Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 25 June 2014

LIGA SUPER - Pemain tentukan sendiri nasib JDT - Bojan

Oleh MD AZRIN ROSLY DAN MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my

Ryan Griffiths akan kembali berkhidmat buat Sarawak malam ini setelah tempoh penggantungannya tamat.

KUCHING - Segalanya kini terserah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam usaha menamatkan pemburuan gelaran Liga Super dengan kemenangan ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching malam ini akan mengesahkan Harimau Selatan muncul juara tanpa mengambil kira apa jua keputusan antara PKNS dan Selangor.

Jurulatih JDT, Bojan Hodak menegaskan, halangan utama buat anak-anak buahnya adalah kekuatan mental untuk berdepan Sarawak yang diakuinya cukup liat tiap kali bermain di tempat sendiri.

"Buat masa ini, bukan lagi soal kecederaan pemain yang menjadi persoalan namun sejauh mana mereka mampu terjemahkan aksi yang diharapkan di atas padang ketika tekanan semakin memuncak.

"Bukan senang bermain di sini tetapi para pemain saya kena ingat peluang menjuarai Liga Super berada di bawah kawalan kami pada masa sekarang kerana jika menang, trofi menjadi milik kami.

"Saya harap para pemain tidak sia-siakan peluang ini malah saya yakin mereka akan tampilkan salah satu persembahan paling istimewa pada malam esok, walaupun berdepan ribuan penyokong tuan rumah (malam ini)," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Bojan, dia tiada berdepan masalah kecederaan selain menarik nafas lega dengan kehadiran semula jeneral di bahagian pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi bagi berdepan Sarawak.

Bagi pasukan Sarawak, mereka enggan memberi laluan mudah kepada JDT untuk merangkul kejuaraan Liga Super 2014 dengan menampilkan barisan terkuat dalam perlawanan akhir liga di Stadium Negeri di sini malam ini.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, kehadiran semula penyerang import, Ryan Griffiths yang bebas daripada penggantu­ngan memudahkannya untuk merencanakan strategi terbaik bagi mengekang kemaraan JDT.

Katanya, seorang lagi penyerang, Muamer Salibasic juga bakal diturunkan sekiranya lulus ujian kecergasan terakhir.

"Kami memerlukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga dan menghadiahkan tiga mata penuh kepada penyokong setia Ngap Sayot.

"Sarawak tidak akan memberi laluan mudah kepada JDT. Jadi, saya akan menurunkan skuad penuh pada malam esok," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Skuad Harimau Selatan dijangka berdepan dengan kesukaran untuk menjulang kejuaraan liga musim ini memandangkan Selangor masih berpeluang menjuarai liga jika JDT mencatatkan keputusan kurang memberansangkan apabila menentang Sarawak.

JDT yang mengumpul 41 mata perlu menang dalam perlawanan itu untuk mengesahkan kejuaraan milik mereka kerana Selangor hanya mengekori mereka dengan satu mata.

Tambah Alberts, motivasi anak buahnya juga berada pada tahap terbaik bagi menghadapi JDT yang pasti berusaha sedaya upaya untuk meraih tiga mata.

"Saya fikir peluang adalah 50-50 asalkan para pemain kita memberi sepenuh fokus terhadap perlawanan itu nanti.

"Tidak mustahil kita boleh melakarkan kemenangan menentang pasukan yang berstatus bintang itu," ujarnya.

Sarawak menghuni tangga ketujuh dengan mengumpul 30 mata, manakala JDT kini menerajui carta liga dengan 41 mata selepas 21 perlawanan.



No comments: