PEMAIN-Pemain Argentina, (dari kiri) Maximiliano Rodriguez, Ricky Alvarez dan Hugo Campagnaro berlatih membuat hantaran pendek dan mengawal bola sewaktu sesi latihan pasukan itu di Belo Horizonte semalam. Argentina akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Nigeria esok. - AFP
SALVADOR - Ashkan Dejagah yakin Iran mampu menamatkan kemarau gol dengan menewaskan Bosnia, esok untuk melangkah ke peringkat 16 pasukan akhir Piala Dunia.
Iran kini berada di tangga ketiga Kumpulan F dengan satu mata selepas melakar keputusan seri tanpa jaringan dengan Nigeria, serta tumpas kepada Argentina 0-1 setelah Lionel Messi meledakkan gol pada masa tambahan.
Di Salvador, Iran perlu menewaskan Bosnia-Herzegovina yang telah pun tersingkir, sambil berharap Nigeria gagal memungut sebarang mata pada perlawanan menentang Argentina di Porto Alegre (12 tengah malam esok waktu Malaysia).
Stadium Arena Fonte Nova telah pun menyaksikan 17 gol diledakkan dalam tiga perlawanan selepas Belanda membelasah Sepanyol 5-1, Jerman membenam Portugal 4-0, dan Perancis menumbangkan Switzerland, 5-2. Apa yang perlu dilakukan Iran sekarang adalah meledakkan beberapa gol di stadium tersebut.
Sekiranya mereka menang dan Nigeria kalah, kedua-dua pasukan akan menamatkan saingan kumpulan dengan mengumpul empat mata, dan perbezaan jaringan bakal menentukan skuad yang akan ke peringkat 16 pasukan akhir menentang pemenang Kumpulan E di Brasilia pada Selasa depan.
Dejagah berkata, skuadnya perlu bangkit untuk melakar kemenangan setelah kecewa kerana kecundang di tangan Argentina.
"Kami masih mempunyai peluang untuk meneruskan cabaran, dan siapa yang terfikir bahawa kami mampu bertahan lebih lama berbanding England dan Sepanyol pada Piala Dunia. Semangat kami terjejas selepas perlawanan menentang Argentina setelah terpaksa menerima hakikat bagaimana perlawanan itu berakhir.
"Kami berusaha untuk menjadikan pertemuan itu sukar buat mereka, dan dengan sedikit tuah, kami sebenarnya mampu mencipta kemenangan pada perlawanan itu, atau pun melakar keputusan seri. Saya berharap, kami dapat membuktikan kepada dunia bahawa Iran mampu bermain bola sepak," kata Dejagah.
Sementara itu, Bosnia yang kini dalam perjalanan pulang selepas kalah dalam perlawanan pembukaan dengan Argentina 1-2, dan tewas kepada Nigeria 0-1, Ahad lepas, skuad bimbingan Safet Susic itu berikrar menebus maruah mereka dengan kemenangan.
Kekalahan dalam dua pertemuan pertama menyaksikan kempen Bosnia pada Piala Dunia di peringkat kumpulan berakhir, tetapi penyerang, Edin Dzeko mahu berundur daripada pertandingan itu dengan gaya yang tersendiri.
Dzeko ternyata berang selepas pasukannya kalah kepada Nigeria apabila jaringan awalnya dinafikan penjaga garisan kerana dia dikatakan ofsaid, tetapi rakaman video menunjukkan pemain itu jelas tidak berada di kedudukan tersebut. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140625/sl_03/Iran-harap-nasib-memihak-mereka#ixzz35cBvPfA7 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment