Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 26 February 2015

AFC CUP : Gol Gopinathan julang Tok Gajah

FADHILUL IZMEL ISHAK | 26 Februari 2015 1:10 AM


DICKSON NWAKAEME (No. 10) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Azidan Sarudin ketika membantu Pahang menewaskan Yadanarbon FC 3-2 dalam perlawanan Piala AFC di Mandalay, Myanmar semalam. – ASIANA.MY

KUALA LUMPUR – Ketika saingan hampir berakhir dengan seri, R. Gopinathan muncul wira Pahang apabila meledak gol kemenangan dua minit sebelum tamat permainan untuk membantu Tok Gajah menundukkan Yada­narbon FC 3-2 dalam aksi Piala AFC di Mandalay, Myanmar semalam.

Kemenangan tersebut memberi permulaan sempurna buat Pahang dalam saingan pembukaan Kumpulan G.

Skuad kendalian Zainal Abidin itu bermula garang sejak awal permainan apabila penyerang kelahiran Nigeria, Dickson Nwakaeme membuka jaringan seawal minit kelima.

Dia melakukan rembatan dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol kebangsaan Myanmar, Thiha Si Thu.

Enam minit kemudian, Pahang mengukuhkan kedudukan mereka dan Nwakaeme sekali lagi muncul wira Tok Gajah.

Kali ini, dia menewaskan benteng pertahanan lawan dengan menggeleck bola dari luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Thiha.

Pahang dilihat kerap melakukan serangan pada babak pertama, malah hampir menjaringkan gol ketiga namun tandukan Damion Stewart yang berpunca daripada sepakan bebas Hafiz Kamal sekadar melewati palang gol.

Kesilapan Stewart di hadapan pintu gawang Pahang membawa padah apabila dia menjaringkan gol sendiri pada minit ke-40, sekali gus memberi kelebihan kepada skuad kendalian Naing Kyi untuk merapatkan kedudukan.

Tok Gajah terpaksa beraksi de­ngan 10 pemain selepas pertahanan mereka, Mohd. Razman Roslan dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan selepas mengasari pemain lawan di dalam kotak penalti.

Natijahnya Yadanarbon FC dihadiahkan sepakan penalti dan berjaya disempurnakan oleh Djedje Maximin pada minit ke-55. Mereka hampir mendahului Pahang selepas menerima sepakan penalti kedua pada minit ke-70, namun Maximin gagal menyempurnakannya.

Ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan seri 2-2, Gopinathan muncul wira Pahang selepas menjaringkan gol terakhir pada minit ke-88 setelah menerima hantaran cantik daripada Hafiz.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gol-gopinathan-julang-tok-gajah-1.63642#sthash.8UXAwX62.dpuf


LIWAT : Rayuan perlu pendapat bertulis Peguam Negara

26 Februari 2015 1:32 AM

Perlembagaan tidak tetapkan tempoh petisyen rayuan diteliti

Shamrahayu

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong meneliti mana-mana petisyen rayuan yang dikemukakan.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, Lembaga Pengampunan itu bagaimanapun perlu mempertimbangkan pendapat bertulis daripada Peguam Negara. “Dari segi jangka masa tempoh petisyen rayuan, saya tidak berani hendak ramal, kalau ikut tatacara, Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada bila-bila masa atau secepat mungkin tetapi itu bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya di sini hari ini.

Semalam, anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha mengesahkan yang keluarganya telah mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu kenyataan semalam berkata status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan hanya ditentukan selepas petisyen berkenaan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Shamrahayu, Lembaga Pengampunan terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Peguam Negara, Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan dan tiga anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong akan hanya membuat keputusan mengenai petisyen rayuan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, meneliti pendapat bertulis daripada Peguam Negara dan mendengar pandangan daripada anggota-anggota Lembaga Pengampunan.

“Perlu diingatkan, Lembaga Pengampunan boleh memberi pengampunan atau meringankan hukuman namun sabitan bersalah sebagaimana diputuskan oleh mahkamah kekal dan tidak boleh diubah, dengan kata lain, proses pengadilan telah selesai dan apa yang tinggal adalah proses belas kasihan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rayuan-perlu-pendapat-bertulis-peguam-negara-1.63752#sthash.wLiPzNne.dpuf


LIWAT : Petisyen pembebasan atau rayuan

Zulkifli persoal dokumen Wan Azizah kepada Istana Negara

ZULKIFLEE BAKAR | 26 Februari 2015 1:32 AM

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Apakah kandungan sebenar dokumen yang dihantar oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam, adakah ia mengandungi rayuan pengampunan atau petisyen memohon pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

AZMIN ALI

Persoalan itu ditimbulkan oleh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin kerana menurut beliau, kalau ia adalah petisyen memohon pembebasan bermakna ia tidak terikat dengan Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhi hukuman penjara minimum setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.

Bagaimanapun tegas beliau, jika dokumen yang dihantar itu adalah rayuan pengampunan maka ia terikat dengan peruntukan perlembagaan tersebut yang perlu dibaca dengan Perkara 42 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan antaranya bergantung kepada keperluan tiga syarat iaitu perayu mengakui kesalahan yang disabit, menyesal dengan perlakuan kesalahan yang disabit dan memberi akui janji tidak mengulangi kesalahan yang disabit.

“Oleh itu apakah sebenar dokumen yang dihantar oleh Wan Azizah memandangkan atas faktor rayuan pengampunan sewajarnya dikemukakan oleh Anwar sendiri dan bukan pihak lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas desakan pembangkang supaya Anwar dibenarkan hadir sidang Dewan Rakyat berikutan pengesahan keluarga Anwar semalam bahawa mereka mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat bekas pembantu pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan .

Zulkifli berkata, antara rayuan pengampunan dan petisyen pembebasan mempunyai dua maksud berbeza.

“Jika ia sekadar petisyen pembebasan pihak Istana boleh menolak melalui cara pentadbiran tanpa perlu dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong manakala Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh memaklumkan kepada Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) berlaku kekosongan bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

“Bagaimanapun jika ia rayuan pengampunan baharulah kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen masih kekal dan Dewan Rakyat perlu menanti proses pengampunan selesai untuk mengisytiharkan kerusi Parlimen berkenaan kosong atau tidak,” katanya.

Selain itu Zulkifli menegaskan, apa yang perlu difahami rayuan pengampunan hanya berkaitan dengan hukuman sama ada dikurangkan atau ditangguhkan, namun sabitan kesalahan tetap kekal.

“Ini bermakna walaupun proses rayuan pengampunan berjalan, Anwar masih lagi disabit kesalahan jenayah, beliau kekal sebagai banduan dan masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan penjara,” katanya.

Zulkifli berkata, Wan Azizah perlu telus dengan mendedahkan isi sebenar dokumen tersebut bagi mengelakkan kekeliruan memandangkan langkah penghantaran dokumen itu dikaitkan dengan strategi politik beliau bagi mengelakkan berlaku pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Selain itu, kata Zulkifli, tindakan tersebut juga mewujudkan tafsiran sesetengah pihak bahawa ia langkah Wan Azizah bagi melengah-lengahkan usaha pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Pas dan DAP melantik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Menteri Besar sebagai Ketua Pembangkang dalam sidang Parlimen bulan depan.

“Apa pun jawapan ada kepada Wan Azizah untuk menjelaskan kepada rakyat isi sebenar kandungan dokumen tersebut bagi mengelakkan pelbagai andaian dibuat,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/petisyen-pembebasan-atau-rayuan-1.63755#sthash.4b1AalWG.dpuf

Alumni UiTM jangan lupa diri – Ibrahim Ali

26 Februari 2015 1:36 AM


Ibrahim Ali bersalam dengan para pelajar baharu UiTM selepas menyampaikan ucapan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam, semalam. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 25 Feb. – Lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kurang semangat jati diri dan patriotisme ditegur kerana sikap sedemikian boleh membantutkan usaha kerajaan mahu terus membantu melahirkan orang Melayu dan bumiputera berpendidikan tinggi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, alumni UiTM tidak sepatutnya lupa dengan budi yang ditabur oleh kerajaan sehingga membolehkan mereka berjaya dalam hidup dan mempunyai kerjaya baik.

Menurutnya, golongan tersebut seharusnya membalas jasa itu dengan menyokong atau membantu UiTM apabila diperlukan.

"Sekarang ada kira-kira 500,000 alumni UiTM yang berjaya dalam bidang masing-masing, mempunyai jawatan penting, namun apabila sokongan daripada mereka diperlukan, tidak ramai yang boleh menyumbang balik kepada UiTM.

"Sehubungan itu, setiap pelajar UiTM perlu ada sikap bertanggungjawab, pengorbanan tinggi dan sentiasa bersyukur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di depan kira-kira 900 pelajar baharu UiTM sempena program Minggu Destini Siswa di sini hari ini.

Dalam ceramahnya itu, Ibrahim yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM turut menasihatkan pelajar-pelajar tersebut supaya tidak mudah diperalatkan atau dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

Jelasnya, setiap daripada mereka mempunyai peranan khusus untuk mengangkat martabat orang Melayu dan bumiputera.

"Tugas kamu sekarang adalah belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan cemerlang. Jangan hampakan harapan ibu bapa.

"Apabila tamat belajar nanti, balas jasa mereka yang membantu dengan menyumbang kepada bangsa dan negara," ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/alumni-uitm-jangan-lupa-diri-8211-ibrahim-ali-1.63781#sthash.Ynr2xZY8.dpuf


Ambil tindakan ke atas blog hasut rakyat – NGO

26 Februari 2015 1:37 AM


Zaparuddin Abdul Rahim (tengah) menujukkan laporan polis yang dibuat di IPD Shah Alam terhadap penulis blog Sakmongkol AK47 yang berunsur fitnah dan berbaur hasutan seperti diterbitkan di laman portal The Malaysian Insider. – Utusan/Saharuddin Abdullah


SHAH ALAM 25 Feb. – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pemantau Media Sosial Pasukan Semut Malaysia membuat laporan polis berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘The White and Black Minstrel Show will end as a huge embarassment’ yang didakwa berbaur hasutan dan menghina mahkamah oleh sebuah blog, Sakmongkol AK47.

Pengerusinya, Zaparudin Abd. Rahim mendakwa, artikel yang dipercayai ditulis oleh Ahli Parlimen Raub daripada DAP, Datuk Mohd. Ariff Sabri Abdul Aziz itu amat berbahaya dan berunsur fitnah.

Dakwanya, artikel itu adalah satu pembohongan bagi mengelirukan rakyat berhubung keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disiarkan oleh sebuah portal berita, The Malaysian Insider baru-baru ini.

“Artikel itu bukan sahaja berunsur fitnah dan bohong, malah berbaur hasutan supaya rakyat menggulingkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi seperti tercatat pada ayat terakhir 'Once we have Federal power, we don’t need to go before King to free Anwar”.

“Ternyata kenyataan ini amat berbahaya sekali. Adakah jika pakatan pembangkang menjadi Kerajaan Persekutuan maka Anwar sudah tentu dibebaskan? Adakah pembangkang memang berniat membebaskan beliau sahaja walaupun ternyata dibuktikan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan?” soalnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaparudin berkata, pihaknya juga mahu tindakan diambil terhadap blogger tersebut kerana artikel itu didakwanya jelas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan negara.

Katanya, ini terbukti menerusi kenyataan dalam artikel itu yang berbunyi ‘As we know, the ones who did that are the two policemen - whom as the courts and the law enforcement agencies would have us believe, on a frolic on their own, suddenly thought of killing someone today'.

“Kenyataan di atas menghina mahkamah dan memperlekehkan pasukan penguatkuasaan terutama pihak pendakwa raya dan polis yang kononnya tidak profesional dalam menjalankan tugas dan bertujuan mengaburi pandangan dan kepercayaan rakyat.

“Blog itu juga mempertikai kes yang telah diputuskan oleh mahkamah. Ini bagi kami satu penghinaan terhadap institusi kehakiman negara yang semua tahu adalah badan yang bebas,” katanya.

Tambah Zaparudin, artikel itu juga didakwanya bertujuan menanam persepsi buruk dalam minda rakyat agar mempercayai Kerajaan Persekutuan bersubahat dengan pihak berkuasa dan institusi kehakiman untuk menghukum Anwar dan mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan,” dakwanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ambil-tindakan-ke-atas-blog-hasut-rakyat-8211-ngo-1.63791#sthash.j8R3pJjX.dpuf

POLITIK : Pas sedia berdepan DAP

Bahas hukum hudud di Parlimen

RODELIO JUNJUN TAUCAN | 26 Februari 2015 1:37 AM

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Pas tidak akan tergugat dengan ancaman atau ugutan daripada DAP sebaliknya sedia berbahas dengan pemimpin parti itu sekira­nya Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau hukum hudud dibentangkan di Dewan Rakyat April ini.

Mahfodz Mohamad

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, wakil rakyat Pas telah bersedia berhujah untuk memastikan matlamat melaksanakan hukum hudud di Kelantan dapat direalisasikan.

Tegas beliau, hukum hudud mesti dilaksanakan kerana telah menjadi matlamat asal penubuhan Pas, justeru DAP tidak akan mampu menghalangnya walau apa cara sekalipun.

“Sekarang ini tinggal di peringkat pengurusan untuk dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 18 Mac dan kemungkinan bulan April di Parlimen jadi nampak sangat pelaksanaannya sudah di peringkat hujung.

“Kalau DAP tidak setuju, duduk diam tunggu dibentangkan baharu kita lihat macam mana, Pas sudah kaji untuk melaksanakannya sejak 1990 lagi, maka kita tidak akan berundur dan bersedia berbahas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan seperti dilaporkan hari ini mempersilakan DAP untuk meninggalkan pakatan pembangkang sekiranya parti itu masih berkeras membantah hasrat Pas untuk meneruskan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Gesaan tersebut dibuat berikutan kenyataan Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo kelmarin yang menegaskan hukum hudud tidak mendapat sokongan daripada pakatan itu dan bukan sebahagian rangka kerja bersama mereka.

Mengulas perkara itu, Mahfodz berkata, apa sahaja persetujuan yang dicapai di dalam pakatan pembangkang tidak akan mengubah dasar perjuangan Pas malah parti itu lebih senior daripada sekutu mereka.

“Tidak logik kalau sebab ancaman itu, Pas tukar dasar kerana parti ini dan perjuangannya telah wujud lebih lama daripada pakatan pembangkang sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berkata, sidang DUN Kelantan nanti diharapkan dapat memperkasakan enakmen tersebut agar lebih lengkap sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Wakil rakyat Pas yang ada boleh berhujah tetapi peringkat permulaan adalah di Kelantan. Saya harap semua kelemahan dapat diperbaiki supaya apabila dibawa ke Dewan Rakyat semuanya lengkap,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-sedia-berdepan-dap-1.63793#sthash.XuEnjSmu.dpuf


Saya tidak gentar – KPN

Ugutan bunuh dari rakaman video

TERMIZI CHE ANUAR | 26 Februari 2015 1:37 AM


Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan beliau tidak gentar terhadap ugutan bunuh oleh kumpulan Anak Malaysia Anti Demokrasi (AMAD) melalui rakaman video amatur menggunakan laman sosial Youtube.

Khalid juga menyifatkan perbuatan kumpulan itu sebagai tidak bertanggungjawab serta memberikan gambaran buruk terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Katanya, video tersebut menu­njukkan kumpulan itu tidak mengenal erti sebenar sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

“Ugutan sedemikian langsung tidak menakutkan saya sebagai Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dan ugutan seperti itu merupakan lumrah kehidupan seorang pegawai polis dalam menjalankan tugas.

“Namun, apa yang saya bimbangkan adalah terdapat segelintir masyarakat tidak menggunakan saluran demokrasi sedia ada dan sering melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dalam menuntut perubahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari ini rakaman video amatur yang bertajuk Peringatan Kepada IGP memaparkan tiga individu berpakaian hitam dengan muka seorang daripada mereka ditutupi logo kumpulan tersebut, manakala dua lagi memakai topeng mengugut membunuh Khalid dengan meletupkan keretanya menjadi viral di laman media sosial.

Video selama 1.27 minit yang dikesan dimuat naik di YouTube itu dilihat serius apabila pada akhir rakaman tersebut, mereka bertindak membakar kereta mainan menggunakan pemetik api sebelum disusuli dengan kesan bunyi letupan kuat.

Khalid berkata, aktiviti dan identiti kumpulan tersebut sedang dikesan oleh polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menggangu gugat keamanan negara.

Dalam pada itu, beliau turut meletakkan keyakinan bahawa masyarakat Malaysia tidak mahu melihat negara ini menjadi huru-hara akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang niat jahat sedemikian untuk menghentikannya serta-merta.

“Tindakan itu berupaya memberikan implikasi keselamatan amat serius dan akan merosakkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama,” jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/saya-tidak-gentar-8211-kpn-1.63796#sthash.cp4Vr7dT.dpuf


PRK : BN tidak bertanding PRK DUN Chempaka

Tumpu pemulihan banjir, perpaduan ummah

HUSSAINI AMRAN DAN KAMIL MASLIH | 26 Februari 2015 1:38 AM



Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin mendengar sesuatu yang dikatakan oleh Hishammuddin Tun Hussein sebelum memulakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn PWTC Kuala Lumpur, malam tadi. Turut sama, Tengku Adnan Tengku Mansor. – Utusan/Abdul Razak Latiff


KUALA LUMPUR 25 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac ini.

Perdana Menteri berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan itu berdasarkan beberapa pertimbangan tertentu dan selepas mengadakan perbincangan secara menyeluruh dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta UMNO Bahagian Pengkalan Chepa.

Beliau yang juga Presiden UMNO memberitahu, pada masa ini, tumpuan perlu diberikan kepada program pemulihan mangsa banjir dan kerja-kerja kebajikan di Kelantan serta perpaduan ummah.

“Kita tengok masih banyak lagi mangsa banjir yang belum menerima bantuan.

“Selain itu, kita fikir kita perlu lihat kepada usaha-usaha membawa kepada perpaduan ummah walaupun ada perbezaan pendapat dan politik, perpaduan ummah perlu diutamakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Perdana Menteri menambah, keputusan untuk tidak meletakkan calon itu bukan perkara baharu kerana BN juga tidak bertanding pada PRK Parlimen Bukit Gelugor tahun lalu.

“Kita tidak boleh menghalang mana-mana individu untuk bertanding tetapi UMNO tidak akan meletakkan calon,” jelasnya ketika ditanya tentang kemungkinan calon Bebas bertanding dalam PRK DUN Chempaka.

Berhubung persiapan menghadapi kemungkinan PRK di Parlimen Permatang Pauh, Najib berkata, BN akan membuat keputusan setelah tafsiran Perlembagaan Persekutuan terhadap petisyen yang dikemukakan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dinasihatkan berdasarkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan itu dan SPR akan tentukan tarikh.

“Bila SPR tentukan tarikh, MT UMNO akan buat keputusan dan umumkan bila sampai masanya kelak,” katanya.

Status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh masih belum ditentukan selepas anaknya, Nurul Nuha mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sedang menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bn-tidak-bertanding-prk-dun-chempaka-1.63798#sthash.0mv06yB4.dpuf


Wednesday 25 February 2015

LIWAT : Keluarga Anwar yakin proses pengampunan

SELASA, 24 FEBRUARI 2015 @ 11:01 PM

MASA DIA BEBAS KAT LUAR HABIS SEMUA SULTAN DIA MAKI...SEKARANG SULTAN JUGA YANG KAU CARI BILA DAH KE DALAM..MEMAMG JENIS MANUSIA TAK MALU...


KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan yang mereka hari ini mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat II.

Anak kedua Anwar, Nurul Nuha, 31, dalam satu kenyataan malam ini, berkata petisyen itu dibuat "bersandarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan."

"Kami meletakkan keyakinan kepada proses perlembagaan ini serta percaya prinsip keadilan akan ditegakkan apabila kesemua fakta-fakta diteliti secara menyeluruh tanpa campur tangan politik mahupun mana-mana cabang kerajaan bersesuaian dengan prinsip pemisahan kuasa melalui institusi Raja Berperlembagaan," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan tindakan isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Datuk Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, menyerahkan petisyen itu untuk Yang di-Pertuan Agong kepada pegawai Istana Negara di sini petang tadi.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Beliau secara automatik akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh jika tidak memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Penasihat PKR itu mempunyai tempoh 14 hari bermula dari tarikh beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara, untuk memfailkan petisyen pengampunan.

- BERNAMA



Anak kedua Anwar, Nurul Nuha, 31. - Foto Amir Irsyad Omar



LIWAT : Keluarga Anwar kemuka permohonan pengampunan Diraja

SELASA, 24 FEBRUARI 2015 @ 6:08 PM

KALAU TAK LIWAT KENAPA NAK MINTA PENGAMPUNAN DIRAJA?


Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan kes liwat beliau.

Perkara ini disahkan oleh pihak Istana Negara kepada BERNAMA sebentar tadi.

Permohonan itu dikemukakan isteri beliau yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang hadir di Istana Negara bersama beberapa anaknya hari ini.

Hari ini adalah hari terakhir untuk Anwar mengemukakan permohonan pengampunan Diraja susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan beliau pada 10 Februari lalu bagi mengenepikan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bahari Azlan pada 2008.

Mahkamah Persekutuan juga mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhi Mahkamah Rayuan.

Ketua Pembangkang itu akan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh jika tidak mengemukakan permohonan untuk pengampunan diraja itu.

Sementara itu, beberapa pemimpin PKR dilaporkan berkata tindakan mengemukakan permohonan pengampunan itu bukan keputusan parti.

Anwar sebelum ini dikatakan tidak akan mengemukakan permohonan pengampunan itu untuk menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah.

Perhimpunan Melayu Sabtu ini

25 Februari 2015 1:58 AM



KUALA LUMPUR 24 Feb. – Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu berupaya menjadi platform untuk menyatupadukan orang Melayu yang selama ini berpecah akibat perbezaan ideologi politik.

Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, program itu akan memberi penekanan kepada usaha memperkasakan konsep maqasid syariah yang berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) secara konsisten.

Menurut beliau, setelah usaha itu membuahkan hasil, agenda seterusnya iaitu pembangunan orang Melayu dapat dilaksanakan secara teratur.

“Kita boleh bekerjasama dalam semua perkara yang melibatkan kepentingan bersama orang Melayu seperti agama, pendidikan dan ekonomi.

“Saya percaya matlamat itu tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak yang berkepentingan memainkan peranan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hasan mengulas tentang penganjuran Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu anjuran MPM di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini pada Sabtu ini.

Perhimpunan yang dijangka disertai lebih 20,000 orang termasuk ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik, ahli akademik dan orang ramai itu memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan pembangunan orang Melayu dengan berlandaskan konsep maqasid syariah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan amanatnya dalam perhimpunan yang dijadualkan bermula pada pukul 5 petang itu.

Orang ramai juga dinasihatkan membawa sejadah atau telekung sebagai persiapan untuk menyertai solat Maghrib berjemaah di lokasi perhimpunan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/perhimpunan-melayu-sabtu-ini-1.63249#sthash.owGglEQB.dpuf


APANAMA: Where did the 'inheritance' come from Mister Prime...

APANAMA: Where did the 'inheritance' come from Mister Prime...: Razak family concerned about inheritance talk, say siblings Published: 24 February 2015 8:44 PM  The family of the late Tun Abdul...

CELAH GELEGAR: ADIK BERADIK NAJIB bimbang Spekulasi bahawa Tun Ra...

CELAH GELEGAR: ADIK BERADIK NAJIB bimbang Spekulasi bahawa Tun Ra...: Keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein hari ini menolak cakap-cakap tentang peninggalan harta perdana menteri kedua Malaysia itu d...

Seseorang pandu 
MH370 keluar laluan asal

25 Februari 2015 1:18 AM


LONDON 24 Feb. - Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 didakwa sengaja diterbangkan keluar daripada laluan asalnya oleh seseorang di dalam kokpit semasa pesawat itu hilang pada 8 Mac tahun lalu.

Pakar penerbangan terkemuka, Malcolm Brenner berkata, hasil analisis data satelit ke atas pesawat itu mendapati, pesawat MH370 terbang selama beberapa jam selepas terputus hubungan.

Menurutnya, pemeriksaan teliti ke atas bukti-bukti menunjukkan MH370 mengubah haluannya sebanyak tiga kali selepas perbualan radio terakhir dengan menara kawalan.

Pesawat itu mula membelok ke sebelah kiri sebelum menukar arah ke barat dan seterusnya berpusing ke arah selatan menuju Antartika.

Brenner yang juga pakar terkemuka dalam mengkaji punca nahas penerbangan berkata, kesemua tindakan menukar arah itu ‘dengan jelas mencadangkan’, seseorang di dalam kokpit pesawat sengaja menerbangkan MH370 keluar daripada laluan asalnya.

“Kemalangan ini menarik perhatian masyarakat dunia menerusi cara yang saya tidak pernah saksikan sepanjang tempoh 40 tahun perkhidmatan saya dalam dunia penerbangan,’’ katanya sebagaimana dilaporkan Mail Online.

Dakwaan itu dibuat dalam program dokumentari terbaharu National Geographic yang disiarkan pada bulan depan dengan rancangan itu akan menunjukkan usaha Brenner dan sepasukan pakar dalam menyelesaikan misteri MH370.

Perkembangan itu seiring dengan dakwaan oleh penyelaras pencarian MH370 yang mendakwa pesawat membawa 239 penumpang itu akan ditemukan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Ketika usaha pencarian pesawat itu dijangka selesai pada Mei ini, Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan berkata, beliau berharap pasukannya akan menemukan rangka pesawat itu.

Bagaimanapun, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) kekal berdiam diri tentang isu itu dengan menyatakan bahawa kerajaan China, Malaysia dan Australia akan menilai tindakan seterusnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/seseorang-pandu-8232-mh370-keluar-laluan-asal-1.63125#sthash.H8kXpxrb.dpuf

AFC 2015 : Harimau Selatan tunjuk belang

Benam East Bengal 4-1 tanpa beberapa tonggak

MOHAMAD FAIZAL HASHIM | 25 Februari 2015 1:38 AM


SAFEE SALI meraikan kemenangan JDT bersama Safiq Rahim (tengah) selepas membenam wakil India, East Bengal India 4-1 dalam aksi Piala AFC di Stadium Larkin, Johor Bahru semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Biarpun merehatkan beberapa tonggak utama, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih mampu mengorak langkah kanan dalam kempen Piala AFC apabila membenam wakil India, East Bengal 4-1 pada perlawanan pertama Kumpulan F di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Semalam.

Ketiadaan tonggak utama seperti Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias tidak menjejaskan rentak permainan Harimau Selatan yang mempamer aksi me­yakinkan sejak awal permainan.

Malah, tuan rumah memperoleh gol pembukaan seawal minit kesembilan menerusi sepakan percuma Mohd. Nazrin Mohd. Nawi yang menewaskan penjaga gawang lawan, Abhijit Mondal.

Walaupun jarang beraksi dalam kebanyakan perlawanan, namun Safee Sali yang diturunkan dalam kesebelasan utama JDT tidak menghampakan jurulatih, Bojan Hodak.

Beraksi sebagai penyerang tunggal, pemain berusia 31 tahun itu turut memperoleh peluang untuk menambah jaringan, namun rembatan kencang dari luar kotak pe­nalti pada minit ke-26 sedikit melewati palang gol.

Walaupun tidak mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, pelawat tidak mensia-siakan sepakan percuma yang dihadiahkan pengadil dari Thailand Sivakorn Puudom apabila rembatan rendah Soleye Martins menerjah jaring pada minit ke-35.

Pada minit ke-38, Sivakorn menghadiahkan pula sepakan pe­nalti kepada JDT setelah bola ter­kena tangan pemain pertahanan, Milan Susak dan ia disempurnakan dengan baik oleh ketua pasukan, Safiq Rahim.

Tidak sampai lima minit perlawanan bersambung, anak-anak buah Hodak terus menambah jari­ngan menerusi larian pantas Jasa­zrin Jamaludin dari sayap kiri sebelum membuat lorongan kepada S. Chanturu yang mudah menolak masuk hantaran menerjah gawang pada minit ke-47.

Tujuh minit berselang, Harimau Selatan melebarkan kedudukan pada minit ke-54 apabila Mohd. Nazrin membuat hantaran silang yang disudahkan oleh Safee dengan penuh bergaya menerusi sepakan gunting yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.

Gol yang dijaringkan Safee membuktikan dia sudah kembali mendapatkan sentuhan terbaik, sekali gus membalas kepercayaan yang diberikan Hodak setelah sekian lama tidak diturunkan dalam ke­sebelasan utama pasukan.

Safee mempunyai peluang keemasan untuk menggandakan jari­ngan pada hujung permainan, namun rembatan kencangnya tepat ke arah penjaga gol dan keputusan kekal hingga ke wisel penamat.

JDT akan turun menentang Ba­lestier Khalsa dari Singapura bagi perlawanan kedua di Stadium Jalan Besar pada 10 Mac ini.

Satu lagi wakil negara, Pahang akan berdepan Yadanarbon hari ini.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-selatan-tunjuk-belang-1.63194#sthash.QbldLakA.dpuf

Monday 23 February 2015

LIGA SUPER : Mehmet pertikai sikap pemain JDT

MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 23 Februari 2015 12:38 AM


Luciano Figueroa meraikan gol penyamaan JDT ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam kelmarin.



SHAH ALAM - Hanya satu perkara yang menjadi topik perbualan sebaik sa­haja aksi Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berakhir di Stadium Shah Alam kelmarin, iaitu kontroversi jaringan penya­ma­an import Harimau Selatan oleh Luciano Figueroa pada minit ke-62.

Dari segi peraturan, jaringan itu sememangnya sah tetapi tinda­kan pemain JDT yang enggan menyepak keluar bola ketika Azmi Muslim mengadu kesakitan di bahagian perut selepas berlaga dengan penjaga gol Norazlan Razali membuatkan situasi di kem bangku simpanan kedua-dua pasukan cukup panas.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas perlawanan, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic tidak mahu memberi mengulas terlalu banyak atas apa yang terjadi sebaliknya menyerahkan kepada mereka yang menyaksikan perlawanan tersebut untuk membuat penilaian sendiri.

“Sebagai jurulatih, saya rasa dalam sukan bola sepak, apa yang betul dan apa yang salah...semua orang boleh melakukan penilaian sendiri dan bola sepak adalah sukan yang mementingkan semangat kesukanan.

“Saya masih ingat lagi bagaimana reaksi seorang pemain berkelas dunia Paulo Di Canio dalam satu perlawanan Liga England pada masa dahulu telah memberhentikan permainan apabila ada pemain lawan mengalami kecederaan biarpun dia mempunyai peluang yang cukup cerah untuk menjaringkan gol.

“Itulah yang sepatutnya terjadi dalam perlawanan hari ini (kelmarin), ada pe­ma­in sedang terbaring dalam ka­wa­san penalti dan anda patut ber­hentikan permainan walaupun tidak pasti (kecederaan itu) serius atau tidak, namun memang terbukti dia (Azmi) cedera teruk di bahagian rusuk dan terpaksa dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Mehmet juga dalam pada itu menyerahkan kepada pihak pengurusan sekiranya mahu membuat aduan rasmi terhadap insiden Safiq Rahim yang kelihatan menye­rang bek kanan Selangor, Mohd. Azrif Nasrulhaq tetapi pengadil tidak melayangkan sebarang kad kepada pemain tengah JDT itu.

“Saya tidak mahu bercakap apa-apa, takut nanti kena denda kerana mempertikai keputusan penga­dil...semua orang boleh nampak apa yang terjadi dan saya mahu serah kepada pihak pengurusan jika mereka mahu buat apa-apa tindakan, hendak mengadu sekarang pun, saya rasa sudah terlewat dan tidak boleh ubah apa-apa,” katanya.

Bojan Hodak pula mempertahankan tindakan pemain-pemainnya kerana mendakwa Selangor sudah mula melengah-lengahkan masa permainan bagi mempertahan kelebihan satu jaringan.

“Kami layak mendapat satu mata daripada aksi malam ini dan saya tidak fikir jaringan itu kontroversi kerana pemain-pemain saya melihat pemain Selangor sengaja melakukan taktik membuang masa.

“Itu sebab mereka tidak mahu membuang bola walaupun tahu ada pemain Selangor yang terbaring dan daripada segi statistik pun, kami lebih baik kerana melakukan 13 percubaan berbanding tiga oleh Selangor.

“Bukan sesuatu yang mudah mendapat satu mata dari sini dan saya rasa kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi bola sepak yang cukup menghiburkan,” katanya.

Selangor membuka tirai jaringan menerusi bintang import dari Indonesia, Andik Vermansah hanya 35 saat selepas sepak ula apabila dia berjaya melepaskan diri dari kawalan pertahanan JDT dan melepaskan rembatan lencong.

Jaringan penyamaan JDT diperolehi selepas percubaan Safiq Rahim yang diselamatkan oleh Norazlan mengenai tiang dan Figueroa pantas melakukan tindakan susulan untuk memastikan pasukannya membawa pulang satu mata ke Johor Bahru.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/mehmet-pertikai-sikap-pemain-jdt-1.62392#sthash.DATsFJ6j.dpuf


LIGA SUPER : Polis ‘tembak’ Kelantan

The Cops terus lakar kejutan

MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB | 22 Februari 2015 12:31 AM


Pemain Kelantan, Wan Zack Haikal (kanan) cuba melepasi asakan pertahanan PDRM, Onorionde Kughegbe dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam. The Red Warriors kalah besar 0-4 di depan penyokong sendiri. – Mingguan/Wahidin Salim


KOTA BHARU - Hanya seminggu selepas mengejutkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan mereka adalah ‘giant killer’ yang perlu diberi perhatian dalam saingan Liga Super musim ini apabila mem­belasah Kelantan 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Kemenangan bergaya itu membolehkan skuad bimbingan Azman Adnan melonjak ke tangga ketiga liga, selain mencalarkan rekod dua kemenangan berturut-turut yang dicatat The Red Warriors sebelum ini.

Biarpun beraksi di depan lautan merah 25,000 penyokong setia The Red Warriors, malah turun selaku pendatang baharu Liga Super, The Cops tidak langsung gementar.

Pasukan pelawat dikejutkan dengan beberapa percubaan tuan rumah yang bermula garang di awal permainan, termasuk menerusi sepakan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria berjaya disekat pertahanan import PDRM, Onorionde Kughegbe di atas garisan gol.

Begitupun, asakan tersebut tidak menjejaskan tumpuan mereka, malah kebimbangan yang pernah disuarakan Kelantan mengenai kelincahan Ashfaq Ali menjadi ke­nyataan apabila penyerang Maldives itu membuka jaringan The Cops pada waktu kecederaan babak pertama.

Ashfaq yang bijak melepasi perangkap ofsaid berjaya merembat bola ke penjuru kanan pintu gol tuan rumah yang sama sekali gagal di­selamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung babak kedua, PDRM tidak me­nunggu lama untuk menambah jaringan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit- 53 apabila Khairul Fahmi menjatuhkan Ashfaq Ali.

Dramane Thaore yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Khairul Fahmi.

Ashfaq Ali terus membuktikan ketajaman penyudahnya dengan meledak gol ketiga pada minit ke-73, sebelum Mohamadou Sumareh melengkap malam penuh gemilang PDRM dengan gol keempat pada minit ke-85.

- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/polis-8216-tembak-8217-kelantan-1.62016#sthash.DR6iu1YE.dpuf


POLITIK : Kepemimpinan 
ulama Pas disabotaj

Dewan Ulama Pas akui jika tidak dihentikan parti itu hancur

MOHD. ASRON MUSTAPHA | 21 Februari 2015 1:43 AM


Mohd. Khairuddin Aman

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Pas kini berdepan krisis perpecahan dalaman yang makin kronik apabila Dewan Ulama parti itu mengakui wujud cubaan untuk mensabotaj, merungkai dan mempertikaikan kepemimpinan ulama yang selama ini menjadi teras kekuatan parti tersebut.

Punca kepada masalah yang kian membarah sehingga menyaksikan kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang makin tergugat itu pula dikaitkan dengan kepelbagaian aliran pemikiran ahli Pas sendiri yang menyertai parti tersebut selepas era reformasi 1998.

Pengakuan itu yang hadir sehari selepas Abdul Hadi menuntut ke­setiaan selain mengingatkan kepada seluruh ahli Pas supaya jangan mengkhianati jemaah, me­nimbulkan persoalan berapa lama kepe­mimpinan ulama dalam Pas mampu bertahan daripada asakan kumpulan Anwarinas.

Malah Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali secara terbuka mengakui, jika serangan ke atas Majlis Syura Ulama dan Abdul Hadi yang digerakkan ahli parti sendiri tidak dihentikan dengan segera, Pas bakal menghadapi kehancuran.

“Akhir-akhir ini kepemimpinan ulama yang menjadi teras kekuatan Pas dan telah dilembagakan dalam perlembagaan Pas cuba disabotaj, dirungkai serta dipertikai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena majlis Multaqa Ulama SeMalaysia anjuran Dewan Ulama Pas yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Serdang Jaya esok.

Menurutnya, Wala’ (ketaatan) sebahagian ahli Pas juga telah beralih kepada pakatan bukan lagi terhadap parti Islam.

“Sedangkan ketaatan itu adalah wajib kepada ketua dalam konteks Islam selagi tidak bercanggah de­ngan syarak. Dalam hal ini kepada Presiden Pas (tetapi) dalam konteks Pas, wala’ itu telah cuba dilanggar serta diingkari oleh segelintir pe­mimpin dan juga ahli.

“Ahli Pas (hal ini berpunca) pascareformasi 1998 mempunyai pelbagai pemikiran atau kecen­derungan yang membawa kepada perpecahan dan serangan ke atas Majlis Syura Ulama serta Presiden jika tidak dibendung segera bakal membawa kehancuran kepada Pas,” katanya.

Semalam Abdul Hadi, yang ke­pimpinannya semakin tergugat terutamanya selepas kematian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan sebahagian ahli Pas mengkhianati jemaah atau berkhidmat kepada pihak lain ha­nya merugikan parti.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebook­nya, Presiden Pas itu antara lain menegaskan bahawa wala’ kepada perjuangan Islam dan jemaah seharusnya tidak berbelah-bahagi serta tidak boleh sama sekali memesongkan ahli daripada me­lakukan kerja jemaah.

Pergeseran antara kumpulan ulama dengan pemimpin yang pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan perkara baharu tetapi sejak beberapa bulan lalu masalah tersebut semakin kritikal sehingga dipercayai berlaku kekecohan dalam mesy­uarat Jawatankuasa Pas Pusat baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, sebahagian ahli Pas kini bukan sahaja terpikat dengan acuan kapitalis tetapi pemikiran liberal dan sekular juga sudah mula meresap masuk secara perlahan-lahan ke dalam Pas atas alasan mahukan keterbukaan.

“Strategi kemenangan gerakan Islam mula ditinjau dari sudut pandang Barat dan pemikiran sekular. Keimanan tidak lagi menjadi teras kepada pembentukan strategi,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kepemimpinan-8232-ulama-pas-disabotaj-1.61868#sthash.LatO6tOX.dpuf


POLITIK : Christopher tak wakili suara majoriti

23 Februari 2015 1:38 AM


Keratan Mingguan Malaysia semalam.


KUALA LUMPUR 22 Feb. – Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong tidak berhak menganggap kritikannya terhadap institusi kehakiman di negara ini mewakili suara majoriti ahli-ahli badan berkenaan.

Ahli Majlis Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tidak semua ahli badan berkenaan bersetuju dengan pandangan Christopher yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Menurut beliau, proses pemilihan yang menyaksikan Christopher dilantik sebagai Presiden Majlis Peguam pada 16 Mac 2013 cuma melibatkan sebanyak 1,304 ahli.

“Ada pihak berpandangan desakan yang disuarakan oleh lebih 100 ahli Majlis Peguam supaya Christopher menarik balik kenyataannya itu tidak mewakili kumpulan majoriti.

“Kalau begitu, pandangan Christopher juga tidak mewakili suara majoriti kerana jumlah ahli Majlis Peguam yang mengundi beliau sebenarnya tidak sampai 10 peratus daripada kira-kira 15,000 ahli pada 2013,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, lebih 100 peguam termasuk Mohd. Khairul Azam memberi kata dua kepada Christopher iaitu sama ada menarik balik kenyataan mempertikaikan keputusan mahkamah itu atau meletak jawatan.

Christopher sebelum ini pernah menyatakan menerusi media bahawa Anwar ‘dianiaya, bukan didakwa’ apabila Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu setelah menolak rayuan terakhir dalam kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Mohd. Khairul Azam menambah, usul undi tidak percaya akan dikemukakan terhadap Christopher sekiranya beliau gagal menarik balik kenyataan tersebut sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam diadakan pada 14 Mac ini.

“Kami juga sedang giat melancarkan gerakan mendapatkan sokongan ahli-ahli Majlis Peguam yang lain bagi mendesak Christopher untuk berundur,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/christopher-tak-wakili-suara-majoriti-1.62515#sthash.H16R2AWe.dpuf

POLITIK : Mat Sabu, Hatta wajar bersihkan nama

KHAIRUL ABIDIN NUAR | 23 Februari 2015 1:38 AM


RAZMAN ZAKARIA




IPOH 22 Feb. - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan Pengarah Pilihan Raya­nya, Dr. Mohd. Hatta Ramli wajar tampil memberi penjelasan bagi membersihkan nama mereka daripada tuduhan menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, tuduhan seumpama itu boleh dilemparkan oleh sesiapa sahaja, justeru siasatan wajar dijalankan, malah tindakan perlu diambil sekiranya dakwaan dilakukan adalah benar-benar berlaku.

“Perkara ini baru tuduhan, kita pun tidak tahu (kebenarannya). Sesiapa sahaja boleh melemparkan tuduhan. Yang diminta ialah supaya dibuat siasatan. Kalau tak betul, alhamdulillah. Kalau betul, kita kena ambil tindakan. Kalau nak dikira tabayyun (mendalami masalah de­ngan teliti), ayat al-Quran pun ada (menyebut), apabila kita menerima sesuatu berita, maka kita kena siasat.

“Memang sepatutnya dalam gerakan kita melibatkan satu jemaah ini, apabila ada sesuatu dilemparkan kepada kita, lebih baik kita sendiri yang tampil membersihkan nama. Kalau tak ada pembersihan ini, mungkin ada satu badan lain pula yang membuat pengesahan kepada perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran pakatan pembangkang negeri di pekarangan Wisma DAP di sini hari ini.

Razman diminta mengulas kewajaran Mat Sabu dan Mohd. Hatta tampil membersihkan nama mereka selepas seorang wakil Dewan Ulama Pas Kedah, Fauzi Hussin mengaitkan kedua-duanya sebagai dalang untuk menjatuhkan Abdul Hadi sewaktu membahaskan ucapan Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob dalam Multaqa Ulama SeMalaysia II di Serdang Jaya, Selangor, semalam.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada Pas negeri mengiktiraf kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Razman berkata, pihaknya mengikut ketetapan Majlis Syura Ulama selaku badan tertinggi dalam parti itu yang menetapkan supaya ahli-ahli Pas tidak terlibat dengan program dianjurkan persatuan itu.

“Badan ini melihat serta membuat teguran supaya perjalanan Pas mestilah tidak lari daripada al-Quran dan as-sunnah kerana ada yang membawa sesuatu tidak baik kepada parti.

“Maka, sebagai pesuruhjaya yang merupakan badan perhubu­ngan dan dilantik daripada keputusan Pusat, maka kita kena bawa ketetapan ini ke peringkat dasar. Kita hanya menyambung keputusan dasar ini,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/mat-sabu-hatta-wajar-bersihkan-nama-1.62505#sthash.4zaU1PJb.dpuf


Mengenang 65 tahun peristiwa Balai Polis Bukit Kepong

23 Februari 2015 1:39 AM


ANGGOTA polis yang bertugas ketika tragedi berdarah komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada tahun 1950.

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Antara sedar atau tidak, tragedi berdarah komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor semasa berlakunya darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia kedua genap 65 tahun esok.

Dalam kejadian yang berlaku pada 23 Februari 1950 itu, Balai Polis Bukit Kepong diserang oleh 180 komunis sekitar pukul 5 pagi menyebabkan 14 anggota polis terkorban.

Apa yang semakin dilupakan mengenai kejadian itu ialah sekitar 25 anggota polis berjuang habis-habisan sehingga menyaksikan seorang demi seorang perwira gugur angkara komunis sementara dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan terus bertempur bersama anggota lain sehingga kehabisan peluru.

Sungguhpun dengan kekuatan anggota yang sedikit serta keupayaan senjata yang terbatas, pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd. Shah enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka mengalah sementara sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan shotgun turut digerakkan dari Kampong Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali Mustaffa untuk memberi bantuan.

Dalam detik terakhir pertempuran menyayat hati itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis selain melepaskan tembakan mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu.

Melihat kemusnahan balai polis itu menyebabkan penduduk Kampung Durian Chondong di sebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.

Hanya selepas lima jam bertempur, baharu pihak komunis berjaya menawan dan membakar balai polis itu sebelum berundur ke dalam hutan dengan meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian.

Tragedi Balai Polis Bukit Kepong telah meragut 25 nyawa termasuk 14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, empat pengawal kampung, tiga polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud iaitu anggota polis yang terselamat dan tiga anak mereka sementara mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.


SEMUT HITAM: OKU PUN TAK SUKA 'ANJING' MELALAK!!!

SEMUT HITAM: OKU PUN TAK SUKA 'ANJING' MELALAK!!!: Spesis "...." Dua Kaki ni bukannya reti bahasa!!! Diorang menyalak ikut suka hati diorang je... Jangan kata orang yang normal...

Putra Merdeka: Baca & Fahamkan..!

Putra Merdeka: Baca & Fahamkan..!: Adat kita mendengar nasihat..! MENGAPA UMNO DAN PAS PATUT BERKERJASAMA (Ringkasan Pandangan Saya) Oleh  Tun Ab...

Monday 16 February 2015

Liga Super: PDRM gigit JDT, Perak dan Sarawak tunjuk taring

SABTU, 14 FEBRUARI 2015 @ 11:27 PM

Oleh Syed Riduan Ahmad/Mohd Amin Jalil/Asrol Awang.

KUALA LUMPUR: Mohamadou Sumareh muncul wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jaringan tunggal pada lewat babak permainan menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 dalam saingan Liga Super, malam ini.

Gol hasil gerakan solo daripada pemain import dari Gambia itu menyusul pada minit ke-76 dalam saingan menarik di Stadium Shah Alam untuk menyentap cabaran Harimau Selatan yang hadir dengan niat memburu kemenangan buat mencari penawar duka.

Perak dan Sarawak turut ceria merakamkan kemenangan masing-masing. Perak menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 manakala Sarawak garang di Kuching menewaskan Terengganu 3-1.

Kemenangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu menyaksikan Perak memintas kedudukan Lions XII dari Singapura selaku pendahulu liga di persada Liga Super.

Dua gol skuad 'The Bos Gaurus' disumbang oleh kapten pasukan, Mohd Nasir Basharuddin pada minit ke-21 dan Muhammad Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-53.

Apa pun, kedudukan berkenaan dijangka berubah apabila Kelantan menerima kunjungan Lions XII pada aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Ahad.

Dalam perlawanan lain, Selangor bangkit untuk seri 1-1 dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Skuad Tok Gajah mendahului menerusi Matias Conti pada minit ke-58 tapi Andik Vermanshah menyamakan kedudukan untuk Selangor pada minit ke-64.

FELDA United turut ceria merakamkan kemenangan 3-0 ke atas Sime Darby di Stadium MP Selayang.

Tiga gol skuad 'The Fighters' dijaring oleh Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-12, Makeche Ndumba (m-15) dan kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan pada minit ke-77.

Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak mendahului menerusi jaringan Billy Mehmet Osman pada minit ketiga sebelum Ashri Chuchu menggandakan kedudukan, dua minit kemudian.

Penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel merapatkan jurang untuk pelawat pada minit ke-14 sebelum Joseph Kalang Tie mengesahkan kemenangan mutlak Sarawak pada minit ke-39.



PEMAIN JDT , Luciano Gabriel Figueroa (kanan) diasak pemain PDRM FC, Afif Amiruddin dan Kughebe Onoriode dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. . - Foto Osman Adnan


LIWAT : Kes Anwar bukan satu konspirasi

15 Februari 2015 12:09 AM



MUKADIMAH : KES Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula sejak 2008 telah menemui noktahnya pada 10 Februari lalu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Ketua Pembangkang itu bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Namun, pelbagai teori konspirasi dan tuduhan yang mengatakan Anwar tidak bersalah, sebaliknya dianiaya oleh “orang jahat” masih dicanang oleh pembangkang bagi meraih simpati dan mengelirukan rakyat. Bagi menjawab tuduhan-tuduhan yang masih berlegar itu, wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, AMIRUDDIN HARUN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewancara TAN SRI DR. MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH yang dilantik mengetuai pendakwaan kes itu pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu. 

Menurut beliau, keterangan terhadap Anwar dalam kes ini terlalu kuat untuk membuktikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah sehingga tidak seorang pun daripada 14 orang peguam Anwar berani mempertikaikan fakta kes tersebut. 

"Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah," katanya.

MINGGUAN: Selepas 10 Februari lalu, Tan Sri berkata secara profesional berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan berpendapat bahawa keadilan akhirnya ditegakkan. Bagaimana pula secara peribadi?

MUHAMMAD SHAFEE: Dari segi peribadi, saya tidak ada isu langsung sebab itu satu tugas yang diberikan kepada saya oleh Peguam Negara. Jadi saya laksanakan. Kalau ada pun dari segi peribadi, hanya berkenaan sama ada saya sendiri percaya dengan kesalahan Anwar sebelum saya membuat tugas rasmi tersebut. Sebab, kalau saya sendiri tidak percaya dan saya rasa dia dianiayakan, saya tidak akan buat kes itu. Tetapi saya percaya apabila saya lihat rekod rayuan tersebut. Hari pertama saya dapat (rekod rayuan), saya sudah baca sampai pagi sebab saya hendak tahu dengan jelas. Tidak ada langsung keraguan bagi saya yang Anwar salah. Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar dan sebab asas hanyalah berkenaan dengan beg plastik.

Jadi, Mahkamah Rayuan kata kalau itu sahaja sebabnya, sebab itu tidak bagus kerana kita ada banyak kes keadaan yang sama. Ada kotak yang hancur tetapi di dalam kotak itu ada bahan bukti yang termeterai dalam plastik-plastik berasingan tetapi mahkamah terima asalkan boleh buktikan benda itu tidak tercemar. Semasa ahli kimia terima, dia kata sampel-sampel itu tidak tercemar dan masih lagi sempurna. Satu lagi perkara yang ketara ialah apabila ahli kimia periksa, dia dapat profil asid deoksiribonukleik (DNA) "Lelaki Y". Empat-empat itu dapat "Lelaki Y". Kalau kita bandingkan standard dalam dunia, negara kita dikatakan mempunyai keperluan yang paling tinggi sekali. Kita minta 16 bacaan sepadan.

Dalam tubuh kita, DNA kita ini, berjuta-juta dan trilion lokus (tempat) yang kita ada. Cap jari kita pun berjuta-juta dan trilion lokus. Macam-macam punya berlainan tetapi kita perlukan 16 sahaja. Kalau 16 bacaan sepadan jari kita dengan cap jari, itulah orangnya. Kebarangkaliannya ialah satu bersamaan dengan beberapa quadrilion, bukan trilion. Ertinya mustahil orang lain yang ada sama cap jari termasuk dengan dia (Anwar) ini. Tidak ada jari orang lain yang sama bacaan dengan bacaan yang kita kata 16 tadi.

Sebab negara kita, ada undang-undang yang tidak wajibkan DNA diberi secara sukarela oleh orang yang kena tuduh seperti Anwar. Negara-negara lain diwajibkan. Kalau tidak beri, akan jadi kesalahan undang-undang. Oleh sebab itu, Anwar ambil kesempatan tidak mahu beri langsung DNA. Kalau dia tidak salah, apa yang dia takut tetapi itu hak dia. Apabila dia ditangkap, DNA Saiful sudah hantar kepada ahli kimia dan ahli kimia sudah tahu keputusan tetapi kita tidak tahu siapa "Lelaki Y". Apabila Anwar ditempatkan di dalam lokap, dia diberi tuala Good Morning, berus gigi dan ubat gigi. Dia sendiri bawa masuk satu botol minuman. Isterinya beri dia dua helai tuala yang bersaiz medium.

Apabila dia bangun pagi itu, dia sudah gunakan berus gigi dan ada pengawal yang dengar dia memberus gigi. Air itu juga habis dia minum tetapi botol dia tinggalkan. Dia tinggal ubat gigi, berus gigi dan tuala Good Morning. Yang ini dihantar kepada ahli kimia yang lain. Ahli kimia yang pertama itu namanya Dr. Seah Lay Hong. Ahli kimia kedua yang pakar DNA ini namanya Nor Aidora Saedon. Dia memeriksa DNA tanpa tahu menahu siapa punya DNA, tetapi dia diberitahu lokus yang sama untuk buat perbandingan. Apabila dia periksa, dia pun kata "Lelaki Y" tetapi tidak tahu profil DNA "Lelaki Y" yang itu dan yang ini, sama atau tidak. Apabila Nor Aidora bandingkan, 100 peratus sepadan. Habis cerita. Begitulah betapa kukuhnya kes ini.

Dalam kenyataan Tan Sri tentang ”Anwar Ibrahim Verdict”, kenapa Tan Sri mengharapkan rakyat Malaysia di dalam dan luar negara membaca fakta secara teliti dalam penghakiman sebelum membuat kesimpulan?

MUHAMMAD SHAFEE: Oleh sebab kes kita ini amat kuat. Keterangan terhadap Anwar ini terlalu kuat. Kita tidak boleh pertikai. Tak boleh hendak kata apa-apa pun berkenaan dengan fakta ini. Kalau saya jadi peguam bela dia pun, saya pening kepala sebab keterangan memang kuat. Jadi, oleh sebab keterangan itu kuat, kita berani kata sila masuk, kita tengok keterangan itu. Jangan cerita benda-benda lain. Konspirasilah, itulah dan inilah, semua itu cerita politik untuk propaganda. Kalau kita hendak tahu orang ini dianiayakan atau tidak, kita tengok fakta kes. Mereka tidak berani masuk fakta kes. Saya tidak pernah dengar sekalipun dalam mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan yang Anwar kata itu bukan DNA dia. Apa yang dia pertikaikan ialah cara DNA itu dikaji, cara analisis itu semua dia kata teknik salah.

Apabila dia beri keterangan dari kandang tertuduh (dock), bukan kandang saksi, jadi dia tidak boleh disoal balas. Jadi, dia penakutlah dan ada yang dia nak sembunyi. Selalunya keterangan dari dock ini, orang-orang yang lemah fikiran dan otaknya tidak pandai. Mungkin orang terlalu muda atau ada cacat sedikit cara pemikirannya. Anwar bukan sebegitu. Anwar cakap lancar, bijak fikiran dan orang yang petah. Pasal apa dia tidak masuk dalam kandang saksi. Walhal subjek, Saiful ini tujuh hari disoal balas dan Saiful sekali pun tidak tersilap dari segi beri keterangan. Jadi, mahkamah jelas. Anwar main sandiwara banyak sangat.

Anwar dan penyokong beliau masih anggap ini merupakan konspirasi politik dan bukan kisah aduan “serangan seksual” majikan ke atas pekerjanya. Apa komen Tan Sri?

MUHAMMAD SHAFEE: Kalau konspirasi politik, ini bukan baru bermula. Ia bermula daripada kes liwat pertama. Kalau begitu konspirasi, orang yang harus masuk dalam konspirasi ini ialah Karpal Singh juga sebab dia timbulkan perkara ini dalam tahun 1997, setahun sebelum Anwar dibuang kerja. Kita hendak tanya Anwar, konspirasi itu apa maksudnya? Apakah konspirasi untuk kenakan dia atas perkara memang dia lakukan atau konspirasi kenakan dia atas perkara dia tak pernah lakukan. Kalau dia lakukan, kalau orang kata kita perlu siasat dan kenakan dia, itu bukan konspirasi yang salah di sisi undang-undang. Polis pun pakat kalau hendak siasat kes tetapi itu konspirasi yang tidak ada maksud membuat kesalahan undang-undang, sebab itu hak polis untuk siasat termasuk kes liwat kedua ini.

Orang tanya kenapa Saiful pergi jumpa Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum dia kena liwat pada 26 Jun 2008. Menurut Saiful, dia sudah hilang akal berkenaan kepada siapa dia hendak laporkan kerana ini Anwar, Ketua Pembangkang. Dahulu pun, Anwar menang kes itu. Apabila Saiful datang jumpa, Najib terus katakan tidak boleh dan nasihatkan Saiful jumpa Ketua Polis Negara (KPN) pada masa itu. Najib beritahu Saiful perkara ini amat sensitif dan tidak mahu orang buat tuduhan.Apabila Saiful hubungi KPN, beliau pula minta Saiful jangan telefon dia lagi kerana ingat Saiful main-main. Jadi, Saiful serba salah. Apabila perkara 26 Jun 2008 berlaku, Saiful letak jawatan kerana tidak sanggup diliwat lagi sebab sembilan kali dia kena. Saiful kata dia tidak rela tetapi terpaksa menyerah kerana dominasi Anwar terlampau kuat. Hari itu, Saiful kata tidak mahu tetapi Anwar marah dia dan minta dia masuk ke dalam bilik.

Kita hendak tanya di mana kita boleh dapat air mani Anwar? Bukan dia simpan dalam bank. Bukan hanya air mani tetapi air mani itu ada sperma. Dalam kes ini, oleh sebab antara 48 hingga 56 jam, ekor sperma sudah putus sebab proses pembusukan sudah berlaku tetapi tidak begitu ketara. Sebab itu ekor sperma itu tidak ada. Ahli kimia kata proses pembusukan itu tidak mencemarkan. Dia mendapat DNA daripada kepala sperma. Apabila dia pecahkan tiap-tiap kepala, dia ekstrak DNA. Itu yang 16 bacaan menunjukkan Anwar.

Walaupun dengan bukti-bukti kukuh ini, penyokong Anwar masih tidak percaya insiden liwat ini benar-benar berlaku tetapi masih menganggap satu konspirasi.

MUHAMMAD SHAFEE: Dalam mahkamah, peguam Anwar sendiri tidak kata itu bukan dia punya DNA. Jadi, apa yang penyokong-penyokong bising. Peguam dia 14 orang, tidak pernah seorang pun kata itu bukan dia. Hanya mereka mempertikaikan proses analisis. Itu sahaja. Kalau proses analisis itu, macam mana dapat 16 daripada 16 bacaan.

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengatakan hukuman penjara lima tahun itu ialah pengorbanan Anwar untuk rakyat Malaysia. Tidakkah ini mengelirukan rakyat?

MUHAMMAD SHAFEE: Mana ada pengorbanan. Kalau pengorbanan, dia mengaku salahlah. Yang itu baru kita kata korban. Ini dipaksa masuk dalam penjara sebab didapati bersalah sebab dia bohong daripada awal. Awal-awal lagi dia kata pembelaan dia ialah alibi. Sebanyak 13 nama dia beri masuk tetapi seorang pun dia tak panggil sebab daripada awal lagi dia hendak tipu. Dia hendak kata dia bukan di apartment itu tetapi di apartment sebelah. Akhirnya apabila kita tunjuk kamera litar tertutup (CCTV), dia sudah terpegun. Alibi dia semua habis terbang. Saya pun hendak tengok dia panggil Wan Azizah untuk apa. Dalam keterangan dari kandang pun dia tidak kata alibi. Jadi, alibi kira lesap terus.

Anak perempuan Nurul Izzah ada bertanya kepada Anwar, “Atuk, kenapa mereka cakap pasal penjara?” Anwar cakap kepada cucunya, “Orang jahat nak sumbat atuk dalam penjara.” Komen Tan Sri?

MUHAMMAD SHAFEE: Saya rasa kalau dia kata orang jahat, bukan sahaja mahkamah, dia maksudkan ada konspirasi dengan kerajaan, menteri-menteri, Perdana Menteri, Pendakwa Raya dan polis pun termasuk. Kita tengok konspirasi ini. Ada satu kes di India melibatkan Sushil Sharma yang dipanggil sebagai kes pembunuhan Tandoor. Dia orang politik di Delhi, Ketua Pemuda Parti Kongres, seorang yang berpengaruh. Dia bergaduh dan menembak mati isterinya. Dia bawa mayat perempuan itu ke restorannya dan dimasukkan dalam tandoor untuk dibakar bagi hancur tetapi badan manusia bau kuat.

Polis pun tengok dan nampak ada kaki dan jari tetapi badan hampir hancur. Itu pun DNA ahli politik ini dipertikaikan. Dia kata konspirasi daripada polis, ahli kimia, kerajaan dan macam-macam lagi untuk jatuhkan karier politiknya, sama seperti Anwar tetapi semua bahan bukti ini sudah diperolehi. Dia pun buat alibi tetapi tidak pakai alibi tetapi dia lari dari tempat itu. Dia pun beri keterangan dari dock, macam Anwar 100 peratus.

Kalau konspirasi, mesti ada konspirasi daripada Saiful, kerajaan dan mungkin Kabinet, polis dan empat doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tetapi yang doktor ini menarik. Pada 28 Jun 2008, Saiful pergi ke Hospital Tawakal dahulu tetapi diberitahu hospital itu beroperasi sampai tengah hari dan tidak ada doktor.

Baru dia pergi ke Hospital Pusrawi dan jumpa dengan doktor dari Myanmar yang mahkamah kata tidak jujur. Memang dia mengaku dia buat itu semua silap. Benda yang dia tidak pernah tulis dalam rekod, selepas tiga minggu baru dia tulis untuk menyokong Anwar. Dia yang kata Saiful kena pergi HKL sebab di situ tidak ada forensik.

Apabila sampai HKL 3.30 petang, akhirnya Saiful diperiksa pukul 9.30 malam. Kamu fikirlah kalau ada konspirasi, takkan mereka tidak aturkan untuk permudahkan. Selain itu, ahli kimia pun kena masuk konspirasi. Dua ahli kimia; seorang Cina dan seorang Melayu. Doktor pun ada satu Cina dan tiga Melayu. Selepas itu pegawai penyiasat, timbalan pendakwa raya yang awal dan saya pun mesti ada dalam konspirasi dan hakim pun mesti konspirasi, tetapi hakim pertama buang kes. Mana ada konspirasi.

Kes jenayah ini, semua dikatakan konspirasi, sebaliknya apabila kes sivil yang banyak mereka menang tidak pula dikatakan konspirasi?

MUHAMMAD SHAFEE: Hakim yang dia maki hamun di Mahkamah Tinggi, hakim itu yang bebaskan dia. Apabila hakim itu bebaskan dia, dia kata keadilan ditegakkan. Cuba tengok dalam kes liwat satu, Anwar dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan. Mereka ada baca penghakiman tentang Anwar. Dalam itu, dia kata macam-macam pasal Anwar. Seorang peguam Anwar masa itu, Christopher Fernando muncul di televisyen dan menyatakan ini hari paling istimewa bagi badan kehakiman sebab buang kes ini. Selepas itu, mereka baca keputusan dengan terperinci. Hakim kata, walaupun Anwar dilepaskan atas dasar teknikal, ada bukti-bukti menunjukkan dia homoseksual. Ada aktiviti itu berlaku di Tivoli Villa.

Pada 2014, mereka cuba buat satu permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk buangkan kenyataan-kenyataan berkenaan yang hakim Mahkamah Persekutuan dahulu kata, tetapi hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu kata tidak boleh kerana ini dapatan fakta daripada mahkamah. Dia kata, kita kekalkan sebab ada dasar dan sebab kukuh kenapa dapatan fakta itu dibuat. Jadi, ia jadi lebih konkrit.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menyatakan Ketua Pembangkang sepatutnya lebih wajar didakwa mengikut Seksyen 377C iaitu bagi kesalahan lebih berat yang akan mendedahkan Anwar kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun. Soalnya, kenapa pasukan Pendakwa Raya memilih untuk mendakwa Anwar di bawah Seksyen 337B yang tidak menetapkan tempoh penjara minimum?

MUHAMMAD SHAFEE: Dalam kes 377C, kita harus tunjukkan dengan begitu jelas yang tidak ada kerelaan dia dan dibuat dengan paksaan. Jadi, Peguam Negara mungkin kata kenapa hendak pergi melalui jalan itu kerana kesalahan itu memang kesalahan, sama ada dengan kerelaan Saiful atau tidak. Hukuman maksimum penjara 20 tahun juga.

Kalau Anwar kena 377C, hukuman penjara minimum lima tahun. Kalau minimum lima tahun, dia mesti terpaksa kena penjara tujuh atau lapan tahun. Lagi satu, dia kena rotan. Orang lebih 50 tahun tidak boleh dirotan kecuali kes 377C sebab kes itu serius. Mungkin sebab itu Peguam Negara tidak mahu kontroversi sangat sebab Anwar sudah berumur dekat 70 tahun. Dia patut berterima kasih kepada Peguam Negara.

Datuk S. Ambiga menyatakan dia kecewa kerana Tan Sri "menyerang" Anwar apabila mengeluarkan kenyataan menghina Anwar selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara selama lima tahun bagi pertuduhan liwat. Tan Sri juga didakwa melanggar hak asasi manusia apabila "menyerang" Anwar yang tidak boleh mempertahankan diri. Komen Tan Sri?

MUHAMMAD SHAFEE: Saya hanya keluarkan kenyataan sebab mula-mula Christopher Leong kata ini bukan pendakwaan tetapi penganiayaan. Sebagai Presiden Majlis Peguam, dia tidak boleh bercakap macam itu. Ertinya apa? Mahkamah buat aniaya, saya buat aniaya dan polis semua buat aniaya. Takkan saya tidak ada hak asasi saya sebagai Pendakwa Raya untuk menegakkan apa yang saya buat itu betul. Saya hanya menjawab. Dia yang buka pekung dulu.

Kemudian Ambiga masuk buat cerita Barisan Nasional (BN) salah langkah untuk mempenjara Anwar. Adakah mahkamah itu sebahagian BN? Sepatutnya Ambiga didakwa menghina mahkamah kerana dia menyabitkan mahkamah seolah-olah sebahagian BN. Saya cadangkan Peguam Negara ambil tindakan. Kalau perkara-perkara begini dikeluarkan, takkan kita tidak boleh jawab? Kalau kita tidak jawab, rakyat masih percaya.

Bagaimana dengan status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh? Adakah ia akan terbatal selepas tempoh 14 hari daripada tarikh sabitan dan hukuman? Tempoh itu mungkin lebih panjang sekiranya Anwar mengemukakan petisyen bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong?

MUHAMMAD SHAFEE: Anwar ada 14 hari untuk kemukakan rayuan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Tetapi yang peliknya, kalau kita hendak minta ampun, kita mesti kata kita salah dan minta ampun. Boleh kita kata kita tak salah tetapi kita hendak minta ampun. Kedua, ini bermaksud dalam 14 hari itu dia masih lagi Ahli Parlimen. Selepas 14 hari itu pun dia masih lagi ahli Parlimen. Sebab badan Parlimen kena bersidang dan membuat keputusan berdasarkan kes ini, dia harus disingkirkan, barulah keahlian hilang. Ini berdasarkan kes Ahli Parlimen daripada DAP, Fan Yew Teng pada 1975.

Sistem kehakiman dan mahkamah kita pada mata dunia sudah teruk sebab diburuk-burukkan dan dihentam. Bagaimana hendak memulihkannya?

MUHAMMAD SHAFEE: Apabila mahkamah buat keputusan setiap kes, hakim mesti tulis alasan penghakiman. Alasan penghakiman itu akan menunjukkan cara perjalanan otak hakim tersebut. Kalau tersalah tulis atau tersalah penghakiman, ia akan tertera dalam tulisan tersebut. Orang boleh baca. Jadi, standard alasan penghakiman mesti dipertingkat. Jadi, bukan sahaja kita tahu bahawa kita buat penghakiman yang baik tetapi orang juga harus tahu dengan membaca alasan yang kita buat keputusan yang baik. Jadi, penghakiman berlaku dan penyaksi penghakiman dilakukan juga mesti ada. Itu dalam bahasa Inggeris kata “not only justice must be done but justice must be seen to be done”. Sebab baru ada keyakinan.

Cara kita kendali dalam mahkamah pun mesti baik termasuk etika dan cara kita dengar. Saya percaya orang Melayu paling bagus sebagai hakim. Kita sabar dan tidak mudah hilang sabar. Bukan kita hendak jadi rasis tetapi peguam bangsa lain pun kata Melayu lebih bagus sebab kita sabar. Kalaulah saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu saya mati masuk neraka. Di sini, di dunia saya dah masuk neraka. Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi kepada anak atau keluarga saya. Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/kes-anwar-bukan-satu-konspirasi-1.59532#sthash.kIKs2ECs.dpuf