BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo (tengah) berlatih bersama-sama rakan sepasukannya di Sao Paulo semalam sebagai persediaan menentang AS. - AFP
SAO PAULO - Pemain-pemain Amerika Syarikat (AS) percaya, mereka mampu menghalang kehebatan pemain terbaik dunia sebanyak dua kali, Cristiano Ronaldo apabila skuad The Stars and Stripes itu menentang Portugal dalam aksi Kumpulan G, di Manaus (pukul 6 pagi esok waktu Malaysia).
Barisan pertahanan skuad bimbingan jurulatih kelahiran Jerman, Jurgen Klinsmann itu dibarisi pertahanan kanan, Fabian Johnson, pertahanan kiri, DaMarcus Beasley dan pertahanan tengah Geoff Cameron serta Matt Besler diberi tugas untuk mengawal gawang daripada dibolosi Ronaldo dan rakan sepasukannya.
Malah, mereka turut dibantu pemain tengah Michael Bradley, Kyle Beckerman dan Jermaine Jones dalam usaha merantai Ronaldo daripada mengasak kubu mereka.
"Dia seorang pemain yang sempurna. Apabila awak melihat perlawanan pada hari ini, terdapat keutamaan pada aspek fizikal perlawanan seperti kepantasan, kekuatan, ketahanan dan dia (Ronaldo) merupakan pemain yang menepati kriteria itu, kata Bradley.
Selepas menumpaskan Ghana 2-1, AS akan mara ke peringkat seterusnya sekiranya menang ke atas Portugal, manakala keputusan seri tetap meletakkan mereka pada kedudukan selesa.
Ronaldo dibelenggu dengan masalah tendon pada lutut kirinya selama lebih dua bulan dan memakai pendakap semasa sesi latihan pasukan di Campinas.
Sementara itu, generasi emas jurulatih Belgium, Marc Wilmots boleh mara ke pusingan kalah mati sekiranya pasukan Les Diables Rouges itu membenam Rusia dalam saingan peringkat Kumpulan H di Maracana (12 tengah malam Isnin waktu Malaysia).
Kemaraan pasukan itu hampir pasti kerana Korea Selatan dan Rusia hanya terikat 1-1 sebelum ini manakala Belgium menewaskan Algeria 2-1 semasa perlawanan pembukaan kumpulan tersebut.
Pemain pertahanan tengah Belgium, Nicolas Lombaerts yang bermain untuk kelab Rusia, Zenit Saint-Petersburg lebih tahu tentang apa yang dijangkakan pemain-pemain bimbingan Fabio Capello itu dan dia menjangkakan pasukannya memiliki kelebihan dari segi fizikal.
"Capello menekankan kepentingan organisasi. Oleh itu, kami perlu memberi perhatian kepada kelebihan itu kerana Rusia bukannya sebuah pasukan yang bermain secara fizikal.
"Mereka mungkin cuba melukakan kami tetapi kami akan tetap bermain seperti biasa, kata pemain berusia 29 tahun itu yang diletakkan dalam status bersiap sedia sekiranya ketua pasukan Vincent Kompany tidak dapat bermain pada perlawanan tersebut.
Sementara itu, Algeria yang berjaya mendapat gol pertamanya dalam tempoh 28 tahun ketika kalah kepada Belgium, berharap akan menemui sasaran lebih banyak apabila bertemu Korea Selatan pada perlawanan penting dalam Kumpulan H.
Satu-satunya negara Arab yang layak ke kejohanan kali ini, Algeria yakin mereka mampu ke peringkat 16 pasukan terakhir setelah mampu mendahului dan kemudian bertahan lama sebelum tewas kepada pasukan pilihan, Belgium.
Perasaan sama bagaimanapun mungkin tidak dikongsi oleh Korea Selatan selepas kecuaian di bahagian pertahanan menyebabkan mereka berkongsi satu mata dengan Rusia dalam perlawanan pembukaan.
Selepas dibolosi 11 gol dalam lima perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia, Korea Selatan sekali lagi kelihatan lemah di bahagian belakang dan jurulatih Algeria, Vahid Halilhodzic akan berusaha untuk mengambil kesempatan itu.
"Kami mesti mengalahkan mereka untuk mara ke pusingan 16 terakhir. Kami akan melakukan apa sahaja untuk menang," kata pemain tengah Korea Selatan, Koo Ja Cheol.
Jurulatih, Hong Myung Bo, pemain pertahanan kental yang menerajui Korea Selatan mara ke separuh akhir kejohanan 2002, sudah pasti mahu menyaksikan anak-anak buahnya berusaha lebih keras ketika bertahan, tetapi juga mahu bahagian serangan tambah tajam. - AGENSI
Myung Bo boleh mengekalkan Park Chu Young sebagai penyerang utamanya atau membawa masuk Kim Shin Wook atau Lee Keun Ho, seorang sarjan dengan angkatan tentera Korea Selatan yang hanya menerima gaji kurang daripada 150 pound sebulan. - AGENSI
No comments:
Post a Comment