Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 9 June 2014

HOKI - Malaysia kalah kali keempat

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my




MUHAMMAD Razie Abdul Rahim (tengah) menjaringkan gol penyamaan Malaysia, namun tidak mampu membantu pasukan negara tewas kepada India, semalam.

KUALA LUMPUR - Malaysia kini tiada pilihan kecuali menewaskan Sepanyol pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Dunia 2014 esok jika mahu menghidupkan peluang memenuhi sasaran 10 terbaik selepas tewas 2-3 kepada India, di Stadium Green Field, The Hague, Belanda, semalam.

Malaysia kini terus menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas empat kekalahan dan mereka perlu menang untuk beraksi dalam klasifikasi sembilan dan sepuluh.

Peluang Malaysia untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kelima masih terbuka selepas Se­pan­yol kalah kepada Belgium sema­lam.

Pemain pertahanan Malaysia, Muhammad Razie Abdul Rahim sedar tiga mata penuh pada perlawanan terakhir amat penting bagi menghidupkan peluang 10 terbaik.

"Kami telah bermain dengan sebaik­nya hari ini, namun nasib tidak menyebelahi kami.

"Kekalahan kepada India amat mengecewakan kerana kami telah merancang dengan sebaiknya untuk mendapatkan kemenangan tetapi tidak berjaya," kata Razie.

Skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah bermula baik de­ngan hantaran tepat dan pergerakan yang tersusun namun gol pertama lawan pada minit ke-15 menerusi pukulan sudut penalti Jasjit Singh Kular membuatkan Malaysia tertekan sepanjang babak pertama.

Bermula babak kedua menyaksikan Razie berjaya me­nyamakan kedudukan selepas pukulan sudut penaltinya pada minit ke-46 tepat memasuki gawang India sebelum pemain pasukan lawan, Akashdeep Singh dapat menjarakkan pada minit ke-49 untuk kedudukan 2-1.

Akashdeep Singh terus menambah derita skuad kebangsaan apabila jaringan padangnya pada minit ke-51 gagal dihalang oleh penjaga gol Malaysia, S. Kumar.

Usaha Malaysia untuk mengurangkan jurang jaringan jelas kelihatan apabila pemain skuad kebangsaan, Muhammad Marhan Jalil dapat menjaringkan gol kedua pada minit ke-61.

Namun, ia tetap tidak berjaya untuk menghalang India daripada me­raih tiga mata penuh.



No comments: