sukan@utusan.com.my
Austin Smith (tengah) meraikan kejayaan meledak gol keempat Afrika Selatan ketika pasukan itu membelasah Malaysia 6-2 dalam perlawanan terakhir Piala Dunia di The Hague, Belanda semalam. - AFP
KUALA LUMPUR - Memulakan kempen dengan meyakinkan, Malaysia bagaimanapun menutup cabaran hoki Piala Dunia dengan mengecewakan apabila gagal mencatat walau satu pun kemenangan apabila tewas 2-6 kepada Afrika Selatan dalam penentuan tempat ke-11 di Stadium Hoki Kyocera, The Hague, Belanda semalam.
Seperti biasa, pasukan negara memulakan permainan dengan baik dan mengawal rentak, namun pada pertengahan saingan anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah membenarkan kebangkitan Afrika Selatan dan menyaksikan gawang mereka dibolosi enam kali pada separuh masa kedua.
Kekalahan itu bukan saja menyaksikan Malaysia terpaksa menamatkan kempen tanpa sebarang kemenangan, keputusan yang sedikit mengecewakan buat pasukan yang datang ke The Hague bersama misi memburu tempat 10 terbaik.
Pukulan penalti yang diberikan kepada Afrika Selatan pada babak kedua menyentap semangat anak-anak buah Dharma dan menyebabkan mereka hilang kosentrasi.
"Mereka mula hilang fokus selepas itu (lawan diberikan pukulan penalti) dan melepaskan tiga gol pantas menerusi pukulan sudut penalti.
"Ini adalah pengajaran berguna buat pemain-pemain kami apabila beraksi di tahap seperti ini.
"Anda tidak boleh melakukan kesilapan mudah dan meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang. Kami bermain baik di awal permainan, namun tidak cukup bagus untuk mengekalkan rentak.
"Afrika Selatan juga menunjuukkan kesungguhan untuk mengelak daripada menamatkan cabaran di kedudukan tecorot dan mereka jelas lebih baik daripada pasukan negara pada separuh masa kedua," akui Dharma.
Dalam aksi semalam, Malaysia gagal menyelamatkan maruah negara yang tercalar sekali pun berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-26 menerusi jaringan padang Firhan Ashaari.
Namun, kegembiraan pasukan negara tidak kekal lama apabila Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan melalui pukulan penalti yang disempurnakan Justin Reld-Ross pada minit ke-43 dan pintu gol Malaysia sekali lagi dibolosi selang dua minit berikut melalui pemain yang sama.
Afrika Selatan melebarkan kedudukan 3-1 apabila Reld-Ross menyempurnakan jaringan daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-48 dan pasukan itu menambah gol keempat pada minit ke-50 hasil jaringan padang Lyold Jones.
Austin Smith menjadikan kedudukan 5-1 apabila meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-64 dan Afrika Selatan berpesta jaringan setelah Jean-Pierre de Voux menyumbat gol keenam pada minit ke-69.
Sebelum perlawanan berakhir, Malaysia memperoleh gol kedua melalui Shahrun Nabil Abdullah yang sudah tidak memberi sebarang erti kepada pasukan negara.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140613/su_01/Pulang-tanpa-kemenangan#ixzz34TNmQ1Pm © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment