Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 10 June 2014

Kereta elektrik Proton: Adakah menjadi kenyataan?




Malah, saya juga turut diundang ke United Kingdom pada Disember 2011 untuk menyaksikan sendiri kemampuan kereta elektrik yahg dibangunkan oleh jurutera anak muda tempatan Proton dengan usahasama Frazer-Nash Research Limited (Frazer-Nash) United Kingdom yang ketika itu turut menyertai perlumbaan berprestij tahunan Cabaran Kereta Masa Depan Brighton ke London RAC (FCCBTL-RAC).




Dan menariknya, prototaip kereta berasaskan teknologi elektrik Proton iaitu Proton Exora REEV (Range Extender Electric Vehicle) ketika itu berjaya memenangi buat kali kedua berturut-turut anugerah Kereta Pelbagai Guna Cekap Tenaga terbaik dan turut berkongsi anugerah Kenderaan Elektrik Jarak Tambahan (E-REV) keseluruhan terbaik dengan jenama terkemuka pembuat kereta global, Toyota.




Tahun itu, Proton selain mempertaruhkan Exora REEV, turut meletakkan Proton Persona REEV dan Saga EV (Electric Vehicle) untuk bersaing dengan pembuat kereta gergasi dunia. Sila lihat videonya di sini.




Malah, kumpulan pemberita yang berada di situ turut diberitahu bahawa Proton ketika itu semakin mencapai ke kemuncaknya untuk menghasilkan secara besar-besaran kereta berasaskan elektrik atau separa elektrik pada tahun 2013 selepas mendapat maklum balas daripada Program Kenderaan Fleet Test yang sedang dilakukan oleh kerajaan.

Dan lebih menarik, khabar angin jelas menyatakan Proton Saga EV, iaitu kereta dengan konsep teknologi elektrik sepenuhnya itu kemungkinan akan dijual dengan harga RM70,000, satu harga yang agak kompetetif berbanding kenderaan elektrik sepenuhnya jenama lain.

Ketika pertandingan itu, Proton sebenarnya sudah berjaya membangunkan sebuah konsep kenderaan famili yang mampu berada di atas jalan raya dan tidak perlu lagi dipanggil kereta prototaip.

Ini berikutan, ada kenderaan yang menyertai FCCBTL-RAC itu masih di peringkat pembinaan dan belum boleh berada di atas jalan raya. Itu bermakna, Proton sudah bersedia untuk produksi besar-besaran dan hanya perlu melihat dari segi kos pengeluaran bateri dan komponen elektrik yang agak mahal harganya di United Kingdom berbanding di Malaysia.

Namun, sekembalinya kami ke Malaysia sehingga hari ini, iaitu selepas tiga tahun, Proton dilihat belum mahu mengeluarkan kereta berkonsepkan elektrik. Program Kenderaan Fleet Test itu juga terus senyap tanpa ada khabar berita.

Kemungkinan ia adalah keputusan industri untuk tidak mengeluarkan Proton berteknologi elektrik atas beberapa sebab tanpa diketahui dengan mendalam.

Prasarana yang dipasang di semua kementerian yang mengambil bahagian dalam Program Kenderaan Fleet Test itu juga semakin suram dan menjadi lokasi parkir kenderaan bukan elektrik.




Apa yang menarik perhatian saya ialah beberapa prasarana stesen mengecas kereta elektrik turut disediakan oleh beberapa kompleks membeli belah di Kuala Lumpur dan juga da di Melaka, namun dalam skala besar, belum ada.

Kesempatan saya berjumpa dengan Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil ketika programm penyerahan kereta Proton Perdana baharu kepada kerajaan Disember tahun lepas sedikit merungkaikan persoalan.

Menurut Mohd. Khamil, program kenderaan elektrik yang kita lihat seakan-akan sudah berjaya sebelum itu dimansuhkan dan akan digantikan dengan program pembangunan kenderaan hibrid.

Menurut Mohd. Khamil, ia lebih berdaya saing berbanding kenderaan elektrik dan beliau turut yakin dengan mengatakan, kereta hibrid Proton itu akan dipasarkan pada penghujung tahun 2015 tanpa mengulas panjang.

Kontra dengan kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang mengatakan Proton hibrid itu akan dikeluarkan pada penghujung tahun ini ketika menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pada sidang Parlimen Mac, tahun ini. Dan kata beliau, kereta Proton elektrik akan turut dikeluarkan pada penghujung tahun 2015.

Apa pun, dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Proton Holdings Berhad, saya percaya ramai yang berhasrat untuk melihat projek kereta elektrik dan hibrid ini direalisasikan dengan segara. 

Kerana pada tahun 2011, Pengarah Proton dan Pengarah Teknologi Hijau Proton, Datuk Zainuddin Che Din turut membayangkan Proton mampu jadi peneraju dalam pembuatan kenderaan elektrik di rantau Asia Tenggara disebabkan teknologi itu masih baru di kalangan pembuat kereta global. 

Tapi jika lambat, saya percaya, Indonesia dan Australia akan melangkaui kita dalam teknologi sedia ada yang akhirnya kita akan kembali terkebelakang.

Namun saya masih percaya kemampuan Tun Mahathir dalam merencanakan perjalanan Proton, sama seperti ketika dia merealisasikan kemunculan kereta Proton pertama yang dipanggil 'tin sardin' oleh sesetengah rakyat Malaysia yang masih skeptikal dengan kemampuan anak muda tempatan pada tahun 1985.





No comments: