DARI KIRI: Alexis Sanchez, Andres Iniesta
BELO HORIZONTE - Chile akan menganggap pertemuan menentang Sepanyol sebagai perlawanan akhir Piala Dunia, menurut penyerangnya, Esteban Paredes ketika pasukan dari Amerika Selatan itu sedang bersiap sedia untuk mengalahkan pasukan yang mengamalkan corak permainan mengasak itu.
Paredes berkata, pasukannya turut sedar, walaupun Sepanyol telah dibelasah 5-1 oleh Belanda pada perlawanan pembukaan mereka, namun pasukan La Roja itu tetap berbisa.
"Bagi mereka, ini merupakan perlawanan sehingga ke titisan peluh terakhir. Tetapi bagi kami, ini adalah pertemuan antara dua pasukan di pentas akhir kerana kemenangan pasti menjamin kami ke peringkat seterusnya.
"Sepanyol pastinya akan berusaha lebih gigih dalam perlawanan ini dan mereka kekal sebagai pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia walau dengan apa jua cara sekalipun," katanya dalam sidang akhbar.
Chile kini penuh dengan keyakinan setelah mengalahkan Australia 3-1 dalam perlawanan pertama mereka.
Sementara itu, pemain tengah, Felipe Gutierrez berkata Chile tidak akan mengubah formulanya yang sentiasa mengasak pihak lawan dan menyerang dengan pantas untuk mengatasi Sepanyol dalam perlawanan itu nanti.
"Kami sedang bekerja keras dengan berlatih untuk menekan pihak lawan kerana tiada pasukan lain yang bermain seperti Chile dan menentang Sepanyol nanti, tiada apa yang akan berubah.
"Pasukan ini tidak bermain untuk mendapatkan keputusan seri, tetapi bersemangat untuk menang," katanya.
Chile akan menamatkan kempen peringkat Kumpulan B dengan bertemu Belanda (pada 24 Jun waktu Malaysia). - REUTERS
No comments:
Post a Comment