Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 16 June 2014

Piala Dunia 2014 era Messi?



TIGA bintang Argentina, Augusto Fernandez (kiri), Lionel Messi (tengah) dan Sergio Aguero bergurau ketika sesi latihan di Vespasiano, dekat Belo Horizonte semalam menjelang perlawanan dengan Bosnia-Herzegovina. - AFP

RIO DE JANEIRO - Lionel Messi akan cuba menempatkan dirinya sebagai jaguh sepanjang zaman apabila Argentina menghadapi Bosnia-Herzegovina dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F Piala Dunia mereka di Rio de Janeiro esok.

Piala, pujian dan penghormatan individu telah menghujani sensasi Barcelona berusia 26 tahun itu, yang telah mencatat rekod demi rekod sepanjang beberapa tahun lalu tetapi masih gagal menunjukkan prestasi cemerlang dalam sebuah kejohanan antarabangsa yang besar.

Walaupun dia antara anggota pasukan Argentina yang meraih emas Olimpik di Beijing pada 2008, kejayaan dalam Piala Dunia dan Copa America masih menjauhinya.

Pemenang Ballon d’Or empat kali dan ju­ara Eropah tiga kali bersama Barcelona, kemampuan Messi menjaringkan gol tidak boleh dipersoalkan tetapi tanpa kejayaan de­ngan Argentina, akan sentiasa ada satu kecacatan terhadap pencapaiannya.

Ketika Piala Dunia 2006 dan 2010 harapannya tidak tertunai, tetapi ada satu perasaan bahawa edisi 2014 wajar menjadi detik Messi.

Ketika berusia 18 tahun pada 2006, dia menjaringkan satu gol sebagai pemain gantian ketika menentang Serbia dan Montenegro, manakala pada 2010, taktik Diego Maradona menjadikannya terlebih beban sebagai tenaga kreatif tunggal dalam formasi yang tidak seimbang, 4-1-3-2.

Namun kini, dia memberikan segala yang diperlukannya untuk berjaya, dengan jurulatih Alejandro Sabella berhati-hati membentuk pasukannya untuk meletakkan Messi dalam satu posisi khusus untuk menyerlah.

Sabella kini meminta Messi menerajui barisan depan yang akan diisi tiga pemain yang amat berbakat, biasanya di samping Gonzalo Higuain dan Sergio Aguero.

Dengan Angel di Maria dari Real Madrid, pemain terbaik perlawanan akhir Liga Juara-juara, turut dibawa ke depan dari bahagian tengah, tindakan itu akan memastikan bahawa Messi tidak menjadi tumpuan tunggal pertahanan lawan tetapi menolak sebarang andaian bahawa Argentina sebuah pasukan yang bergantung kepada hanya seorang pemain.

“Saya tidak fikir pasukan kebangsaan Argentina bergantung kepada saya - jauh sekali.

“Kami mempunyai sekumpulan pemain yang hebat yang boleh beraksi pada tahap terbaik mereka dan menjulang piala, yang merupakan matlamat utama kami," katanya kepada majalah FourFourTwo baru-baru ini.

Di sebalik ancaman Messi, pilihan jurulatih Bosnia, Safet Susic bagi sistem pengawalan berzon bererti bahawa ketua pasukan Argentina itu tidak akan dikawal ketat.

“Itu satu dilema buat saya, tetapi untuk mengorbankan seorang pemain hanya untuk mengawal Messi, saya tidak fikir itu bagus bagi kami," kata Susic kepada laman sesawang FIFA.

Bosnia yang akan diteajui oleh penyerang, Edin Dzeko, merupakan satu-satunya muka baharu dalam Piala Dunia dan akan menjadi negara ke-77 yang mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak paling berprestij ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140615/sl_06/Piala-Dunia-2014-era-Messi#ixzz34lpKNKgp  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: