Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 30 May 2014

PRK Teluk Intan: Pas keliru!








PADA 16 Mei 1972, Pas memecat Ahli Parlimennya dari Parit, Cikgu Hashim Gera atas sebab berjoget lambak dalam satu majlis di lobi Parlimen.

Masa zaman itu, Pas begitu tegar dalam hal berkait agama. Meski Cikgu Hashim mempertahan tindakannya pada masa di lobi Parlimen itu, juga hal joget secara umum sebagai sebuah tarian yang bersih di hadapan jawatankuasa disiplin, beliau langsung tidak diendahkan.

"Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget) itu lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari". Bagaimanapun Pas menolak penjelasan Cikgu Hashim dan dia tetap dipecat kerana dianggap mencemar agama dan memalukan Pas sebagai sebuah parti politik yang sepatutnya mencerminkan sebuah jemaah Islam yang sempurna.

Hari ini, isu seperti Cikgu Hashim sudah tidak kedengaran lagi. Malah lebih ketara dan terbaharu semasa kempen pilihan raya di Bukit Gelugor dan menyusul menjelang pengundian kerusi Parlimen Teluk Intan Sabtu ini, kefahaman pemimpin Pas terhadap makna joget sudah berubah. Kalau UMNO datang, Pas lari. Kalau DAP datang, anehnya, tidak pula Pas lari. Lari tidak, bahkan semakin diraikan pula.

Sudah terang lagi bersuluh. Jelas sekali Pas menikus apabila berdepan dengan DAP. Di Bukit Gelugor tempoh hari, Pas sanggup korbankan orangnya sendiri, Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abd. Sathar yang menjadi calon bebas untuk memperjuangkan 'ideologi' parti itu menentang calon DAP. Tetapi oleh kerana menjaga hati DAP, Mohamed Nabi Bux tidak diperakui pula sebagai ahli Pas walaupun dia bertegas mengatakan dia ahli Pas Gombak yang sah dan sijil keanggotaannya bukan palsu.

Itulah gelagat Pas. Sanggup meminggirkan ahli sendiri demi DAP. Apabila Pas berdepan dengan UMNO, macam musuh pula dibuatnya ke atas parti itu. Bak parti berlainan agama pula UMNO itu. Kalau lalu ular dan UMNO depan mata agaknya, tentu sekali UMNO akan ditalanya dulu.

Pas pada masa-masa lepas tidak sama seperti hari ini. Pas semakin liberal dalam banyak hal mengenai hukum agama. Pas mula pandai 'melacur' dalam politik dan berkiblat kepada permainan real politik. Pas sanggup berpeluk, bercium dan bersentuhan dengan DAP.

Sebab itu mungkin ada rasionalnya apabila Mohamed Nabi Bux menyifatkan dua pemimpin tertinggi Pas sedia ada umpama 'talam dua muka' berikutan tindakan mereka yang memutar-belit prinsip perjuangan Pas yang umum maklum diperjuangkan sejak lama dahulu.

"Apabila di depan pengundi Melayu, dia cakap itu adalah perjuangan Pas tetapi di depan kaum Cina malu-malu apabila bercakap pasal itu," katanya.

Pas harus sedar mengenai agenda sebenar parti untuk memperjuangkan ideologinya dan tidak bercakap atas dasar politik semata-mata.

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan Sabtu ini, sememangnya ramai hairan mengapa Pas begitu teruja sehingga bersungguh-sungguh hendak memenangkan calon DAP di situ.

Sudahlah calon DAP itu secara terbuka menentang keras ideologi perjuangan Pas, tambah pelik lagi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap DAP berjasa besar sehingga menjadikan itu sebab utama mengapa partinya mengerah seluruh jentera untuk membantu calon DAP.

Sampai begitu sekali ucapan Abdul Hadi. Bukan sahaja Abdul Hadi tetapi ustaz dalam kalangan Pas pun beria-ia mahu memberi kemenangan kepada DAP. Malahan jaminan itu disuarakan pula jentera Pas yang menaruh keyakinan dapat meraih undi orang Melayu untuk DAP. Ini disasarkan di kawasan majoriti Melayu antaranya Kampung Changkat Jong dan Kampung Melayu. Apa sudah jadi Pas?

Ciri-ciri calon DAP di Teluk Intan amat jelas bertentangan dengan apa yang diagung-agungkan oleh Pas selama ini. Calon DAP tersebut secara jelas dan sedar, menolak ideologi Islam Pas.

Di manakah prinsip muslimat Pas! Tergadai prinsip disebabkan politik sempit parti. Muhasabah dirilah Pas. Jangan ada perasaan ujub (bangga dan sombong diri), kelak Allah SWT akan membayar tunai atas sikap dan tingkah laku kamu.

Di mana ustaz Pas? Apakah sanggup membiarkan perkara ini berleluasa? Anda yang lebih tahu hukum-hakam. Janganlah menjadi bisu melihat kemungkaran berlaku di bawah tanggungjawab ustaz sendiri.

Kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampakkah? Janganlah memberi komen berpilih. Tentang UMNO, cepat sahaja anda jatuhi hukum. Tetapi apabila ahli sendiri buat salah, membisu seribu bahasa. Bukankah itu dinamakan Assabiyyah!

Beberapa pemimpin DAP sebelum ini termasuk Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Tony Pua dan lain-lain telah mencabar Pas supaya keluar dari pakatan pembangkang jika masih berkeras hendak bentangkan usul berkenaan di Parlimen. Dengan apa yang telah dan sedang berlaku di PRK Teluk Intan, ia telah menjawab persoalan dalam artikel saya sebelum ini "Jantankah Pas?"

Pas bersikap pilih kasih tidak bertempat kepada orang UMNO berbanding kepada sekutunya, DAP dan PKR. Sebab itu mengikut kajian yang telah dibuat serta maklum balas yang diperoleh, calon BN diyakini mempunyai harapan cerah di Teluk Intan. Sekurang-kurangnya dengan majoriti yang kecil.

Undi Melayu dijangka solid kepada BN. Juga sekitar 70 hingga 75% undi Melayu akan terarah ke BN. Begitu juga undi kaum India sekitar 80% akan ke BN. Akhirnya, mengikut perkiraan tersebut, hanya 15% diperlukan oleh BN daripada kaum Cina.

Percayalah, selepas PRK Teluk Intan ini nasib calon DAP akan menimpa sama seperti apa yang berlaku kepada aktivis Tunku Aziz. Diketepikan dan dipinggirkan, bak kata pepatah, 'habis madu, sepah dibuang'.

DATUK Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140530/re_03/PRK-Teluk-Intan-Pas-keliru#ixzz33ALn8D3N  © Utusan Melayu (M) Bhd

UiTM lambang maruah bangsa



Oleh Prof. Madya Dr. Ismail Sualman




RAMAI yang tersentap dengan kenyataan calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu.

Sesetengahnya bahkan menganggap kenyataan gadis yang mendapat ijazah dari UiTM itu sebagai melampau dan diumpamakan kacang lupakan kulit.

Penubuhan UiTM termaktub di bawah Akta 173 atas dasar semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Ia bukan dalam erti kata tuan dan hamba tetapi lebih kepada penghormatan sebagai anak watan. Sehingga kini, terdapat 20 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

Maka apa yang didakwa oleh Dyana Sofya bahawa UiTM hanya untuk orang Melayu adalah salah kerana pelajarnya juga terdiri daripada bukan Melayu iaitu pribumi Sabah dan Sarawak.

Penubuhan UiTM juga selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berhasrat mengimbangi dari segi ekuiti, profesional dan juga sumber manusia dalam bidang industri dan swasta antara kaum-kaum utama di Malaysia .

Perlu diingat bahawa toleransi dalam institusi pendidikan yang dicapai antara kaum di antara pimpinan kaum di Malaysia. Kontrak sosial yang dicapai antara kaum menyebabkan kaum Cina dan India memahami bahawa UiTM perlu diwujudkan untuk orang Melayu dan bumiputera.

Malangnya kontrak sosial ini sering dilupai sehingga menuntut Raja-Raja Melayu beberapa kali mengingatkan kita sejak kebelakangan ini.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa orang Melayu bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu terletak di tempat tinggi, sehinggakan peruntukan berhubung perkara ini tidak boleh dipinda walaupun mendapat sokongan dua pertiga Parlimen.

Perkara 153 juga mengisytiharkan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Ini dilakukan dengan kewujudan UiTM malah Seri Paduka Baginda juga ialah Canselor UiTM.

Jadi apa motif kenyataan calon DAP Teluk Intan berkenaan? Kenapa kenyataan sebegini dilemparkan sedangkan UiTM telah wujud sejak 1956 lagi. Adakah kerana ingin meraih undi daripada pengundi bukan Melayu?

UiTM telah melalui perkembangan yang amat pesat sejak mewarnai sektor pengajian tinggi dan terus mengembangkan sayapnya ke seluruh negara melalui 15 buah kampus cawangan, sembilan kampus kota, tiga kampus satelit dan 21 buah kolej bersekutu serta sebuah kampus pintar yang bakal didirikan.

Dengan tenaga kerja kira-kira 17,000 orang dalam satu rangkaian yang besar, universiti ini menawarkan lebih 300 program akademik dalam suasana yang kondusif dan ceria. Ia juga menjadi rumah kedua bagi hampir 172,000 orang pelajar.

Memang tidak dinafikan bahawa UiTM sangat komited dalam membantu anak-anak bumiputera mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat akademik tertinggi, juga dalam persiapan untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Wawasannya ialah untuk memupuk kesarjanaan dan membina kecemerlangan akademik, agar mampu memimpin dalam apa juga arena.

Sebenarnya, UiTM sejak 1980 lagi telah membantu pelajar bukan Melayu termasuk Cina dan India dalam program pra-luar negara (INTEC UiTM). Program kerjasama JPA/Mara/Petronas telah menghantar puluhan ribu pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia dan sebagainya.

Begitu juga program A-Level di Jerman melibatkan ribuan pelajar bukan Melayu. Fakta ini menunjukkan bahawa UiTM telah lama membantu pelajar bukan Melayu dalam pendidikan nasional.

Dyana Sofya mendakwa UiTM bukan milik UMNO atau Barisan Nasional (BN) lantas para pelajarnya tidak perlu terikat kepada parti itu.

Hakikatnya, memang UiTM ditubuhkan oleh pejuang UMNO. Malah ITM dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak manakala pengisytiharan naik taraf universiti dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebagai orang yang berterimakasih dan bersyukur, pelajar menginsafi bahawa banyak jasa UiTM kepada umat Melayu. Sememangnya tiada mana-mana akta atau arahan bahawa pelajar UiTM perlu terikat dengan parti. UiTM tetap mendokong demokrasi. Namun atas dasar orang yang tahu mengenang budi dan tahu membalas budi maka menjadi hak pelajar untuk menyokong BN dan UMNO.

Sementelah pemerintah Kerajaan Pusat sekarang adalah Kerajaan BN sejak dahulu hingga kini, maka UiTM akur dan mempunyai aspirasi yang sama.

Tuduhan calon DAP Teluk Intan ini bahawa pelajar UiTM datang daripada ibu bapa yang kaya dan berpendapatan tinggi juga melulu dan tidak berasas sama sekali. Semua maklum bahawa UiTM sememangnya diwujudkan untuk membela nasib orang Melayu dan bumiputera yang kurang berkemampuan membaiki potensi diri.

Tidak cukup dengan itu, program pra-diploma khusus untuk mereka yang kurang bernasib baik diwujudkan dan setakat ini lebih 55,000 graduan dihasilkan oleh program ini.

Program Destini Anak Bangsa (MDAB) khusus untuk pelajar miskin tegar melanjutkan pelajaran ke peringkat pra-diploma pula diperkenalkan sejak 2010 dan telah menghasilkan 35,000 alumni.

Program ini berjaya menyelamatkan anak bangsa yang kurang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada terabai.

UiTM juga membantu penubuhan MDAIM khusus untuk anak-anak kaum India dengan kerjasama MIC, di samping program serupa Mengubah Destini Anak Orang Asli.

Kini UiTM berbangga kerana mempelopori program khusus untuk anak miskin di bawah Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai bekas pelajar UiTM, Dyana sepatutnya lebih memahami alma maternya.

Kita harap tiada lagi suara sumbang yang keluar dari mulutnya atau mulut sesiapa sahaja yang hanya akan meningkatkan sentimen perkauman dan perpecahan sesama kaum di Malaysia.

Janganlah dek kerana mengejar populariti, nasib anak bangsa digadai dengan kenyataan yang tidak berasas.

PENULIS ialah penganalisis politik


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140530/re_02/UiTM-lambang-maruah-bangsa#ixzz33AG1DT2f  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Sultan bijaksana berjiwa rakyat



Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani dokumen perisytiharan baginda sebagai Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak, semalam.- BERNAMA

PERISYTIHARAN Raja Dr. Nazrin Shah, 58, sebagai Sultan Perak yang ke-35 disambut penuh kesyukuran oleh seluruh rakyat jelata.

Membawa gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, pelantikan baginda dilihat sebagai penyambung naungan diraja bagi bumi bertuah, Perak Darul Ridzuan.

Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan dari Universiti Harvard, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah ini bakal meneruskan legasi ayahandanya sebagai raja yang bijaksana, berpendidikan tinggi dan berjiwa rakyat.

Berbeza dengan negeri-negeri beraja lain di negara ini yang menabalkan anak sebagai pewaris selepas kemangkatan Sultan, pemilihan Raja Pemerintah di Perak agak unik kerana perlu mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak.

Justeru sejurus kemangkatan Sultan Perak ke-34 petang kelmarin, mesyuarat khas Dewan Negara Perak diadakan bagi menentukan pengganti yang akan menerajui takhta pemerintahan negeri.

Keputusan melantik Raja Dr. Nazrin Shah sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas itu yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin.

Istiadat pelantikan dan perisytiharan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 kemudiannya disempurnakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Kuala Kangsar.

Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara pada 2007, dikurniakan seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, 4, dan seorang puteri Raja Nazira Safya, 2.

Baginda dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Februari 1984.

Mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah pada galur ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.

Kedudukan di bawah Raja Kecil Besar ialah Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah dan Raja Kecil Bongsu.

Pada 1987, apabila Raja Muda, Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.

Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.

Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.

Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Oxford.

Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.

Baginda kemudian menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Universiti Harvard.

Sultan Nazrin Shah yang juga Pro-Canselor Universiti Malaya turut menjadi Felo Kehormat Kolej Worcester, Universiti Oxford.

Tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Universiti Oxford serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam universiti tersebut.

Selain itu, Sultan Nazrin Shah ialah Felo Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).

Baginda juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.

Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberikan kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.

Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007.

Semasa Istiadat Menghadap Sembah Titah Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-86 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah pada 19 April lalu, baginda bertitah bahawa fungsi raja dalam kerajaan adalah memerintah dan bukannya mentadbir. Raja titah baginda, menjadi payung kedaulatan negara, memberi naungan saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

"Institusi raja bukanlah 'cermin lama untuk melihat wajah yang telah tua' dalam sistem pentadbiran negara. Institusi raja juga bukan hiasan, sebaliknya adalah institusi utama yang termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan negara.

"Ini terbukti apabila 10 peratus iaitu 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan dengan raja. Ini bermakna Malaysia yang mengamalkan kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada raja pemerintah," titah baginda.

Dan seluruh rakyat jelata khususnya di Perak meyakini Sultan Nazrin Shah akan membawa tenaga kepada institusi raja agar terus bersifat dinamik dalam menghadapi tuntutan dan cabaran semasa.

Daulat Tuanku!

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140530/re_01/Sultan-bijaksana-berjiwa-rakyat#ixzz33AEIu1pz  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Jenazah selamat dimakamkan

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my



TUANKU Bainun menyiram air mawar di pusara Almarhum Sultan Azlan Shah yang selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, semalam. - BERNAMA

KUALA KANGSAR 29 Mei - Jenazah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini petang ini selepas solat Asar dalam suasana mendung dan gerimis.

Jenazah Almarhum dimakamkan di antara makam Sultan Idris Shah II dan makam anak ketiga baginda, Raja Datuk Seri Ashman Shah yang mangkat pada 30 Mac 2012.

Kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata mula membanjiri pekarangan masjid seawal pukul 4 petang selepas jenazah baginda disemayam di Balairong Seri Istana Iskandariah di sini untuk penghormatan terakhir.

Jenazah baginda tiba di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini dengan peterana 'Seraja Diraja' berwarna kuning pada pukul 4.30 petang untuk disembahyangkan.

Selepas disembahyangkan, jenazah dibawa ke Makam Diraja yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut untuk istiadat pemakaman.

Talkin dan doa kemudian dibacakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria selepas jenazah selesai dikebumikan kira-kira pukul 6 petang.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun mendahului keluarga diraja menabur bunga rampai dan menyiram air mawar di makam Almarhum diikuti oleh Raja Dr. Nazrin Shah yang diisytiharkan sebagai Sultan Perak baharu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan kerabat-kerabat diraja lain turut menyiram air mawar.

Hujan mulai renyai-renyai sebaik sahaja majlis tersebut berakhir pada pukul 6.40 petang.

Sultan Azlan Shah, 86, yang merupakan Sultan Perak kedua berada paling lama di takhta pemerintahan, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

Baginda meninggalkan Tuanku Bainun, Raja Dr. Nazrin Shah dan tiga puteri, Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140530/dn_02/Jenazah-selamat-dimakamkan#ixzz339rAq3ao  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Pencarian MH370 terus buntu



Gambar bertarikh 14 April lalu, menunjukkan anggota Tentera Laut Australia, menurunkan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 dari kapal Ocean Shield ke Lautan Hindi bagi misi pencarian pesawat MH370. - REUTERS

SYDNEY 29 Mei - Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu, sekali lagi buntu selepas Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) percaya, Lautan Hindi bukanlah lokasi sebenar kapal terbang itu berakhir.

Menurut JACC, perkara itu disahkan selepas operasi di lokasi pencarian menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 yang telah ditamatkan, tidak menemukan apa-apa yang berkaitan dengan MH370.

"Data yang dikumpul dalam misi telah dianalisis. JACC boleh menyatakan tiada sebarang tanda serpihan pesawat itu ditemui oleh kapal selam tersebut sejak menyertai operasi mencari ini,'' kata badan itu dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, menurut JACC, kawasan tersebut kini boleh diketepikan sebagai tempat persemadian terakhir pesawat MH370, keputusan yang dilihat akan menyedihkan lagi ahli keluarga penumpang pesawat.

Kapal Australia, Ocean Shield yang membawa kapal selam Bluefin-21 juga telah meninggalkan kawasan perairan tersebut selepas menjelajah dasar laut seluas kira-kira 850 kilometer persegi untuk mencari MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan membawa 239 orang penumpang serta anak kapal.

JACC dalam pada itu menjelaskan, operasi pencarian kini memasuki fasa baharu menggunakan kelengkapan canggih untuk mengimbas dasar Lautan Hindi yang digabungkan bersama semua maklumat serta analisis data bagi menentukan lokasi pencarian baharu.

Tugas itu bakal dilakukan kapal peninjau China, Zhu Kezhen yang berperanan melaksanakan pemetaan dasar laut bermula Ogos ini dan mungkin mengambil masa selama setahun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kejuruteraan Laut, Tentera Laut AS, Michael Dean berkata, pihaknya percaya, isyarat ping yang dikesan dari dasar laut Lautan Hindi bukan datang daripada kotak hitam MH370.

"Jika ping itu berasal daripada perakam data pesawat atau perakam suara, ia pasti sudah ditemui.

"Teori terbaik yang boleh kami fikirkan ketika ini adalah bunyi ping itu merupakan isyarat dikeluarkan oleh Ocean Shield sendiri atau alat elektronik pengesan ping,'' katanya kepada stesen televisyen, CNN. - AFP/DPA



MH370: Hubungan tidak terjejas

Rozaman Ismail


Najib Tun Razak bersama delegasi Malaysia (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Li Keqiang dan delegasi China di The Great Hall of People, Beijing, China, semalam.

BEIJING 29 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa insiden kehilangan pesawat MH370 tidak akan menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-China, sebaliknya memberi peluang kepada kedua-dua negara mengukuhkan hubungan sedia ada.

Najib berkata, rakan sejawatannya, Li Keqiang telah menyatakan komitmen berterusan untuk membantu Malaysia dalam operasi mencari pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu.

"Dalam pertemuan dengan Li Keqiang hari ini, beliau melihat isu ini tidak akan menghalang hubungan sedia ada, malah boleh dijadikan peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan itu," katanya dalam sidang akhbar bersama-sama dengan wartawan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Li Keqiang dalam ucapan alu-aluannya berharap Malaysia akan meneruskan operasi tersebut bagi menentukan apa yang sebenarnya berlaku terhadap pesawat itu.

"China berharap Malaysia terus menerajui usaha mencari serta menjalankan siasatan serius terhadap insiden itu bagi memberikan kelegaan kepada keluarga dan waris," katanya.

Perdana Menteri bersama-sama dengan delegasi seramai 15 orang adalah dalam lawatan enam hari ke negara ini, bermula Selasa lalu.

Menurut Najib, beliau melahirkan rasa dukacita bagi pihak Malaysia kepada kerajaan China khususnya keluarga mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada China atas segala bantuan dan kerjasama bagi menangani isu tersebut.

"China mengakui isu ini amat berat untuk Malaysia dan negaranya sendiri, justeru mereka memberi komitmen untuk terus membantu kita," kata beliau lagi.

Kepada satu soalan, Perdana Menteri berkata, kedudukan kawasan bagi operasi mencari pesawat berkenaan tidak berubah.

Mengenai pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya itu Najib berkata, majlis itu berlangsung dalam suasana yang sangat positif dan mesra dengan kedua-dua buah negara mengulangi komitmen untuk meningkatkan hubungan yang sudah sekian lama terjalin dalam pelbagai bidang.

Mengenai kerjasama dalam bidang automotif, Perdana Menteri berkata, Proton Holding Berhad dan Geely International Corporation sedang berunding bagi memeterai perjanjian untuk pengeluaran kereta bagi pasaran China dan ASEAN.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang mengetuai delegasi diberi sambutan penuh istiadat oleh kerajaan China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Majlis tersebut berlangsung di dataran The Great Hall of People, tempat yang sama ayahandanya, Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein diraikan ketika merintis hubungan diplomatik dengan negara itu empat dekad lalu.

Sejurus selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, Najib diberi penghormatan memeriksa pembarisan kehormat tiga sayap angkatan tentera republik itu sambil diiringi 19 das tembakan meriam.

Antara menteri yang menyertai rombongan tersebut ialah Menteri Pertahanan yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Utusan Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin.

Sementara itu, Hishammuddin ketika ditemui pemberita mengesahkan Malaysia akan menggunakan ProSas Deep Towed Synthetic Sonar dan Remora Remotely Operated Vehicle (ROV) dalam operasi mencari pesawat MH370 di dasar laut.

Menurut beliau, sistem terkini dan mempunyai keupayaan yang tinggi itu akan dibiayai oleh Petronas dan Deftec.

"Sistem ini dipercayai mampu membantu kerja-kerja mencari yang sudah memasuki fasa baharu itu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140530/dn_06/MH370-Hubungan-tidak-terjejas#ixzz339p4SP00  © Utusan Melayu (M) Bhd 



Sultan Nazrin, Sultan Perak Ke-35



Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membaca watikah pelantikan sebagai Sultan Perak pada Istiadat Pengisytiharan Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam. - BERNAMA

IPOH 29 Mei - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 58, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah yang dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu, adalah seorang yang bijaksana dan berjiwa rakyat.

Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Harvard University, baginda diisytiharkan sebagai Sultan Perak yang baharu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda.

Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak petang semalam yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen. (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berikutan kemangkatan Sultan Azlan Shah semalam.

Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara dan mempunyai seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, empat tahun dan seorang puteri Raja Nazira Safya, dua tahun, dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Feb 1984.

Mengikut hirarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah di tempat ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.

Sementara itu, kedudukan di bawah Raja Kecil Besar adalah Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah dan Raja Kechil Bongsu.

Pada 1987 apabila Raja Muda Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.

Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.

Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, telah melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.

Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Oxford University.

Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Harvard University.

Sultan Nazrin Shah yang merupakan Pro-Canselor Universiti Malaya adalah juga Felo Kehormat Kolej Worcester, Oxford University.

Pada tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Oxford University serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam Oxford University.

Selain itu, Sultan Nazrin Shah merupakan Felo ISIS (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia) Terbilang.

Baginda juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.

Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberi kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.

Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007. - BERNAMA



Thursday 29 May 2014

Negara kehilangan 'Bapa Hoki Malaysia'

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my



Sultan Azlan Shah (duduk paling kiri) bersama rakan-rakan baginda dalam pasukan hoki University Nottingham (1951-1952).

KUALA LUMPUR - Almarhum Sultan Azlan Shah bukan hanya menaruh minat yang mendalam terhadap hoki malah sering mencemar duli untuk menzahirkan sokongan moralnya kepada mana-mana atlet sukan lain setiap kali berlangsungnya temasya sukan besar.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, beliau pernah beberapa kali menemani Almarhum yang bukan hanya menonton aksi atlet di padang malah melawat mereka di perkampungan Sukan Olimpik atau Sukan Asia.

"Almarhum memang mudah didekati dan seorang yang merendah diri tetapi tidak banyak bercakap. Kemangkatannya satu kehilangan besar kepada sukan tempatan, terutama sukan hoki Malaysia dan dunia.

"Ketokohannya sebagai pemimpin sukan memang tiada tolok bandingnya dan saya rasa tiada orang yang lebih layak untuk digelar Bapa Hoki Malaysia kecuali Almarhum," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap kemangkatan Sultan Azlan Shah tidak melemahkan semangat pemain-pemain hoki yang akan berjuang dalam Piala Dunia di The Hague, Belanda, sebaliknya membuktikan sesuatu sebagai penghormatan terakhir mereka kepada baginda, yang menjadi Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selama lebih 41 tahun.

Zolkples juga memaklumkan, pihaknya telah mengarahkan agar bacaan Al-Fatihah dan bertafakur selama seminit diadakan sebelum setiap acara Sukan Malaysia XVII yang sedang berlangsung di Perlis dimulakan sebagai penghormatan kepada Almarhum Sultan Azlan Shah.

"Bagi upacara penyampaian pingat Sukan Malaysia jika melibatkan atlet Perak, bendera negeri itu akan dinaikkan separuh tiang," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140529/su_01/Negara-kehilangan-Bapa-Hoki-Malaysia#ixzz3340b3OEU  © Utusan Melayu (M) Bhd


Kalimah Allah: Keputusan permohonan gereja 23 Jun







PUTRAJAYA 28 Mei - Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya pada 23 Jun ini, sama ada membenarkan atau tidak, permohonan kebenaran merayu oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan "The Herald" daripada menggunakan kalimah "Allah", dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Peguam S. Selvarajah, yang mewakili gereja itu, ketika dihubungi Bernama berkata, beliau menerima sepucuk surat daripada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan, Nor Aziati Jaafar petang semalam untuk memaklumkan tentang penetapan tarikh pada 23 Jun itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili kerajaan dalam kes itu, mengesahkan tarikh berkenaan dan berkata Jabatan Peguam Negara turut menerima surat daripada pendaftar mahkamah.

Pada 5 Mac, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, mempengerusikan panel tujuh anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak.

Gereja itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober tahun lalu yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald untuk menggunakan kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 2009, gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutamanya bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan dalam usaha membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia.

Mahkamah Persekutuan, perlu memuaskan Mahkamah Persekutuan bahawa terdapat persoalan undang-undang melibatkan kepentingan awam yang turut mengandungi persoalan tentang prinsip umum yang belum pernah diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah Persekutuan.

Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon telah memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.

Jika Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak memberi kebenaran merayu kepada gereja, keputusan Mahkamah Rayuan tetap terpakai dan gereja tidak boleh lagi mengemukakan rayuan. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140529/ma_01/Kalimah-Allah-Keputusan-permohonan-gereja-23-Jun#ixzz333yGsSl7  © Utusan Melayu (M) Bhd

PRK TELUK INTAN - Samseng jangan campur tangan

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my



Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan masyarakat setempat ketika hadir pada malam mesra bersama pemimpin di Rumah Awam Padang Tembak, Teluk Intan, Perak, malam semalam. - BERNAMA

TELUK INTAN 28 Mei - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada kumpulan kongsi gelap atau samseng supaya tidak campur tangan mempengaruhi pe-ngundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Beliau berkata, pihak berkuasa telah mengesan kegiatan kumpulan dipercayai kongsi gelap itu yang dikatakan mengugut pengundi supaya memilih parti tertentu pada hari pengundian, Sabtu ini.

Selain mengugut kata beliau, pihaknya juga mengesan kumpulan yang memiliki rangkaian di sini, Ipoh dan Pulau Pinang membuat pertaruhan untuk menentukan parti mana yang akan menang PRK Parlimen Teluk Intan.

"Kita sentiasa memantau penglibatan kumpulan kongsi gelap yang secara tidak langsung cuba untuk campur tangan dalam PRK di sini dengan mengugut pengundi supaya memilih pihak tertentu.

"Kami dapat menghidu keha-diran dan pergerakan kumpulan kongsi gelap ini dan saya ingin memberitahu mereka supaya menghentikan kegiatan ini. Biar pengundi di sini yang menentukan nasib kerusi Parlimen Teluk Intan. Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas jika kumpulan kongsi gelap ini campur tangan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai malam mesra bersama pemimpin yang dihadiri lebih 7,000 orang di Rumah Awam Padang Tembak di sini malam tadi.

Tambah Ahmad Zahid, kementerian sememangnya memantau ke-giatan kumpulan tersebut sejak hari penamaan calon bagi memastikan tiada pihak yang mengambil ke-sempatan mempengaruhi pengundi dengan kekerasan.

"Berilah peluang kepada kedua-dua calon yang bertanding, kita perlu hormat parti yang bertanding," katanya.

Sementara itu, dalam ceramah-nya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO meminta orang Melayu supaya sedar bagaimana nasib mereka jika berada di bawah pentadbiran pembangkang.

Menurutnya, selama dua penggal pembangkang menguasai Parlimen Teluk Intan, tiada pemba-ngunan yang dapat dibawa kerana tiadanya kerjasama dengan kerajaan Pusat.

"Nilaikan apa yang pembangkang buat di Teluk Intan. Sedangkan mendiang wakil rakyat pembangkang yang sebelum ini gagal membawa perubahan di sini, apatah lagi calon mereka kali ini yang muda dan orang luar," ujar beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140529/po_01/Samseng-jangan-campur-tangan#ixzz333wQtjdX  © Utusan Melayu (M) Bhd

 

AL-FATIHAH - Teks Pengisytiharan Kemangkatan Sultan Perak oleh Menteri Besar Perak Darul Ridzuan





Bismillah hirrahmanirrahim 
Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni AlMarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah telah mangkat pada jam 1.30 tengah hari pada 28 haribulan Mei 2014 Masihi, bersamaan 28 Rejab 1435 Hijrah.

Jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan disemayamkan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bagi maksud penghormatan terakhir pada sebelah pagi jam 9 pagi oleh Pembesar Negeri dan Orang Kenamaan. Oleh orang ramai mulai jam 11 pagi hingga 2 petang manakala oleh Ke Bawah Duli Maha Mulia Sultan/Raja-Raja/Pembesar Negara Asing mulai 2 petang hingga 3 petang.

Jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar pada hari 29 haribulan Mei 2014 Masihi, bersamaan 29 Rejab, 1435 Hijrah.

Bendera negeri Perak Darul Ridzuan hendaklah dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari ini 28 haribulan Mei 2014 manakala bendera Malaysia pula akan dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari sahaja. Sepanjang tempoh perkabungan tujuh hari tersebut, semua berbentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.

Sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, maka Khamis 29 haribulan Mei 2014 diisytiharkan sebagai hari cuti umum bagi seluruh negeri Perak Darul Ridzuan sempena hari pemakaman.

Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat. Saya Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan mewakili seluruh rakyat jelata Negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah Subhanahuwataala di kalangan para auliya, syuhada dan solehin.

Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140529/dn_02/Teks-Pengisytiharan-Kemangkatan-Sultan-Perak-oleh-Menteri-Besar-Perak-Darul-Ridzuan#ixzz333spwNZS  © Utusan Melayu (M) Bhd 


AL-FATIHAH - Sultan Azlan Shah mangkat

Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my



JENAZAH Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang dibawa dari Kuala Lumpur tiba di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, malam tadi. Turut kelihatan terlindung Raja Dr. Nazrin Shah (tengah) dan Tuanku Zara Salim. - BERNAMA

IPOH 28 Mei - Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah mangkat pada pukul 1.30 tengah hari hari ini pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Kemangkatan baginda yang memerintah Perak selama 30 tahun diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada pukul 3.45 petang melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta seorang putera dan tiga orang puteri.

Zambry berkata, jenazah Sultan Azlan akan disemayamkan di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar esok untuk penghormatan terakhir.

Menurut beliau, bagi pembesar negeri dan orang kenamaan, mereka boleh memberi penghormatan terakhir pada pukul 9 pagi manakala orang ramai pula antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.

"Bagi Ke Bawah Duli Maha Mulia Sultan, raja-raja dan pembesar negara asing pula, tempoh penghormatan terakhir adalah antara pukul 2 hingga 3 petang.

"Jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, esok," katanya.

Zambry turut mengumumkan tempoh perkabungan negeri ini selama 100 hari bermula hari ini dan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut manakala bendera Malaysia pula dikibarkan separuh tiang untuk tujuh hari sahaja.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan.

"Sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, esok diisytiharkan sebagai hari cuti umum bagi seluruh negeri Perak.

"Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat. Saya mewakili seluruh rakyat jelata merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah Subhanahuwataala dalam kalangan para Auliya, Syuhada dan solehin," ujarnya.

Di KUALA LUMPUR, jenazah Almarhum dibawa keluar dari IJN ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar menggunakan van jenazah Kementerian Pertahanan pada pukul 5.05 petang.

Turut berangkat mengiringi jenazah Almarhum ialah Tuanku Bainun serta kerabat diraja.

Terdahulu, pada pukul 2.40 petang, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dilihat berada di pekarangan IJN ditemani Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Azlan diputerakan pada 19 April 1928, dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak pada 1 Julai 1983 dan dimasyhurkan sebagai Sultan Perak pada 3 Februari 1984 selepas kemangkatan Sultan Idris Shah.

Almarhum baginda yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara memperoleh pendidikan awal di Government English School, Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah.

Baginda kemudiannya meneruskan pelajaran peringkat menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom.

Pada tahun 1953, baginda mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan seterusnya sah menjadi ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln"s lnn pada 23 November 1954.

Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong yang kesembilan, dilantik pada 26 April 1989 hingga 25 April 1994.

Semasa hayat Almarhum, Sultan Azlan aktif dalam sukan hoki dan memegang pelbagai jawatan penting antaranya Presiden Persatuan Hoki Malaysia (PHM), Presiden Hoki Asia dan Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140529/dn_01/Sultan-Azlan-Shah-mangkat#ixzz333qiWUAH  © Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday 28 May 2014

Tengku Abdullah tepati ramalan, menang Presiden FAM

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FADHILUL IZMEL ISHAK
sukan@utusan.com.my



Sultan Ahmad Shah menyampaikan watikah penyerahan tugas kepada anakandanya, Tengku Abdullah yang terpilih sebagai Presiden FAM yang baharu menggantikan baginda dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 di Shah Alam semalam. - Utusan/Nasirruddin Yazid

SHAH ALAM - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memenangi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014-2018 dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 semalam, yang berlangsung sengit dan mendebarkan apabila dibuat dua pusingan.

Seperti diduga, penyandang, Sultan Ahmad Shah mengambil keputusan menarik diri pada pemilihan kali ini semasa menyampaikan ucapan perasmian kongres dan menjadikan pemilihan presiden hanya melibatkan dua calon iaitu Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada pusingan pertama, Tengku Abdullah meraih 24 undi sementara Tunku Ismail mendapat 15. Pengundian terpaksa dilakukan sekali lagi kerana berdasarkan Artikel 39.2 bagi pemilihan jawatan presiden, majoriti dua pertiga diperlukan jika terdapat tiga calon memandangkan nama Sultan Ahmad Shah masih terdapat dalam kertas pengundian kerana lewat menarik diri.

Apabila keputusan pengundian pusingan kedua diumumkan Tengku Abdullah berjaya mendapat tambahan tiga undi daripada perwakilan, menjadikan 27 undi manakala Tunku Ismail terpaksa berpuas hati dengan 12 undi.

Sementara itu, kejutan berlaku dalam pemilihan timbalan presiden apabila calon popular, Datuk Seri Subahan Kamal tewas kepada Datuk Seri Afandi Hamzah dan muka baharu, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad.

Afandi mendapat 27 undi dengan Mokhtar yang sebelum ini dilabelkan calon underdog, meraih 26 undi untuk menduduki tempat kedua - meninggalkan Subahan yang merupakan Naib Presiden FAM sebelum ini dengan 25 undi.

Bagi empat jawatan Naib Presiden pula menyaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin meraih perhatian apabila mendapat undi paling tinggi dengan 28 undi diikuti Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman, 27 undi, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman, 26 undi dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM),Datuk Takiyuddin Hassan, 21 undi.

Dalam sidang akhbar pertamanya selaku presiden FAM, Tengku Abdullah berkata, beliau tetap memerlukan sokongan daripada semua pihak terutama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail sambil mengingatkan peminat bola sepak agar jangan terlalu cepat membuat penilaian terhadapnya apabila mengambil alih jawatan itu.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dan pada yang gagal, jangan patah semangat dan patut berbangga ke­rana dicalonkan.

“Sebagai Presiden, saya bersedia mendengar pendapat semua pihak dan menghulurkan tangan kepada sesiapa sahaja, saya memerlukan bantuan daripada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung, termasuk TMJ juga.

“Banyak perkara perlu diperbetulkan terutamanya dalam melakukan audit, kewangan, pentadbiran dan hal-hal lain, tambahan pula 10 daripada 15 exco terdiri daripada muka-muka baharu.

“Nilailah saya dalam tempoh empat tahun, janganlah tunggu hingga 30 tahun dan bersabarlah menunggu perubahan daripada saya. Tidak guna juga pelbagai perubahan dilakukan tetapi para pemain tidak ada sikap mahukan kejayaan," katanya.

Jawatan exco pula menjadi milik Datuk Yusof Mahadi, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, Datuk S. Sivasundram(penyandang), Alijus@Mohd Ali Sipil, Datuk Osman Salleh(penyandang), Goh Ah Chai, Datuk Mohd. Junid Noor dan Datuk Othman Aziz sementara Exco Wanita yang kali pertama diperkenalkan dimenangi Brig. Jen. Datuk Norhuda Ahmad dan Normala Md. Yusof.

Sebanyak 20 badan gabungan terdiri daripada 39 perwakilan layak mengundi dengan setiap persatuan diberikan hak dua undi manakala Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia mempunyai kelayakan satu undi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140526/su_02/Tengku-Abdullah-tepati-ramalan-menang-Presiden-FAM#ixzz32yiLZ6Xg  © Utusan Melayu (M) Bhd 


F1 - Rosberg muncul juara Grand Prix Monaco












MONACO - Nico Rosberg menukar keputusan kontroversi petak pertama yang dilakarnya kelmarin kepada kemenangan buat Mercedes, sekali gus kembali merampas kedudukan pendahulu dalam senarai pemandu kejuaraan dunia pada Grand Prix Monaco, semalam.

Pemandu Jerman berusia 28 tahun itu menamatkan perlumbaan 9.2 saat di depan pencabarnya yang juga rakan sepasukan, Lewis Hamilton yang mengadu sebelah matanya kabur, namun masih mampu berada di kedudukan kedua.

Pelumba Australia, Daniel Ricciardo berada di anak tangga ketiga selepas mengekori rapat Hamilton hingga ke garisan penamat, sementara juara dunia empat kali, Sebastian Vettel yang berlumba buat kali ke-100 untuk pasukan Red Bull, gagal meneruskan perlumbaan selepas lapan pusingan kerana masalah pada unit kuasa jentera.

Kemenangan tersebut merupakan kali kedua berturut-turut buat Rosberg di Monaco, yang juga kejayaan kedua bagi musim 2014, dan kelima dalam kariernya.

Pemandu Ferrari, Fernando Alonso pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat sementara Nico Hulkenberg dari Force India di tempat kelima, dan pemandu McLaren, Jenson Button di kedudukan keenam.

Felipe Massa menamatkan saingan di tangga ketujuh buat Williams, Jules Bianchi dari Marussia di kedudukan kelapan, manakala rakan senegaranya dari Perancis, Romain Grosjean yang memandu untuk Lotus serta pemandu dari Denmark, Kevin Magnussen yang memandu McLaren berada di tempat kesembilan dan ke-10.

“Wahooooo! Terima kasih semua. Jentera ini hebat sekali," jerit Rosberg sebaik melengkapkan 78 pusingan pada perlumbaan tersebut.

Kejayaan Rosberg itu membolehkan dia mengumpul 122 mata dalam persaingan memburu gelaran untuk berada di depan Hamilton yang mengutip 118 mata.

“Kemenangan ini amat istimewa, saya dapat rasakan tekanan sepanjang perlumbaan, tetapi saya berjaya mengekalkan ketenangan dalam diri saya," tambahnya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140526/sl_06/Rosberg-muncul-juara-Grand-Prix-Monaco#ixzz32yfkM1jE  © Utusan Melayu (M) Bhd 


Merenung hikmah Israk Mikraj

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON



Orang ramai dari pelbagai pertubuhan NGO Islam yang hadir mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya bagi mendengar permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenai penerbitan mingguan The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah dalam bahasa Melayu, pada 5 Mac lalu. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

BULAN Rejab mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding bulan-bulan hijrah lain. Ini kerana berlakunya peristiwa agung yang mencabar minda dan akal fikiran manusia untuk memikirkan kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Sirah perjalanan agung Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermula daripada rumahnya di Mekah kemudian singgah di Madinah dan Baitulmaqdis di Palestin sebelum dibawa menaiki Burak membelah tujuh petala langit dan menghadap Allah pada satu malam adalah suatu mukjizat yang kekal dikenang hingga ke hari ini.

Malah ia merupakan kejadian yang bertentangan dengan hukum akal manusia hinggakan terdapat dalam kalangan orang Islam yang lemah iman tidak mempercayainya lalu kembali kepada agama asal mereka.

Allah berfirman yang maksudnya; Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra':1)

Peristiwa agung ini jelas menunjukkan betapa kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Malah manusia yang sifatnya lemah, pelupa dan sering kali berbuat kesalahan dan kesilapan harus sentiasa merendah diri dan bertaubat kepada Allah.

Usah mendabik dada dengan kebolehan manusia yang terhad dan kecanggihan teknologi yang memukau pandangan, kerana semua itu hanya sekelumit daripada ilmu Allah yang maha luas lagi tidak bertepi.

Usah terlalu berbangga dengan kejayaan dan pencapaian yang dikecapi kerana ia adalah sekelumit daripada anugerah Allah yang perlu disyukuri.

Sehubungan itu, masyarakat Islam diseru kembali kepada ajaran al-Quran dan sunah Rasul-Nya apabila menemui jalan buntu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul. Keengganan berbuat demikian dikhuatiri akan menyebabkan individu Muslim tersilap langkah dan menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar.

Mukjizat agung Israk Mikraj juga menunjukkan betapa Allah maha berkuasa secara mutlak untuk memberi balasan baik dan buruk kepada hamba-hamba-Nya. Perkara ini dapat diperhatikan kepada gambaran balasan baik dan buruk yang dipertontonkan kepada kekasih-Nya pada malam kemuliaan tersebut.

Antaranya Baginda Nabi SAW diperlihatkan dengan keadaan segolongan manusia yang menanam tanaman kemudian tumbuh subur dan dituai hasilnya pada hari yang sama.

Apabila ditanya kepada Malaikat Jibril yang sentiasa mengiringi Nabi SAW dalam perjalanan tersebut, dijawab ia adalah balasan yang disediakan buat para pejuang fisabilillah yang ikhlas berjuang bermati-matian lalu dilipatgandakan pahala amal mereka oleh Allah.

Mengambil sempena peristiwa yang menakjubkan ini, umat Islam diseru untuk berjuang habis-habisan bagi mempertahankan akidah daripada terlibat berbuat perkara yang boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada landasan agama yang sebenar.

Ini termasuklah golongan yang mempersendakan hukum hakam Allah SWT lagi tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Terdapat pula yang masih mempercayai perkara-perkara khurafat dan tahyul serta mempercayai kuasa tertentu yang boleh memberi kebaikan dan keburukan selain daripada Allah yang maha berkuasa.

Di sudut lain, umat Islam diseru mempertahankan kesucian agama Allah daripada diceroboh oleh pihak-pihak yang berniat serong dan mempertahankan institusi kenabian daripada diperbodoh-bodohkan dengan lawak dan karikatur yang menjengkelkan.

Malah sebilangan umat Islam di luar negara terus ditindas dan dan dinafikan hak untuk bernegara apatah lagi melaksanakan ajaran agama di tanah air mereka sendiri.

Selain itu, penipuan atas nama agama juga semakin berleluasa. Malah yang lebih memalukan apabila ada pihak yang menjaja agama ke sana dan ke mari tak ubah seperti ubat pelaris kepada perniagaan mereka.

Ingatlah, pelbagai bentuk hukuman berat bakal menanti umat Islam yang malas menunaikan solat, enggan membayar zakat, seronok memakan riba dan meng­khianati amanah.

Yang mana jika diperhalusi balasan yang ditunjukkan oleh Allah ini bersifat menyeluruh lagi merangkumi pelanggaran terhadap tanggungjawab manusia kepada Tuhan-Nya, kepada masyarakat dan segala hubungan personal yang bersifat peribadi.

Apa yang lebih penting untuk difahami betapa setiap gerak-geri dan perlakuan manusia tidak pernah sepi daripada pemantauan Allah dan Allah secara mutlak maha berkuasa untuk memberikan balasan yang setimpal terhadap pelakunya.

Apa pun peristiwa Israk Mikraj yang meriah diraikan dengan pelbagai program dan aktiviti seharusnya menjadi wadah terbaik buat para Muslimin untuk kembali berpegang dengan ajaran Allah SWT dan sunah Rasul-Nya.

Dengan sifat akal manusia yang terhad dan hanya bergantung kepada kekuatan pancaindera yang juga terhad mana mungkin manusia mampu untuk memikirkan sesuatu yang di luar daripada batasan yang ditetapkan.

Lebih daripada itu, segala kejadian dan peristiwa yang berlaku mempunyai hikmah dan kebaikan tersendiri sama ada yang tersirat mahupun yang tersurat di depan mata.

Hanya sahaja manusia sebagai hamba Allah harus sentiasa muhasabah diri seraya mempertingkatkan amal bakti demi mendambakan cinta Ilahi.

Malahan masa yang pergi dan berlalu begitu pantas tidak pernah menunggu sesiapa yang terlewat apatah lagi membuang masa kepada perkara perkara yang tidak berfaedah.

Ambillah iktibar daripada setiap kejadian yang berlaku semoga menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik dari pada semalam.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140527/re_02/Merenung-hikmah-Israk-Mikraj#ixzz32yYLOz5g  © Utusan Melayu (M) Bhd 



BN janji transformasi Teluk Intan

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my


MAH Siew Keong (duduk, tengah) bersama ahli-ahli parti Gerakan dan parti komponen Barisan Nasional dalam Majlis Pelancaran Manifesto Calon Barisan Nasional bagi Pilihan raya Kecil Parlimen Teluk Intan di Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia Bahagian Teluk Intan, Perak, semalam.

TELUK INTAN 26 Mei - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong hari ini melancarkan manifestonya yang antara lain berjanji untuk membina sebuah universiti di bandar itu dan berusaha menjadikan ikon kawasan berkenaan, Menara Jam Condong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Presiden Gerakan tersebut juga berjanji untuk menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden, meningkatkan pelaburan, peluang pekerjaan untuk golongan muda serta mewujudkan lebih banyak zon WiFi dalam usaha mentransformasikan bandar tersebut.

Selain itu, beliau berikrar untuk menjadikan bandar ini sebagai pusat makanan di Hilir Perak, membangunkan projek pembangunan bersepadu tepi sungai dan membina kompleks sukan bersepadu untuk golongan belia.

Siew Keong menjelaskan, janji dan ikrar yang digariskan itu adalah keperluan penduduk berdasarkan pengalaman yang dilaluinya selama 20 tahun memberi khidmat kepada mereka.

"Sepanjang enam tahun lepas, Teluk Intan telah banyak ketinggalan terutama dalam pembangunan infrastruktur berikutan kegagalan Ahli Parlimen DAP yang dipilih menjalan tanggungjawabnya dan kita akui ada 'jiran' kita yang telah jauh mendahului.

"Melalui tiga teras utama iaitu pembangunan ekonomi, pelanco­ngan dan komuniti, saya bertekad untuk menyambung kembali rancangan yang telah dirangka untuk membangunkan Teluk Intan, yang dulu terpaksa saya ketepikan selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) tahun 2008," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran manisfestonya di Pejabat Gerakan Teluk Intan di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Siew Keong juga berikrar, jika dipilih menjadi Ahli Parlimen di sini, beliau akan terus berjuang dan bekerja bersungguh-sungguh untuk membangunkan Teluk Intan selain memastikan potensi yang ada di kawasan ini direalisasikan sepenuhnya.

Jelas Siew Keong, beliau yakin mampu melaksanakan segala akujanji yang terkandung dalam mani­festonya itu antara 70 dan 80 peratus.

"Apa yang saya ikrarkan bukan direka-reka kerana semuanya saya rangka setelah membuat semakan dengan pihak-pihak terlibat me­ngenai bantuan yang boleh mereka salurkan untuk penduduk di kawasan sini.

"Ada peluang untuk dapat, baru saya berani suarakan. Saya tidak berani buat janji sedangkan realitinya ia tidak akan dapat dilakukan seperti yang selalu dibuat pembangkang," katanya.

Tambah Siew Keong, melalui pengalamannya sebagai bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Ahli Parlimen Teluk Intan dari tahun 1999 hingga 2008, beliau yakin mampu membawa perubahan yang lebih baik untuk Teluk Intan.

"Saya memohon agar diberikan peluang untuk berkhidmat di kawasan ini sekali lagi. Saya berikrar akan melakukan yang terbaik untuk menjadikan Teluk Intan lebih maju dan membangun pada masa depan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140527/po_02/BN-janji-transformasi-Teluk-Intan#ixzz32yX0ptQB  © Utusan Melayu (M) Bhd