Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 16 June 2014

WORLD CUP 2014 - England tumbang ditanduk Balotelli



PENYERANG Itali, Mario Balotelli (tengah) menanduk bola untuk menjaringkan gol kemenangan Itali sewaktu menentang England di Manaus semalam. Itali menang 2-1. - AFP

MANAUS - Penyerang Itali, Maria Balotelli kembali menghantui England selepas menanduk gol kedua skuad Azzurri ketika mereka menewaskan England 2-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D Piala Dunia yang berlangsung di Manaus semalam.

Dalam iklim lembap bandar di tengah hutan hujan Amazon ini, Claudio Marchisio meletakkan Itali di depan pada minit ke-35, tetapi Daniel Sturridge menyamakan kedudukan hasil serang balas England yang begitu lancar.

Hanya selepas lima minit separuh masa kedua berlangsung, Balotelli menjaringkan gol kedua buat Itali menerusi tandukan dari sudut sukar, setelah Antonia Candreva membuat hantaran silang, sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh buat skuadnya.

Jurulatih Itali, Cesare Prandelli memuji England yang katanya telah meningkat tetapi berkata, pendekatan taktikalnya berbaloi.

"Sehingga beberapa tahun lalu, England bergantung kepada sepakan jauh, tetapi sekarang mereka ialah pasukan yang berkemahiran tinggi dengan hantaran tiga segi yang bagus.

"Mereka telah banyak berubah dan sekarang mempunyai antara barisan serangan paling kuat dalam Piala Dunia. Sebab itulah saya berpuas hati dengan keputusan ini.

"Logik kami ialah bahawa kami tidak memiliki pemain yang segagah England tetapi kami mempunyai pemain yang berkemahiran secara teknikal dan dalam babak pertama, kami memiliki penguasaan bola lebih baik.

"Kami membariskan Andrea Pirlo, Daniele De Rossi dan Marco Veratti, menyebabkan kami unggul daripada segi bilangan pemain di tengah padang dan itu berkesan.

"Kami perlu menjadi amat bagus dalam mengekang England yang pemainnya mempunyai kemampuan untuk bergerak dengan cepat dan memecut," katanya.

Prandelli berkata, sesuatu yang 'gila' tidak mengadakan masa keluar atau rehat untuk pemain minum dalam cuaca panas dan lembap tetapi gembira dengan cara pasukannya menangani persekitaran yang getir itu.

"Kami menderita malam ini tetapi tindak balas pemain kepada keadaan itu luar biasa," katanya.

Ekoran kekalahan tersebut, skuad England kini dalam misi wajib menang dalam perlawanan seterusnya, iaitu berdepan Uruguay yang juga dikejutkan dengan kekalahan 3-1 kepada Costa Rica di Sao Paulo.

Kedua-dua pasukan tidak boleh tewas dalam perlawanan tersebut dan hanya keputusan seri yang mampu menghidupkan peluang mereka bersama untuk ke kelompok 16 pasukan terakhir melalui perlawanan ketiga.

"Itali merupakan pasukan yang sangat hebat malam ini dan kami berasa seperti kekurangan.

"Namun kami masih lagi berpeluang untuk mara daripada kumpulan ini," kata ketua pasukan England, Steven Gerard.

Itali hampir menambah gol melalui sepakan bebas jarak jauh Andrea Pirlo tetapi bola mengenai palang semasa waktu kecederaan.

England mempersembahkan permainan yang menarik dan menunjukkan peningkatan berbanding ketika kalah kepada pasukan yang sama pada suku akhir Kejohanan Eropah 2012 menerusi penalti selepas seri 0-0 selepas tamat masa tambahan.

Bagaimanapun, England masih belum mengalahkan Itali sejak 1977 dan perbezaan antara kedua-dua pasukan semalam ialah Itali begitu cekap apabila menguasai bola di luar kawasan gol lawan. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140616/sl_07/England-tumbang-ditanduk-Balotelli#ixzz34lalrkXM  © Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: