GIORGIO Chiellini (kanan) menunjukkan kesan gigitan Luis Suarez di bahu kirinya ketika Itali menentang Uruguay di Natal, pagi ini. - REUTERS
LUIS Suarez tidak menjaringkan gol kemenangan Uruguay ketika pasukan itu menyingkirkan juara empat kali, Itali daripada Piala Dunia 2014 selepas menang 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Estadio das Dunas, Natal pagi ini.
Namun, tindakan bintang penyerang itu mengulangi tabiat buruknya, iaitu menggigit pemain lawan menenggelamkan wira sebenar Uruguay, Diego Godin yang meledak gol tunggal kemenangan pada minit ke-81 untuk membawa pasukannya ke pusingan kedua, menumpaskan Itali yang menamatkan permainan dengan 10 pemain.
Malah, kemenangan ini bakal menemukan Uruguay dengan satu lagi wakil Amerika Selatan, Colombia, Ahad ini.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut skuad Azzurri tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia, selepas turut menerima nasib yang sama di Afrika Selatan, empat tahun lalu.
Bagaimanapun dalam kegembiraan Uruguay menyambut kemenangan dan muncul naib juara Kumpulan D di belakang Costa Rica, tumpuan dunia terarah kepada Suarez yang mengundang kontroversi apabila menggigit bahu pertahanan Itali, Giorgio Chiellini.
Hampir semua stesen televisyen berulang kali menayangkan insiden bagaimana Suarez mengulangi tabiat buruknya, yang telah beberapa kali menyebabkan dia berada dalam masalah ketika beraksi di Liga Perdana Inggeris mahu pun Liga Belanda.
Tindakan menggigit bahu Chiellini sehingga pemain itu jatuh ketika bola berada di luar kawasan permainan bakal meletakkan penyerang berusia 27 tahun itu dalam bahaya dan mungkin berdepan risiko penggantungan.
Chiellini, 29, kemudian menuju ke arah pengadil dari Mexico, Marco Rodriguez untuk mengemukakan bantahan sambil menunjukkan gigitan yang dilakukan Suarez.
“Sekarang orang ramai akan bercerita mengenai penyingkiran, kegagalan tetapi permainan ini ditentukan oleh pengadil. Jelas berlaku ketidakadilan dalam perlawanan.
“Pengadil seharusnya mengeluarkan kad merah kerana dia juga melakukan kesalahan. Dia kemudian menyentuh giginya selepas itu? Sudah tentu...kami sangat tidak gembira kerana kami adalah pasukan yang layak untuk mara," kata jurulatih Itali, Cesare Prandelli.
Prandelli berkata, pengadil telah ‘merosakkan perlawanan’.
“Adalah sesuatu yang tidak masuk akal beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan seperti ini. Tidak berlaku kesalahan ganas oleh pemain kami atau sesuatu yang boleh menyebabkan mereka dibuang padang.
“Anda tidak boleh menjejaskan permainan seperti ini," katanya lagi.
Sementara itu, pengurus Uruguay, Oscar Tabarez menjelaskan dia tidak melihat insiden Suarez, sambil menyifatkan bintang penyerang mereka itu menjadi mangsa media.
“Saya tidak nampak. Saya mahu lihat gambar kejadian itu dulu. Dia merupakan sasaran banyak media. Ini adalah Piala Dunia dan ia tidak melibatkan isu moral murahan," katanya.
Dalam pada itu, FIFA akan meneliti laporan penuh daripada pengadil dan rakaman video perlawanan itu sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Kami sedang menunggu laporan penuh perlawanan dan akan mengumpul maklumat sebelum menilai kejadian ini," kata jurucakap FIFA, Delia Fischer.
Babak pertama berakhir tanpa jaringan selepas Gianluigi Buffon menyelamatkan percubaan Suarez dan Nicolas Lodeiro menuju penghujung saingan.
Prandelli menggantikan Mario Balotelli dengan Marco Parolo di babak kedua, namun ia tidak memberi impak.
Azzurri dirundung malang selepas pemain tengah mereka Claudio Marchisio dilayangkan kad merah kerana melakukan kekerasan ke atas Egidio Arevalo Rios pada minit ke-59.
No comments:
Post a Comment