Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 24 June 2014

WORLD CUP 2014 - Itali mesti sekat Suarez - Buffon



PEMAIN Itali, Leonardo Bonucci (kanan) menghadiahkan jersinya kepada seorang budak lelaki yang menceroboh padang ketika sesi latihan Itali di Natal semalam. - REUTERS

NATAL - Itali perlu mencari jalan bagi menyekat penyerang Uruguay, Luis Suarez apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Dunas esok pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia yang akan menentukan siapa yang bakal layak ke pusingan 16 pasukan akhir.

Uruguay, pasukan yang melangkah ke separuh akhir empat tahun lalu, akan ke Natal dengan semangat yang cukup tinggi selepas Suarez meledakkan dua gol sewaktu menewaskan England, dan mengubati luka ekoran kecundang 1-3 kepada Costa Rica, setelah terpaksa beraksi tanpa penyerang berbisa itu yang belum cergas setelah pulih daripada pembedahan lutut.

Itali turut tewas kepada Costa Rica 0-1, namun mereka telah pun melakar kemenangan ke atas England pada perlawanan pembukaan, dan ini bermakna pemenang Piala Dunia sebanyak empat kali itu hanya memerlukan satu mata daripada pertemuan itu, manakala juara dunia dua kali, Uruguay wajib menang kerana jurang perbezaan gol yang wujud.

Jika ada mana-mana pasukan yang anda sokong dibelenggu dengan fenomena jaringan gol, pasukan itu adalah Itali tetapi dalam masa sama mereka juga perlu mempamerkan aksi terbaik di bahagian pertahanan bagi menyekat Suarez, dan rakan gandingannya, Edinson Cavani.

"Mereka mempunyai kombinasi yang bagus di bahagian serangan. Kelebihan yang dimiliki mereka bukan satu perkara yang baru kami ketahui. Reputasi mereka sebagai gandingan penyerang berbisa telah pun diketahui umum, malah, kedua-dua penyerang itu turut cemerlang bersama kelab masing-masing," kata kapten, dan penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon kepada pemberita semalam.

Jurulatih Itali, Cesare Prandelli hampir pasti perlu melakukan perubahan dalam skuadnya setelah pemain tengah pertahanan, Daniele De Rossi berkemungkinan besar tidak boleh bermain kerana cedera kaki.

Menerima pujian setelah sistem 4-1-4-1 berjaya membantu mereka mencatat kemenangan ke atas England, namun tindakan jurulatih itu mengekalkan taktik sama menyaksikan mereka kalah kepada Costa Rica, menyebabkan Prandelli mungkin berubah kepada formasi 3-5-2 untuk pertembungan dengan Uruguay.

Mario Balotelli akan mengekalkan posisinya di bahagian serangan dengan pemain yang kini berada pada prestasi terbaik, Ciro Immobile dijangka bergandingan dengannya, iaitu satu percaturan yang belum pernah diuji.

Dengan Suarez yang disahkan cergas untuk beraksi oleh doktor pasukan Uruguay setelah menjalani pembedahan lutut sebelum kejohanan, dan kapten, Diego Lugano pula masih diragui akibat kecederaan, jurulatih, Oscar Tabarez mungkin akan mengekalkan kesebelasan utama yang sama sewaktu menumbangkan England.

Pengendali Uruguay itu sudah tentu menuntut satu lagi persembahan yang bertenaga daripada pemain tengah, Alvaro Gonzalez, dan Nicolas Lodeiro yang dibawa masuk ke dalam skuad utama selepas permainan hambar menentang Costa Rica.

Sementara itu, pengurus England, Roy Hodgson berkata, beliau tidak kesal dengan pemilihan anak-anak buahnya untuk beraksi di Piala Dunia walaupun pasukannya tersingkir selepas tewas kepada Itali dan Uruguay.

Hodgson menjawab kritik bekas penyerang England, Gary Lineker yang berkata jurulatih itu telah tersalah memilih formasi 4-2-3-1 yang memperlihatkan dua pemain Liverpool, Steven Gerrard dan Jordan Henderson digabung di bahagian tengah.

Lineker berasa bahawa England tersalah percaturan pada bahagian tengah dan berpendapat pasukan itu sepatutnya memiliki sistem yang lebih baik iaitu 4-3-3, tetapi pengurus pasukan tetap berpendirian dengan pilihan taktikal.

"Pada perlawanan pertama menentang Itali, kami menurunkan Raheem Sterling di belakang Daniel Sturridge dan dia amat selesa dengan kedudukan itu dan dikelilingi Andrea Pirlo dan Daniele De Rossi.

"Pada perlawanan kedua, kami mempunyai Wayne Rooney yang melakukan tugas yang serupa. Jika awak mencadangkan supaya lebih ramai pemain tengah, ini bermaksud satu di belakang empat iaitu 4-1-4-1. Itu hanya sekadar pendapat, tetapi saya tidak fikir hal itu memberi perbezaan yang ketara.

"Saya tidak mendapat sebarang maklum balas bahawa kami dikuasai di bahagian tengah dalam mana-mana perlawanan.

"Tetapi, pasukan-pasukan lawan adalah lebih klinikal, corak permainan yang dilakukan mereka adalah lebih baik daripada pasukan kami dan mereka juga mengambil peluang.

"Jika kami menang, orang akan berkata itu bagus dan kami suka apa yang awak lakukan. Jika kami tidak berjaya, orang akan mencari kesalahan,’’ kata Hodgson.

England akan menamatkan sisa kempennya dalam Piala Dunia dengan menentang pasukan yang telahlayak ke pusingan kedua, Costa Rica dengan harapan mencari kemenangan bagi memulihkan sedikit maruah mereka setelah mencatat prestasi terburuk mereka dalam kejohanan bola sepak paling berprestij ini. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140624/sl_03/Itali-mesti-sekat-Suarez---Buffon#ixzz35Vk47ESI  © Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments: