Sebelum Piala Dunia bermula Keishuka Honda melaungkan keyakinan bahawa Jepun akan melakar kejutan di Brazil, malah mampu menjulang Piala Dunia.
Dia membuktikan kata-katanya dengan meledak gol yang cukup hebat untuk meletakkan skuad Blue Samurai di depan ketika menentang Ivory Coast dalam aksi pembukaan, minggu lalu.
Namun, tiadanya Honda kedua, ketiga atau keempat dalam skuad Jepun akhirnya membawa kepada kekalahan 1-2 pasukan itu pada saingan pembukaan Kumpulan C.
Sembilan daripada pemain yang dibawa jurulatih, Alberto Zaccheroni ke Brazil punya pengalamaan beraksi di Bundesliga, bermula dari penyerang Mainz, Shinji Okazaki sehingga pertahanan Schalke, Atsuto Uchida, manakala bek kiri, Yuro Nagatomo menyinar bersama kelab Itali, Inter Milan.
Pemain tengah Manchester United, Shinji Kagawa pula pemain Blue Samurai paling popular, namun Honda adalah figura paling berpengaruh dan membawa impak besar kepada Jepun setakat ini.
Pemain tengah AC Milan itu, yang menyambut ulang tahun ke-28 pada 13 Jun lalu mempunyai aura menarik di atas padang dan menjadi nadi kekuatan skuad Zaccheroni.
Dia bukan saja bermain baik di posisi tengah, malah serangan dan mula menjadi watak penting Blue Samurai sejak Piala Dunia 2010.
Honda menjadi perantara di bahagian tengah padang dengan memberi hantaran pendek kepada Kagawa dan Okazaki, malah turut memanjangkan hantarannya kepada Nagamoto dan Uchida serta mengisi ruang kotak penalti untuk menjaringkan gol.
Selepas kekalahan kepada Ivory Coast, dia masih mampu melayan wartawan dengan baik kerana pemain itu mempunyai sifat rendah diri serta sopan. Sekiranya Honda diajukan soalan yang mengarut dia akan menjawab dengan cara paling berhemah.
Semasa perlawanan pembukaan menentang Ivory Coast, ramai yang bimbang Jepun akan dibayangi oleh kehebatan Yaya Toure serta rakan-rakan sepasukan, namun Honda langsung tidak mempedulikan semua itu.
“Pertama sekali, kami akan memberi usaha 100 peratus dalam saingan kumpulan.
“Seterusnya... semua perkara boleh berlaku dalam Piala Dunia. Kami akan bermain dengan baik untuk mencari tiket ke suku akhir.
“Jelas sekali, kami perlu kekal cergas, namun sekiranya kami melakukan perkara asas dengan betul 100 peratus tanpa buat silap sudah pasti akan sampai ke suku akhir.
“Dari sana kami akan melakukan keajaiban," katanya, yang masih memasang keyakinan Blue Samurai mampu melangkah jauh sekali pun memulakan kempen dengan langkah sumbang.
Jepun bakal menentang juara Eropah 2004, Greece dalam aksi kedua Kumpulan C pada Jumaat ini, sebelum berdepan Colombia pada 25 Jun.
Dia dan seluruh skuad Jepun menjalani latihan pra Piala Dunia dalam cuaca panas di Florida, Amerika Syarikat sebelum berlepas ke Brazil.
“Saya tidak bercakap secara idealistik kerana saya bersikap realistik. Segala usaha kami akan terbalas," katanya.
Jepun yakin untuk mara ke suku akhir selepas memenangi semua perlawanan pemanas badan ketika menentang Cyprus, Costa Rica dan Zambia.
Persembahan terbaik mereka di Piala Dunia adalah layak ke pusingan 16 pasukan terakhir ketika menjadi tuan rumah bersama Korea Selatan pada 2002 dan 2010.
Namun bagi Honda, pemain yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Zambia 4-3 tetap yakin dengan kata-katanya.
“Sama ada anda percaya kepada keajaiban atau anda sendiri yang melakukan keajaiban," katanya lagi.
Jepun kekal sebagai pasukan tetap Asia yang beraksi di pentas Piala Dunia selepas membuat penampilan kali kelima.
Mereka menewaskan Costa Rica 3-1 di Tampa sebelum terpaksa berhempas pulas menewaskan Cyprus 1-0 dalam perlawanan terakhir mereka sebelum menghadapi Piala Dunia.
Tampil dengan potongan gaya rambut ‘mohawk’ serta mewarnakannya, Honda tiba di Brazil sebagai figura Blue Samurai yang paling berpengaruh, malah cukup optimis dalam segala yang mahu dilakukan.
No comments:
Post a Comment