Bintang Uruguay, Luis Suarez berlatih bersama rakan sepasukannya di Stadium Arena do Jacare dekat Sete Lagoas, Brazil, semalam. - AGENSI
MONTEVIDEO - Penyerang Uruguay, Luis Suarez berkata, dia memiliki keinginan tinggi untuk mengalahkan England dalam perlawanan minggu ini.
Penyerang Liverpool itu yang tidak beraksi ketika pasukannya kalah kepada Costa Rica 3-1 sebelum ini, merayu peminat bola sepak Uruguay agar memberikan sokongan dan sepenuh kepercayaan kepadanya walaupun belum ada kata putus sama ada dia akan beraksi menentang England (pada 3 pagi Jumaat waktu Malaysia).
"Saya mempunyai keghairahan yang tinggi untuk membantu pasukan kami beraksi di padang nanti.
"Tidak beraksi dalam perlawanan pertama membuatkan keghairahan untuk masuk padang semakin membuak-buak," kata penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris itu kepada Ovacion Digital.
Suarez yang menjalani pembedahan bagi memperbetulkan kecederaan ligamen lutut tiga minggu lepas memberitahu dia bersedia mengambil risiko jika disenaraikan dalam pertemuan itu.
"Tetapi kini, selepas beberapa hari menjalani pemulihan, saya yakin boleh kembali cergas.
"Saya sudah 100 peratus pulih. Jika tidak, saya tidak akan bermain. Saya sering berkata akan turun bermain apabila sudah bersedia dan kini saya benar-benar bersedia.
"Mungkin saya masih tercari-cari rentak permainan kerana sudah sekian lama tidak beraksi tetapi dari aspek fizikal, saya sudah cukup cergas," katanya yang yakin sudah bersedia untuk beraksi.
Suarez juga membuat satu pengumuman di laman Twitter peribadinya tentang kesediaan Uruguay menentang England dilihat sebagai penentu untuk pasukannya mara ke peringkat seterusnya. - AFP
No comments:
Post a Comment