zambrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my
Pergaduhan yang tercetus antara penyokong calon yang bertanding semasa pemilihan cabang PKR Kota Raja di Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
KLANG 22 Jun - Pemilihan semula Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kota Raja hari ini dicemari suasana tegang serta aksi pergaduhan, seolah-olah menunjukkan parti itu dianggotai ramai gengster dan samseng.
Ketegangan bermula pada kira-kira pukul 4.15 petang apabila salah seorang pengundi dikatakan cuba mensabotaj proses pemilihan dengan merosakkan peti undi.
Tindakan lelaki itu menyebabkan suasana dalam Dewan Serbaguna Klang Jaya, Taman Desawan di sini kecoh sehingga dapat didengari para penyokong di luar dewan.
Suasana menjadi panik apabila beberapa petugas urus setia meluru keluar dewan dan mengarahkan pintu bangunan itu dan pagar ditutup.
Arahan berkenaan menyebabkan para penyokong cuba masuk tetapi dapat dihalang petugas urus setia, namun ada di antara mereka berjaya meloloskan diri dengan memanjat pagar.
Di luar dewan, suasana cukup tegang antara para penyokong termasuk adegan membaling kerusi.
Bagaimanapun, kecekapan anggota-anggota polis berjaya mengawal keadaan daripada menjadi lebih serius, malah tiada peti undi dilaporkan rosak.
Sebanyak dua pengundi dan penyokong cedera dengan luka pada kepala.
Berikutan kekecohan tersebut, proses pemilihan semula cabang berkenaan yang sepatutnya tamat pada pukul 5 petang diawalkan kira-kira 25 minit.
Peti-peti undi kemudian dibawa ke Ibu Pejabat PKR dengan diiringi kereta peronda polis.
Usaha media untuk mendapatkan penjelasan daripada beberapa urus setia dan pemimpin PKR yang hadir gagal kerana masing-masing enggan mengulas kejadian tersebut.
Sebelum itu, kekecohan sudah pun berlaku sejak proses pemilihan bermula, antaranya apabila beberapa pengundi yang sedang mengundi di dalam dewan diarah keluar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar yang juga penyandang jawatan ketua cabang Kota Raja pada kira-kira pukul 11.30 pagi.
Pengundi terbabit diminta menyemak semula nama dalam senarai berdaftar oleh Xavier yang mengesyaki mereka sebagai 'pengundi hantu'.
Dakwaan tersebut membuatkan beberapa penyokong berang dan ada yang melemparkan rasa tidak puas hati kepada Xavier.
Salah seorang penyokong, K. Krishnan, 55, memberitahu, dia mempersoalkan tindakan Xavier itu yang dilihatnya seperti menyalahgunakan kuasa wakil rakyat.
"Apa kuasa kamu memanggil mereka? Kamu hanya wakil rakyat. Apa mahu gaduh-gaduh?," soalnya kepada Xavier.
Bagaimanapun, dia berjaya ditenangkan oleh penyokong-penyokong lain.
No comments:
Post a Comment