Cesc Fabregas (tengah) dan rakan-rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium RFK, Washington semalam dalam persiapan Sepanyol menghadapi Piala Dunia di Brazil yang bermula minggu depan. - REUTERS
MADRID - Pemain Sepanyol dijanjikan habuan dua kali ganda daripada apa yang bakal dinikmati oleh Brazil dan Jerman sekiranya berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.
Juara dunia dan Eropah itu bakal menikmati 27 juta Euro (RM118 juta), peningkatan 37 peratus berbanding wang kemenangan yang ditawarkan oleh FIFA pada 2010. Pemain juga akan menerima bonus 20 peratus lebih daripada apa yang mereka terima, empat tahun lalu.
Kapten Sepanyol, Iker Casillas dan penolong ketua pasukan, Xavi Alonso telah mencapai persetujuan dengan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sepanyol, Jorge Perez berkenaan bonus yang bakal diterima pemain-pemain La Roja.
Setiap pemain serta pegawai teknikal akan menerima 720,000 Euro (RM3.2 juta) jika berjaya mengukir sejarah menjadi negara pertama yang menjuarai Piala Dunia dua kali berturut-turut, manakala pemain Brazil akan menikmati 330,000 Euro (RM1.5 juta) dan pemain Jerman pula diberi 330,000 Euro (RM1.3 juta) setiap seorang.
Jumlah wang tersebut telah mencetus kontroversi di Sepanyol di mana seorang ahli politik telah memuat naik statusnya di Twitter: "Sepanyol akan membayar dua kali ganda lebih daripada Jerman untuk bola sepak di Piala Dunia. Adakah kita dua kali ganda lebih kaya daripada Jerman?".
Bagaimanapun jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque menafikan jumlah tersebut.
"Kami mahu semuanya menjadi tanda tanya. Kami berharap Sepanyol akan menang dan mengenai ganjaran yang bakal dinikmati, semua terserah kepada bahagian kewangan," ujar Del Bosque.
Sementara itu, pemain tengah Manchester United, Juan Mata menegaskan, ganjaran yang ditawarkan bukan motivasi buat dirinya.
"Kadang kala perkara begini dikaitkan dengan pemain, namun saya bermain dengan impian yang sama semasa saya seorang kanak-kanak iaitu memenangi Piala Dunia," ujarnya.
Badan induk bola sepak Sepanyol ketika menjawab mengenai isu tersebut menegaskan, jumlah yang ditawarkan adalah masuk akal.
"Kami melihatnya sebagai satu pelaburan.
"Kami hanya berkongsi apa yang ditawarkan oleh FIFA bersama dengan pemain." - AGENSI
No comments:
Post a Comment