Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 27 September 2013

Enchant1MST - Kepada Para Pembaca, Saya Merayu ....


Friday, September 27, 2013



Artikel ini seperti ulangan artikel saya semalam, sengaja saya copy paste disini supaya mereka yang pertamakali baca tidak perlu banyak klik. POINT SAYA DIBAWAH SEKALI.

Satu pusat tumpuan Keagamaan  ( kecuali Islam ) TERBESAR Di Dunia menggunakan konsep Pelancungan Spiritual 

Patung Kuan Yin ( berpusing ) TERBESAR Di Dunia ! Kuil Kuan Yin TERBESAR Di Dunia ! Kompleks Beli Belah TERBESAR Di Dunia ! Piramid TERBESAR Di Dunia ! Columbarium ( Tempat/Stor Menyimpan Abu Mayat ) TERBESAR Di Dunia !


Lokasi - Gambang, 35 km dari bandar Kuantan diatas tapak seluas 500 ekar, yakni lebih besar dari kawasan KLIA.

Kawasan terlalu luas untuk dilawati dalam 1 hari, perlukan 3-5 hari ! Satu bandar tersendiri yang lengkap segalanya.

Untuk ke laman web projek - KLiK


"...... the Malaysian government fully supported us in this project and also providing us the land." 

" This is fully backed by the government of Malaysia..... the government of Malaysia has also helped us to provide funding for this project." 

Pecah Tanah pada penghujung bulan November 2013.





KLiK untuk ke Youtube.

Baca juga - Enchant1MST - Kita WAJIB Bantah ! DiMana Suara Umat Islam ?

                                                    *************************

Saya masih mengharapkan rakan2 bloggers dan media sosial lain dapat turut sama memainkan isu ini tapi sehingga tengahmalam ini, langsung tidak ada seorang pun baik dari pro Umno maupun dari pro Pas yang ada menulis tentang perkara ini.

Entahlah ...... mungkin saja mereka tidak baca dan tidak ambil pot isu2 selain dari isu politik. Kalaupun isu agama, ia harus punya sudut politik barulah ramai yang akan sambut. 

Agaknyalah kalau dalam isu Kalimah Allah, yang sibuk perjuangkan adalah orang Pas, rasanyalah, orang Umno akan ikut sama main tak ? Saja terfikir ......

HAKIKATNYA - isu ini tidak menarik minat mana2 bloggers AlifBaTa maupun bloggers Tahaluf Siyasi untuk perjuangkan dan saya takut isu ini akan tenggelam terus ...... dan sedar2, akan terbangunlah Bandaraya Himpunan Agama Kafir yang UNIK dan TERBESAR di dunia di Tanah Melayu ini.


Dan akan terkenallah negara Islam moderate ini seantero dunia menjadi Tanah Haram bagi orang Bukan Islam seluruh dunia ! Berduyun2lah orang kafir datang melawat Malaysia untuk menunaikan 'Haji' mereka di Enchant1MST, Gambang Pahang ( baca sebagai pelancong yang membawa pendapatan hasil pelancungan ).

Mungkin orang Melayu waktu itu akan bertepuk sorak kegirangan menghulurkan kedua2 belah tangan menyambut kedatangan pelancung2'Haji' itu ..... siap dengan pukulan kompang dan tarian tradisional menyambut mereka di lapangan terbang.

Apakah kita mahu melihat senario itu berlaku ?

Saya TIDAK MAHU ! Tapi saya tidak boleh nak memaksa rakan2 supaya ikut sama membantah, itu hak masing2. Kalau mereka mahu memperlekehkan bantahan inipun, saya tidak boleh nak marah ... hak masing2. Kalau mereka MAHU melihat senario diatas berlaku pun, saya boleh kata apa ?

Biarlah saya teruskan saja bantahan ini mengikut kemampuan saya, yakni menyeru melalui blog ini. Makanya disini saya MERAYU kepada semua pembaca agar dapat turut serta bersama saya MEMBANTAH projek mega ini.

Bersuaralah dan sebarkanlah bantahan ini di merata medium alternatif yang ada.... blog, FB, tweet, watsup ... apa sajalah. Jangan tunggu para bloggers samada pro Umno maupun pro Pas yang ada untuk kedepan dalam isu ini, dalam kes ini kita yang harus bersuara dan desak mereka untuk kedepan !

Kita lakukan semampu kita ..... dan berdoalah semoga usaha kecil kita ini mampu menghasilkan sesuatu. InsyaAllah .... 

KOMEN : MARI KITA SAMA-SAMA SEBARKAN MAKLUMAT INI...... TERIMA KASIH...

PAU - Laluan berliku Naib Presiden


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my



JAWATAN Naib Presiden yang bakal diisi oleh tiga penyandang 19 Oktober depan adalah tiket laluan awal untuk parti, kerajaan dan rakyat mengukur potensi dan kewibawaan kepimpinan kanannya sebelum melangkah lebih jauh

Apabila Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul Rahman, beliau memilih Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang ketika itu berada dalam kedudukan nombor tiga di barisan Naib Presiden, sebagai timbalannya. Apabila Dr. Ismail meninggal dunia, Tun Razak memilih Tun Hussein, juga Naib Presiden ketiga.

Tun Razak tidak pernah menduduki jawatan Naib Presiden. Begitu juga Almarhum Tunku Abdul Rahman yang terus menjadi Presiden UMNO kedua, menggantikan Datuk Onn Jaafar pada 1951 dengan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya ketika itu. Tun Razak pula terus ke jawatan Timbalan Presiden (1951-1971) selepas memenanginya dengan menewaskan dua calon lain.

Pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dua Naib Presiden yang paling kanan dan dua Naib Presiden nombor dua menjadi pilihannya untuk menyandang jawatan nombor dua. Ia meskipun sejarah sebelum itu membuktikan Naib Presiden nombor tiga termasuk Dr. Mahathir sendiri adalah mereka yang sentiasa bernasib baik.

Naib Presiden paling kanan yang dipilih Dr. Mahathir sebagai orang nombor dua ialah Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi kedua-duanya tersadai di situ. Apabila Tun Ghafar Baba dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau adalah Naib Presiden nombor dua selepas Tengku Razaleigh Hamzah dan nombor tiga ketika itu ialah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, bekas Menteri Besar Terengganu.

Dr. Mahathir, juga merupakan Naib Presiden nombor tiga apabila dilantik oleh Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 5 Mac 1976 berikutan kematian mengejut Razak. Pada hal ketika itu, Naib Presiden UMNO paling kanan ialah Ghafar, diikuti Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada 8 Januari 1999 pula, Dr Mahathir memilih Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga nombor dua selepas Najib, sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila tiba giliran Abdullah pula, beliau memilih Najib, Naib Presiden paling kanan sebagai timbalannya.

Pada 2009 itulah buat julung kali dalam sejarah UMNO, perwakilan menentukan sendiri siapa yang mereka mahu untuk menyandang jawatan nombor dua dalam parti. Ini bukan lagi secara tradisi dalam sejarah 63 tahun kewujudannya, apabila Presiden memilih timbalannya dalam kalangan tiga Naib Presiden tanpa mengira sama ada Naib Presiden paling kanan, kedua atau yang ketiga.

Pada ketika itu, Muhyiddin dari kerusi Naib Presiden menang menewaskan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam. Jawatan Timbalan Perdana Menteri mempunyai sejarah tersendiri dan sepanjang kewujudan jawatan itu, ia sudah disandang oleh sembilan pemimpin iaitu Tun Razak, Dr. Ismail, Tun Hussein, Dr Mahathir, Musa, Ghafar, Anwar, Abdullah dan Najib.

Namun, untuk rekod, antara Naib Presiden yang pernah menjadi Timbalan Presiden ialah Dr. Ismail, Tun Hussein, Dr. Mahathir, Musa Hitam, Ghafar, Anwar, Abdullah, Najib dan Muhyiddin. Antara mereka, cuma Tun Hussein, Dr. Mahathir, Abdullah dan Najib berjaya ke puncak dalam parti dan seterusnya menyandang jawatan Perdana Menteri.

Dr. Ismail yang dipilih Tun Razak sebagai timbalannya apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kedua pada September 1970, bagaimanapun tidak sempat naik ke puncak kerana meninggal dunia disebabkan sakit jantung.

Laluan untuk Naib-naib Presiden sebelum ke puncak kuasa, penuh berliku.



© Utusan Melayu (M) Bhd 



Thursday 26 September 2013

Kualiti pemimpin pengaruhi agenda transformasi negara


Shamrahayu A Aziz                                            



Sabtu lalu meriah dengan pencalonan bagi pemilihan pimpinan UMNO. Sebagai parti utama dalam pentadbiran negara dan parti komponen paling berpengaruh dalam Barisan Nasional (BN), pemilihan kepemimpinan dalaman UMNO pada setiap tahun mendapat perhatian seluruh rakyat, bukan saja ahli UMNO. 

Pemilihan pimpinan UMNO kali ini adalah penting bagi menentukan kesinambungan penguasaan UMNO pada pilihan raya umum akan datang walaupun jika dihitung hari jalan ke Pilihan Raya Umum Ke-14 masih agak panjang, tetapi dalam penyampaian kepada rakyat dan pentadbiran negara, masa itu sangat singkat. 

Pada pemilihan kali ini perkara utama yang diuar-uarkan semua pihak ialah penyuburan demokrasi dalam UMNO. Walaupun kita sedia maklum dua jawatan tertinggi UMNO, iaitu presiden dan timbalan presiden UMNO tidak ada pertandingan, ini masih menggambarkan demokrasi yang begitu jelas dalam UMNO. Tiadanya pertandingan dalam dua jawatan tertinggi itu menunjukkan kematangan UMNO yang meletakkan kepercayaan tidak berbelah-bahagi kepada pucuk pimpinan. Keadaan ini boleh dilihat sebagai satu kekuatan dalaman parti. Walau pun pertandingan dibenarkan, ahli UMNO membiarkan dua jawatan itu tidak dipertandingkan. 


UMNO buka peluang bertanding 

Bercakap mengenai demokrasi, kita maklum bahawa UMNO membuka ruang yang luas kepada ahlinya untuk bertanding dalam apa juga jawatan. Demokrasi itu jelas sekali kerana tidak banyak ketua di peringkat bahagian menang tanpa bertanding. Sebaliknya, menarik juga untuk diperhatikan, ada ketua bahagian yang memberi laluan kepada calon lain. Perkara-perkara sebegini boleh dijadikan ruang mencari dan memberi manfaat kepada parti. 

Elemen demokrasi yang membuka peluang terbuka kepada semua, muka lama, muka baharu atau orang lama dan orang muda boleh menjadi petanda kepada kedinamikan UMNO dalam perubahan masyarakat dan tuntutan semasa. 

Demokrasi ini perlu dimanfaat sepenuhnya oleh ahli UMNO, sama ada mereka yang bertanding jawatan atau perwakilan yang memilih. Demokrasi dalam UMNO ini tidak harus semata-mata dijadikan medan menunjukkan kekuasaan dengan kebolehan memujuk perwakilan untuk mengundi, tetapi demokrasi ini harus dijadikan peluang untuk menambah baik parti serta memulihkan UMNO. 

Ramai daripada kalangan orang UMNO sendiri dan mereka di luar UMNO mahukan perubahan menyatakan keperluan kepemimpinan UMNO berubah, maka ruang demokrasi yang sebegini boleh digunakan untuk UMNO berubah. Ia memberi ruang pemilihan barisan kepemimpinan lebih baik kepada UMNO. Pemilihan kali ini juga perlu menjadi landasan kepada UMNO untuk memperbaiki kelemahan dalaman yang tidak sepatutnya menjadi beban kepada UMNO sebagai sebuah parti yang sudah berjaya sebelum ini. 

Kualiti pimpinan diutama 

Pemilihan kepemimpinan UMNO kali ini hendaklah bagi tujuan mendapatkan kepercayaan akar umbi dengan kebolehan penyampaian khidmat kepada rakyat. Bagi menjamin kualiti perkhidmatan kepada rakyat itu, maka pemilihan kepemimpinan UMNO ini juga hendaklah ditumpukan kepada kualiti pimpinan. Kepemimpinan dalam UMNO hendaklah mereka yang mempunyai ketinggian peribadi, bersifat amanah dan mempunyai amalan moral yang baik serta kebolehan profesionalisme yang tinggi. 

Sesungguhnya, perwakilan menggalas tanggungjawab ini, memilih bukan saja mereka yang mendapat mandat akar umbi, tetapi lebih utama ialah memilih barisan kepemimpinan yang mementingkan modal insan yang diredai Allah. UMNO perlu berganjak ke arah kepemimpinan seperti ini supaya bersesuaian dengan kemahuan kebanyakan khalayak 

Modal insan sebegini perlu bagi UMNO untuk melancarkan segala perancangan pucuk pimpinan parti, bagi pihak UMNO khususnya dan pemerintahan negara keseluruhannya. Sebagai parti berpengaruh dalam pemerintahan negara, kualiti kepemimpinan UMNO ini juga akan terkesan ke atas agenda transformasi negara. 

Pemimpin yang harus dipilih oleh perwakilan ialah mereka yang layak dan mampu mengekalkan perjuangan asal UMNO, iaitu menjaga kepentingan Melayu; dari segi kedudukan bangsanya, rajanya, ekonominya, kuasa politiknya dan juga bahasanya. Kepentingan memilih pemimpin tepat dalam UMNO yang akan menjadi pemangkin kepada kesinambungan kedudukan Melayu yang begitu penting dalam pembinaan tamadun tanah air tercinta ini. 
Oleh itu, pemilihan pimpinan UMNO kali ini bukan hanya untuk ‘memilih,’ tetapi pada masa sama hendaklah menjadi satu acara bagi ‘memulihkan’ UMNO.


RANG UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN JENAYAH 2013

Penjenayah boleh ditahan 2 tahun
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KANUN KESEKSAAN (PIN.) 2013 - BENDERA



Hukuman tidak iktiraf Jalur Gemilang




KUALA LUMPUR 25 Sept. - Mana-mana pihak yang menggunakan, mengiktiraf serta mempromosi bendera kebangsaan selain daripada bendera Malaysia sebenar boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 15 tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Peruntukan undang-undang itu terkandung dalam Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 yang dibacakan buat kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut rang undang-undang itu, mana-mana pihak yang berbuat demikian telah melakukan satu kesalahan dan pindaan tersebut juga melibatkan bendera-bendera rasmi semua negeri di negara ini.

Selain itu, seksyen sama turut memperuntuk hukuman kepada mereka yang didapati mencacatkan, membakar, menghina, memusnahkan, meletakkan di atas lantai atau tanah serta mempersoalkan dengan niat untuk tidak menghormati mana-mana lambang dan bendera negara-negara asing.

Jika sabit kesalahan, mereka yang melakukan perbuatan itu juga boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda.








Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20130926/pa_02/Hukuman-tidak-iktiraf-Jalur-Gemilang#ixzz2fyYbuCH4 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

KANUN KESEKSAAN (PIN.) 2013

Hukuman rogol 30 tahun




KUALA LUMPUR 25 Sept. - Mereka yang melakukan jenayah seksual, jenayah terancang serta mencederakan pasangan masing-masing (suami isteri) akan dikenakan hukuman lebih berat sebaik sahaja Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 yang dibacakan kali pertama mula dikuatkuasakan.  Rang undang-undang itu dibaca Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam kategori kesalahan seksual, rang undang-undang itu memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun berbanding 20 tahun ketika ini selain kadar penjara minimum dinaikkan dari lima tahun kepada 10 tahun.
Antara kesalahan seksual yang boleh dipenjarakan sehingga 30 tahun adalah rogol secara berkumpulan, sumbang mahram dan rogol menggunakan apa-apa objek.

Bagi kesalahan rogol secara berkumpulan yang merupakan seksyen baharu (375B), mereka yang disabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun.

Bagi kesalahan sumbang mahram yang sebelum ini jika sabit kesalahan akan dihukum penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun, rang undang-undang itu menetapkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun.

Rang undang-undang itu turut meminda seksyen 377E bertujuan menaikkan kadar hukuman menghasut kanak-kanak melakukan perbuatan kelucahan melampau daripada penjara sehingga lima tahun kepada penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 15 tahun.

Bagi kategori jenayah terancang, rang undang-undang itu menaikkan kadar hukuman daripada penjara maksimum lima tahun penjara kepada 20 tahun.

Fasal tiga di dalam rang undang-undang itu juga memasukkan seksyen baharu 75A iaitu peruntukan bagi penjara mandatori tidak kurang daripada dua kali ganda tempoh lebih panjang untuk pesalah berulang yang melakukan kesalahan berat.

Rang undang-udang itu turut diperuntukkan seksyen baharu 130QA berkaitan kesalahan membantu gerakan keganasan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun dan tidak kurang 30 tahun serta boleh dikenakan denda.

Rang undang-undang itu turut memasukkan seksyen baharu 326 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali terhadap pasangan yang menggunakan jenayah kekerasan hingga menyebabkan kecederaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20130926/pa_01/Hukuman-rogol-30-tahun#ixzz2fyUZsrTX 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Tuesday 24 September 2013

Siapa mengalah, siapa bertahan




Oleh ZULKIFLI JALIL
 
 
Tempoh bertenang 72 jam akan tamat pada pukul 5 petang hari ini. Siapakah daripada senarai khususnya 261 mereka yang menyerahkan borang pencalonan peringkat UMNO Pusat Sabtu lalu, bakal menarik diri akan diketahui selepas 5 petang ini. Dan berkemungkinan diumumkan secara rasmi esok (Rabu 25 September).
 
Adakah terdapat calon Naib Presiden daripada enam orang akan menarik balik pencalonan mereka? Tetapi bagi yang mahu menjadikan kerjaya politik darah daging mereka akan terus bertahan dan kekal dalam senarai sehingga ke hujung bulan ini dan 19 Oktober nanti.
 
Kelmarin, Ahad 22 September, penulis sempat menghubungi seorang pegawai di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn mengenai perkembangan semasa pencalonan.
 
Katanya: "Saya terima banyak panggilan daripada individu tentang bagaimana cara hendak menarik diri. Ini bukan setakat yang bertanding di Pusat sahaja (MT dan sayap-sayap parti) tetapi banyak juga di peringkat bahagian.
 
"Cara nak tarik diri mudah sahaja, iaitu sama ada anda menelefon ibu pejabat UMNO memaklumkannya. Atau bercakap secara terbuka kepada media dan disiarkan percakapan itu. Jika itu dibuat, penarikan diri diterima secara rasmi oleh ibu pejabat parti," kata pegawai itu kepada penulis.
 
Apa pun kepada yang empunya diri, tanyalah diri sendiri adakah anda mahu mencapai sasaran selepas melalui pelbagai perjuangan dan persaingan.
 
Bagi kebanyakan menteri UMNO, mereka akan menawarkan diri untuk kerusi-kerusi Majlis Tertinggi, badan tertinggi pentadbiran parti itu. Jika seorang menteri gagal memenangi kerusi di dalamnya, maka kedudukan beliau dalam Kabinet hanya menunggu masa sahaja.
 
Secara umumnya, satu atau dua dekad lalu, andaian ini boleh dianggap benar. Sebagai satu amalan, seorang yang bukan ahli MT jarang diberi peluang untuk berkhidmat dalam Kabinet. Dalam Kabinet Pak Lah, terdapat hanya empat menteri UMNO yang bukan ahli MT parti. MT adalah satu forum di mana dasar-dasar parti yang penting dibincangkan.
 
Kedudukan menteri-menteri seperti Tan Sri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Dr. Rais Yatim merupakan pengecualian daripada kelaziman ini. Ini kerana selepas tewas pertandingan merebut kedudukan Naib Presiden pada tahun 2000, kedua-dua menteri ini tidak lagi menjadi ahli MT sejak 1999 hingga 2004.
 
Pernah di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri yang tewas atau tidak bertanding dalam pemilihan parti pada Mac 2009, telah dilantik oleh Presiden untuk duduk di dalam MT. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Rais dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, antara yang termasuk dalam kategori ini.
 
Baik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Najib tidak menganggap ia mustahak untuk memberi isyarat kepada menteri-menteri bukan ahli MT, iaitu jika mereka mahu kekal sebagai anggota Kabinet, mereka mesti menang kerusi MT.
 
Mungkin pemimpin-pemimpin ini sedar bahawa ahli-ahli Kabinet yang telah cuba dan gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kedudukan dalam MT, keperluan untuk menggantikan mereka tidak timbul.
 
Sebaliknya, jika ini dijadikan dasar, ia mungkin keras dan boleh menjejaskan gabungan yang sihat, yang benar-benar berkebolehan. Tetapi corak ini nampaknya tidak diguna pakai dalam proses lantikan menteri-menteri daripada parti-parti komponen BN lain.
 
Semua menteri mewakili MCA, MIC, SUPP dan lain-lain dalam keluarga BN memegang jawatan-jawatan penting dalam parti.
 
Tanpa segan-silu, ia perlu dinyatakan, tanpa kedudukan parti yang diperlukan, menteri-menteri bukan ahli MT UMNO akan terasa janggal bila menghadapi isu-isu politik yang membabitkan orang Melayu. Menteri-menteri dalam kalangan ini, diakui tidak akan mencapai tahap optimum dalam kepimpinan kerajaan, walaupun cemerlang dalam portfolio tertentu.
 
Seseorang perlu menjadi orang penting dalam parti jika beliau ingin menerajui kerajaan.  Pencapaian menjadi seorang menteri sudah memadai bagi ahli-ahli politik biasa. Tetapi sekiranya seseorang itu berkaliber, terkenal dalam kalangan akar umbi dengan mempunyai kemahiran dalam komunikasi yang berkesan, pemidato yang hebat dan dilihat sebagai seorang pekerja atau pembekal perkhidmatan, maka peluang untuk menaiki tangga politik dijangka berhasil.  Ketangkasan politik mesti wujud di dalam diri anda.
 
Sudah tentu, yang ironinya jika pekerjaan sebagai ahli politik itu membebankan, mengapa 261 bakal calon mahu terus menggapai cita-cita dalam politik? Dan terus menceburi politik?
 
Satu soalan yang baik, tetapi ia mungkin akan peroleh jawapan yang sebaliknya kerana ia tidak mempunyai penjelasan yang rasional. Boleh dikatakan ia mempunyai tarikan yang tersendiri. Jika anda mempunyai adrenalin politik, ia akan mengalir keluar untuk mencari tahap dan bentuknya sendiri.
 
Walau apa pun, seseorang itu akan terjerumus dalam sistemnya selepas beberapa ketika. Biasanya, seseorang ahli politik dengan bersahaja akan berkata, "Ia adalah dari gerak hati".
 
Edmund Burke seperti yang dipetik dari The Oxford Dictionary of Quotations (3rd.Edn) 1980, mempunyai alasan yang baik apabila beliau berkata: "Setiap ahli politik kena berkorban kepada limpah kurnia Tuhan dan mematuhi pemikiran/kemunasabahan (Every politician ought to sacrifice to the grace, and to join compliance with reason).
 
Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang kadang kala berkata bahawa politik itu adalah perkara sambilan bagi seseorang yang meminati bidang politik.
 
Dia sewajarnya seorang yang mempunyai sifat reaksioner untuk bertahan dalam keperitan kerja-kerja rutinnya.
 
Cooling off period akan tamat 5 petang ini. Siapakah ahli politik yang mendambakan apa yang dihasratkan oleh Burke.
 
Dan siapakah yang akan mengalah meskipun keterbukaan UMNO menerusi pindaan perlembagaan 2009 yang menghapuskan kuota kelayakan, telah membuka peluang dan ruang selebar-lebarnya untuk mereka membuktikan diri sebagai ahli politik tulen.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130924/re_01/Siapa-mengalah-siapa-bertahan#ixzz2fmBagm1X
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gelanggang orang lama, orang muda, muka baharu

Oleh Hassan Mohd. Noor




 
MEMANG meriah suasana pada ‘hari penamaan calon’ pemilihan UMNO yang berlangsung Sabtu lalu. Setakat ini sudah nampak tanda-tanda saingan sengit dijangka berlaku termasuk di peringkat bahagian berikutan ramai yang menawarkan diri. Jelaslah berlaku penawaran diri beramai-ramai untuk bertanding yang memperlihatkan proses demokrasi dalam UMNO yang cuba disegarkan mendapat perhatian anggota UMNO. Mereka berani mencuba untuk melakukan perubahan walaupun kemungkinan ada sesetengahnya sekadar mahu ‘memperkenalkan diri’ sebelum berada pada arus perdana perjuangan parti. Begitu juga dengan Majlis Tertinggi (MT) yang menampilkan enam calon untuk jawatan naib presiden yang menggabungkan tiga menteri Kabinet (penyandang), menteri besar, bekas ketua menteri dan bekas menteri besar. Sebanyak 64 calon MT yang menawarkan diri turut menarik perhatian ramai. Calon-calon ini menampilkan orang lama, orang muda dan muka baharu, barisan Kabinet dan di luar Kabinet. Mereka ini mempunyai pelbagai latar belakang atau profesion termasuk pengamal undang-undang, ahli akademik dan tokoh agama. Adunan pelbagai latar belakang pemimpin serta gandingan orang lama, orang muda dan muka baharu ini amat penting.
 
Jika dilihat jumlah calon di peringkat MT, mungkin ia boleh dianggap tidak begitu ramai kerana berdasarkan sistem yang diperkenalkan tahun ini, sesiapa juga anggota UMNO yang pernah menganggotai jawatankuasa bahagian selama sepenggal layak menawarkan diri untuk jawatan MT. Jumlah 64 orang bolehlah dianggap kecil kerana pada kali ini, pencalonan tidak memerlukan kuota seperti amalan pemilihan pada masa lalu. Kenapa? Adakah ramai yang tidak berminat? Kurangkah mereka yang mempunyai semangat untuk memimpin? Mungkinkah mereka menjangka hanya yang ‘ada nama dan kedudukan’ sahaja bakal dipilih? Sebelum ini, ada yang mahu bertanding tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana gagal memperoleh pencalonan yang mencukupi.
 
Bertungkus lumus calon terutama yang tidak berjawatan dalam kerajaan pusat dan kerajaan negeri mencari pencalonan di bahagian untuk mencukupkan kuota. Mungkin ini juga menyebabkan ada pihak yang terjerumus dalam kancah politik wang hanya kerana untuk mendapatkan kuota. Ada pula yang mendapat kuota yang banyak tetapi jumlah undi yang diperoleh pada hari pemilihan amat mengecewakan. Begitu juga apabila tiba pemilihan untuk menjadi perwakilan ke peringkat pusat lebih-lebih lagi semasa tahun pemilihan MT, berebut-rebut mahu menjadi perwakilan. Kenapa? Kini keadaan sudah berubah. Tidak perlu kuota, cuma perlu pencadang. Mereka yang berhak memilih pula bukan lagi sekitar 3,000 orang tetapi 148,000. Bukan mudah untuk mana-mana calon MT cuba mempengaruhi jumlah pemilih yang besar ini.

Persoalannya adakah 64 calon MT serta berpuluh ribu lagi calon di bahagian benar-benar serius untuk bertanding atau sekadar ‘suka-suka’ mencuba nasib?
 
Menjelang esok, masih ada ruang untuk mereka yang menawarkan diri menarik diri daripada bertanding. Kita tunggu sama ada jumlah yang bertanding akan berkurangan. Mungkin dalam tempoh beberapa jam daripada sekarang, akan ada usaha untuk memujuk mana-mana calon untuk menarik diri atau ada juga calon yang sudah memikirkan kesan baik dan buruk jika meneruskan hasrat mereka. Mungkin ada yang mahu menarik diri selepas mengukur baju di badan sendiri atau mengukur baju di badan lawan. Jika ada yang sekadar suka-suka, elok tarik diri. Biarkan mereka yang benar-benar mahu memimpin parti mendapat peluang secukupnya di gelanggang. Menarik diri bukan bermakna takut atau pengecut.
 
Diharapkan pemilihan kali ini benar-benar memenuhi hasrat untuk menyuburkan demokrasi dalam semua peringkat UMNO. Berdasarkan pencalonan yang diterima, UMNO sudah memberi peluang kepada seramai mungkin untuk bertanding dengan matlamat untuk memantapkan parti. Gandingan orang lama, orang muda dan muka baharu amat penting. Sejauh mana orang muda dan baharu sedia berkorban untuk agama, bangsa dan tanah air?
 
Menarik untuk diperhatikan juga adalah pertandingan di peringkat bahagian terutama melibatkan jawatan ketua. Tidak ramai yang menang tanpa bertanding. Jika sebelum ini begitu mudah menteri, timbalan menteri, menteri besar atau yang berjawatan dalam kerajaan pusat, negeri dan agensi kerajaan menang mudah tetapi suasana kali ini agak berbeza. Calon-calon yang berani mencabar ‘redah’ begitu mudah walaupun di atas kertas sudah boleh dijangka keputusannya. Mungkin mereka berani mencuba kerana merujuk keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu di mana ada nama-nama besar yang dijangka menang mudah tetapi akhirnya kecundang. Persoalannya adakah penyertaan mereka mencabar ketua bahagian benar-benar ikhlas?
 
Tidak kurang juga yang mahu melihat perubahan di peringkat bahagian lebih-lebih lagi selepas mencatatkan rekod tidak baik pada PRU lalu. Mungkin di bahagian-bahagian ini ada sesuatu yang tidak kena dan memerlukan perubahan segera bagi menghadapi PRU akan datang. Ubahlah jika bahagian anda benar-benar bermasalah sehingga pada PRU lalu, calon-calon yang diturunkan tewas teruk atau sekadar cukup makan. Beranilah membuat perubahan kepada kepemimpinan yang seperti ini. Jika anda rasakan diri layak dan lebih baik berbanding ketua sekarang, teruskan tawaran untuk bertanding. Jangan bertanding kerana penyakit hasad dengki, dendam, cemburu dengan kejayaan orang lain atau sekadar mahu memalukan lawan. Jangan disebabkan pelbagai ‘habuan’ yang sudah terlepas, anda memusuhi orang lain. Ya, memang demokrasi memberi peluang kepada semua orang yang layak untuk bertanding tetapi tindak tanduk yang dilakukan jangan sampai merosakkan demokrasi. Jangan menjadi seperti tikus membaiki labu atau marahkan nyamuk kelambu dibakar, marahkan ketua kampung tetapi satu kampung diamuk dan dimusnahkan.
 
Turut menarik perhatian ialah keputusan beberapa ketua bahagian yang memberi laluan kepada orang lain. Contohnya Menteri Pendidikan II, Idris Jusoh yang menolak jawatan ketua bahagian yang disandang selama 13 tahun dan turun ke jawatan No. 3 sebagai naib. Begitu juga dengan Abu Hasan Sarif dan Othman Aziz yang turun ke jawatan No. 2 dan 3 di Jerlun untuk memberi laluan kepada Menteri Besar Kedah, Mukhriz Tun Dr. Mahathir sebagai ketua bahagian. Inilah salah satu bentuk peralihan yang baik bagi menjamin kesinambungan perjuangan seterusnya ke arah transformasi meremajakan UMNO. Kata orang, ular menyusur akar tiada hilang bisanya. Ingatlah PRU yang bakal ditempuh dalam tempoh empat tahun lagi. Selak dan renungi kembali keputusan PRU lalu akibat tsunami politik dan tsunami pengundi Cina. Jangan pula kecundang akibat ‘tsunami UMNO’.

Wednesday 18 September 2013

GABUNGAN VETERAN DENGAN ORANG MUDA... TAPI BUKAN MUKA KAU ORANGLAH....

Apakah ahli UMNO akan ikut nasihat Tun Dr. Mahathir?



SEBAIK-BAIK sahaja selesai membaca rencana tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad "Masa depan UMNO'" (Utusan Malaysia, halaman 16, Isnin 16 September 2013), soalan yang terlintas dalam kepala saya apakah 3.5 juta ahli UMNO seluruh negara akan dengar dan ikut nasihat beliau?

Tun Dr. Mahathir mula dengan menyatakan beliau kini "berasa serba salah". Katanya beliau setia pada UMNO tetapi hakikatnya parti itu kini "menghidap sakit tua dan akan maut kerana sudah tua".

Beliau telah mencuba "sedarkan UMNO akan usianya yang sudah lanjut". Tun Dr. Mahathir menggesa agar parti "diperbaharui" dengan penerimaan ahli serta "kepimpinan daripada generasi muda". Hanya dengan kemasukan generasi muda ini perjuangan UMNO dapat diteruskan.

Sambil menghargai "sumbangan pengasas UMNO" dulu yang pada ketika itu masih muda, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa ramai mereka kini sudah tua, dan "masa mereka sudah terlanjut". Pemimpin yang sudah lanjut usia ini mesti "sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka".

Kata Tun Dr. Mahathir lagi: "Lambat laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran".

Selain menegur pemimpin parti yang sudah lanjut umur dan "melampaui masa mereka", Tun Dr. Mahathir juga menegur pemimpin yang mengamalkan rasuah.

Tegas beliau "Percayalah jika ahli memilih perasuah sebagai pemimpin, mereka akan amalkan budaya penerima rasuah semasa menjadi pemimpin. Kuasa mereka akan disalahgunakan. Kita dan bangsa kita akan rugi … Negara akan hancur. Maruah bangsa akan luput."

Selain isu UMNO sudah tua dan isu rasuah, Tun Dr. Mahathir juga turut menyatakan: "Kita harus akui bahawa UMNO sekarang tidak lagi dipercayai oleh ramai orang Melayu". Lantaran itu ramai yang telah menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dan bergerak di luar parti.

Di peringkat akhir tulisannya, Tun Dr. Mahathir menyatakan "Sesungguhnya perjuangan orang Melayu belum selesai". Beliau menyeru agar ahli UMNO mengetepikan kepentingan diri, menerima masuk dan memberi tempat kepada orang muda, dan " tolaklah yang sudah tua".

Nampaknya tidak semua pemimpin UMNO yang setuju dengan pandangan Tun Dr. Mahathir. Antaranya Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menyatakan parti itu telah wujud untuk sekian lama, dan mengalami "pelbagai penyakit" sejak zaman Tun Dr. Mahathir sendiri dari 1981 hingga 2003 - antaranya perpecahan, tidak menumpukan perhatian sewajarnya kepada perjuangan parti, dan politik wang (rasuah).

Dr. Mohd. Puad menyangkal pendapat Tun Dr. Mahathir bahawa parti UMNO akan mati kerana kepimpinan yang ada sekarang bekerja keras mengatasi pelbagai masalah yang ada dan serius menjalankan transformasi politik negara.

Turut berbeza pendapat adalah Ahli MT Datuk Bung Mokhtar Radin. Menurut beliau, kehadiran pemimpin muda seperti Datuk Mukhriz dan Khairy Jamaluddin adalah bukti bahawa parti memberi tempat kepada generasi muda.

Bung Mokhtar berkata pemimpin muda menganggotai sayap parti, Pemuda dan Puteri, dan bila ini meningkat umur 40 tahun, mereka boleh menyertai MT dan mengambil alih kepimpinan parti. Barangkali Tun Dr. Mahathir telah terlepas pandang kepada proses pembaharuan yang sedang berjalan dalam parti, kata Bung Mokhtar lagi.

Seorang Ahli MT lain, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Tun Mahathir sepatutnya mengakui proses transformasi sedang berlaku dalam UMNO. Di bawah sistem lama, hanya 2500 perwakilan layak mengundi bagi memilih kepimpinan tertinggi parti. Di bawah sistem baru, 146,500 perwakilan secara terus akan memilih kepimpinan bahagian dan MT. Tersirat dalam kata-kata Shahidan itu adalah harapan bahawa perwakilan di akar umbi akan memilih pemimpin yang lebih muda sebagai pengganti pemimpin lama.

Bagi ketua UMNO Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan, usaha meremajakan UMNO akan gagal jika 'orang lama' masih tampil menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti bulan depan.

"Masa golongan veteran sudah berakhir. Jika mereka masih merebut jawatan Naib Presiden, saya bimbang akan ada ahli UMNO yang meluat terutama orang muda," katanya lagi.

Bagi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan, pesannya mudah sahaja. "Yang dah lama dan pernah kalah tu, tak payahlah bertanding".

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, akhirnya mengumumkan dia tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Selain itu dia juga tidak akan mempertahankan jawatan ahli MT yang disandangnya sekarang.

Ketua UMNO bahagian Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop juga memutuskan tidak akan mempertahankan jawatannya sekarang. Kekosongan itu menyebabkan beberapa muka lama menyatakan hasrat mereka bertanding merebutnya - antaranya Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka) dan Exco kerajaan negeri sekarang, Datuk Ismail Othman.

Bagi Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, gesaan pelbagai pihak agar veteran UMNO tidak lagi menyertai pemilihan parti bagi memberi laluan kepada pemimpin muda hendaklah "dilihat dari perspektif lebih meluas".

Veteran UMNO ini berpendapat gandingan muka lama dengan muka baru akan "mampu merencana inisiatif dan pelbagai agenda parti", sekali gus menarik sokongan muda dan tua. Padanya penyertaan orang lama pada pemilihan nanti tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Saya masih akan bertanding jawatan Naib Presiden untuk memantapkan parti terutama bagi menghadapi PRU-14 nanti," katanya.

Bagi Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu dan penyandang jawatan ketua UMNO Bahagian Kemaman, dia "tidak kisah" akan dicabar oleh Mat Dalam Awang, kerana "ini demokrasi, dan sesiapa pun boleh bertanding". Mat Dalam adalah bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata pemimpin muda hendaklah diberi ruang menjadi barisan pelapis. Beliau berpendapat Menteri Besar atau Ketua Menteri pemimpin lain "yang telah lama memegang jawatan, tak payahlah tawar diri, biarlah muka baru... Bantulah Presiden transform parti."

Veteran UMNO dari Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berpendapat semua pihak perlu diberi peluang sama rata untuk bertanding apa-apa jawatan asalkan mereka yakin layak untuk menerajui parti. "Tidak ada masalah...terpulang kepada masing-masing kerana sekarang siapa pun boleh tawarkan diri untuk bertanding," katanya lagi..

Sementara itu, seorang veteran UMNO lain masih lagi berteka-teki mengenai keputusannya untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO Oktober nanti. Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata dia masih berhasrat untuk bertanding tetapi masih belum memutuskan jawatan mana yang akan dipertandingkan.

"Hasrat tu ada untuk bertanding jawatan tapi belum buat apa-apa keputusan lagi. Tunggu hari pencalonan 21 September nanti. Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tiadalah," katanya.

Kesimpulannya, sementara Tun Dr Mahathir membangkitkan tiga isu penting dalam tulisan terbarunya (UMNO sudah sakit tua, politik rasuah, dan UMNO tidak dipercayai lagi), reaksi segera daripada kalangan ahli parti hanya menyentuh isu pertama. Dan itu pun tidak ada kata sepakat.

Tidak dinafikan masih ada lagi pemimpin lama parti yang menolak pandangan beliau. Kesannya, sukar bagi pemerhati meramalkan apakah langkah meremajakan parti itu akan terlaksana sepenuhnya dalam tempoh yang singkat ini menjelang PRU-14.
 

SAY WELL JUGA MEREKA NI....

Al-Kisah Melayu Malaysia 'mewafatkan' mayat Chin Peng... 
Oleh Zaini Hassan




MELAYU l:
CHIN Peng sudah mati. Namun, segelintir rakyat Malaysia juga mati fikiran mereka. Mereka mahu supaya mayat komunis itu atau abunya dibawa pulang dan diberi penghormatan.

Ramai pula Melayu dalam laman sosial yang menangisi pemergian pemimpin komunis itu. Ada yang berkata Chin Peng sudah wafat! Mereka mahu mayatnya dikebumikan di tanah air ini.

Seorang lagi pemuda Melayu semasa 'bertwit' menulis: Mayat Chin Peng akan dibawa pulang? Kami anak muda sedia sahut dan urus jenazah pejuang itu!

Tidak pasti apakah budak itu sedar apa yang dia cakap? Atau hanya mahukan perhatian murahan. Sedarkah dia berapa ramai orang kampung dan askar-askar Melayu dan kaum lain terbunuh dan dibunuh angkara kezaliman komunis di zaman itu.

Budak itu adalah pengikut tegar PKR. Adakah para pemimpinnya Anwar Ibrahim (yang kini sudah terlalu senyap) atau isterinya Wan Azizah juga berfikiran sama seperti budak itu?

Kita cabar Anwar dan Wan Azizah nyatakan pendirian mereka terhadap Chin Peng. Apakah pendirian mereka juga sama macam budak itu?

Persoalannya di sini bukan untuk membincangkan mengenai kematian komunis itu, tetapi kesanggupan budak itu, bekas pelajar UiTM, yang tergamak membuat kenyataan sedemikian.

Dia bukanlah budak bodoh, tetapi sengaja cuba membuat provokasi dengan keadaan itu. Dia mahu supaya pengikutnya, termasuk Anwar dan Wan Azizah menyokongnya dan dalam masa yang sama mahu supaya satu lagi pihak menghentamnya.

Kita juga tidak pasti apakah itu juga pendirian ibu bapa yang melahirkan anak itu ke dunia ini.

Persoalannya, mengapa hanya Chin Peng? Mengapa mereka hanya mendesak mayatnya dibawa pulang ke Malaysia, bagaimana pula dengan komunis Melayu yang lain, yang juga mati dalam buangan. Tak dengar bising pun meminta komunis Melayu yang mati di luar negara itu dibawa pulang!

Malangnya, budak-budak Melayu itu hanya menjadi pak turut daripada mesej yang ditiup oleh orang lain. Sedihnya.

MELAYU ll:

SUDAHLAH Melayu ditekan orang asing kata kita bodoh, tak competent, tak cekap. Ironinya seorang Melayu, peguam Dr. Azmi Sharom sendiri berkata agenda ekonomi bumiputera yang diperjuangkan kerajaan tidak mengikut Perlembagaan (unconstitutional)?

Nampak gaya nasib Melayu dah tak lama. Kalau Melayu ini mati, barulah orang-orang ini akan berpuas hati.

Baca beritanya di dalam: http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/najibs-bumi-agenda-is-unconstitutional-says-law-professor.

Mereka yang bercakap ini bukan orang miskin, mereka sudah tentu orang senang yang tidak tahu orang Melayu kampung mahu pun bandar masih memerlukan bantuan.

Orang putih di Britain pun, tanpa bantuan kerajaan dengan agenda kesihatan percuma (NHS) dan perumahan, mereka juga akan mati dan mengamuk. Bukan semua orang putih di UK dan di England itu kaya.

Samalah juga dengan orang Melayu di sini. Mereka perlu dibantu. Jika mereka dibantu apa salahnya? Adakah itu salah? Jika kita mahu keluarkan mereka daripada kemiskinan, apakah itu menyalahi Perlembagaan?

Sudah tentulah kedudukan kaum-kaum lain tidak dikecualikan, tapi keutamaan haruslah kepada kumpulan majoriti yang besar ini. Kerana jika yang besar ini mengamuk, buruk padahnya.

Namun, saya angkat tangan menyerah kalahlah jika ada orang Melayu macam lawyer Dr. Azmi Sharom berpandangan sebegini. Kita tahu Azmi ini juga bukan bodoh, dia ini bijak pandai.

Tetapi siapa Azmi ini? Menurut carian saya, dia ialah pensyarah di Universiti Malaya (UM). Seorang yang gemar menentang kerajaan. Anti-BN.

Jika diklik dan mencari namanya di YouTube dia banyak memberi kuliah kepada pelajar IPTS mengenai Perlembagaan.

Antara komen yang pernah disampaikannya juga ialah mengenai kebebasan beragama. Dia juga ialah kolumnis akhbar The Star. Masih mengajar di Universiti Malaya dan mempunyai pengikut yang besar oleh kalangan bukan Melayu dan belia-belia Melayu Liberal, khususnya, pelajar undang-undang.

Dia mendakwa sebagai autoriti dalam Perlembagaan Malaysia.

Mungkin pensyarah lain tidak sehebat Azmi, kerana mereka tidak sevokalnya, atau tidak menulis dalam bahasa Inggeris di akhbar Inggeris, atau tidak memberi kuliah kepada para pelajar IPTS atau tidak berceramah mengenai Perlembagaan!
KOMEN : DUA-DUA MELAYU INI PANDAI TAK BOLEH DITEGUR, BODOH TAK BOLEH DI AJAR.... PERASAN BIJAK LAH SANGAT... SENDIRI HIDUP PUN BERGANTUNG DENGAN KERAJAAN....

Friday 13 September 2013

Wajib sokong usaha banteras jenayah



RAJA Dr. Nazrin Shah berkenan berangkat pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Pendaftaran Madrasah Idrisiah sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh, Perak, semalam. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan (kiri); Zambry Abd Kadir (dua kiri); Madinah Mohamad (dua kanan) dan Ghazali Jalal (kanan). - BERNAMA

IPOH 12 Sept. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah meminta rakyat menolak dengan tegas nilai songsang yang menjulang penjenayah sebagai wira dan menganggap pasukan polis melakukan kezaliman apabila mengambil tindakan terhadap penjenayah.

Baginda bertitah, nilai sedemikian jika diterima, akan memberi galakan kepada lebih ramai pihak untuk lebih berani melakukan jenayah, bersifat riak mencabar pihak berkuasa, bertindak ganas dan membunuh menurut hawa nafsu.

Tegas baginda, negara ini bukan tempat yang boleh membenarkan berlakunya budaya koboi yang memberi lesen kepada mana-mana pihak sesenang hati untuk menembak dan membunuh.

"Usaha membanteras jenayah hendaklah dijayakan secara kolektif. Penjenayah adalah penjenayah. Penjenayah harus dilihat dari lensa sedemikian, tanpa dikait paut dengan faktor kaum dan tanpa dikait paut dengan motif politik kepartian," titah baginda.

Raja Nazrin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bertitah demikian dalam Persidangan MAIPk Ke-184 di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Raja Nazrin bertitah, tugas pasukan polis membanteras jenayah adalah fardu kifayah yang wajib disokong dan diambil tanggungjawab bersama oleh setiap rakyat demi memastikan mereka sentiasa berasa selamat di negara ini.

"Tugas polis wajib dibantu. Moral anggota pasukan polis menegakkan keamanan, berkorban nyawa dan keselamatan diri wajib dipertahankan dan diberikan sokongan padu oleh setiap warga yang mahukan keamanan. Para penjenayah jangan sama sekali dilindungi, jauh sekali daripada diiktiraf sebagai wira," titah baginda.

Titah baginda, undang-undang dan peraturan diperkenalkan di dalam sesebuah negara bagi memastikan keselamatan insan supaya mereka boleh melakukan pelbagai urusan harian tanpa gangguan atau bimbang keselamatan nyawa, ahli keluarga dan harta benda mereka.

Baginda bertitah, jenayah akan berleluasa jika penjenayah beranggapan pihak berkuasa kurang tegas menguatkuasakan undang-undang kerana beranggapan mereka begitu mudah terlepas daripada tangkapan serta dakwaan dan jika disabitkan, sekadar dijatuhkan hukuman yang ringan.

"Jenayah bunuh bukan sahaja dilaporkan semakin sering berlaku, malah dilakukan secara ganas, kejam dan mengerikan hingga ke peringkat berlakunya kes pembunuhan di hadapan ibu tua, di hadapan anak kecil dan di dalam rumah ibadat.

"Perbuatan sekejam, seganas dan sengeri tersebut, seolah-olah memperlihatkan sifat angkuh pihak tertentu mahu mencabar undang-undang negara serta perlakuan provokasi mencabar penguat kuasa undang-undang," titah baginda.

Terdahulu, Raja Nazrin menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pendaftaran Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di antara kerajaan negeri dengan Kementerian Pendidikan. MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Pegawai Kewangan kerajaan negeri, Datuk Ghazali Jalal.
 

Wednesday 11 September 2013

Sukarnya lepaskan jawatan biarpun tidak beri sumbangan kepada parti...






SELAIN kerancakan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, turut menjadi perhatian dalam pemilihan UMNO pada Oktober ini ialah persaingan di peringkat bahagian.

Tiga jawatan yang sering menyaksikan pertarungan sengit ialah ketua, timbalan dan naib ketua bahagian.

Pelbagai hujah diberikan oleh penyandang dan pencabar dalam usaha mereka menyatakan sebab bertanding.

Bagaimanapun apa juga alasan, yang akan menentukan mereka layak atau tidak ialah ahli-ahli yang akan mengundi.

Ada sesetengah ketua bahagian yang bercakap soal transformasi, tetapi dia sendiri terlalu sukar untuk melepaskan jawatan itu biarpun tidak memberi apa-apa sumbangan bermakna kepada parti, khususnya dalam pilihan raya. Ada pula ketua bahagian kalau boleh hendak pegang jawatan itu sampai mati.

Bagi pencabar pula mereka ada hujah sendiri kenapa ketua bahagian sedia ada perlu ditukar, ia termasuklah ingin membawa perubahan dan memberi nafas baharu kepada kepimpinan bahagian dalam usaha menarik generasi muda. Malah ada pula sekadar hendak 'kacau daun' sahaja.

Setakat ini di beberapa negeri sudah ada tanda-tanda persaingan sengit akan berlaku di peringkat bahagian.

Di Kelantan, contohnya kesemua 14 bahagian kecuali Jeli dan Ketereh dikatakan akan berlaku pertandingan bagi jawatan ketua bahagian.

Namun yang pasti akan mendapat perhatian ialah 'keberanian' Ketua Pemuda UMNO bahagian Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin yang dikatakan akan mencabar tokoh politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang.

Tengku Razaleigh sudah memegang jawatan itu sejak 1962, sebelum kembali semula pada 1996 selepas meninggalkan UMNO bagi menubuhkan Parti Melayu Semangat 46. Sepanjang kedua-dua tempoh itu beliau tidak pernah dicabar.

Tetapi apa yang anehnya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu masih ada ketua bahagian biar pun kawasan mereka kalah setiap kali pilihan raya kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), namun mereka tetap juga menganggap kononnya rakyat masih memerlukan kepimpinan mereka.

Sindrom ini juga turut melanda Selangor apabila terdapat ketua-ketua bahagian yang bukan sahaja gagal membantu Barisan Nasional (BN) merampas negeri itu daripada pembangkang tetapi kalah di kerusi Parlimen dan DUN dalam pilihan raya umum lalu masih lagi mahu bertanding.

Sepatutnya, mereka mengambil tanggungjawab dengan berundur secara terhormat bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Namun politik tetap politik, ada ketikanya hujah-hujah perjuangan demi kepentingan parti hanyalah retorik sahaja bagi sesetengah ketua bahagian di seluruh negara.

Mereka masih mahu berada di kedudukan itu dengan pelbagai tujuan termasuklah antaranya demi survival politik peribadi.

Bagaimanapun pemilihan UMNO kali ini bukan untuk golongan seumpama itu, jika benar mereka  sudah tidak mampu untuk menerajui bahagian maka bersikap terbukalah memberi laluan kepada muka-muka baharu.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dikatakan jauh lebih getir berbanding PRU-13. Justeru mahu tidak mahu sesetengah bahagian UMNO perlukah perubahan, biarlah mereka ditolak orang UMNO sebelum rakyat menolak parti.

Ia memandangkan pemilihan yang bakal berlangsung adalah bagi membariskan kepimpinan yang akan berjuang demi survival politik UMNO dan bukannya survival politik mana-mana pemimpin.
 
KOMEN : TAU TAK PE... SEMUANYA NAK PEGANG JAWATAN SAMPAI MATI....