FAKRI Sharani berjalan keluar padang untuk mendapatkan rawatan setelah hidungnya berdarah akibat disiku Steve Pantelidis dalam perlawanan Liga Super di Kota Bharu malam tadi. - UTUSAN/IRWAN MAJID
KUALA LUMPUR - Dua calon juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor tewas mengejut di laman lawan manakala dua pasukan tercorot, ATM dan PKNS menemui rentak kemenangan bagi menghidupkan peluang untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan.
JDT yang turun dengan misi mempertahankan kedudukan teratas dalam carta liga terpaksa menggigit jari dengan kebangkitan mendadak The Gladiators apabila kalah 1-2 di Stadium Selayang dalam perlawanan yang dicemari dengan pemberian dua kad merah, masing-masing kepada Azrul Ahmad dan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak ketika permainan berbaki lima minit.
Bintang dari Argentina, Bruno Martelotto meletakkan ATM di depan pada minit ke-39 disusuli gol Mohd. Affize Faisal Mamat minit ke-59 sebelum Asraruddin Putra Omar merapatkan kedudukan buat JDT pada minit ke-84.
Anak-anak buah B. Sathianathan berpeluang menang lebih selesa tetapi sepakan penalti Rezal Zambery Yahaya sekadar mengenai tiang pada minit ke-89.
Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut ATM selepas menundukkan Selangor pada Sabtu lalu, menyusul keputusan seri dengan Pahang pada minggu sebelumnya.
Kekalahan JDT gagal diambil kesempatan oleh pencabar terdekatnya, Selangor yang tidak bermaya di Stadium Sultan Muhammad ke-IV apabila tumpas 0-2 di tangan Kelantan walaupun tuan rumah turun tanpa ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi.
Hantaran menarik Prince Tagoe disambut dengan baik oleh Francis Forkey Doe untuk menanduk masuk gol pertama, menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-22 bagi meletakkan The Red Warriors mendahului satu gol pada babak pertama.
Minit ke-84, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria menambah derita Selangor apabila meledak gol kedua.
Bagaimanapun, penyerang Kelantan, Ahmad Fakhri Saarani menerima padah apabila terpaksa dirawat setelah hidungnya berdarah akibat disiku oleh pertahanan Selangor, Steve Pantelidis dari Australia.
Di Stadium Negeri, Kuching, Pahang juga gagal mengambil kesempatan di atas kekalahan yang dialami JDT dan Selangor untuk merapatkan jurang dengan dua pasukan teratas apabila diikat 1-1 oleh tuan rumah, Sarawak.
Skuad Tok Gajah mendapat gol pendahuluan pada minit ke 34 menerusi penyerang Mathias Ruben Conti yang menolak ke gawang setelah rembatan Gopinathan ditampan oleh penjaga gol, Mohd. Fadzley Rahim.
Namun, tuan rumah tidak mengalah dan mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-46 apabila hantaran lintang Ashri Chuchu ke depan gawang gol ditolak masuk Joseph Kalang Tie.
Terengganu pula terus kempunan untuk melakar kemenangan selepas tiga perlawanan apabila hanya mampu mengikat Sime Darby 2-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Tuan rumah mendahului seawal minit keempat menerusi Mario Karlovic sebelum ayam tambatan, Norfarhan Mohamad menggandakan jaringan pada minit ke-13.
Bagaimanapun, kelebihan dua gol itu gagal dipertahankan pada babak kedua apabila pelawat menyamakan kedudukan dalam tempoh tiga minit, masing-masing menerusi gol William Nii Ayi Mensah pada minit ke-68 dan Mahmoud Al-Amna pada minit ke-70.
Misi Perak untuk menjarakkan jurang dengan zon penyingkiran terjejas apabila sekadar seri 1-1 ketika menentang T-Team di Stadium Perak dengan pasukan pelawat mendahului menerusi penyerangnya, Jimmy Mulisa sebelum kelebihan tersebut dipadamkan oleh pemain import Bos Gaurus, Abdulafees Abdulsalam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140618/su_02/JDT-Selangor-tumbang-Pahang-seri#ixzz34x3YcAVf © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment