PEMAIN-pemain Brazil meraikan jaringan keempat mereka ketika menumpaskan Cameroon 4-1 dalam perlawanan Kumpulan A di Brasilia, pagi ini. - REUTERS
JARINGAN berganda bintang sensasi, Neymar mengesahkan Brazil ke pusingan kedua selaku juara Kumpulan A selepas menumpaskan Cameroon 4-1 di Stadium National Brasilia, pagi ini.
Fred serta Fernandinho, masing-masing menambah jaringan pada minit ke-49 serta 84, sekali gus membawa tuan rumah berdepan Chile di pusingan kedua, Isnin ini.
Penyerang Barcelona, Neymar menemui dua jaringan pada separuh masa pertama dalam usaha memecah kebuntuan tetapi pemain tengah Cameroon, Joel Matip menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-26.
Bintang muda tersebut meledakkan gol pertama pada minit ke-17 dari jarak dekat dalam kotak penalti hasil hantaran kemas Luiz Gustavo, dan jaringan kedua pula minit ke-35.
Neymar kini mencul penjaring terbanyak setelah meledak empat gol sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.
“Ini adalah permainan terbaik kami.
“Semua orang berhak menerima ucapan tahniah atas usaha mereka hingga wisel penamat," kata Neymar.
Brazil menamatkan saingan dalam kumpulan dengan mengumpul tujuh mata apabila menang dua dan seri satu.
Mereka berkongsi mata bersama Mexico yang menumpaskan Croatia 3-1, cuma dibezakan oleh jaringan.
Brazil tidak pernah tercicir dalam pusingan kedua sejak 1970 dan merupakan negara yang beraksi sepenuhnya dalam kesemua 20 edisi Piala Dunia.
Bermain di hadapan hampir 70,000 penyokong, Brazil memberi tekanan kepada Cameroon pada permulaan perlawanan dan banyak mencipta peluang.
Namun, Cameroon berjaya mengukuhkan benteng pertahanan daripada dibolosi tuan rumah.
Cameroon terpaksa bermain tanpa Samuel Eto akibat kecederaan lutut, namun mereka tetap mencipta banyak peluang pada separuh masa pertama.
“Babak pertama tidak teruk sangat, tetapi apa yang kita perlukan adalah fokus selama 90 minit dan ini bukanlah pertama kali berlaku.
“Ada jaringan yang mampu dicipta, tiga kali kita dapat peluang dan mengawal bola, namun ia tetap gagal," kata pengendali Cameroon, Volker Finke.
Kali terakhir Cameroon mara ke peringkat suku akhir adalah semasa Piala Dunia 1990.
No comments:
Post a Comment