PENYERANG Nigeria, Shola Ameobi (kanan) bersaing dengan pertahanan Iran, Jalal Hosseini dalam perlawanan Kumpulan F di Arena Baixada, Curitiba, awal pagi tadi. - REUTERS
KEMARAU kemenangan yang dialami Iran dan Nigeria sejak Piala Dunia 1998 berterusan apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Arena Baixada, berhampiran Copacabana, awal pagi tadi.
Malah, ia adalah keputusan seri pertama dicatat pada Piala Dunia kali ini, sekali gus menjadikan persaingan Kumpulan F lebih terbuka.
Biarpun Iran menarik nafas lega apabila berjaya memastikan gawang mereka tidak dibolosi buat kali pertama sejak membuat penampilan sulung pada 1978, namun perlawanan tersebut amat membosankan.
Kedua-dua pasukan diejek oleh hampir 39,000 penonton, yang sebahagian besarnya adalah peminat tempatan selepas menampilkan aksi hambar dan amat berbeza dengan perlawanan-perlawanan yang berlangsung di venue lain.
Iran seperti diduga memperkukuhkan benteng pertahanan, manakala Nigeria menerusi penyerangnya, Emmanuel Emenike gagal melakukan sebarang ancaman berbahaya selain banyak mensia-siakan peluang menerusi hantaran jauh dan hantaran terus kepada pihak lawan.
Skuad Super Eagles berjaya menjaringkan gol pada minit ketujuh selepas berlaku kekalutan di hadapan pintu gol Iran, tetapi jaringan Ahmed Musa itu dibatalkan pengadil Ecuador, Carlos Vera selepas mendakwa penjaga gol Iran, Alireza Haghighi ditolak.
Iran hampir memecah kebuntuan pada minit ke-33 menerusi tandukan Reza Ghoochannejhad tetapi berjaya diselamatkan kapten Nigeria yang juga penjaga gol, Vincent Enyeama.
Nigeria melakukan pertukaran pertama memasukkan bekas kapten, Joseph Yobo bagi menggantikan Godfrey Oboabona yang mengalami kecederaan selepas terkena terjahan keras lawan.
Jurulatih Nigeria, Stephen Keshi sebelum ini memberi amaran bahawa juara Afrika itu mampu menjadi juara di Brazil, namun selepas mengharungi perlawanan pertama yang mengecewakan, jelas perkara tersebut tidak mampu direalisasikan.
Keshi berkata, pasukannya mendominasi hampir keseluruhan permainan tetapi mengalami masalah gugup di depan gol.
“Kami mahu menjaringkan gol dan ia tidak berjaya. Kami hanya perlu menenangkan semua orang dan perbaiki persembahan," katanya.
Bagaimanapun, keputusan seri tanpa jaringan itu tidak begitu mengecewakan jurulatih Iran, Carlos Queiroz.
“Saya harus memuji para pemain, mereka lebih daripada layak untuk keputusan seri ini.
“Paling penting ialah semuanya kini terbuka untuk kami," kata jurulatih berusia 61 tahun yang sebelum ini membimbing Portugal pada Piala Dunia 2010.
No comments:
Post a Comment