DRIES Mertens (atas) meraikan kejayaan meledak gol kemenangan Belgium ketika menundukkan Algeria 2-1 pada perlawanan Kumpulan H di Stadium Mineirao, Belo Horizonte, awal pagi ini. - AFP
BINTANG bermasalah Manchester United, Marouane Fellaini masuk sebagai pemain gantian untuk mengetuai kebangkitan dramatik Belgium ketika menumpaskan Algeria 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan H, awal pagi ini.
Turun dengan reputasi ‘kuda hitam’ Piala Dunia, skuad berbakat Belgium bagaimanapun dikejutkan dengan gol pembukaan Algeria pada minit ke-25 selepas Sofiane Feghouli menyempurnakan sepakan penalti.
Algeria dihadiahkan penalti selepas Jan Vertonghen menolak Feghouli dalam kotak penalti dan jaringan awal tersebut menyebabkan Belgium tersentak seketika hingga membenarkan lawan mengawal permainan.
Fellaini, 26, yang mengharungi musim suram di Old Trafford sejak berpindah dari Everton bagaimanapun mengetuai kebangkitan anak-anak buah Marc Wilmots di Stadium Mineirao, Belo Horizonte apabila menyamakan kedudukan menerusi tandukan padu, 20 minit sebelum tamat permainan untuk menyemarakkan semangat rakan-rakan.
Penyerang Napoli, Mertens mengesahkan kemenangan pasukannya 10 minit kemudian selepas menyambut hantaran Eden Hazard sebelum menewaskan penjaga gol Algeria, Rais M’bolhi.
Algeria, yang tidak pernah memenangi perlawanan Piala Dunia sejak menewaskan Chile pada 1982 di Sepanyol, kini perlu menunggu pertemuan dengan Korea Selatan dan Rusia untuk menamatkan kemarau.
“Dalam bilik persalinan saya menulis di papan: “Pemain simpanan akan membawa perbezaan dan apa yang saya tulis jelas berlaku," kata Wilmots.
Wilmots berkata, perlawanan ini cukup sukar buat pasukannya dan menuntut pemain menunjukkan kesabaran tinggi sebelum mencipta kemenangan.
“Ini adalah perlawanan yang sungguh getir buat kami namun kami banyak bersabar sebelum merasai kemenangan," katanya.
Penjaring gol kemenangan Belgium, Mertens berkata, kemenangan itu amat manis buatnya kerana diraih di depan keluarganya.
“Ada keluarga saya yang berada di sini menyaksikan perlawanan ini dan sungguh mengujakan apabila dapat menjaringkan gol dihadapan mereka selain hadiah buat seluruh rakyat Belgium.
“Kini kami mempunyai tiga mata penuh dan yang penting adalah memulakan saingan dengan kemenangan. Kami perlu meneruskan kemenangan ini," kata Mertens.
Belgium kembali ke pentas Piala Dunia selepas 12 tahun tidak menyertainya, malah pada perlawanan awal ini bintang utama mereka seperti Eden Hazard dan Romelu Lukaku telah beraksi dengan baik.
No comments:
Post a Comment