SPIELBERG, Austria - Nico Rosberg berjaya mengatasi saingan sengit yang diberi rakan sepasukan, Lewis Hamilton untuk menjuarai Grand Prix (GP) Austria, semalam dengan Mercedes meraih kejayaan satu-dua buat kali keenam musim ini.
Kejayaan itu adalah kemenangan ketiga Rosberg tahun ini, dan yang keenam secara keseluruhan setelah pelumba itu melebarkan kedudukan di tempat teratas dalam senarai kejuaraan dunia, mengatasi Hamilton dengan 29 mata.
Valtteri Bottas menamatkan saingan di tangga ketiga yang merupakan keputusan podium pertama yang berjaya dilakar pemandu itu sepanjang kariernya dalam Formula Satu, sementara rakan sepasukan, Felipe Massa yang memulakan perlumbaan di petak pertama, menamatkan saingan di tempat keempat.
Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel berdepan masalah enjin pada pusingan kedua, dan tidak menamatkan perlumbaan ketika saingan masuk pusingan ke-36 di litar yang merupakan laman sendiri buat Red Bull.
Hamilton, yang sekadar menempah petak kesembilan pada kelayakan, memulakan perlumbaan dalam cuaca panas terik, dan berjaya menempatkan jenteranya di kedudukan keempat sejak awal saingan lagi.
Rosberg yang memulakan perlumbaan di petak ketiga pantas memintas Bottas, tetapi dia kehilangan kedudukan tersebut tidak lama selepas selekoh pertama. Massa pula daripada kedudukan pertama jatuh ke ke tangga keempat, selepas melakukan pit stop buat kali pertama.
Sergio Perez kekal mendahului saingan sehingga pusingan ke-27, sebelum dipintas Rosberg yang memecut laju jenteranya untuk mencatat masa sepusingan terpantas, bagi melebarkan jurang dengan Hamilton yang terperangkap di belakang Perez.
Bermula daripada pusingan ke-30, empat pelumba yang berada di kedudukan teratas saling bersaing antara satu sama lain dengan kelebihan didominasi oleh dua pemandu Mercedes.
Rosberg kemudian mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu dalam baki perlumbaan selebihnya, dan tidak membenarkan Hamilton yang mengekori rapat di belakang memintasnya.
Perlumbaan tersebut sekali lagi mengesahkan Mercedes muncul pasukan terbaik yang berjaya menyesuaikan diri dengan enjin turbo V6 yang diperkenalkan pada musim ini, di samping pembinaan sistem pemulihan tenaga. Hamilton memenangi empat perlumbaan berturut-turut, sementara Rosberg tidak pernah menamatkan saingan di kedudukan lebih rendah daripada tangga kedua. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140623/sl_06/Rosberg-atasi-Hamilton-untuk-muncul-juara-GP-Austria#ixzz35Qogpr00 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment