: