PENJAGA gol yang juga ketua pasukan Sepanyol, Iker Casillas (kiri) dan Pepe Reina (dua dari kanan) membuat senaman ringan bersama rakan-rakan sepasukan mereka ketika menjalani sesi latihan di Curitiba semalam untuk persediaan menentang Chile esok. - AFP
CURITIBA - Penjaga gol Sepanyol, Pepe Reina bosan dengan cakap-cakap mengenai kekalahan besar Sepanyol kepada Belanda. Adakah zaman keemasan pasukan itu sudah berakhir?
"Saya letih melayan semua soalan ini, bosan dengannya," kata Reina dalam temu bual dengan The Associated Press di kem latihan Sepanyol.
Adakah pasukan itu telah benar-benar meneliti semula kekalahan 5-1 mereka kepada Belanda dalam persediaan mereka untuk mesti menang apabila bertemu Chile dalam Kumpulan B?
"Kami hanya berbincang mengenainya, kami tidak menontonnya semula. Kami bukannya masochists (mendapatkan kenikmatan menerusi kesakitan)," kata Reina.
Di sebalik semua soalan yang terus mengelilingi Sepanyol, Reina akur bahawa semuanya disebabkan prestasi pasukan itu yang mengecewakan di Salvador.
"Memang logik apabila sesuatu tidak betul orang mula berfikir seperti itu. Tetapi kami akan cuba mengubahnya agar era (kegemilangan) ini tidak akan berakhir. Dan untuk membuatkan orang lebih yakin.
"Saya tidak fikir pasukan ini sudah mati. Pasukan ini belum habis," kata Reina.
Itulah kata-kata yang mahu didengari oleh peminat Sepanyol selepas pasukan itu layu ketika menentang Belanda yang menghadiahkan mereka kekalahan terburuk dalam tempoh 64 tahun.
Sepanyol kini berpeluang untuk bangkit semula di Maracana, di mana mereka kalah 6-1 kepada Brazil dalam Piala Dunia 1950. Di dalam bilik persalinan, Sepanyol menghadapi krisis terbesar mereka sejak mencipta kejayaan berturut-turut pada musim panas 2008 dengan memenangi Kejohanan Eropah berturut-turut dan ditengah-tengahnya mereka menjulang Piala Dunia buat kali pertama.
Prestasi pemain senior seperti Iker Casillas, Xabi Alonso, Andres Iniesta, Gerard Pique, dan Xavi Hernandez kesemuanya dipersoalkan.
Reina, yang sering menjadi penjaga gol simpanan kepada Casillas sepanjang tempoh kejayaan mereka, tidak menjangkakan dia akan berada dalam senarai utama walaupun penjaga gol Real Madrid itu menampilkan permainan paling buruk dalam 155 penampilan bersama skuad kebangsaan.
Menentang Chile, Sepanyol bukan sahaja perlu menang tetapi mesti menang besar untuk menjadi kelebihan jika pasukan-pasukan dalam kumpulan mereka terikat dari segi mata.
"Kami akan menghadapi masa yang sukar. Mereka (Chile) ialah pasukan yang kuat dan sentiasa mencipta masalah kepada kami.
"Tetapi kami yakin dengan diri sendiri. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Terpulang kepada kami sendiri. Jika kami bermain dengan bagus, kami mampu melakukannya," kata Reina.
Satu kebimbangan yang mereka hadapi ialah jika nasib mereka di sini akan ditentukan oleh perlawanan terakhir iaitu menentang Australia sementara menunggu keputusan Belanda melawan Chile, yang bermakna kedua-dua pasukan itu boleh berpakat untuk menghalang Sepanyol mara ke peringkat seterusnya.
"Saya tidak fikir Belanda akan mengubah cara mereka, kami percaya dengan mereka. Ini ialah Piala Dunia, orang sentiasa mahu menang," kata penjaga gol berusia 31 tahun itu. - AGENSI
No comments:
Post a Comment