PENYERANG Portugal, Silvestre Varela (dua dari kiri) menjaringkan gol penyamaan 2-2 ketika menentang AS dalam perlawanan Kumpulan G di Manaus semalam. - REUTERS
MANAUS - Pemain simpanan Portugal, Silvestre Varele menyelamatkan pasukannya daripada diaibkan oleh Amerika Syarikat (AS) apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit terakhir dalam perlawanan Kumpulan G semalam, sekali gus peluang pasukannya melayakkan diri ke peringkat seterusnya masih terbuka.
Harapan Amerika Syarikat untuk layak ke pusingan kalah mati diragut oleh Varela yang menanduk masuk bola hantaran lintang Cristiano Ronaldo.
Keputusan seri dalam perlawanan menarik itu sekali gus menempatkan AS di anak tangga kedua Kumpulan G, di belakang Jerman yang seri 2-2 kelmarin.
"Kami terpaksa menerima gol tersebut walaupun pahit untuk kami. Pada mulanya kami berasa sungguh yakin untuk mara ke pusingan kalah mati namun tidak menyangka kami terpaksa berkongsi mata di hujung permainan. Secara keseluruhannya saya fikir ini perlawanan yang menarik," kata jurulatih AS, Juergen Klinsmann dalam sidang akhbar.
AS yang turut layak ke pusingan kedua pada 2010, akan bertemu Jerman pada perlawanan terakhir untuk menentukan nasib mereka.
Clint Dempsey, yang menjaringkan gol pada minit terakhir ketika AS mengalahkan Ghana 2-1, meletakkan pasukannya di depan dengan 2-1 pada minit ke-81 semalam sebelum Varela menjaringkan gol penyamaan.
Portugal, yang kecundang 4-0 ketika bertemu Jerman dalam perlawanan pertamanya dan jurulatihnya, Paulo Bento kemudian berkata pasukannya perlu menewaskan AS.
Portugal membuka tirai jaringan pada minit kelima apabila pertahanan AS, Geoff Cameron hanya menyepak sipi umpanan Miguel Veloso, menyebabkan bola melayang di depan gawangnya terus kepada Nani, yang dengan mudah menyepak masuk.
Wakil Eropah itu kemudiannya memperlahankan rentak permainan yang berlangsung dalam cuaca panas 30 darjah Celcius, lantas membolehkan lawan mereka mula menguasai perlawanan.
Portugal masih kelihatan bahaya dan percubaan Nani dari luar kawasan penalti mengenai tiang kiri pada minit ke-45. Bola melantun kepada Eder tetapi sepakan lambungnya ditolak dengan kemas oleh penjaga gol AS, Tim Howard.
Babak kedua menyaksikan pemain-pemain Portugal semakin perlahan, dan digunakan oleh pemain tengah AS, Jermaine Jones untuk mara ke tengah dari sebelah kiri pada minit ke-64, melepasi kawalan Nani dan melepaskan rembatan kaki kanan dari jarak 25 meter untuk gol penyamaan.
"Kami dibolosi gol kedua disebabkan kesilapan sendiri. Saya fikir seri adalah keputusan yang adil walaupun ini menyebabkan kami berada dalam kedudukan yang sangat sukar," kata Bento.
Portugal bermula dengan Ronaldo, yang berusaha melupakan kecederaan lututnya. Dia tidak begitu berkesan ketika menentang Jerman dan kelihatan jauh daripada kecergasan sebenar ketika bertemu AS, memberi sedikit sumbangan sehinggalah pada penghujung permainan apabila umpanannya menghasilkan gol penyelamat Portugal. - REUTERS
No comments:
Post a Comment