UMNO Cheras terbaik!
MALAM kelmarin saya menghadiri majlis ulang tahun ke-20 UMNO Bahagian Cheras.
Sungguh unik malam itu. Jemputan lelaki memakai persalinan kepahlawanan Melayu, berbengkung dan bertengkolok.
Itulah pertama kali saya melihat, dengan kagumnya, pakaian hulubalang, kepahlawanan dan pembesar Melayu dalam pelbagai gaya dan mewakili pelbagai negeri sekali gus.
Ia cukup unik. Ikatan tengkoloknya cukup hebat. Nilai estetikanya cukup tinggi.
Sepatutnya perlu ada satu muzium yang menempatkan semua pakaian Melayu zaman silam itu untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.
Saya boleh bayangkan itulah pakaian lazim yang dipakai di zaman Kesultanan Melayu lebih 500 tahun dahulu.
Syabas ketua bahagian Cheras iaitu Syed Ali Alhabshee, seorang berketurunan Arab Yemen, yang berasimilasikan Melayu jati Nusantara.
Yang menariknya Perdana Menteri (PM) Najib Tun Razak tidak hadir ke majlis negara meraikan Presiden Republik Tajikistan, untuk semata-mata memenuhi undangan ke majlis UMNO Cheras itu.
UMNO Cheras ternyata lain daripada yang lain. Sepatutnya itulah yang patut dicontohi oleh semua bahagian UMNO seluruh negara. Ia amat mesra rakyat dan diuruskan secara profesional. Ketua bahagiannya cukup versatil dan berani berhujah - katanya demi masa depan UMNO mengatasi individualiti.
Namun yang menarik perhatian saya dalam majlis itu ialah ucapan PM selaku Presiden UMNO.
Saya yang duduk di sebelah Datuk Shukor Abdul Manan, setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) menyapa beliau "sungguh mendalam maksud ucapan Najib itu." Beliau bersetuju dan mengangguk.
TPM Muhyiddin Yassin juga sepatutnya hadir ke majlis Cheras itu, namun diarahkan oleh bosnya untuk hadir ke jamuan negara bersama Presiden Tajikistan itu.
Najib menggariskan enam faktor yang UMNO dan para pemimpin serta ahli-ahlinya perlu ada untuk memastikan kesinambungan parti itu dan kuasa Melayu.
Faktor pertama adalah ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul serta mematuhi arahan pemerintah dalam apa sahaja keputusan demi kebaikan setiap lapisan rakyat Malaysia.
Faktor kedua adalah kesetiaan kepada negara dan parti yang perlu diterjemahkan pada setiap pilihan raya dengan memberi kemenangan kepada calon yang telah dipilih.
Perkara ketiga adalah keberanian dalam perjuangan iaitu kita tanamkan sifat berani semasa berjuang kerana lawan akan takut pada orang yang berani dan itulah sebenarnya karakter orang Melayu.
Yang keempat adalah kesetiakawanan sama ada susah atau senang. Bila ada pilihan raya pastikan parti kita berjaya tapi kalau tahu kalah, kita bantu rakan lain untuk memastikan mereka menang.
Dua faktor seterusnya adalah kebijaksanaan dan keikhlasan yang bagi orang Melayu, sifat ikhlas itu telah dipupuk melalui amal ibadat kepada Allah SWT yang menjanjikan ganjaran pahala.
Bagi saya faktor kedua dan keempat - kesetiaan dan kesetiakawanan - amat penting dalam sesuatu perjuangan. Jika hilang kedua-dua itu maka pincanglah sebuah persatuan dan rosaklah sebuah kesatuan.
Dalam suasana politik Melayu kini yang berpecah-belah, mesej itu jelas amat penting sekali.
Kita tidak boleh lagi berpecah-belah. Melayu harus bertaut kembali. Belajarlah daripada kesilapan pemimpin dan orang Melayu sejak zaman kesultanan silam dahulu. Bacalah Sejarah Melayu dan renungilah kutub-khanah bangsa itu.
Hasad dengki, tamak haloba, angkuh, bongkak, taksub, jahil, suka berkelahi membawa kelemahan dan kehancuran kepada Melayu.
Oleh itu jangan ada jugalah adu-domba oleh mana-mana pihak ke atas perhubungan Najib dan Muhyiddin. Perlukah dilaga-lagakan antara kedua-duanya?
Akhir sekali syabas Syed Ali dan barisan kepemimpinan UMNO Cheras. Sebagai seorang yang bukan ahli UMNO, selagi masih berada dalam alam kerjaya ini, saya melihat parti itu dengan penuh harapan - syaratnya contohilah Cheras!
KENYATAAN terbaharu tauke Petronas, Shamsul Azhar Abbas pasti akan mengundang kemarahan. Orang Melayu selama ini pun memang marah dengannya kerana dasar liberalisme beliau di dalam syarikat minyak itu.
NGO-NGO totok Melayu mengawasi cara kerja Shamsul dengan penuh teliti. Kontraktor-kontraktor Melayu yang selama ini berada di bawah program VDP (program pembangunan vendor) memang bengang dengan beliau.
Sudah pasti wawacara Shamsul dengan The Edge keluaran terbaharu itu juga mergundang kemarahan orang kerajaan.
Tetapi dalam hal ini, saya mengambil jalan tengah. Saya tidak marah dengan beliau.
Kita kena baca maksud yang tersirat dan tersurat kemarahannya pula kepada orang yang disebut dalam wawancara itu.
Tegas Shamsul, dia akan mempertahan profesionalisme dan kebebasan syarikat itu tanpa rasa takut.
Dia tidak akan tunduk kepada tekanan politik supaya memberi kerja kepada usahawan yang belum terbukti berjaya. Dia tidak akan membiarkan dirinya diugut oleh kontraktor-kontraktor yang mempunyai kabel yang kuat.
"Ia bukan saja mereka di luar (yang menyusahkan) tetapi juga mereka dalam kerajaan - para birokrat. Campur tangan birokratik mengusahkan kerja."
"Kerajaan mahu kita menjadi seperti syarikat minyak antarabangsa, seperti Shells dan ExxonMobils, kami akan cuba menjadi seperti itu. Tetapi Shell dan ExxonMobil tidak diganggu oleh kerajaan mereka."
"Ia adalah amanah
diamanahkan
perkataan diamanahkan itu cukup kuat - sebagai seorang Islam, ia adalah satu dosa besar jika kita melanggar amanah.
"Kami berurus dengan ahli-ahli politik; mereka bercakap tak serupa bikin, jadi ia amat menyusahkan
ini cukup mengecewakan."
"Saya juga orang Melayu, saya bangga sebagai Melayu... anda fikir saya tidak mahu membantu orang saya sendiri? Sudah tentu saya akan membantu mereka, tapi dengan cara yang betul - bukan melalui pemberian mudah dan disuap ke mulut."
Ternyata kata-kata Shamsul Azhar, yang mengambil tampuk kepimpinan kerusi Presiden dan CEO Petronas daripada Tan Sri Hassan Marican pada 2010 cukup pedas.
Siapa yang makan cili dia akan terasa. Teruskan Shamsul Azhar. Laksanakan tugas dengan penuh dedikasi.
Jika ia adalah amanah, kotakan apa yang dikata itu. Jika tidak nanti sumpah boleh memakan diri. Negara memerlukan Petronas yang sihat dan walafiat.
Saya faham maksud Tan Sri. Saya juga tahu banyak cerita - campur tangan itu dan ini. Kita tahu sama tahu ya.
NAIB Canselor UiTM, Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar sedang sibuk. UiTM telah dilantik menubuhkan pusat profesional perakaunan.
Ia adalah satu lagi amanah dan kepercayaan yang diberikan kerajaan kepada institusi itu. Seorang sahabat yang cukup kritikal terhadap PM, amat bersetuju dengan cadangan itu. "Yang itu saya puji dia..."
UiTM dijangka bakal melaksanakan kepercayaan itu segera. Kita perlu melahirkan lebih ramai lagi akauntan bumiputera Melayu. Hasil perancangan itu dijangka melahirkan seramai 7,600 akauntan profesional menjelang tahun 2020. Ini adalah lonjakan sebanyak 25 peratus.
Kini hanya lapan peratus sahaja akauntan profesional bumiputera di seluruh negara. Sahol memberitahu, UiTM telah mengenal pasti feeder bagi program profesional itu.
Program profesional perakaunan itu merupakan nilai tambah kepada UiTM kerana perakaunan adalah bidang niche di universiti itu.
Kita berharap langkah positif ini akan melonjakkan lagi profesional bumiputera Melayu. Marilah kita menyokong usaha murni ini.
Oleh itu Ir. Dr. Sahol ia adalah amanah demi agama, bangsa dan negara. Laksanakan amanah itu sebaik mungkin.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140625/re_06/Amanah-Syed-Ali-Shamsul-Azhar-dan-Sahol-Hamid#ixzz35bdgY6Lo © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment