Oleh Fauziah Arof
JIKA kita tidak boleh membuat kebaikan di dunia ini, di manakah lagi kebaikan itu akan dilakukan?
Dan jika tidak melakukan perkara yang baik-baik ketika hayat masih ada, berkesempatan lagikah melakukannya ketika sudah tiada?
Melihat pada banyak respon kes seorang remaja, orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dalam sebuah bilik di rumah pangsa di Nilai, Negeri Sembilan, terlintas dalam fikiran saya, adakah rasa simpati yang sama akan ditunjukkan apabila kita berdepan dengan orang yang mengadu kesusahan kepada kita?
Sedangkan, apabila datang tidak kira kanak-kanak, orang buta atau orang tua yang meminta derma mahupun sedekah kepada kita ketika menjamu selera atau di stesen minyak, ramai yang berpaling, bukan saja tidak menolong tetapi bising-bising, mencebik dan menuduh ini semua satu sindiket penipuan.
Tidakkah kita pernah terfikir mungkin di rumahnya ada anak serupa Muhammad Firdaus yang perlu diberi makan, ada anak-anak yang pergi ke sekolah dengan perut yang lapar dan ada ibu yang sakit-sakit tetapi hanya mampu menelan pil Panadol?
Ya betul, semua orang ada kesusahannya sendiri tetapi jika keperitan hidup seperti ini tidak diambil peduli oleh masyarakat sekeliling termasuk pihak yang memegang macam-macam dana bantuan, tidak mustahil akan ada banyak lagi isu dan kejadian yang menyedihkan timbul kerana kemiskinan dan kedaifan ini.
Dan masa itu, kita juga akan mengutuk dan memaki-maki di laman sosial menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.
Bila isu itu membabitkan OKU, kita pun mengaku kasihan dan simpati dengan nasib mereka tetapi segala kemudahan mereka, kita juga yang guna seperti tandas dan tempat letak kereta khas OKU sehingga menyukarkan pergerakan mereka. Tandas dikunci oleh pihak pengurusan premis dan mereka terpaksa bertongkat berjalan jauh dari tempat letak kereta.
Sebenarnya, jika kita sendiri tidak mampu memberi bantuan wang ringgit kerana tahap kewangan sendiri pun hanya mampu bertahan beberapa hari sebelum cukup bulan, kita boleh membantu dengan mengemukakan masalah mereka yang hidup susah dan mengadu kepada kita ini kepada yang orang yang mampu atau pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat dan lain-lain.
Baru-baru ini saya ditunjukkan satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh anak saya yang dihantar oleh kawannya, mengadu dia berasa lapar tetapi ibunya seorang ibu tunggal yang punya enam lagi anak tidak ada duit untuk membeli makanan. Anak yang berusia 14 tahun itu, memberitahu bahawa dia malu untuk meminta-minta tetapi dia dan adik-adiknya lapar.
Lalu saya pergi ke rumahnya di flat kos rendah, Seksyen 8 Shah Alam. Ibunya tidak bekerja, hanya membuat kuih jika ada modal. Dia pun baru keluar hospital.
Dia memberitahu banyak prosedur untuk mendapatkan bantuan. Sama ada betul atau tidak dakwaannya itu, pihak berkenaan perlulah jawab.
Maklumlah, sebab ada juga orang susah yang mendakwa tidak tahu meminta bantuan JKM, sebab tak tahu cara-caranya.
Saya pun tidak pasti apakah prosedur yang perlu dilalui oleh orang yang susah ini untuk mendapat bantuan, tetapi kalau orang itu benar-benar hidup susah tidak payahlah merumitkan lagi proses untuk dia mendapat bantuan.
Permudahkanlah, sebabnya wang peruntukan sudah ada. Bukan perlu tunggu untuk mendapatkannya. Tujuan wang itu diperuntukkan pun untuk membantu orang susah, apa lagi mahu macam-macam kerenah birokrasi.
Kita tidak mahu, kita ada wang kutipan zakat yang berjuta-juta ringgit dan wang bantuan JKM yang berjuta-juta ringgit juga tetapi yang hidup miskin melarat pun masih ramai tidak dapat bantuan.
Mereka ini tetap dibiarkan hidup kesempitan, sudah biasa berlapar atau makan nasi dengan kicap. Yang kasihannya jika anak-anak dan orang tua yang menanggung keperitan ini.
Dan kepada syarikat-syarikat korporat, tidak perlulah menunggu bulan Ramadan untuk mencari orang susah untuk bersedekah dan memohon liputan media. Mereka ini susah sepanjang tahun bukan pada masa Ramadan sahaja.
Marilah kita jadikanlah Malaysia ini, negara yang bertuah untuk diduduki bukan saja kepada yang berada tetapi juga kepada yang tidak punya apa-apa termasuk OKU.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140625/re_02/Semua-orang-salah-kecuali-diri-sendiri#ixzz35bnhfeDe © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment