Joachim Loew, Juergen Klinsmann
RECIFE - Pertembungan rakan senegara dalam Piala Dunia bakal menyaksikan pengendali Amerika Syarikat (AS), Jurgen Klinsmann berhadapan dengan jurulatih Jerman, Joachim Loew dalam usaha merebut tempat teratas Kumpulan G.
Kedua-duanya pernah bertemu atas faktor kejurulatihan di mana Loew menjadi pembantu Klinsmann sedekad yang lalu sewaktu mengemudi Jerman ke Euro 2004. Bagaimanapun pasukan mereka tersingkir awal tanpa sebarang kemenangan dalam peringkat kumpulan.
Namun, semasa di bawah bimbingan mereka, Jerman menjadi terkenal kerana melahirkan bakat-bakat baharu dan muda seperti Lukas Podolski dan Bastian Schweinsteiger.
Malah, pasangan itu juga pernah meraih tempat ketiga dalam Piala Dunia 2006 sebelum Klinsmann berundur dan digantikan pembantunya, Loew.
Sejak mengemudikan skuad The Eagles itu, sekurang-kurangnya mereka pernah membawa Jerman mara ke peringkat separuh akhir sepanjang tiga kejohanan besar.
Dan kini, mereka bakal bertembung di Arena Pernambuco, Recife (tengah malam esok waktu Malaysia) dan masing-masing berkongsi empat mata dengan membawa satu matlamat, iaitu wajib menang.
Keputusan seri akan menjadikan Jerman layak ke pusingan seterusnya bersama-sama AS manakala Ghana dan Portugal tersingkir.
"Itu hanya sebahagian daripada sejarah Jerman dan bukan sebahagian daripada sejarah Amerika Syarikat. Saya rasa, jika anda mengikuti perkembangan pasukan AS, kita selalu berusaha untuk memastikan berjaya," kata Klinsmann.
Klinsmann tetap akan berusaha keras memperoleh kemenangan walaupun dia merupakan peminat Jerman dan bersedia menyanyikan kedua-dua lagu kebangsaan dengan penuh semangat.
Jentera Klinsmann memiliki empat pemain Bundesliga selain Jermaine Jones yang mempunyai tiga cap bersama Jerman sebelum beralih kesetiannya kepada AS pada 2009.
Penasihat khas bekas penyerang The Eagles itu adalah Berti Vogts yang pernah melatih Jerman untuk Kejuaraan Eropah 1996 dan Klinsmann selaku kapten pasukan.
"Perlawanan ini sesuatu yang agak istimewa bagi saya, dan perkara ini mungkin terjadi sekali seumur hidup," ujar bekas pemain Jerman yang pernah menjulang Piala Dunia 1990. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140626/sl_02/Loew-Klinsmann-bertempur-di-Brazil#ixzz35hZtjB3b © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment