Skuad kebangsaan Jerman menaiki feri dari Pelabuhan Santa Cruz Cabralia untuk ke kem latihan mereka di Santo Andre menjelang Piala Dunia, semalam. - AFP
PORTO SEGURO, Brazil - Bahang Piala Dunia semakin dirasai selepas dua gergasai Eropah, Jerman dan England mulai tiba di Brazil, semalam.
Juara tiga kali, Jerman diberi sambutan hangat, di mana beratus peminat menunggu bas yang dinaiki pasukan itu ketika berada di Pelabuhan Santa Cruz Cabralia.
Skuad bimbingan Joachim Loew kemudian dibawa menaiki feri ke Santo Andre, di mana mereka akan ditempatkan di kem latihan yang dibina khas, Campo Bahia.
Jerman, juara 1954, 1974 dan 1990 akan memulakan kempen dengan menentang Portugal dalam aksi sulung Kumpulan G pada 16 Jun.
Hadir berpakaian sut hitam, pemain-pemain Jerman disajikan dengan persembahan Capoeira, iaitu tarian seni mempertahankan diri sejurus tiba di hotel penginapan.
Sepasang warga emas Jerman sanggup mengharungi perjalanan jauh ke Bahia semata-mata untuk menyambut wira-wira mereka.
"Kami berlepas dari Bremen pada 7 Februari lalu untuk ke Uruguay, sebelum kami menyewa campervan dan datang ke sini.
"Sasaran kami adalah mahu memberi sokongan kepada pemain dan melihat di mana kem latihan mereka. Kami menghabiskan masa semalaman di lapangan terbang, supaya dapat menunggu ketibaan pasukan," kata Marita Focke, 63, dan suaminya, Werner.
Selepas berdepan Portugal, Jerman akan bertemu Ghana di Fortaleza, diikuti Amerika Syarikat di Recife.
Sementara itu, England menjejakkan kaki ke Brazil beberapa jam selepas diikat tanpa jaringan oleh Honduras dalam aksi pemanas badan terakhir di Miami, semalam.
Walaupun mempamer aksi kurang meyakinkan dalam perlawanan itu, pengurus pasukan mereka, Roy Hodgson menegaskan, keputusan tersebut tidak langsung merungsingkan pasukannya.
"Perlawanan itu tidak langsung menganggu perancangan saya.
"Ia cuma satu perlawanan pendek untuk menguji pasukan dan membantu saya membuat keputusan," ujarnya.
Kata Hodgson, semangat dalam skuad England cukup tinggi ketika ini menjelang perlawanan pembuka tirai Kumpulan D menentang Itali pada Sabtu ini.
"Semangat pasukan sangat..sangat bagus. Kami sentiasa fokus sejak belum tiba di Brazil lagi. Harap pemain akan lebih fokus apabila sampai di Manaus," katanya lagi. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140609/sl_01/Jerman-England-mulai-tiba-di-Brazil#ixzz34709oPpv © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment