Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 18 June 2014

TNB vs IPP; Menang sorak tanah tergadai; Badlisham dan klia2

Oleh Zaini Hassan



ADAKAH syarikat swasta lain akan mengambil kira agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera seperti yang dilakukan TNB ini?

HUJUNG minggu lalu, Sabtu dan Ahad penuh dengan majlis kenduri kahwin. Lagi pun ia adalah minggu terakhir sebelum cuti sekolah berakhir.

Macam-macam cerita boleh dikongsi di meja bulat itu. Salah satu isu yang panas ialah mengenai cerita YTL, IPP (pengeluar tenaga bebas), TNB, MAS, klia2 dan lain-lain.

Tanpa disedari satu meja dengan saya adalah otai-otai pemain industri tenaga serta syarikat penerbangan nasional, MAS. Rancak sungguh bersembang sehingga tanpa disedari ramai tetamu di meja lain sudah pulang.

Namun oleh kerana kenduri di rumah Tuan Haji Nik Adnan, jiran tetangga kami, maka lamalah kami duduk sembang.

Antara soalan yang berbangkit mengapa tidak dianugerahkan projek penjanaan kuasa elektrik terus kepada TNB dan mengapa perlu diswastakan kepada syarikat-syarikat lain?

Apa kurangnya TNB yang pakar dalam bidang tenaga ini lebih 60 tahun? Perlu diingat TNB ialah penggerak kepada kemajuan negara ini. TNB bukan macam MAS, ia mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh.

Persoalannya mengapa perlu diswastakan lagi sektor penjanaan tenaga ini kepada orang lain? Mahu diswastakan pula kepada 'syarikat yang tidak mengenang budi'.

TNB selama ini juga telah banyak menjana ekonomi kepada vendor-vendor bumiputera selaras dengan agenda memperkasa ekonomi bumiputera - yang gagal dilakukan oleh syarikat yang tidak mengenang budi itu.

"Beratus juta ringgit nilai kerja akan dapat diberi kepada vendor bumiputera jika tawaran itu diberikan terus kepada TNB," kata rakan saya itu sambil mengerut-ngerut dahi.

Lagi pun tambahnya, TNB bukan calang-calang syarikat. Ia sendiri telah melabur di luar negara. Ia membina dan mengendalikan loji janakuasa elektrik di Jeddah, Arab Saudi serta membuat kerja senggaraan di loji janakuasa elektrik di Kuwait.

"Hairan kenapa di negara sendiri TNB tidak diberi direct award? Di luar negara TNB turut mendapat anugerah-anugerah hebat seperti Anugerah Platts, Asia Best Utility Company dan sebagainya."

Baru-baru ini, Presiden dan CEO TNB, Azman Mohd. (Datuk Seri) menerima memorandum membantah kerjasama YTL dan TNB dalam loji janakuasa Track 4A bernilai berbilion ringgit di Johor daripada empat kesatuan TNB mewakili 34,900 ahli dan kakitangan syarikat tenaga nasional itu di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Kesatuan berkenaan iaitu Persatuan Eksekutif TNB, Kesatuan Pencantuman Pekerja-Pekerja TNB, Kesatuan Pegawai Rendah TNB dan Persatuan Unit Keselamatan TNB berkata, YTL menyebabkan kesengsaraan besar-besaran kepada TNB sejak ia menandatangani perjanjian pembelian kuasa elektrik (PPA) pada 1993.

"TNB tidak menerima faedah langsung sejak berurusan dengan YTL pada 1993. Malah, generasi pertama PPA dengan TNB meletakkan beban kewangan kepada TNB, kerana ia dipaksa untuk membayar kos lebih tinggi bagi tenaga berbanding apa yang boleh dihasilkan," kata memorandum itu.

"Berdasarkan kepada angka dan maklumat yang kami terima, ia difahamkan TNB sudah membayar lebih RM20 bilion kepada YTL.

"Kami membantah dan mendesak TNB menolak sebarang tawaran bersyarat yang diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga kepada konsortium YTL (YTL Power International Berhad), SIPP dan TNB untuk membangunkan projek Track 4A di Pasir Gudang, Johor."

Jelaslah "luka lama masih berdarah dan bernanah" yang sukar untuk disembuhkan. Ia adalah gambaran yang tidak dapat disembunyikan oleh warga kerja TNB.

Inilah sentimen persatuan-persatuan dan pekerja-pekerja TNB di waktu ini. Kita wajib membantu pengurusan TNB untuk bangunkan sendiri janakuasa, bukan diswastakan kepada IPP.

Saya percaya ramai rakyat Malaysia dan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri yang mengikuti perkembangan perkara ini kerana ia adalah perjuangan kita bersama.

Bohonglah jika tiada yang peduli!

Tanah Rizab Melayu 'tergadai' kepada bukan Melayu di Selangor - Laporan Audit

SEMALAM saya terbaca laporan portal berita terkenal AgendaDaily. Lalu saya terus menghubungi bosnya, Rosli Ismail yang juga mantan bos saya di Utusan Malaysia kira-kira 20 tahun dahulu.

Saya kata laporannya mengenai isu tanah rizab Melayu di Selangor yang secara senyap-senyap terhakis amat tepat pada masanya kerana keadaan sekarang amat membimbangkan.

Kami bersembang melalui telefon: "Apa Pentadbir Tanah yang rata-rata berbangsa Melayu di Selangor buat? Mereka tak sensitifkah?"

"Itu masalahnya, jika kerajaan itu di bawah BN, maka banyaklah pihak yang bersimpati dengan Pas akan membocorkan maklumat itu dan ini. Tetapi orang yang simpati dengan UMNO sendiri tak buat benda-benda macam itu."

Namun, isu mengenai tanah rizab Melayu di Selangor ini didedahkan sendiri dalam Laporan Audit Negara 2013 siri dua.

Ingatlah. Inilah akibatnya sekiranya kita marahkan seekor nyamuk, seluruh kelambu dibakar. Kita ini juga adalah bangsa yang menang bersorak, tapi kampung tergadai. Fikir-fikirlah.

Ikuti laporan penuh AgendaDaily ini.

INI kes berat dan paling ditakuti sejak sekian lama. Baru enam tahun Pakatan Rakyat perintah Selangor sudah jadi macam-macam, dalam Laporan Audit Negara 2013 siri dua, satu penemuan mengejutkan berlaku di Selangor.

Ada belasan kes yang nyata Tanah Rizab Melayu diberikan kepada orang bukan Melayu dan lebih ribuan ekar lagi tanah yang dicabut statusnya (atas pelbagai sebab) yang asalnya berstatus Tanah Rizab Melayu tidak diganti semula.

Sehingga kini, daripada lebih dua juta ekar keluasan tanah di Selangor, hanya tinggal 20.2 peratus Tanah Rizab Melayu.

Satu kajian daripada 129 sampel kes menemui 18 keadaan di mana Tanah Rizab Melayu di Selangor telah dianugerahkan kepada orang bukan Melayu walaupun undang-undang melarang perkara itu berlaku.

Daripada jumlah kes tersebut, Tanah Rizab Melayu yang 'tergadai' kepada bukan Melayu adalah sebanyak 24.08 ekar (digabungkan), yang melibatkan lot tanah di kawasan Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

"Pemberian tanah itu dibuat selepas pewartaan tanah rizab dibuat. Ini telah mengurangkan kepentingan orang Melayu di tanah rizab itu dan kawasan yang boleh diberikan kepada orang Melayu," kata laporan itu.

Daripada 18 kes tersebut, 11 dikesan di Klang, manakala lima berlaku di Kuala Selangor dan dua di Sabak Bernam.

Selain itu, terdapat juga kes di mana orang bukan Melayu menduduki tanpa kebenaran di kawasan Tanah Rizab Melayu dan mengusahakan perniagaan gerai makan, bengkel kereta dan membina bangunan.

"Lawatan tapak bersama pegawai PDT Sepang dan PDT Sabak Bernam masing-masing pada 19 Februari 2014 dan 26 Februari 2014 di kawasan Tanah Rizab Melayu Ampar Tenang, Daerah Sepang dan Sungai Lang, Daerah Sabak Bernam mendapati kawasan tersebut telah diusahakan dan diduduki tanpa kebenaran oleh orang bukan Melayu dengan mengusahakan perniagaan gerai makan, bengkel kereta dan membina bangunan," dedah laporan itu lagi.

Menurut semakan Audit selanjutnya mendapati tiga orang bukan Melayu pernah memohon pemberimilikan yang melibatkan tanah negeri seluas tiga ekar antara tahun 2011 dan 2012 di kawasan tersebut.

Laporan yang sama juga mendedahkan bahawa antara bulan November 2013 dan Januari 2014, 3,960 daripada 10,265 ekar (38.6 peratus) status tanah rizab Melayu telah dibatalkan tetapi tidak pernah diganti.

"Pengauditan yang dijalankan antara bulan November 2013 hingga Februari 2014 mendapati secara keseluruhannya prestasi pengurusan Tanah Rizab Melayu daripada aspek penggantian TRM yang dibatalkan adalah tidak memuaskan. Ini adalah kerana tanah seluas 3,960.77 ekar (38.6%) daripada 10,265.38 ekar Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan masih belum diganti," kata laporan tersebut.

Jelas laporan itu lagi, sebahagian daripada maklumat berkaitan keluasan Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan dan diganti serta keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu tidak dapat disahkan kerana tidak disokong dengan dokumen dan rekod yang lengkap.

Artikel 89 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jika mana-mana tanah itu adalah rizab Melayu sebelum Merdeka maka ia kekal sebagai rizab Melayu.

Manakala kuasa untuk mewartakan tanah sebagai rizab Melayu terletak di tangan Menteri Besar, atas nasihat raja-raja negeri.

Sehingga Februari 2014, terdapat 395.946 ekar Tanah Rizab Melayu di Selangor, atau 20.2 peratus daripada dua juta ekar tanah di negeri ini.

Dalam syornya kepada kerajaan, Ketua Audit Negara mahu siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca dan kaedah bagi menyekat pemberimilikan Tanah Rizab Melayu kepada orang bukan Melayu.

Selain pindah milik tanah pegangan orang Melayu kepada orang bukan Melayu daripada terus berlaku serta membuat pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu yang sewajarnya.

"Selain itu, tanah perlu diperuntukkan untuk diberi milik kepada umum semasa perizaban TRM," kata laporan yang boleh didapati secara online itu.

BACA LAPORAN LENGKAP DI SINI

https://www.audit.gov.my/images/pdf/LKAN2013/Negeri/Siri2/Malay/selangor%20-%20lkan%20tahun%202013%20siri%202.pdf

Selamat Bertugas Badlisham Ghazali

TAHNIAH Datuk Mohd. Badlisham Ghazali yang akan menjadi Pengarah Urusan baru Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), berkuat kuasa 23 Jun ini.

Seorang lagi alumni UiTM menerajui sebuah GLC yang besar. Beliau ialah pemegang Ijazah Sains bagi Sains Komputer dari Norhern Illinois, Amerika Syarikat dan Diploma Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Badlisham akan menggantikan Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid. Badlisham ketika ini, sehingga ke tarikh baru itu, ialah Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC) sejak 2006.

Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Badlisham. Banyak cabaran dan agenda besar kepada agama, bangsa dan negara yang harus dipikulnya.

Isu lot-lot niaga di klia2 untuk bumiputera yang layak harus dilihat semula.

Di mana silapnya sehingga beberapa pengusaha besar bumiputera tercicir daripada senarai?

Jika ada yang kelihatan tidak betul MD baru itu harus memanggil SPRM masuk dan siasat. Dia harus kelihatan tegas dan adil.

Semalam pula, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius pelbagai laporan mengenai tambahan kos yang luar biasa dan kelewatan dalam pembinaan klia2.

Walaupun PPPR berpuas hati bahawa klia2 sudah boleh digunakan sepenuhnya tetapi terdapat laporan mengenai mutu kerja yang kurang bermutu. Panel ini juga memandang berat kos pembinaannya yang khabarnya meningkat dua kali ganda daripada kos asal.

Inilah antara cabaran-cabaran yang bakal digalas oleh saudara Badlisham.

Kita doakan saudara dipelihara Allah SWT dan Selamat Maju Jaya.



No comments: