Paulo Rangel (kanan) berjanji memberikan aksi terbaiknya pada perlawanan menentang Sarawak hari ini dalam usaha membantu Selangor menghidupkan peluang memburu gelaran Liga Super.
KUALA LUMPUR - Dua perlawanan tanpa Paulo Rangel... dua kekalahan dicatatkan oleh Selangor, statistik berkenaan menunjukkan betapa pentingnya peranan pemain import dari Brazil itu kepada The Red Giants dalam misi mengejar kejuaraan Liga Super pada musim ini.
Ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT), skuad kendalian Mehmet Durakovic itu pasti boleh tersenyum lega dengan sekembalinya penyerang berusia 29 tahun berkenaan setelah menghabiskan tempoh penggantungan dua perlawanan gara-gara menerima kad merah semasa bertemu Terengganu, 10 Jun lalu.
Tanpa Rangel, jentera serangan Selangor jelas terlalu layu apabila tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan dalam dua perlawanan apabila tewas dua kali dengan keputusan yang sama, 0-2 di tangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Kelantan.
Berdepan Sarawak pada hari ini di Stadium Shah Alam, hanya satu sahaja misi Rangel iaitu menjaringkan seberapa banyak gol bagi meletakkan Selangor di landasan kemenangan bagi menghimpit kedudukan JDT di puncak liga.
"Dua baki perlawanan ini saya ibaratkan seperti aksi akhir buat kami, kami wajib menang, dan tiada sebarang kesilapan boleh dilakukan selain mengharapkan lawan kami, JDT seri atau kalah dalam perlawanan mereka.
"Saya rasa kami mempunyai peluang yang cukup baik kerana akan beraksi di tempat sendiri sahaja selepas ini manakala JDT terpaksa ke Sarawak pada aksi terakhir.
"Janji saya kepada penyokong Selangor, saya akan berikan lebih daripada 100 peratus dalam aksi dua perlawanan ini bagi mengembalikan kegemilangan kepada skuad The Red Giants di persada bola sepak tempatan dengan menjuarai trofi Liga Super, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Ujar pemain kelahiran Belem, Brazil ini, yang menjaringkan 12 gol, kekalahan pada dua perlawanan lalu tidak menjejaskan keyakinan kem Selangor untuk bangkit semasa menentang Sarawak, malam ini, dan PKNS, Selasa depan.
"Selepas menjalani sesi latihan, saya nampak rakan-rakan sudah mula melupakan kekalahan yang mereka alami, dan memberikan fokus sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan malam ini.
"Peluang kami bukannya tertutup lagi cuma tidak dinafikan dua kekalahan itu membuka ruang kepada JDT mengawal keadaan namun masih belum terlambat bagi kami memperbaiki keadaan, " katanya.
Tambah Rangel, dia langsung tidak terfikirkan gelaran penjaring gol terbanyak Liga Super, namun dia akan anggap itu sebagai satu yang bermakna jika kejuaraan Liga Super digenggam oleh Selangor.
No comments:
Post a Comment